Cari Blog Ini

Selasa, 6 April 2010

LATIHAN NOVEL PGT

1) Huraikan pengajaran yang terdapat dalam novel yang anda kaji. (8m)
2) Huraikan keistimewaan watak utama yang terdapat dalam novel yang anda kaji. (8m)
3) Gaya bahasa memainkan peranan penting dalam memastikan keistimewaan sesebuah
karya. Berdasarkan novel yang anda kaji, bincangkan kepelbagaian gaya bahasa
dalam novel tersebut. (8m)
4) Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, huraikan tema yang terdapat dalam
kedua-dua buah novel tersebut.

Isnin, 29 Mac 2010

LATIHAN KELAS KECEMERLANGAN 5IR DAN 5IS

Kali ini cikgu mencadangkan soalan-soalan yang berfokus pada dimensi isu antarabangsa. Soalan ini memang agak mencabar minda calon-calon SPM untuk mencubanya. Hal ini demikian kerana, calon-calon SPM perlu bersiap sedia dengan maklumat atau fakta yang berkaitan dengan sesuatu isu antarabangsa itu. Calon-calon SPM perlulah membuat rujukan terlebih dahulu dan membaca bahan-bahan tersebut daripada majalah, akhbar, Internet, jurnal dan sebagainya. Saya percaya bahawa memang ada calon SPM yang suka akan soalan dimensi ini. Soalan-soalan latihan tersebut adalah seperti yang berikut.


Latihan 1

Industri pelancongan negara turut menerima tempias akibat wabak selesema burung dan penyakit Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk (SARS) yang berlaku di kebanyakan negara di dunia beberapa tahun lalu.

Sarankan langkah-langkah yang perlu diambil oleh negara kita dan negara-negara yang terlibat.


Latihan 2

Kegiatan pengganas dan pihak yang tidak bertanggungjawab yang meletupkan bangunan-bangunan tertentu di beberapa buah negara telah menyebabkan kesengsaraan dan menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat dunia.

Berikan komen anda tentang penyataan tersebut.


Latihan 3

Kemasukan pendatang asing tanpa izin dari negara asing ke Malaysia telah menimbulkan masalah dari segi ekonomi, sosial, dan menyebabkan ketegangan hubungan diplomatik antara negara yang terlibat.

Bincangkan penyataan di atas.

Latihan 4

Pelaksanaan Zon Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) telah menyebabkan pengeluar dan produk sesebuah negara itu tidak lagi mendapat perlindungan untuk bersaing kerana pengguna boleh memilih produk yang lebih berkualiti dan lebih murah harganya daripada negara lain.

Huraikan pendapat anda tentang penyataan tersebut.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim
Posted by Mohd Khir Kassim at 5:15 PM

LATAR NOVEL MELUNAS RINDU

Latar bermaksud semua keterangan atau gambaran yang berkaitan dengan tempat, masa atau masyarakat. Latar memainkan peranan penting dalam sesebuah cereka kerana dapat menjelaskan cerita itu lagi. Latar dapat menjelaskan sesuatu cerita berdasarkan pelaku, tempat, dan masa peristiwa itu berlaku. Latar dapat menjelaskan sama ada masanya singkat atau lama. Selain itu, latar turut menjelaskan latar belakang masyarakat dari segi kaum, agama, kepercayaan, amalan, atau budayanya. Latar juga kadang-kadang dipanggil citra, dibahagikan kepada tiga jenis iaitu latar masa, tempat dan masyarakat.

Latar MasaLatar masa menggambarkan masa atau waktu, zaman, dan tempoh berlakunya peristiwa-peristiwa dalam cereka. Dari segi masa, mungkin peristiwa tersebut berlaku pada waktu subuh, pagi, petang, dan malam. Tempoh masanya pula mungkin berlaku selama beberapa minit, jam, hari, minggu, bulan, tahun, atau abad. Zaman berlakunya peristiwa terssebut mungkin berlaku semasa zaman sebelum kemerdekaan, darurat, zaman Jepun, zaman selepas merdeka atau pada masa ini, iaitu era globalisasi.

Latar Masa Dalam Novel Melunas RinduSemua peristiwa yang digambarkan dalam novel ini berlaku pada zaman sekarang iaitu dalam era globalisasi. Hal ini terbukti dengan adanya penggunaan telefon bimbit, kereta Proton Iswara dan kewujudan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Tempoh masa keseluruhan cerita dalam novel ini adalah lebih kurang beberapa bulan sahaja tetapi diolah oleh pengarang dengan menyelitkan teknik imbas kembali pada zaman darurat. Peristiwa-peristiwa dalam novel ini berlaku pada waktu-waktu tertentu seperti kehidupan manusia iaitu waktu pagi, petang, dan malam. Yang berikut disenaraikan contoh latar masa tersebut:

Waktu pagiFuad sampai di Sekolah Menengah Seri Setia untuk memulakan tugasnya sebagai guru pada pukul tujuh lima belas pagi. Rujuk halaman 35.

