Cari Blog Ini

Rabu, 17 Mac 2010

LAGI TENTANG NOVEL MELUNAS RINDU

SINOPSIS.

1. Fuad membeli setengah ekar tanah milik Awang Sojar dengan harga RM 10,000. Pak Ismail dinamai sebagai pemilik tanah itu walaupun dibantah oleh Pak Ismail. Setelah pemilikan tanah diperoleh, mereka membuat pagar, memerun dan membuat batas untuk ditanam dengan jagung.

2. Fuad juga membelikan Pak Mail sebuah motosikal kerana kasihan melihat Pak Mail yang terpaksa berjalan kaki untuk pergi ke kedai Leong.

3. Tindakan Fuad yang bersungguh-sungguh untuk memenangi semula hati Pak Mail dan Mak Salmah akhirnya membuahkan hasil. Mak Salmah akhirnya memaafkan segala kesalahan Fuad walaupun dia masih tidak dapat melupakan Sofia. Mak Salmah terlantar sakit di hospital hampir sebulan lamanya apabila menyedari kehilangan Sofia. Berita kematian Sofia menambahkan lagi bebanan jiwanya sehingga menyebabkan Pak Mail membawanya pulang semula ke rumah mereka. Akhirnya Mak Salmah menerima hakikat takdir bahawa Sofia yang telah meninggal dunia tidak akan hidup kembali.

4. Ketika berada di kebun, mereka sekeluarga sekali lagi didatangi oleh seorang lelaki. Mak Salmah dapat mengenali bahawa lelaki tersebutlah yang datang mencari Pak Mail dan Fuad tempoh hari.

5. Cikgu Abas datang bertemu dengan Pak Mail dan Fuad kerana berhajat untuk meminta bantuan Fuad untuk menjadi tenaga pengajar dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Seri Setia. Cikgu Abas memberi pilihan kepada Fuad sama ada ingin menjadi guru sandaran atau mengajar kelas bimbingan pada sebelah petang.

6. Fuad berasa bahawa dia mempunyai pengetahuan dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris tetapi tidak tahu untuk mengajar mata pelajaran tersebut. Cikgu Abas bagaimanapun menaruh keyakinan bahawa kemahiran mengajar akan diperoleh oleh Fuad selepas dia mula mengajar mata pelajaran tersebut. Cikgu Abas sangat berharap kepada pertolongan Fuad kerana menyedari pelajar-pelajar di sekolahnya memang lemah dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik. Menyedari bahawa mereka berada dalam keadaan kritikal, pihak sekolah telah memulakan kelas bimbingan pada bulan Januari.

7. Menurut Cikgu Abas, jika Fuad mengajar di kelas bimbingan, dia akan diberi elaun yang sepadan dengan kelulusan yang dimilikinya. Namun demikian, secara jujur Cikgu Abas menyatakan bahawa seseorang itu tidak boleh menjadi kaya semata-mata dengan hanya menjadi cikgu.

8. Fuad menyatakan bahawa dia perlu berbincang tentang hal tersebut dengan Pak Mail dan Mak Salmah. Namun demikian, semangatnya untuk menjadi cikgu telah mula bercambah dan bersemarak.

9. Cikgu Abas berasa bahawa dia yakin Fuad akan menerima tawaran sebagai guru sandaran atau tenaga pengajar kelas bimbingan di sekolahnya. Dia amat optimis bahawa kehadiran Fuad akan membawa banyak perubahan positif dalam aspek akademik di sekolahnya. Dia menganggap bahawa Fuad umpama permata yang perlu digilap agar lebih bersinar.

WATAK DALAM BAB 3
1. MAK SALMAH
2. pAK ISMAIL/ MAIL
3. AWANG SOJAR/ AWANG BIN JUSOH
4. LEONG
5. SOFIA
6. CIKGU ABAS

NILAI KEMANUSIAAN DALAM BAB 3

1. Baik hati
2. Jujur
3. Bijaksana
4. Yakin diri
5. Mesra
6. Berani
7. Bertanggungjawab
8. Tegas
9. Bersih
10. Tabah
11. Sabar
12. Sopan

1. BAIK HATI.
Fuad bersifat baik hati. Dia membeli setengah ekar tanah berharga RM 10,000 daripada Awang Sojar dan nama Pak Mail didaftarkan sebagai pemilik tanah yang baru.

2. JUJUR
Pak Mail bersifat jujur. Walaupun makan di luar, dia tetap menunjukkan kejujuran bahawa dia menyukai masakan isterinya Mak Limah. Setelah makan di luar, Pak Mail tetap menyelongkar dapur untuk merasai masakan isterinya.

3. BIJAKSANA
Fuad bersifat bijaksana. Dengan wang yang diperoleh daripada bapanya, dia membuat pelaburan dengan cara membeli tanah Awang Sojar untuk dijadikan kebun bagi menanam jagung. Di samping memperoleh hasil yang baik kerana harga jagung sedang tinggi, mereka dapat mengeluarkan peluh dengan berbakti kepada tanah tersebut.

4. YAKIN DIRI.
Fuad seorang yang yakin diri. Walaupun khuatir dengan pengalaman yang hampir kosong, dia yakin bahawa dia mampu mencurahkan ilmu pengetahuan yang diperolehnya untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Seri Setia.

