CARA-CARA MENGATASI TEKANAN ATAU STRES
(
ANDA / INDIVIDU )
Setiap manusia tidak terlepas
daripada menghadapi tekanan dalam kehidupan. Hal ini bertepatan dengan maksud
peribahasa, bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan lautan mana
yang tidak bergelora. Bagaimanapun, tekanan yang dihadapi itu
berbeza-bezatahapnya. Tekanan yang dihadapi oleh golongan dewasa mungkin akibat
memikirkan masalah keluarga, kewangan atau kerjaya, manakala bagi remaja pula
tekanan yang dihadapi mungkin berkaitan dengan pelajaran, hubungan dengan rakan
atau masalah yang berkaitan dengan keluarga. Bagi sesetengah orang, tekanan mungkin
membawa kejayaan dan kebahagiaan dalam
kehidupan, manakala yang lainnya pula menganggap tekanan
sebagai sumber kesengsaraan dan penderitaan sehingga tekanan yang dihadapi itu membawa kepada pengakhiran kehidupan. Sebagai
pelajar, saya juga tidak terlepas daripada menghadapi tekanan yang berpunca
daripada pelbagai faktor terutamanya faktor pelajaran. Oleh hal yang demikian, sebelum
nasi menjadi bubur, beberapa langkah telah saya ambil bagi menangani
masalah tekanan.
Kehidupan yang terlalu sibuk
menyebabkan kita sering melupakan kegiatan yang sangat berfaedah untuk
kesihatan fizikal, mental dan psikologi kita. Kegiatan tersebut ialah riadah, iaitu aktiviti yang sering
dilakukan pada waktu lapang terutamanya pada hujung minggu. Antara kegiatan
riadah yang kerap saya lakukan ialah berbasikal, joging, bermain futsal, bermain
badminton, bersiar-siar di taman rekreasi dan memancing ikan. Selepas bermain
futsal dan badminton umpamanya, selain peluh mengalir membasahi tubuh,
kepenatan akan dapat dirasakan. Selepas mandi dan membersihkan diri, saya akan
berehat melepaskan lelah. Keadaan akan menjadi lebih baik apabila saya dapat
melelapkan mata. Oleh sebab kepenatan selepas melakukan riadah, saya akan tidur dengan sangat lena. Hilang sebentar segala masalah yang membelenggu diri.
Tekanan pun menghindar dan akhirnya fikiran menjadi lapang. Ada waktunya saya
melakukan riadah bersama-sama ibu bapa saya. Peluang keemasan itu saya gunakan
sepenuhnya dengan melakukan perbincangan, sama ada yang berkaitan dengan
masalah peribadi, mahupun masalah pelajaran yang sering memberikan tekanan
kepada saya. Lantaran itu, saya menganggap
kegiatan riadah sebagai serampang dua mata yang membantu meningkatkan kesihatan
diri di samping menjadi salah satu cara untuk mengurangkan tekanan.
Sesungguhnya saya amat meyakini bahawa cara kita berfikir
amat mempengaruhi kesihatan diri, terutamanya kesihatan mental. Lantas, demi
memastikan saya memiliki kesihatan yang baik tanpa menghadapi tekanan, saya
sentiasa berfikiran positif apabilaberhadapan dengan situasi yang
kritikal dan sukar. Apabila menerima pujian, saya tidak akan berbangga dengan pujian tersebut, sebaliknya
saya akan memikirkan sama ada pujian tersebut diberikan secara ikhlas atau
diberikan kepada saya kerana ada udang di sebalik batu.
Berkemungkinan pujian itu diberikan secara bersahaja, atau jika tidak pun saya
menerimanya sebagai satu penghargaan. Bagaimanapun, jika kritikan atau
teguranpula yang diberikan, saya akan menerimanya dengan minda terbuka dan
menganggapnya sebagai kritikan yang membina. Ibu sering mengingatkan saya
bahawa kritikan yang diberikan oleh seseorang itu sebenarnya lebih ikhlas dan
memiliki nilai kejujuran berbanding dengan pujian yang selalunya lebih bersifat
palsu. Di sebalik kritikan yang diterima itu saya akan melakukan muhasabah diri
lalu membaiki segala kekurangan yang ada agar saya tidak menerima kritikan yang
sama pada waktu yang lain pula. Sekiranya saya tidak dapat menerima
kritikan tersebut, fikiran akan menjadi
tidak menentu dan kusut, lalu akhirnya saya akan terjerat dalam kancah tekanan
yang melampau. Natijahnya, saya sentiasa menghadapi tekanan dengan fikiran yang
positif.
Saya ialah penggemar dan pencinta muzik sama ada muzik
ciptaan anak tempatan mahupun muzik antarabangsa. Seandainya muzik tidak
didengar menerusi cakera padat, masih ada muzik di dalam jiwa saya yang
membuatkan kaki bergoyang. Bagi saya, muzik pencetus kegembiraan dan keceriaan,
walaupun sesekali muzik mengundang kesedihan dan kedukaan. Hal ini bertepatan
dengan pandangan ahli-ahli psikologi bahawa muzik merupakan salah satuwahana
terapi yang efesien dan sumber ketenangan fikiran yang sering diabaikan. Apabila
muzik bergema, hati akan dibuai oleh alunan
melodinya sehingga di luar kesedaran diri, saya seperti berada di alam yang
lain. Muzik yang rancak akan menyebabkan kaki bergoyang, manakala
muzik sentimental pula akan menjadikan diri dibuai perasaan. Seni katanya yang melankolik akan menyumbang
ke arah penghayatan yang tinggi seolah-olah saya turut merasakan kedukaan yang
sedang dialami oleh pelantun lagu tersebut. Jika tekanan menghimpit perasaan, tanpa
disedari saya telah melupakan sebentar tekanan tersebut dengan bantuan muzik.