Waktu petang
Fuad mengajak Farhana keluar dan makan pada hari ulang tahun Farhana pada waktu petang. Rujuk halaman 137.

Waktu malamFuad pergi ke rumah Cikgu Zamani yang menjemputnya untuk makan malam. Rujuk halaman 7.

Latar TempatLatar tempat merujuk kepada tempat berlakunya perisstiwa dalam sesebuah cereka itu. Biasanya, pengarangan menggambarkan latar tempat ini secara umum sahaja, contohnya pengarang menggambarkan tempat-tempat seperti di kampung, di rumah, di bandar, di warung, di kaki lima, di klinik, di sekolah, di dalam kereta, di surau dan sebagainya. Walau bagaimanapun, dalam novel ini pengarang menyatakan nama-nama tempat yang khusus seperti di Kuala Terengganu, Pantai Batu Buruk, Dungun, KLIA, di Dungun, di Hospital Tuanku Ampuan Afzan, di Sekolah Menengah Seri Setia, Losong, Kuala Lipis, Lembah Klau, dan Sungai Ruan. Rujuk halaman 217 dan 80.

Di restoran
Fuad dan Farhana mengelilingi pusat bandar dahulu sebelum singgah di Restoran Terapung di Taman Syahbandar. Rujuk halaman 137.

Di rumah Pak MailPak Ismail sudah bersiap-siap untuk ke surau pada pukul tujuh dua puluh ketika Fuad tiba di rumah Pak Ismail. Rujuk halaman 16.

Di sekolahSuasana di sekolah iaitu di bangunan Blok C, Sekolah Menengah Seri Setia masih bising dan hingar-bingar walaupun kelas lanjutan sudah dijalankan. Rujuk halaman 122.

Di rumah Farhana di KuantanFuad bersolat di rumah Farhana pada suatu petang dan selepas menunaikan solat dia pun bersiap-siap untuk pergi ke rumah bapa saudaranya. Rujuk halaman 85.

Di hospitalFuad terus bertanya kepada pengawal keselamatan apabila dia sampai di ruang legar hospital di tingkat bawah. Rujuk halaman 183.

Latar MasyarakatLatar masyarakat bermaksud gambaran yang berkaitan dengan masyarakat dalam sessebuah cereka. Gambaran masyarakat biasanya merangkumi aspek latar belakang masyarakat seperti kaum, bangsa, keturunan, adat resam, kepercayaan, aktiviti seharian, dan pekerjaan anggota masyarakatnya.

Latar Masyarakat Dalam Novel Melunas RinduMasyarakat yang digambarkan oleh pengarang dalam novel ini merujuk kepada masyarakat Melayu, masyarakat Cina, dan masyarakat yang memeluk agama Islam iaitu mualaf. Selain itu, pengarang juga menggambarkan masyarakat yang tinggal di kampung, masyarakat yang bekerja sebagai guru, dan masyarakat yang menjadi ahli perniagaan. Pengarang juga menggambarkan masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai dan budaya murni dalam kehidupan. Pengarang menggambarkan latar ini seperti dalam petikan yang berikut:

Masyarakat yang suka menolong orang yang memerlukan pertolongan
Contohnya, Fuad menolong kawannya Borhan dengan membawa anak Borhan yang demam panas ke klinik pada suatu malam.

Masyarakat yang taat dan patuh akan agamaContohnya, Fuad dan Pak Ismail tidak pernah mengabaikan solat lima waktu dan mereka kerap pergi ke surau untuk menunaukan solat secara berjemaah. Rujuk halaman 5.

Masyarakat guru yang dedikasi terhadap tugas
Contohnya, Farhana dan Fuad begitu komited dan dedikasi terhadap tugas mereka ssebagai guru dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan prestasi anak-anak murid mereka. Rujuk halaman 50.

Masyarakat majmuk yang saling memahamiContohnya, Robert Lim memahami bahawa orang Islam perlu menunaikan solat lima waktu. Rujuk halaman 170.

Masyarakat yang mengamalkan perkahwinan campurContohnya, Robert Lim yang berbangsa Cina berkahwin dengan Mariana yang berbangsa Melayu. Rujuk halaman 99.