5. MESRA
Pak Mail dan Mak Salmah bersifat mesra. Mereka bersifat mesra menyambut kedatangan Cikgu Abas walapun mereka tidak mengenali Cikgu Abas.

6. BERANI.
Cikgu Abas bersifat berani. Dia berani berjumpa sendiri dengan Pak Mail dan Fuad untuk menyampaikan hajatnya agar Fuad menerima tawaran menjadi guru sandaran di sekolahnya. Dia juga berani mempelawa Fuad menjadi tenaga pengajar di sekolahnya walaupun sedar bahawa Fuad tidak berpengalaman mengajar.

Pelajar boleh mencari contoh yang sesuai untuk nilai kemanusiaan 7 hingga 12.

SISIPAN TATABAHASA.

AYAT MAJMUK GABUNGAN.
Ayat majmuk gabungan ialah ayat yang terdiri daripada dua ayat atau lebih yang dijadikan satu dengan cara menggabungkan atau mencantumkan ayat-ayat tersebut dengan kata hubung seperti dan,atau,tetapi,lalu, sambil, serta, lagi

AYAT MAJMUK GABUNGAN DALAM BAB 3.
1. Pujukan Pak Ismail, Fuad dan rakan-rakannya juga banyak membantu.
2. Mak Salmah mula mengingati Allah serta qadak dan kadarNya.
3. Jauh di dasar hati, semangatnya sudah mula bercambah dan kian bersemarak.
4. Dia ingin merapati sebelum disedar dan disekat oleh pertimbangannya sendiri.
5. Di situ dia meneguk air kosong sambil mencuri-curi pandang.
6. Dilihatnya Pak Ismail dan Fuad telah menyedari kehadiran lelaki muda itu.
7. Salamnya dibalas serentak oleh Pak Ismail dan Fuad.
8. Dia cuma mengangguk-angguk sambil tersenyum.
9. Jujur dalam erti kata membuat tawaran dan meminta pertolongan.
10. Abas tahu kata-katanya keterlaluan, tetapi dia betul-betul jujur.

Pelajar boleh mencari lebih banyak contoh dalam bab 3 ini. Harus diingat pelajar harus dapat membezakan antara ayat majmuk gabungan dengan ayat majmuk pancangan dan ayat komplemen.

Dicatat oleh Cikgu Abd Razak Bin Hassan di 00:23 0 ulasan



BAB 2

Jumaat, 2010 Februari 26
SINOPSIS.
1. Dengan menggunakan kereta Iswara Aeroback berwarna merah yang baru dibelinya, Fuad mengunjungi pantai Batu Buruk.

2. Akibat musim tengkujuh, suasana di tepi pantai tidak begitu meriah kerana tidak ramai yang berkunjung ke sana.

3. Fuad ke sana untuk merenung semula segala peristiwa pahit dan manis yang telah dilaluinya selama ini.

4. Fuad berasa bersyukur kerana sudah kembali mendalami ajaran agama Islam setelah berpuluh tahun tidak mengamalkan ajarannya. Dia tidak pernah berdendam kepada sesiapa akibat daripada peristiwa pahit yang telah dialaminya sebelum ini.

5. Fuad terpaksa bersabar selama hampir setahun untuk menjernihkan semula hubungannya dengan Mak Salmah dan Pak Mail dan penduduk kampungnya. Mak Salmah berasa terlalu benci akibat tindakan Fuad yang melarikan Sofia dari Danau Seberang sehingga menyebabkan kematian Sofia.

6. Pak Ismail sahaja yang tabah mempertahankan Fuad walaupun terpaksa bermasam muka dengan isterinya Mak Salmah. Pak Ismail membimbing semula Fuad untuk bersembahyang dan mengaji Al-Quran. Pada tahun tersebut Fuad dapat berpuasa sepanjang bulan Ramadan dan menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Selama tiga hari berturut-turut dia menziarahi hampir setiap rumah di kampungnya sekalipun kehadirannya masih tidak diterima oleh penduduk kampung.

7. Masuk bulan ketiga kepulangannya ke Danau Seberang, dia bersama-sama Pak Mail bertandang ke rumah penghulu untuk meminang Masnah bagi pihak Borhan. Selepas sebulan, Borhan dan Masnah berkahwin dan segala perbelanjaannya ditanggung oleh Fuad. Hal ini menyebabkan kemarahan penduduk kampung kepadanya akhirnya reda.

8. Namun demikian Mak Salmah tetap belum dapat memafkan Fuad akibat tindakannya melarikan Sofia dari Danau Seberang sehingga menyebabkan kematian Sofia. Mak Salmah menunjukkan sifat marahnya dengan cara membanting pintu rumah dan menghempaskan perkakas di dapur. Dia juga selalu mencari alasan setiap kali Pak Mail mengajaknya makan bersama-sama dengan Fuad.

7. Fuad melakukan dua perkara iaitu berdoa meminta keampunan daripada Allah atas segala kesalahannya dan meminta agar dilembutkan hati Mak Salmah untuk memaafkan segala tindakannya. Akhirnya Mak Salmah dengan sendirinya menjernihkan semula hubungan antara dirinya dengan Fuad dengan cara mahu berbual-bual dan tidak lagi memalingkan muka jika berselisih dengan Fuad.