Hal ini bertepatan dengan kata-kata pujangga yang menukil bahawa muzik tak
mungkin dapat dipisahkan daripada jiwa setiap manusia. Tanpa muzik juga
kehidupan akan menjadi sepi. Oleh itu, muzik
bukan sahaja dapat menghiburkan hati, malah muzik seperti memiliki kuasa magis yang berupaya mengurangkan tekanan yang
saya hadapi, bertepatan dengan maksud peribahasa sambil menyelam minum air.
Saya juga menjadikan ibadat sebagai salah satu cara untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi. Setiap
hari saya akan mendirikan solat , sekurang-kurangnya lima kali sehari kerana
solat merupakan tiang agama. Apabila saya tidak mendirikan solat, hal ini
bermakna runtuhlah agama saya. Sesungguhnya, solat memberikan ketenangan yang
tidak dapat saya ungkapkan dengan kata-kata. Solat yang khusyuk akan menjadikan
saya melupakan semua tekanan yang saya hadapi, malah saya dapat merasakan
betapa dekatnya diri saya dengan Yang
Maha Pencipta. Jiwa berasa tenang dan damai,
hati juga menjadi bersih. Benarlah seperti yang pernah dikatakan
oleh seorang penceramah gaya hidup
sihat, Encik Norhisham Mustaffa bahawa solat merupakan senaman yang paling
ampuh untuk memberikan kesihatan terbaik buat tubuh badan kita . Ketika rukuk
dan sujud, darah akan mengalir dengan lebih sempurna di tubuh kita. Demikian
juga ketika saya duduk di antara dua sujud dan duduk tahyat awal serta akhir,
kedudukan tubuh dan jari-jari kaki memberikan bentuk senaman yang begitu
berkesan. Selepas mendirikan solat, saya akan berzikir yang mampu membersihkan
dan memberikan kedamaian kepada hati serta jiwa. Saya sangat menyedari dan menginsafi
bahawa hanya Allah yang dapat membantu saya dalam segala hal. Lantaran itu,
saya menjadikan ibadat sebagai usaha yang terbaik untuk menghindari dan
mengurangkan tekanan yang dihadapi.
Melancong
merupakan aktiviti kekeluargaan yang amat saya nanti-nantikan. Setiap tahun ayah dan ibu
akan membawa saya serta adik melancong ke luar negara. Sehingga kini kami telah
melawat Indonesia, China, Kemboja dan India selain melancong di dalam negara. Sejujurnya,
setiap kali melancong saya dapat merasakan keterujaan dan kegembiraan yang
membolehkan saya melupakan segala masalah yang membelenggu fikiran. Secara
tidak langsung, tekanan yang mengganggu fikiran yang berpunca daripada masalah
yang dihadapi dapat saya atasi atau setidak-tidaknnya dapat saya lupakan
sebentar. Ketika melancong itu, saya dapat menikmati keindahan dan keunikan
panorama negara lain di samping menambahkan pengetahuan tentang budaya dan sejarah
negara tersebut, bertepatan dengan maksud peribahasa jauh perjalanan luas
pemandangan, banyak pula pengalaman. Ketika melawat Solo dan
Jogjakarta di Pulau Jawa, Indonesia umpamanya, saya dapat menyaksikan keunikan
budaya mereka walaupun kita masih dalam rumpun yang sama, iaitu Melayu. Seni
tari mereka sangat halus dan mempesona berdasarkan gerak jari tangan, kaki dan
tubuh mereka dengan iringan muzik gamelan yang syahdu. Adat di keraton pula
masih dikekalkan untuk tatapan pelancong walaupun sistem pemerintahan beraja
tidak lagi diamalkan di republik tersebut. Keunikan Candi Borobudur amat
mengagumkan dengan seni binanya yang amat halus. Keseluruhan aktiviti ketika
melancong itu termasuk sesi membeli-belah cukup membantu saya melupakan segala
tekanan yang dihadapi.
Sebagai kesimpulan, terdapat pelbagai usaha yang saya
lakukan untuk menghadapi tekanan dalam kehidupan. Walau apa-apapun yang
berlaku, mahu atau tidak, saya terpaksa menghadapi segala tekanan yang ada demi
kelangsungan hidup yang lebih bermakna.Tekanan merupakan masalah dan tekanan
juga merupakan sumber motivasi, tanpa tekanan, hidup kurang berseri umpama
pokok yang tidak berbunga. Dengan tekanan jugalah fikiran saya menjadi
lebih matang dan dewasa. Di sebalik ketabahan saya menghadapi tekanan itu, saya
masih memerlukan insan lain untuk menghadapinya dengan
lebih rasional. Dalam hal ini, kedua-dua ibu bapa akan menjadi sumber rujukan
saya di samping rakan-rakan sebaya yang rapat hubungannya dengan saya. Saya
juga tidak melupakan guru yang mendidik dan mengajar saya menjadi insan berilmu.
Sesungguhnya, hanya dengan ketabahan dan keimanan yang kukuh dapat membantu
saya menghadapi semua tekanan dengan tenang.