Masyarakat yang menghormati tetamuContohnya, Pak Ismail dan Mak Salmah sangat menghormati tetamu yang datang ke rumah mereka. Rujuk halaman 168.

Masyarakat yang rajin bekerjaContohnya, Peter Lim rajin bekerja untuk menyara keluarganya. Rujuk halaman 87 hingga 88.

Oleh: Cikgu Mohd Khir Kassim
http://khirkassim.blogspot.com

Dicatat oleh Cikgu Abd Razak Bin Hassan di 14:53

CONTOH KARANGAN DENGAN PERIBAHASA DAN UNGKAPAN MENARIK

Arus globalisasi telah menyebabkan pelbagai budaya warisan rakyat Malaysia semakin terhakis.
Anda sebagai rakyat yang cinta akan negara, sarankan sumbangan anda untuk mengekalkan budaya warisan rakyat Malaysia.[ 100 markah ]



Peribahasa Melayu jelas menyatakan bahawa tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Peribahasa ini menunjukkan warisan budaya bangsa perlu dipertahankan agar sentiasa releven dan diingati oleh masyarakat Malaysia, terutamanya golongan muda-mudi. Namun, apa yang berlaku sekarang, kemasukan budaya asing sudah mula menjajahi minda warisan yang dianggap pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Budaya “punk” dan “gothic” umpamanya,  menerapkan unsur bawah tanah, yakni alam kematian dan keseronokan yang bertunjangkan keghairahan melalui penggunaan pil khayal dan dadah. Fenomena ini melunturkan semangat menghargai warisan bangsa. Tepuk dada, tanya selera. Berapa ramaikah yang mengenali dan menghargai pakaian tradisional? Masih adakah lagi golongan muda yang gemar bermain permainan tradisional mahupun suka akan makanan tradisional? Oleh hal yang demikian, remaja seperti saya memainkan peranan penting untuk mengembalikan zaman kegemilangan untuk warisan rakyat Malaysia supaya tinggalan nenek moyang kita sentiasa subur dalam sanubari kita.

Sebagai rakyat yang berjiwa patriotik, warisan daripada nenek moyang kita  mengalir deras dalam darah kita. Hal ini dikatakan demikian kerana manusia tidak mungkin melupakan asal usulnya kecuali yang berpegang pada sikap kacang lupakan kulitnya. Sebagai remaja, saya akan mengaktifkan diri dalam persatuan atau kelab permainan tradisional. Dengan menyertai aktiviti dalam kelab tersebut, saya dapat memahami permainan tradisional yang terdapat di Malaysia. Hal ini bertepatan sekali dengan peribahasa Melayu, tak kenal maka tak cinta. Dengan menghadiri perjumpaan dan belajar bermain permainan seperti congkak dan gasing, kita dapat mengetahui betapa halusnya dan tingginya tahap pemikiran nenek moyang kita yang mewariskan permainan ini kepada kita. Oleh hal yang demikian, warisan bangsa ini dapat diturunkan dari satu generasi kepada satu generasi. Jikalau warisan acara merejam lembing dan wushu dapat diketengahkan ke arena sukan dunia, bagaimanakah pula dengan wau dan gasing? Saya berpendapat bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Kita harus menghargai warisan rakyat Malaysia sebelum warisan ini diapresiasi oleh orang asing.

Selain itu, anak remaja seperti saya yang umur baru setahun jagung, darah baru setampuk pinang perlulah mengingati warisan nenek moyang seperti pantang larang sekali gus mempraktikkannya. Hal ini  demikian kerana kita akan memperoleh banyak pengetahuan dan pengalaman daripada amalan tersebut. Di samping itu, kita dapat mengetahui kebaikan yang diperoleh daripada amalan pantang larang tersebut. Antara pantang larang yang penting ialah anak gadis tidak digalakkan duduk di anjung rumah dan bernyanyi di dapur. Selain itu, kita diajar tidak memakai kasut di dalam rumah dan bercakap sewaktu menikmati hidangan. Jika dilihat dari sudut lain, pantang larang ini sebenarnya mendisiplinkan diri kita selain dapat menglakkan anak gadis daripada terjerumus dalam kebejatan sosial. Oleh sebab itu, warisan rakyat Malaysia yang juga amalan nenek moyang harus dijadikan tunjang kehidupan agar kita berjati diri teguh untuk menangkis segala godaan anasir yang jahat yang mampu menggadaikan maruah diri dan keluarga. Oleh itu, janganlah kita menconteng arang di muka ibu bapa kita.