8. Fuad reda terhadap pemergian Sofia. Namun demikian, dia berasa kesal kerana Sofia tidak mengetahui bahawa Fuad ialah abang kandungnya. Dia bermonolog sendirian dan membayangkan kemanisan saat Sofia menerima duit hari raya dan mengucup tangannya sebagai abang. Hingga pada satu ketika dia membayangkan bahawa dialah yang sibuk mengurusi Sofia yang mendapat peluang belajar di universiti.

9. Pada jam 6.55 petang, dia kembali ke rumah. Pak Mail masih menunggu kepulangannya kerana ingin bersama-sama ke surau. Fuad segera mandi dan menuju ke surau untuk sembahyang Maghrib dan Isyak. Pada jam sembilan malam, mereka tiba di rumah. Ketika makan, Mak Salmah memberitahu Fuad bahawa ada orang yang mencarinya ketika dia tiada di rumah.

10. Selepas makan, Fuad menyatakan hasrat untuk membeli sebidang tanah terbiar milik Awang Sojar kepada Pak Mail. Tanah tersebut akan digunakannya untuk bercucuk tanam. Pak Mail berasa hairan kerana sepatutnya Fuad boleh mencari kerja yang lebih baik di bandar Kuala Terengganu berbekalkan kelulusan yang dimilikinya tetapi memilih untuk bertani di tanah sendiri. Sebelum melelapkan mata, Fuad mula berilusi untuk berbudi kepada tanah.

WATAK DALAM BAB 2

1. Fuad
2. Pak Mail
3. Mak Salmah
4. Sofia
5. Borhan
6. Masnah
7. Penghulu
8. Awang Sojar
9. Bidin

SISIPAN TATABAHASA.
Ayat Tunggal

1. Ayat yang mengandungi satu klausa.
2. Ayat ini mengandungi satu subjek dan satu predikat.
3. Binaan ayat tunggal mengandungi unsur wajib (subjek, predikat, objek dan pelengkap) atau unsur pilihan (keterangan, nafi, kata pemeri)
4. Ayat tunggal boleh terdiri daripada susunan biasa atau susunan songsang.
5. Ayat tunggal terdiri daripada ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah dan ayat seruan.
6. Ayat tunggal boleh hadir dalam bentuk ragam ayat aktif atau ayat pasif.

AYAT TUNGGAL DALAM BAB 2.

1. Angin (S)/ bertiup begitu kencang.(P)
2. Orang (S)/ tidak begitu ramai (P)
3. Fuad (S) tidak tersinggung (P)
4. Pak Ismail (S)/ pun ikut mengangkat kepala
5. Begitu dia menutup bicara. Dia (S) menutup bicara begitu (P)
6. Fuad (S)/ ikut tersenyum (P)

Dicatat oleh Cikgu Abd Razak Bin Hassan di 22:34 0 ulasan
Ujian Formatif (1) Tingkatan 4

1. Tulis sinopsis novel Melunas Rindu.
(Fokus jawaban : bahagikan sinopsis kepada 5 kategori plot iaitu permulaan, perkembangan, perumitan, klimaks dan peleraian. )

2. Beri satu contoh yang sesuai untuk setiap nilai kasih sayang. (a) Kasih sayang kepada bapa
(b) Kasih sayang kepada ibu
(c) Kasih sayang kepada rakan
(d) Kasih sayang kepada Tuhan/ agama
(e) Kasih sayang kepada anak murid (pelajar)

Fokus jawaban :
1. Nyatakan watak terlibat
2. Buktikan kasih sayang satu watak dengan satu contoh

Contoh:
KASIH SAYANG KEPADA BAPA.
Fuad sayang kepada bapa angkatnya Pak Ismail.
Cara menunjukkan kasih sayang - membelikan Pak Ismail sebidang tanah untuk tujuan bercucuk tanam. Fuad juga membelikan Pak Ismail sebuah motosikal yang boleh digunakan untuk pergi ke kedai Leong atau kenduri-kendara di kampung.

KASIH SAYANG KEPADA IBU.
Farhana sayang kepada ibunya Mariana.
Cara menunjukkan kasih sayang-sentiasa pulang ke kampung apabila cuti untuk menjenguk ibunya- Dia juga sanggup berulang-alik ke Kuantan untuk menjaga ibunya yang terlantar di hospital kerana sakit lelah.

SPM 2009, TAHNIAH!!!!

Saat-saat paling menggembirakan buat seorang guru adalah... tatkala anak-anak didiknya gembira menatap keputusan peperiksaan yangcemerlang!! itulah... erti kegembiraan dan kebahagiaan cikgu... tahniah untuk calon-calon spm SMKAJB 2009...tanggal 11 mac 2010 menjadi saksi detik bersejarah apabila keputusan spm diumumkan, ahmad nazri seleman dan yuusuf jalil dinobatkan sebagai pelajar terbaik smkajb 11A .... tahniah!!! tahniah juga atas keputusan yang amat memberangsangkan untuk subjek cikgu... Bahasa Melayu... khususnya anak-anak 5 abu bakar dan 5 ibnu rusyd... terima kasih kerana memberi A untuk cikgu... jumpa anda di puncak kejayaan!!!

