Cari Blog Ini

Selasa, 19 Oktober 2010

LATIHAN RINGKASAN CARA-CARA MENINGKATAN TAHAP KESIHATAN.

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang cara-cara meningkatkan tahap kesihatan. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.


Kesihatan amat penting kepada manusia. Kekayaan yang melimpah-ruah atau pangkat yang tinggi tidak berguna jika tubuh kita menanggung pelbagai penyakit. Kita mestilah menjaga kesihatan kerana jika kesihatan kita terjejas, usaha untuk memulihkannya mungkin agak sukar dan memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

Sesiapapun tidak dapat menafikan bahawa makanan sangat penting kepada kita. Kita perlu makan untuk hidup tetapi janganlah kita makan mengikut rasa dan selera sehingga menimbulkan mudarat kepada badan. Kita mesti mengambil makanan seimbang setiap hari. Makanan seimbang mengandungi semua zat dan vitamin yang diperlukan oleh badan. Selain makan daging atau ikan, kita perlu juga makan sayur-sayuran serta buah-buahan. Masalahnya, pada masa ini ramai orang, khususnya remaja dan kanak-kanak tidak suka makan sayur-sayuran atau buah-buahan. Mereka lebih meminati coklat atau aiskrim yang mengandungi lemak dan boleh menyebabkan kegemukan. Pengetahuan tentang piramid makanan boleh membantu kita menguruskan pengambilan makanan yang betul.


Kita juga perlu memastikan kebersihan makanan yang dimakan. Makanan yang dihidangkan hendaklah sentiasa tertutup daripada habuk dan tidak dihinggapi lalat. Makanan yang kotor atau yang telah tercemar boleh menyebabkan keracunan. Dalam kalangan remaja zaman sekarang, menikmati makan segera di restoran makanan segera sudah menjadi seperti satu kemestian. Makanan di restoran berkenaan memang sedap tetapi di sebalik kesedapan itu tersembunyi kesan sampingan yang boleh mendatangkan mudarat kepada pengguna. Makanan segera seperti ayam goreng atau kentang goreng perlu dikurangkan kerana mengandungi lebihan garam dan lemak yang akan menyebabkan penyakit darah tinggi dan sakit jantung.


Kita perlu juga melakukan senaman untuk meningkatkan tahap kesihatan. Tujuan kita bersenam adalah untuk mengeluarkan peluh yang mengandungi bahan-bahan yang tidak diperlukan oleh badan. Untuk bersenam atau mengeluarkan peluh, kita tidak memerlukan sebarang perbelanjaan. Cara mengeluarkan peluh yang paling mudah adalah berjoging. Pemeriksaan doktor secara berkala juga perlu bagi memastikan kesihatan kita berada pada tahap yang baik. Melalui pemeriksaan doktor, kita mungkin dapat mengesan sebarang penyakit yang baru hendak bermula. Dengan itu langkah pencegahan akan lebih mudah. Masalah yang kerap timbul ialah kebanyakan orang bertemu dengan doktor setelah penyakit sudah berada di peringkat kronik.


Kesihatan ialah anugerah Tuhan yang tidak dapat dijual beli. Kita perlu sentiasa prihatin terhadap tahap kesihatan kita. Sesungguhnya, mencegah adalah lebih baik daripada merawat penyakit.

Pemahaman

Berdasarkan petikan Bahagian A(i), jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

1. Apakah maksud rangkai kata Pemeriksaan doktor secara berkala? (2 markah)

2. Berdasarkan petikan, nyatakan empat jenis makanan yang disukai oleh golongan remaja. (4 markah)

3. Pada pendapat anda, apakah cara terbaik untuk menggalakkan masyarakat mementingkan
penjagaan kesihatan? ( 4 markah)

LATIHAN RINGKASAN KESAN PENYALAHGUNAAN DADAH

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang kesan-kesan yang wujud akibat penyalahgunaan dadah. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.



Penemuan dadah pada mulanya memberikan manfaat yang besar dalam dunia perubatan. Kajian demi kajian telah dilakukan untuk menghasilkan pelbagai jenis dadah. Sebagai hasil kajian-kajian tersebut, muncullah pelbagai jenis dadah seperti morfin, heroin, dan kokain. Walaupun bermanfaat dadah juga dapat mengakibatkan pelbagai keburukan apabila disalahgunakan sehingga menyebabkan ketagihan.

Dadah mampu memusnahkan kebahagiaan hidup seseorang. Apabila seseorang menagih dadah, maka gelaplah masa depannya. Badan dan otaknya menjadi lemah kerana dadah meracuni tubuhnya. Hidupnya akan sentiasa terseksa oleh rasa loya, pening, sakit perut, kekejangan, muntah-muntah dan pelbagai gejala lagi. Gejala yang paling dahsyat akibat penyalahgunaan dadah ialah sindrom kurang daya tahan melawan penyakit (AIDS). Puncanya bukan disebabkan dadah tetapi akibat jangkitan virus kurang daya tahan melawan penyakit (HIV) kerana berkongsi jarum suntikan sesama penagih.

Penagih dadah dianggap sebagai bangkai bernyawa yang hidup terkapai-kapai. Tidak ada sesiapa yang ingin menjadi temannya. Mereka dianggap sampah masyarakat. Akibat pengaruh dadah juga, para penagih dadah akan hilang harga diri dan kehilangan sifat-sifat kemanusiaan. Mereka juga sering berbalah, malah ada antaranya yang sanggup membunuh kerana berebutkan dadah. Selain itu, mereka juga mudah terjerumus ke dalam seribu satu macam kegiatan jenayah dan kemungkaran.