Warisan rakyat Malaysia memang luas. Antara warisan yang perlu dipertahankan ialah busana. Busana tradisional kita melambangkan ketinggian nilai hidup serta kehalusan hasil tangan masyarakat dahulu kala. Golongan pelajar seperti saya sewajarnya memainkan peranan yang penting dengan mengetengahkan pakaian tradisional. Pemakaian busana klasik ini bukan sahaja menutup aurat, malah dapat menonjolkan keistimewaan Malaysia kepada jagat raya. Remaja seperti saya wajarlah memakai pakaian tradisional untuk menghadiri majlis rasmi atau majlis tidak rasmi seperti jamuan. Pakaian tradisional seperti baju kurung dan baju kebaya bukan sahaja menampilkan kecantikan diri seseorang gadis malah kemanisan gadis yang memelihara adab pemakaian dan adab berjalan apabila berpakaian tradisional. Mahukah kita melihat dengan bangganya busana tradisional kita dipakai oleh model terkenal dunia lalu berjalan di pentas fesyen dunia. Kita harus mengorak langkah untuk merealisasikannya kerana genggam bara api, biar sampai jadi arang.

Apabila kita melangkah masuk ke dapur rumah, nescaya makanan yang disediakan oleh ibu bapa kita adalah untuk kelangsungan  kehidupan. Makanan merupakan keperluan hidup manusia yang terpenting selain tempat tinggal. Oleh hal yang demikian, masyarakat yang terdahulu banyak membuat kajian dan analisis tentang makanan. Golongan yang lebih banyak makan garam ini telah mencipta makanan tradisisional yang berwarna warni untuk terus dapat dinikmati oleh muda-mudi zaman globalisasi ini. Oleh hal yang demikian, kita sepatutnya menunjukkan penghargaan kepada golongan tua dengan mempelajari cara penyediaann makanan tradisional. Jika kita membuat anjakan paradigma ini, nenek atau datuk kita pasti sejuk hati melihat kejayaan kita menyediakan makanan kegemaran mereka seperti petai, jering, kuih-muih dan sebagainya. Makanan tradisional yang bebas daripada bahan kimia bukan sahaja lebih sihat, malah dapat memperkukuh silaturahim dan ukhuwah antara golongan tua dengan yang muda.

Peribahasa Melayu yang mengatakan bagaimana acuan, begitulah kuihnya juga jelas menunjukkan kebijaksaan golongan veteran menyamakan sikap ibu bapa kepada anak-anak mereka. Dengan kata lain, golongan muda seperti saya sepatutnya memberikan teladan kepada adik-adik kita supaya mengenali dan mengamalkan warisan rakyat Malaysia. Pada masa lapang, kita bolehlah membawa adik kita bermain wau, congkak, mahupun menyertai pertandingan membuat wau. Aktiviti seperti ini mampu mencambahkan minat anak-anak muda untuk terus berkecimpung dalam bidang tugas yang diperturunkan oleh nenek moyang kita. Janganlah kita berasa malu untuk menerima warisan yang sebenarnya milik kita bersama. Walaupun pemikiran orang terdahulu sanggup mempertahankan prinsip biar mati anak, jangan mati adat; golongan zaman ini boleh memperbaik keadaan dengan menghargai dan menjadikannya sebagai kayu pengukur tahap pemerimaan kita terhadap nenek moyang kita dan betapa kita menghormati dan menyanjungi mereka.

Tiada kusut yang tidak boleh dileraikan, tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Oleh hal yang demikian, arus globalisasi yang mengalir deras dalam kehidupan kita tidak wajar menghakiskan jati diri kita yang sebenar. Hakisan warisan rakyat Malaysia yang semakin serius haruslah diselamatkan daripada terus melunturkan sinar dan kekilatan warisan kita. Warisan kita tanggungjawab kita. Nenek moyang kita yang menciptanya, kita yang harus mengekalkannya. Jika kita hanya berpeluk tubuh dan menunggu warisan ini tenggelam dalam arus perdana ini, ke mana akan kita gapai kehidupan sebenar? Apakah erti sebenar kehidupan ini jika kita hanya mampu merosakkan yang baik dan membinasakan yang murni? Ayuh rakyatku, marilah kita sama-sama menggembleng tenaga demi memastikan warisan kita terus berdiri teguh di belakang kita sebagai warisan yang tidak boleh dijual beli oleh bangsa lain. Slogan Satu Malaysia harus dijadikan pegangan demi kehidupan yang lebih bersatu dan padu. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh!