Sabtu, 13 Mac 2010

PANDUAN UNTUK PENULISAN YANG BERKESAN

A. PENANDA WACANA UNTUK MEMULAKAN AYAT PENDAHULUAN KARANGAN·

- Sedasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia ini tentang isu …

- Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah ….

-Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020. Keadaan ini menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat.

- Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun di sebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai permasalahan sosial yang dicetuskan oleh rakyat kita sendiri.

- Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini …

- Sejak dua dan tiga dekad kebelakangan ini memang kita dapat menyaksikan …


B. PENANDA WACANA UNTUK AYAT TERAKHIR PENDAHULUAN KARANGAN·
-Oleh itu, kebaikan dan keburukan yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci demi kebaikan bersama.

- Sebagai memperkukuhkan lagi penyataan tersebut, punca-punca yang menunjangi masalah ini perlu diperincikan demi kebaikan bersama.

- Usaha pasti akan membuahkan hasil kalau pelbagai langkah yang efektif dan drastik dilakukan segera untuk mengatasi masalah yang sudah bersarang lama di negara kita ini.

- Setelah meneliti dan mengkaji sehingga ke akar umbi, saya bersetuju dengan pendapat yang menyatakan …….·

- Tiada ubat yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik harus dijalankan secara berterusan agar masalah ini boleh dibasmi hingga ke akar umbi.


C. PENANDA WACANA UNTUK AYAT PERTAMA SETIAP PERENGGAN·
-Kita dapat menyaksikan betapa…·

-Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana…·

-Lazimnya, dalam keadaan …·

-Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah …·

-Pada hemat saya …/ Pada pandangan saya …·

-Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa …·

-Sebagaimana yang kita ketahui /Sebagaimana yang kita maklumi

- Sejak awal lagi / Kebelakangan ini

- Selain itu, pada masa ini juga

D. PENANDA WACANA UNTUK AYAT 2 DAN SETERUSNYA DALAM KARANGAN·
-Bagi sesetengah orang …·

- Begitu juga dengan …/Begitu juga halnya dengan …·

-Bertitik tolak daripada itu …·

-Bukan itu sahaja …·

-Dalam hal ini …/ Dalam konteks ini ..·

-Dalam zaman yang serba canggih ini …·

-Daripada realiti ini dapat kita katakan bahawa …·

-Dengan adanya … /Dengan berbuat demikian …/ Dengan perkataan lain ..·

-Disebabkan hal itu /Disebabkan keistimewaan inilah kita ..·

-Hal ini berlaku disebabkan / Hal ini penting dalam / Hal ini serupa dengan / Hal yang serupa berlaku apabila...

- Jadi kita perlu / Jadi kita hendaklah

-Keadaan ini tentunya

- Lantaran itu sehingga kini

- Kesemua ini menyumbang kepada

- Kita mengakui hakikat bahawa·

- Kita sering menonton di kaca televisyen / Kita sering membaca di dada-dada akhbar

- Memandangkan keadaan yang sedemikian

- Namun sejak belakangan ini

-Oleh itu, bolehlah dikatakan

- Secara logiknya masa yang

- Sejak seawal usia kemerdekaan negara ini lagi, kita

- Yang paling nyata ialah /Yang perlu kita pastikan ialah


E. PENANDA WACANA UNTUK MENYATAKAN STATISTIK·
-Berdasarkan perangkaan terkini yang diperoleh didapati sebanyak

- Bukti yang jelas dan terkini yang berkaitan dengan perkara ini menunjukkan

- Statistik yang sahih lagi tepat telah dikeluarkan oleh Kementerian ….. pada tahun …… menunjukkan bahawa sebanyak …………


F. PENANDA WACANA UNTUK MENYATAKAN CONTOH·
-Sebagai contohnya

- Biar kita lihat/ Biar kita ambil contoh

- Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan ialah

- Sebagai analoginya,

- Contoh yang ketara yang paling dekat dengan kita ialah


G. PENANDA WACANA UNTUK KESIMPULAN KARANGAN·
-Intihanya,

- Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas

- Konklusinya,

- Dengan ini diharapkan

- Mudah-mudahan perkara ini

- Dengan keizinan Tuhan yang Maha Esa, kita yakin dan percaya bahawa

- Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, insya-Allah perkara ini akan …

- Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, marilah kita bersama-sama

Daripada blog : Cikgu Anelyza WMS

KHAS UNTUK PELAJAR TINGKATAN 4 IS, 5IR, 5IS : TITIPAN CUTI SEKOLAH PENGGAL PERTAMA ( 12 MAC - 21 MAC 2010 )

Assalammualaikum anak-anak didik cikgu... jumpa lagi dalam ruangan titipan cuti sekolah ini. Cikgu harap anak-anak tak lupa untuk mengulangkaji pelajaran sambil menikmati saat-saat percutian bersama keluarga.

Seperti yang cikgu janjikan, ada beberapa buah tangan daripada cikgu untuk mengisi masa senggang anak-anak semua. Tugasan ini wajib disiapkan, sekurang-kurangnya 1. Bagi yang telah menyiapkan tugasan pertama, bolehlah memperkaya kemahiran berbahasa anda dengan tugasan kedua dan ketiga.

Selamat menjawab!!

