Cari Blog Ini

Ahad, 18 Julai 2010

TITIPAN HUJUNG MINGGU 23-25 JULAI 2010 - KHAS UNTUK PELAJAR 5 IBNU SINA DAN 5 IBNU RUSYD

Salam sayang untuk anak-anak didik cikgu... selamat berhujung minggu bersama keluarga tersayang. Cikgu pasti anak-anak didik cikgu tentu sedang memanfaatkan detik-detik yang amat berharga ini, tambahan pula peperiksaan percubaan kian mengintai waktu... isilah masa yang sedikit cuma ini dengan sebaik-baiknya. Seperti biasa, cikgu tidak akan lama meninggalkan anak-anak didik cikgu. Cuti ini cikgu akan pastikan, nama cikgu akan sentiasa lekat di minda anak-anak semua khususnya mata pelajaran Bahasa Melayu yang amat cikgu cintai. Cikgu harap anak-anak didik cikgu pun begitu juga....


TUGASAN PERTAMA


Baiklah, untuk titipan kali ini cikgu minta anak-anak pelajar menulis sebuah cerpen berdasarkan bahan KOMSAS tingkatan 4 iaitu Seloka Pak Kaduk dan Pantun Enam Kerat. Cuba fahami seloka dan pantun tersebut, dan olah semula menjadi sebuah cerpen yang menarik untuk tatapan bersama. Panjang cerpen tersebut tidak kurang daripada 350 patah perkataan. Tolong siapkan cerpen tersebut dalam buku karangan anda. Selamat menulis!!!

TUGASAN KEDUA

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
.
”Bagaimana dengan Eyrique? Sudah ditemui?”
Pertanyaan Strenn berbau sinis.”Lupakan dia Annyss, kalau kau menjadi isteriku sekaligus kau adalah Permaisuri Alstonia. Tapi kalau Eyrique naik takhta, kau tidak tidak akan dapat apa-apa."
............Strenn dapat merasakan kemenangannya.”Untuk pengetahuan kau, aku sudahpun berjumpa dengan Eyrique.” Annyss cukup nekad dengan jawapannya.”Esok akan kubawa dia ke istana. Bersedialah!” Dengan hamburan kata-kata itu, Annyss meninggalkan Strenn yang amat terkejut. Air mukanya jelas berubah tatkala Annyss menekan perkataan’sudah’.

............Annyss sendiri agak tergamam dengan tindakannya. Entah mengapa lancar benar lidahnya mendustai Strenn. Dalam diam dia memasang tekad. Eyrique harus muncul esok walau apa sekalipun halangannya.

............Annyss menghempaskan diri di atas katil peraduannya. Kekecohan ini timbul semenjak Maharaja Alstonia yang ke –73 mangkat. Eyrique sebagai pewaris tunggal belum mencapai usia kedewasaannya. Oleh itu, adinda baginda dilantik sebagai pemangku. Namun setelah masanya tiba, kehilangan Eyrique yang mendadak menjadi satu misteri. Ada yang berkata dia merajuk kerana ayahanda saudaranya enggan menyerahkan takhta kepadanya. Kemangkatan bonda Annyss pula menambahkan kekeruhan suasana.


(Dipetik daripada cerpen Annyss Sophellia dalam antalogi Anak Laut , Dewan Bahasa dan Pustaka)


(i) Apakah masalah-masalah yang berlaku di Alstonia? [3 markah]

(ii) Pada pendapat anda, apakah kesan yang akan timbul sekiranya pemimpin bersikap mementingkan diri sendiri? Berikan alasan anda. [3 markah]

(iii) Huraikan satu perwatakan Annyss Sophellia dalam petikan cerpen di atas dan dua perwatakan lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen . [3 markah]

2 ulasan:

  1. cikgu...minggu ni cpa ke?....

    BalasPadam
  2. cikgu....main dengan ikan cikgu ni boleh tenangkan hati ek?....haha...

    BalasPadam