Sumber : http://cikgutancl.blogspot.com/
nota kaki:
biru : peribahasa /cogan kata
merah : kosa kata menarik/ ungkapan menarik
hitam : isi
Dicatat oleh rosinaz di 11:20 PM
Label: KARANGAN RAMALAN CIKGU TAN

MENULIS KESIMPULAN KARANGAN

MENULIS KESIMPULAN KARANGAN
Keseluruhan bahagian kesimpulan dapat ditulis dengan menggunakan 4 ayat sahaja seperti berikut:

A1 Rumusan/ kesimpulan
A2 Cadangan
A3 Seruan atau harapan
A4 Pendirian penulis

Contoh 1

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah dirumuskan bahawa amalan merokok bukan sahaja memudaratkan kesihatan, malah amalan ini dapat mencemarkan alam sekitar. Oleh itu amalan merokok harus dihentikan, dan tidak diamalkan oleh generasi muda. Kita berharap agar generasi muda dapat menjauhi tabiat buruk ini supaya kita dapat membina generasi yang sihat dan alam sekitar kita akan menjadi lebih bersih. Oleh itu, saya menyokong langkah kerajaan untuk mengurangkan bilangan perokok di negara ini.


Contoh 2

Daripada perbincangan di atas dapatlah dirumuskan bahawa amalan merokok bukan sahaja membazirkan wang, malah amalan ini membahayakan kesihatan menusia. Oleh itu saya mencadangkan supaya kempen anti merokok diperluaskan kepada semua anggota masyarakat. Saya juga menyeru supaya belia atau remaja yang masih di bangku sekolah supaya tidak mengamalkan tabiat merokok. Akhirnya saya menegaskan bahawa amalan merokok perlu dibanteras di negara ini supaya negara kita mempunyai warganegara yang sihat dan tidak mengamalkan tabiat merokok, terutamanya di kalangan generasi muda.

Contoh 3 ( Jenis ceramah )

Sebelum mengakhiri ceramah ini, saya menyimpulkan bahawa kita perlu berpegang kepada kata-kata Perdana Menteri kita iaitu “ Jangan boros ketika keadaan mewah” yang bermaksud kita dikehendaki berjimat cermat kerana sikap boros akan menyebabkan pengguna dibelenggu oleh harga barang yang tinggi iaitu inflasi. Dengan itu saya mencadangkan kepada ibu bapa supaya menjadi teladan kepada anak-anak mereka seperti kata pepatah “ Bapa borek anak rintik.” Oleh itu marilah kita sama-sama mendidik anak-anak kita supaya mengamalkan langkah-langkah seperti yang telah disarankan itu. Akhirnya kita juga perlu berpegang kepada pepatah Melayu yang berbunyi “ Sedikit sedikit lama lama jadi bukit”, dan “ Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain”. Sekian.

Contoh 4 (Jenis Perbahasan)

Kesimpulannya , saya bagi pihak pencadang merumuskan bahawa bekerja dengan pihak swasta lebih menguntungkan dari segi peluang kenaikan pangkat, peluang memperoleh pendapatan yang lebih, peluang mengikuti kursus di luar negara, keselesaan tempat kerja, dan kepuasan pada diri sendiri. Dengan itu saya berharap agar generasi muda tidak terlalu mengharapkan pekerjaan dengan kerajaan sahaja, tetapi sedia berkhidmat dengan pihak swasta. Pihak kerajaan sendiri berharap agar pelajar-pelajar yang tamat persekolahan atau institusi pengajian tinggi supaya tidak terlalu memilih pekerjaan. Akhirnya saya sekali lagi mengatakan bahawa bekerja dengan pihak swasta lebih baik daripada bekerja dengan kerajaan.

NOTA ISTILAH SASTERA

A. Konsep penting yang perlu diketahui dalam komponen sastera:

1. Personafikasi:
Personafikasi bermaksud “member unsur manusia atau benda hidup kepada bukan benda hidup”.

Contoh:
i. Angin sepoi bahasa di pinggiran pantai itu menampar pipiku. (menampar ialah perbuatan manusia)
ii. Dedaun kelapa di pantai melambaiku riang. (melambai/ riang ialah perbuatan/sifat manusia)
iii. Dingin malam menggigit tulangku. (menggigit ialah perbuatan manusia)

2. Metafora:
Metafora bermaksud “perbandingan sesuatu dengan sesuatu yang lain secara langsung tanpa menggunakan kata bandingan iaitu seperti, bak, umpama dan sebagainya”.