TUGASAN PERTAMA :
Rumusan
( 30 markah ]

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian tulis satu rumusan tentang langkah-langkah kerajaan meringankan beban rakyat dalam menghadapi kegawatan ekonomi dan kesan-kesan pemulihan ekonomi kepada rakyat. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Usaha membasmi kemiskinan tegar menjadi agenda utama kerajaan menjelang 2010. Bagi meringankan beban rakyat, usaha diambil dengan memperuntukkan RM214 juta bagi pelaksanaan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat untuk tujuan pembasmian kemiskinan. Langkah ini juga akan memastikan agenda masyarakat penyayang terus diamalkan walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Kerajaan dalam usaha meringankan beban rakyat telah memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi pertama khusus untuk meningkatkan pemilikan rumah oleh rakyat. Oleh itu, bagi merangsang sektor perumahan kerajaan mencadangkan supaya pembeli diberi pelepasan cukai atas faedah pinjaman. Kerajaan juga telah membantu rakyat dengan menambah baik infrastruktur awam. Dalam hal ini, kerajaan telah menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta untuk menambah baik infrastruktur yang rosak serta menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian, menyelenggara dan membaik pulih pelbagai kemudahan dan prasarana awam. Bon Simpanan Kerajaan telah diterbitkan untuk menjanakan pendapatan rakyat. Bon ini bertujuan memberi peluang kepada rakyat untuk memperoleh pendapatan tambahan. Bon ini dibuka kepada setiap rakyat berusia 21 tahun ke atas dengan nilai minimum pelaburan sebanyak RM1,000.

Selain itu, kerajaan menaik taraf pelbagai kemudahan asas di luar bandar seperti bekalan elektrik dan air terutama di Sabah dan Sarawak. Usaha ini akan meningkatkan ekonomi rakyat melalui pengambilan kontraktor kecil dan pekerja tempatan di kawasan luar bandar. Di samping itu, pelbagai program dan projek dirancang oleh kerajaan untuk meningkatkan ekonomi rakyat di Sabah dan Sarawak seperti pembesaran Lapangan Terbang Sibu, Sarawak dan Projek Sistem Penghantaran Elektrik Kota Kinabalu, Sabah.

Kini, terdapat beberapa program mikrokredit tanpa cagaran disediakan oleh pelbagai pihak seperti Amanah Ikhtiar Malaysia, AgroBank dan TEKUN. Program ini bertujuan untuk membantu peniaga kecil di bandar dan luar bandar. Kaedah lain yang dilaksanakan adalah dengan memberi bantuan kepada golongan kurang bernasib baik seperti warga emas, golongan kurang upaya dan ibu tunggal. Bantuan yang diberikan adalah seperti program jaringan keselamatan sosial, bantuan kewangan dan bilangan tenaga kerja, meningkatkan kemudahan pusat penjagaan warga tua, memantapkan pengurusan rumah perlindungan wanita dan menambahkan kemudahan pusat asuhan kanak-kanak.

Bagi mengurangkan tanggungan orang ramai, kerajaan mengambil langkah pengecualian cukai yang diberikan atas bayaran pampasan kehilangan pekerjaan. Langkah ini diambil bertujuan untuk menjaga kebajikan pekerja yang diberhentikan. Di samping itu, kerajaan menggalakkan pihak bank untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman perumahan.

Kesimpulannya, kerajaan yakin usaha yang dirangka dan dilaksanakan adalah komprehensif dan menyeluruh untuk menghindarkan ekonomi negara daripada terjerumus dalam kancah kemelesetan yang mendalam sehingga memberi kesan kepada rakyatnya. Dengan landasan kukuh yang telah kita bina, kita yakin dapat mencipta kejayaan lebih besar.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana ‚‛Pakej RM60b
Perkukuh Ekonomi Negara Hadapi Kegawatan Global’,
Berita Harian, 11 Mac 2009)

Soalan 2 : Pemahaman – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i) Apakah maksud rangkai kata membasmi kemiskinan tegar? [2 markah]

(ii) Bagaimanakah peruntukan tambahan yang disediakan oleh kerajaan dibelanjakan? [3 markah]

(iii) Nyatakan empat cara rakyat dapat menangani krisis ekonomi negara. [4 markah]


TUGASAN KEDUA :

KARANGAN RESPON TERBUKA

Masalah kegemukan atau obesiti dalam kalangan rakyat negara ini semakin
serius. Menurut kajian yang telah dilakukan, sebanyak 20% daripada 26 juta
rakyat negara ini menghadapi masalah kegemukan.

Huraikan usaha-usaha yang perlu anda lakukan untuk menjadi remaja yang
sihat dan cergas.

( anak-anak pelajar digalakkan untuk merujuk sumber ilmiah dan internet untuk mengemukakan fakta sokngan )

TUGASAN KETIGA

Baca petikan yang diberi di bawah, kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor yang menyebabkan Malaysia menjadi tumpuan pekerja asing dan kesan-kesannya. Panjang rumusan tidak boleh lebih 120 patah perkataan.
___________________________________________________________________
Kebanyakan media menganggarkan jumlah pekerja asing di negara kita telah melebihi dua juta orang. Daripada jumlah tersebut, sebahagian besarnya pula adalah bertumpu di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Kebanyakan daripada mereka adalah pendatang asing yang datang dari negara jiran seperti Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan Nepal. Tumpuan mereka adalah dalam sektor pembinaan, perindustrian, perladangan dan pembantu rumah. Kedatangan golongan ini sedikit sebanyak telah memberi kesan negatif khususnya dalam segi pekerjaan penduduk tempatan dan pembangunan negara. Sebab utama mereka bertumpu ke negara kita adalah untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik berbanding dengan di negara asal mereka.

Selain itu, matlamat utama mereka bertumpu ke Malaysia adalah disebabkan banyak pekerjaan yang terdapat di sini memberi pendapatan yang tinggi. Rata-rata golongan ini mampu memperoleh pendapatan sehingga ribuan ringgit sebulan. Daripada jumlah tersebut, sebahagian besarnya akan dikirimkan kepada keluarga mereka yang menetap di negara asal. Ini ditambah pula dengan keadaan negara kita yang aman dan makmur, telah menggalakkan mereka bertumpu ke Malaysia. Hal ini amat berbeza sekali dengan keadaan di negara asal mereka seperti Indonesia, Bangladesh dan Nepal yang kerap berlaku pergolakan politik dan peperangan. Justeru, walaupun banyak usaha yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia untuk mengekang kebanjiran pendatang asing ini, namun jumlah mereka semakin bertambah.

Selain faktor di atas, kebanjiran penatang asing di negara kita turut disebabkan oleh permintaan yang tinggi terhadap buruh asing dari luar negeri oleh majikan di Malaysia. Hal ini kerana pendatang asing sanggup menerima upah yang lebih rendah berbanding dengan buruh tempatan. Keadaan ini ditembah pula oleh sikap pekerja tempatan yang lebih gemar memilih pekerjaan dengan gaji yang tinggi. Lebih menyulitkan keadaan, ada pihak di negara kita yang memberi perlindungan kepada pekerja asing sehingga menggalakkan mereka bertumpu di Malaysia. Ini menyebabkan pendatang asing berasa selamat bekerja di sini walaupun sebahagiannya tidak memiliki permit. Sikap negatif penduduk tempatan ini telah banyak menyebabkan operasi membanteras pekerja asing tanpa permit menemui kegagalan.

Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang dikelilingi oleh lautan, keadaan pantainya yang terlalu luas menyebabkan kawalan daripada pihak berkuasa menjadi terhad. Sebagai contohnya, sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia menjadi kawasan pendaratan pekerja asing tanpa permit untuk bekerja di Malaysia. Tambah merumitkan keadaan, jabatan yang ditugaskan untuk mengawal kebanjiran pekerja asing itu masih mengalami kekurangan penguatkuasa bagi menjalankan rondaan dan serbuan. Situasi ini telah menyebabkan ramai pekerja asing yang memasuki negara kita secara tidak sah, bebas tanpa berjaya dikesan. Kebanyakan rondaan yang dilakukan gagal menemui pekerja asing tersebut yang sebahagian besarnya menjadikan Selat Melaka sebagai laluan yang selamat untuk ke negara kita.
Oleh sebab jumlah mereka yang terlalu ramai telah memberi kesan yang amat parah, penguatkuasaan perlulah lebih kerap dilakukan. Untuk tujuan tersebut, kerajaan turut menggunakan tenaga RELA bagi menjalankan rondaan dan tangkapan terhadap pekerja asing tanpa permit. Mereka yang ditangkap akan ditempatkan di pusat-pusat tahanan sebelum didakwa dan dihantar pulang ke negara asal mereka. Usaha ini bukan sahaja memerlukan kos yang tinggi malah merugikan negara.




----------------------------------------------------------------------------------

Khamis, 11 Mac 2010

PERISTIWA PENTING DALAM NOVEL PGT

PERISTIWA-PERISTIWA PENTING DALAM

NOVEL PUTERA GUNUNG TAHAN
BAB 1

i. Asal-usul negeri Pahang
(Bagaimana situasi negeri Pahang pada masa itu iaitu sekitar tahun 1937 - zaman pendudukan Inggeris di Tanah Melayu )
ii Situasi negeri Pahang - peperangan berlaku antara orang Melayu dengan orang Inggeris sebelum Pahang jatuh ke tangan mereka. Ramai pahlawan Melayu terkorban .
iii. Pewaris kerajaan negeri Pahang lari ke hutan hingga sampai ke gunung Tahan.

BAB 2
i. Kedatangan dua orang putih ke Tanah Melayu untuk mencari tempat peranginan orang Inggeris ketika datang ke Tanah Melayu.
(Apakah ganjaran yang akan diperoleh sekiranya mereka berjaya mendapatkan puncak gunung Tahan?)
i. Tuan Robert dan Tuan William terpisah – Tuan.Robert ditawan oleh orang Sakai ketika keluar mengambil gambar di dalam hutan.

(Bagaimana Tuan William mengetahui bahawa Rober telah diculik oleh orang Sakai?)

BAB 3

i. Situasi Tuan.Robert ditawan oleh masyarakat Sakai. Di perkampungan orang Sakai, Robert dikawal ketat secara bergilir-gilir.
ii. Dilantik sebagai Datuk Batin Putih – bertujuan agar Robert tinggal bersama mereka untuk memajukan kehidupan masyarakat Sakai..