Contoh:
i. Rambut puteri itu mayang mengurai dan cantik sekali.
ii. Suaranya lantang guruh sambut menyambut.
iii. Merah darah mengalir di tubuhku.

3. Simile:
Simile bermaksud “perbandingan sesuatu dengan sesuatu yang lain dengan menggunakan kata bandingan iaitu seperti, umpama, bak, bagai, se dan sebagainya”.

Contoh:
i. Hatinya hampa bagai kaca jatuh ke batu.
ii. Suaranya merdu seperti buluh perindu.
iii. Dia diam bak tahu apa yang tersirat di fikiranku.
iv. Wajahnya sehebat peribadinya.

4. inversi:
Inversi ialah “pembinaan struktur frasa ayat atau ayat yang terbalik”.

Contoh:
i. Semalam petang dia datang menjengukku. (sepatutnya “petang semalam”)
ii. Panas cuaca petang itu melelahkan tubuhnya. (sepatutnya “cuaca panas”)
iii. Kopi secawan diteguknya puas-puas. (sepatutnya “secawan kopi”)

5. Singkop:
Singkop bermaksud “singkatan perkataan”.

Contoh:
i. “Dia dah datang semalam, Pak Abu” kata Ariff perlahan.
ii. “Biarlah kubawa diri yang terluka ini”, balas Wan Kamariah.
iii. “Cerita tu mungkin benar”, jelas Inspektor Zamri ringkas.

6. hybrid:
Hibrid bermaksud “penggabungan beberapa perkataan menjadi satu perkataan sahaja”.

Contoh:
i. Hatinya bisupilu mendengar penjelasan itu.
ii. Dia tidak akan ikut rentaktari pengikutnya yang marah itu.
iii. Begitulah adattari kehidupan sebagai seorang nelayan.

7. Anafora:
Anafora bermaksud “pengulangan perkataan pada awal baris atau ayat”.

Contoh:
i. Dia masih berdiri di situ. Dia mengingati saat manisnya di kota Paris.
ii. Masihkah lagi kau mengingatiku. Masihkah lagi detik itu kau ingati.
iii. Belum tiba masanya dia bersuara. Belum tiba masanya dia mengakui hakikat itu.

8. Epifora:
Epifora bermaksud “pengulangan perkataan pada akhir baris atau ayat”.

Contoh:
i. Hatinya mengimbas luka lama. Perasaannya masih terpilu oleh luka lama.
ii. Biarlah Dila menangis. Atau Shafik juga akan menangis.
iii. Abang membesar dengan lampu minyak tanah. Aku Berjaya juga dengan lampu minyak tanah.

9. Diksi:
Diksi bermaksud “pemilihan perkataan yang sesuai dengan sesuatu cerita yang ditulis”.

i. Contoh: (Katakan cerita tentang perjuangan seorang tentera)
Dia menggalas rifel dan melakukan serangan hendap di garisan hadapan platun itu.

ii. Contoh: (Katakan cerita tentang keagamaan)
Malam itu dia mendengar usrah daripada ustazah. Bibit-bibit nur menjelma di jiwanya.

iii. Contoh: (Katakan cerita tentang cinta/ kasih sayang)
Hatinya terlalu rindu. Belaian kemesraan itu sering kudambakan.

10. Asonansi:
Asonansi selalunya digunakan bagi mengulas sesuatu hasil puisi (sajak/ pantun/syair dan sebagainya). Asonansi bermaksud “pengulangan vokal dalam sesuatu baris ayat”.

Contoh:
i. Adakah ayah amat marah akan kakak lagi.
Pengulangan vokal ‘a” sebanyak 13 kali.

ii. Di sini kita masih tercari-cari erti harga diri sendiri.
Pengulangan vokal “i” sebanyak 12 kali.

iii. Untung juga usahaku rupanya.
Pengulangan vokal “u” sebanyak 6 kali.
11. Aliterasi:
Aliterasi bermaksud "pengulangan konsonan dalam sesuatu ayat".
Contoh:
i. Gadis gigih itu menggigil gementar.
Pengulangan konsonan "g" sebanyak 7 kali.
ii. kakak masih kaku ketika kita kembali.
Pengulangan konsonan "k" sebanyak 8 kali
12. Bombastik/ hiperbola:
Bombastik atau hiperbola ialah "perbandingan atau pemilihan kata yang berlebih-lebihan"
Contoh:
i. Suaranya bom atom meledak bumi.
ii. Badannya ringan seringan atom yang beterbangan di udara.
13. Alusi:
Alusi bermaksud "penggunaan watak atau watak sejarah dalam puisi".
Contoh: (sajak)
Pemudaku hari ini
gigihlah berjuang demi tanah air
bawalah pesan Hang Tuah Melayu tak kan hilang di dunia
sambutlah hasrat sang Maharajalela