(Adakah Robert gembira dengan pelantikan tersebut dan mengapa? )

BAB 4

i. Pertemuan Robert dengan perempuan tua di pondok perempuan tua. Asal-usul perempuan tua diceritakan kepada Robert .
(Bagaimana perempuan tua boleh berada bersama masyarakat Sakai?)

– berasal dari Kampung Marhum, Pekan ,Pahang. Suaminya mati dalam perjuangan menentang orang Inggeris – melarikan diri ke dalam hutan .Ditinggalkan oleh rakan-rakan ketika sedang sarat mengandung lalu dibantu oleh orang-orang Sakai.

ii. Tuan.Robert berusaha memujuk perempuan tua agar menjual kulit harimau, taring dan kuku harimau putih kepadanya untuk dibawa balik ke England.

(Apakah tujuan Robert berbuat demikian dan kesannya kepada perempuan tua)

BAB 5

i. Tuan Robert dikenakan cenuai oleh perempuan tua akibat menghina ajaran Islam dan merendah-rendahkan orang Melayu dan orang Sakai.Akibatnya, Robert tergila-gilakan gadis Sakai.

iii. Watak Robert dimatikan dalam usaha cuba mendapatkan gadis Sakai tersebut (jatuh dari pohon kelapa.)

BAB 6

i. Pengembaraan Tuan William seorang diri setelah terpisah dengan Robert.
ii.Tuan William bertemu dengan Kusina(orang Bunian) iaitu pengiring Ratu Bongsu yang tinggal di puncak gunung Tahan.

iii.Kusina membawa William bertemu dengan Ratu Bongsu. William gembira kerana hajatnya untuk ke puncak gunung Tahan tercapai.

BAB 7

i. Tuan William menghadap Ratu Bongsu.Tuan.William menceritakan tujuan kedatangannya iaitu ingin mendapatkan puncak gunung Tahan di samping menyiasat keelokan tanah, tumbuhan dan haiwan di puncak tersebut.

ii. Keengganan Ratu Bongsu untuk menyerahkan puncak gunung Tahan kepada orang Inggeris.

iii. Tuan William memujuk Ratu Bongsu agar menyerahkan puncak Gunung Tahan kepada orang Inggeris. Tuan William memuji bagaimana bangsanya telah memajukan negeri-negeri sekitar gunung Tahan.

(Apakah ganjaran yang akan diperoleh oleh Ratu Bongsu sekiranya baginda menyerahkan puncak gunung Tahan tersebut kepada orang Inggeris?)

BAB 8

i.Tuan William meminjam teropong terus milik Ratu Bongsu .
(Apakah yang dilihat oleh William melalui teropong ajaib itu?)

-kecurangan isterinya

-sikap orang Melayu yang terpengaruh dengan cara hidup barat. –Masjid telah dijadikan pusat tari-menari yang dimiliki oleh Haji Adam dan dikenali sebagai rumah Penglipur Lara.

-Pergaulan bebas lelaki dan wanita, sehingga ada yang mengandung tanpa suami.

-Orang Melayu masuk Kristian – terdapat di gereja.

BAB 9

i.Tuan William meminjam’ beringin bercakap’ daripada Ratu Bongsu dan mendengar perbualan isterinya dengan teman lelakinya itu.

ii.Tuan William meminjam “burung pesuruh jaya” untuk menghantar surat kepada isterinya .

Surat dihantar kepada ketuanya di London untuk memberitahu keindahan puncak gunung Tahan yang begitu cantik dan berharga tetapi sukar diperoleh.William mencadangkan agar puncak gunung itu ditawan dengan cara kekerasan iaitu menggunakan bahan letupan dan menyerang dengan dua buah kapal terbang.

BAB 10

i.Ratu Bongsu mengetahui niat jahat Tuan William.

ii.Menggunakan tipu helah dan mengurung Tuan William ke dalam bilik khazanah. Tuan William turut terkorban dalam serangan kapal terbang. Rakyat diperintah agar berlindung.

iii.Dua buah kapal terbang menyerang.Semua penumpang terkorban kecuali isteri William (Mem William)tercedera. Ratu Bongsu menyelamatkan Mem William.

BAB 11

i. Ratu Bongsu jatuh cinta terhadap Mem William pada pandangan pertama.

ii. Selepas tiga tahun berada di puncak gunung Tahan, barulah Mem William membalas cinta Ratu Bongsu tersebut.

NOTA NOVEL KOMSAS TINGKATAN 1 (ISTANA MENANTI)

SINOPSIS KESELURUHAN


Mengisahkan tiga orang sahabat yang amat berminat dalam mengkaji sejarah bersepakat untuk menjejak sebuah istana lama di puncak Gunung Datuk. Fadhil, Ah seng dan Ramasamy mengunjungi Tuk Ngah yang menjadi pakar rujuk peristiwa bersejarah tentang kaitan Istana Menanti dengan sejarah penting beberapa kerajaan Melayu Melaka dan juga sejarah pejuang tanah air menentang penjajah. Menurut Tuk Ngah, Kewujudan Istana menanti berkait rapat dengan kedatangan orang Minangkabau ke tanah melayu, Raja Melewar menjadi pemerintah yang pertama bersemayam di istana tersebut. Tuk Ngah juga bercerita tentang asal usul nama rembau dan Sungai Ujung menjadikan remaja bertig aitu semakin teruj ahendak menyiasat istana lama tersebut. Pda hari yang sesuai bertemankan Tuk Ngah, tiga bersahabat itu menunjukkan kegigihan mereka mengatasi halangan menawan puncak Gunung datuk dan melihat sendiri keistimewaan Istana Menanti. Semasa dalam perjalanan menuju ke puncak itulah Tuk Ngah bercerita tentang sejarah pembukaan negeri Melaka oleh Paremeswara. Mereka jug asinggah sebentar di jeram Lubuk Petai yang dikatakan tempat bersiram Raja Melewar dan Sultan Mahmud. Tuk Ngah sempat memberi nasihat kepada anak remaj aitu supaya menjaga tingkah laku semasa menuju ke puncak gunung demi menjaga keselamatan bersama-sama. Apabila sampai ke puncak gunung dan melihat rekabentuk istana yang dikatakan berpuaka itu, Tuk Ngah bercerita pula tentang bentuk bumbungnya yang kelihatan seperti tanduk kerbau itu. Menurut Tuk Ngah, bentuk itu sempena memperingati kemenangan seorang raja Minangkabau yang menang dalam perlawanan kerbau. Tuk Ngah tidak masuk bersama-sama ke dalam istana kerana ingin berehat di luar istana. Mereka bertig amasuk dan melihat keunikan senibina istana lama tersebut. Tiba-tiba merek aterkunci dari dalam. Mereka mencar-cari jalan keluar namun tidak berjumpa. Fadhil cuba mengetuk-ngetuk lantai, lalu terjumpa pintu terowong bawah tanah yang gelap dan berbau hapak.Merek acuba masuk tetapi gagal kerana terlalu gelap dan tidak tahu berapa jauhnya terowong itu. Merek akemudian terserempak dengan seorang pemuda dari UPM yang sudah keletihan juga terperangkap dalam terowong tersebut. Ah Seng terasaingin membuang air besar. Dia masuk ke dalam terowong lalu ditangkap oleh sekumpulan penjenayah. Penjenayah tersebut sedang menggali tanah di dalam terowong itu kerana mencari harta yang mereka simpan semasa mereka berjuang dahulu. Mereka menggelarkan diri mereka sebagai pejuang kebebasan. Akhirnya Fadhil, Ramasamy dan hairil jug amenjadi mangsa dikerah menggali tanah untuk mendapatkan harta tersebut. Setelah harta tersebut ditemui, mereka segera meninggalkan terowong. Dalam pada itu ibu bapa remaja tersebut telah berpakat mencari mrereka dan membuat laporan kepada pihak polis. Mereka beramai-ramai mendaki Gunung Datuk, namun gagal menemui remaja tersebut. Tuk Ngah yang bersembunyi dari penglihatan penjenayah itu muncul lalu memberitahu perkara sebenar. Pihak polos berjaya memerangkap penjenayah tersebut. Remaja bertiga itu juga selamat ditemui. Mereka digelar sebagai wira kampung dalam suatu majlis meraikan keberanian dan kegigihan mereka menempuh cabaran sehingga membantu pihak polis menangkap penjenayah negara tersebut.

CERPEN TEMPANG

Tempang
Sinopsis

Hafizi seorang murid yang cacat. Dia tidak mampu bermain bola sepak dengan teman-temannya. Dia seorang yang pintar dalam pelajaran, menyebabkan Kamil selalu menghinanya. Pada satu hari, Kamil menolak Hafizi sehinggakan dia tersungkur dilantai. Raja ingin membalas, tetapi ditegah oleh Hafizi. Sikap Mei Ling yang menegur Kamil menyebabkan Kamil tidak berpuas hati. Pertengkeran tersebut terhenti apabila Cikgu Lee masuk ke kelas. Pada hari perkelahan, Kamil hampir lemas. Hafizi terjun ke dalam kolam dan menyelamatkan Kamil. Peristiwa tersebut menyebabkan Kamil insaf dan dia memohon maaf kepada Hafizi.

Nilai
Antara nilai murni ialah hemah tinggi, contohnya Hafizi tetap bersikap rendah diri walaupun daripada keluarga berada dan selalu dihina oleh Kamil. Selain itu keberanian, contohnya Hafizi sanggup mengambil risiko untuk menyelamatkan Kamil daripada lemas. Seterusnya baik hati, contohnya Raja selalu mendampingi dan memberi semangat kepada Hafizi. Akhir sekali tanggungjawab, contohnya Cikgu Ridzuan dan Cikgu Lee bersama-sama muridnya ketika pergi berkelah.

Pengajaran
Pengajaran daripada cerpen ialah kita jangan suka menghina atas kekurangan orang lain, contohnya yang ditunjukkan oleh Kamil yang selalu menghina Hafizi janganlah diikuti. Selain itu kita perlu bersikap pemaaf, contohnya Hafizi memaafkan kesalahan yang telah dilakukan oleh Kamil. Seterusnya guru hendaklah selalu memberikan motivasi kepada anak-anak muridnya, contohnya Cikgu Lee menekankan kepada anak muridnya akan kepentingan berusaha jika ingin berjaya. Akhir sekali kita perlu mengambil tindakan yang cepat, contohnya Hafizi cepat menyelamatkan Kamil daripada lemas.