14. Rima akhir:
Rima akhir bermaksud “bunyi perkataan yang ditandakan dengan ‘huruf akhir’ pada sesuatu ayat”. Hanya digunakan untuk mengulas bahan puisi sahaja seperti sajak/ pantun/ syair dan sebagainya.

i. Contoh: (pantun)

Dua tiga kucing berlari. (ditandai dengan “a”)
Manakan sama si kucing belang.(ditandai dengan huruf “b”)
Dua tiga boleh kucari.(ditandai dengan “a” kerana huruf akhir sama dengan baris 1)
Manakan sama ibu seorang. (ditandai dengan “b” kerana huruf akhir sama dengan baris 2)
Oleh itu, rima akhir pantun di atas ialah “abab”.

ii. Contoh: (sajak)

Matanya pejam bisu (a)
hati membarah sudah (b)
tetkala pekat malam menjelma (c)
dia hanya mampu (a)
menggalas suka duka kehidupan (d)
ranjau tajam di rantauan (d)
Oleh itu, rima akhir sajak di atas ialah “abcadd”.

12. Perlambangan/ imejan:
Imejan bermaksud “penggunaan perkataan lain yang mempunyai maksud berlainan”.

Contoh:
i. Dia masih hijau ketika tanah airnya diserang penjajah. (muda)
ii. Dia tahu, dirinya sudah menghampiri senja. (tua)
iii. Adakah merpati akan menjenguk daerahku yang penuh kesengsaraan ini. (kedamaian/ kemerdekaan)

13. Watak dan perwatakan:
Watak ialah “pelaku dalam sesebuah cerita dan berfungsi untuk menyampaikan idea penulis”.

i. Watak utama : watak penting yang menghidupkan sesuatu cerita. ( watak penting 1 sahaja)
ii. Watak sampingan : watak pembantu kepada watak utama. (banyak watak sampingan)
iii. Watak bulat/ bundar : Watak yang dinamis dan boleh berubah sifat/ sikapnya.
iv. Watak pipih : watak yang statik dan tidak berlaku perubahan. Contoh: Jika jahat terus jahat hingga akhir)
v. Watak antagonis : watak penyambut yang biasanya negatif. (Datin Salmah dalam Konserto Terakhir)
vi. Watak protagonis : watak pemula yang biasanya bersifat positif. (Hilmi dalam Konserto Terakhir)
vii. Watak kodi : watak nenek kebayan (Contoh: cerpen Peminangan Puteri Gunung Ledang)

14. Plot:
Plot ialah “jalinan peristiwa atau rentetan cerita yang berasaskan sebab dan akibat”.

Terbahagi dua:

i. Perkembangan plot (terbahagi 5)
Perkembangan cerita bermaksud “jalinan/ jalan cerita dari awal hingga akhir”.
a. Pengenalan
b. Perkembangan
c. Pertentangan / konflik
d. Puncak cerita / klimaks
e. Peleraian

ii. Teknik plot (terbahagi 6)
Teknik plot bermaksud “cara sesuatu cerita / teknik sesuatu cerita itu disampaikan”.

i. Pemerian/ penceritaan : biasanya pengarang bertindak sebagai pencerita.
Contoh:
Hilmi datang dari kampung di Kedah. Dia hanya lulus darjah empat sekolah. Dia ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan……..

ii. Dialog : Penceritaan melalui perbualan 2 orang watak atau lebih dengan secara jelas.
Contoh:
“Bila kau datang, Hilmi?” Datuk Johari bertanya. “Petang tadi. Ibu kirim salam”, balas Hilmi.

iii. Monolog : penceritaan melalui kaedah watak bercakap seorang diri.
Contoh:
“Oh, aku harap kau akan subur terus, cantik dan wangi!”, kata Hilmi pada bunga di hadapannya.

iv. Monolog dalaman : Watak berkata di dalam hati atau dalam fikirannya serta tidak terkeluar kata-kata.
Contoh:
“Cis, sial sungguh budak Hilmi ini!” getus hati Datin Salmah.

v. Imbas kembali/ flashback: Pengulangan semula cerita lama.
Contoh:
Hilmi tersandar di kerusi di rumah Datuk Johari. Fikirannya melayang mengingati kisah lama. (Saban hari menorah getah. Hasil getah dijualnya kepada Taukeh Lim. Duit itulah digunakan menyara ibunya yang sudah tua. Ibunya sakit tenat………)

vi. Imbas muka : Menceritakan peristiwa yang belum berlaku.
Contoh:
Hilmi tersandar di kerusi di rumah Datuk Johari. Fikirannya melayang memikirkan nasib dirinya. Alangkah baiknya jika dia juga anak orang kaya. (Setiap hari dia akan berkereta mewah. Memandu laju sambil di kelilingi gadis kota. Setiap malam dia akan mengunjungi nite club. Kalau tidak di Kuala Lumpur pasti dia akan ke …….)

15. latar:
Latar terbahagi kepada 3:

i. Latar tempat
Latar tempat bermaksud “tempat sesuatu cerita itu berlaku”. Contohnya, di Kuala Lumpur, di sekolah Henry Gurney, di rumah pak Mat, di kebun sayur Ah Ming dan sebagainya.

ii. Latar masa
Latar masa bermaksud “waktu atau masa sesuatu peristiwa itu berlaku”. Contohnya pada zaman dahulu, pada tahun 2003, pada minggu lepas, pada bulan Januari, pada waktu malam, pada siang hari, pada pukul 4.00 petang dan sebagainya.

iii. Latar budaya/ masyarakat
Latar budaya atau masyarakat bermaksud “keadaan masyarakat atau budaya di mana peristiwa itu berlaku”. Contohnya, masyarakat Malaysia, masyarakat moden, masyarakat petani, masyarakat seniman, masyarakat Cina, masyarakat yang suka membantu, masyarakat yang masih mempercayai kepercayaan tahyul, masyarakat pelajar dan sebagainya.

Isnin, 22 Mac 2010

KATA-KATA HIKMAT YANG BOLEH DIGUNAKAN DALAM KARANGAN

sumber: Cikgu Zulkarnain (SMK Sacred Heart Sibu)
dipetik daripada : Cikgu Idris Saleh http://bmmaya.blogspot.com/

01. Baik kaya adalah kaya hati, sebaik-baik bekal adalah takwa, seburuk-buruk buta adalah buta hati dan sebesar-besar dosa adalah berdusta
02. Kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya.( Hamka).
03. Orang yang takut menghadapi kesukaran selamanya tidak akan maju. (Home)
04. Yang dikatakan kawan bukanlah orang yang sentiasa memuji-muji kamu, tetapi adalah orang yang dapat menunjukkan kesalahan kamu.
05. "Dan berbuatlah kamu akan kebaikan supaya kamu mendapat kemenangan." (Surah al-Hajj:77) 06. "Maka sifat sabar itu adalah sikap yang baik, dan hanya Allah sahajalah tempat meminta pertolongan" (Surah Yusuf:18)
07. Berunding cerdik dengan pandai, faham dua menjadi satu.
08. Yang paling kita perlukan dalam kehidupan ialah adanya seseorang yang selalu memberi semangat untuk melaksanakan hal-hal yang dapat kita kerjakan. (Davey John Schwartz)
09. Sabar penghilang penat, tekun pembawa dekat.
10. Lebih berharga mutiara sebutir daripada pasir sepantai.
11. Terbang bangau sepanjang hari, ke tasik jua akhirnya dicari.
12. Biar kamu tidak cantik di mata penduduk bumi tetapi namamu menjadi perbualan penduduk langit.
13. Siapa yang banyak bicara, banyak pula salahnya; siapa yang banyak salah, hilanglah harga dirinya; siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak warak; sedangkan orang yang tidak warak itu bererti hatinya mati. (Saidina Ali Abu Talib)
14. Sabda Rasulullah s.a.w: "Akhlak yang buruk merosakkan amal seperti cuka merosakkan madu."
15. Kita sering mengimbas kembali kenangan lalu tetapi jarang sekali berusaha untuk mengejar impian hari esok.
16. Manusia yang berbuat baik dengan mengharapkan sesuatu balasan bukanlah manusia yang jujur. Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat, asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh dengan agama Allah. (Surah Al-Baqarah:214)
17. Kekitaan yang erat tiada yang berat. 18. Belajarlah berdiri dahulu sebelum cuba untuk berlari.
19. Kekayaan yang hilang boleh dikejar dengan usaha yang bersungguh-sungguh.
Kesihatan yang hilang boleh diperoleh dengan ubat-ubatan yang baik tetapi masa yang hilang sekali hilang akan terus hilang.
20. Jadilah seperti pohon kayu yang berbuah lebat, dibaling dengan batu dibalas dengan buah.
21. Tunjuk menjadi telaga budi, ajar menjadi suluh hati.