Negara pula akan mengalami kerugian dari segi sumber tenaga manusia. Hal ini demikian kerana tenaga mereka tidak dapat digunakan untuk pembangunan negara. Di samping itu, tenaga para belia yang menagih dadah ini juga dapat digunakan untuk mempertahankan negara. Sebagai akibatnya, pertahanan negara mungkin menjadi lemah dan hal ini memungkinkan mana-mana kuasa asing melancarkan niat jahatnya terhadap negara kita. Dalam pada itu, masyarakat dan kerajaan terpaksa pula berbelanja besar untuk memberikan rawatan kepada para penagih dadah. Peruntukan terhadap pembangunan sosioekonomi negara terpaksa dikurangkan kerana terpaksa disalurkan usaha membiayai pembinaan serta pengurusan pusat-pusat pemulihan penagih dadah, melancarkan kempen antidadah dan sebagainya.

Sesungguhnya, penyalahgunaan dadah banyak keburukannya. Oleh sebab itulah, kerajaan menganggap dadah sebagai musuh utama negara dan melancarkan pelbagai kempen untuk membendung masalah penyalahgunaan dadah. Kita wajar menyokong segala usaha kerajaan demi keselamatan negara dan kesejahteraan masyarakat umumnya.

Pemahaman

Berdasarkan petikan ), jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
1. Apakah maksud frasa bangkai bernyawa yang hidup terkapai-kapai?
( 2markah )
2. Berdasarkan petikan, nyatakan kesan penyalahgunaan dadah kepada negara? (4 markah)
3. Pada pendapat anda, apakah faktor yang mendorong para belia terlibat dalam penyalahgunaan dadah? (4 markah)

LATIHAN RINGKASAN KESAN PENINGKATAN SUHU BUMI

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut tulis sebuah ringkasan tentang kesan peningkatan suhu bumi. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Peningkatan suhu bumi dikaitkan dengan perubahan iklim global semakin mendapat perhatian pelbagai pihak berikutan banyak bencana besar di luar jangkaan melanda seluruh dunia. Akibat fenomena ini hujan lebat akan turun pada jangka masa yang agak lama. Hal ini akan menyebabkan banjir yang luar biasa melanda di kawasan-kawasan tertentu. Banjir besar di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan baru-baru ini dikaitkan dengan fenomena ini.

Sebaliknya pada masa-masa tertentu kemarau akan berlaku di sesetengah tempat. Kajian oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendapati kemarau telah meningkat sebanyak 30% sejak awal tahun 70-an. Kesannya, bekalan air di seluruh negara pasti akan terjejas. Di Malaysia, Jabatan Meteorologi telah memberi amaran kepada semua pihak agar bersedia menerima keadaan ini.

Selain itu, berlaku juga peningkatan aras laut yang agak luar biasa. Aras laut dunia semakin meningkat pada purata satu hingga dua milimeter setahun sepanjang 100 tahun kebelakangan ini. Peningkatan aras laut mengancam kawasan rendah dan pantai. Para saintis mendapati keadaan yang tidak menentu itu boleh dikaitkan dengan penghasilan gas rumah hijau seperti karbon dioksida dan metana. Taufan luar biasa yang berlaku di seluruh dunia kini merupakan akibat gejala ini. Ribut pada hari ini semakin banyak berlaku dan semakin ganas. Misalnya taufan yang melanda Filipina, Indonesia dan Amerika Syarikat.

Kesan suhu yang meningkat juga akan menyebabkan fenomena pencairan ais. Kajian saintis menunjukkan dalam tempoh 30 tahun lebih 259 hektar ais di seluruh kutub telah hilang. Peningkatan suhu yang mendadak memudahkan wabak penyakit berbahaya tersebar dengan meluas. Kita melihat penyakit yang dibawa oleh nyamuk seperti demam denggi semakin meningkat di negara kita. Kesan fenomena cuaca yang sebegini juga akan menjejaskan psikologi manusia. Jiwa dan emosi manusia akan mudah tertekan. Hal ini boleh menyebabkan meningkatnya kes jenayah yang melibatkan perlakuan yang agresif, seperti bunuh, buli dan dera.

(Dipetik dan disesuaikan daripada ‘Fenomena Pemanasan Global’ Berita Harian, 17 Februari 2007)

Berdasarkan petikan , jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

1. Apakah maksud rangkai kata semakin ganas? [2 markah]

2. Berdasarkan petikan, nyatakan dua punca berlakunya peningkatan suhu bumi.
[4 markah]

3. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan kesan peningkatan suhu bumi? [4 markah]

Ahad, 17 Oktober 2010

ISU TUMPUAN RUMUSAN SPM 2010

Isu Merumuskan Karangan & Pemahaman Petikan Umum

Isu atau aspek berikut boleh disentuh sama ada dalam soalan Merumuskan Karangan atau Pemahaman Petikan Umum

•langkah-­langkah/kesan pemeliharaan/pemuliharaan alam sekitar
•cara-cara memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia
•manfaat remaja bekerja sambilan
•usaha-usaha untuk menggalakkan penggunaan barangan buatan Malaysia
•kelebihan menabung
•langkah-langkah meningkatkan taraf hidup orang kurang upaya
•kepentingan industri desa•punca-punca kepupusan hidupan liar
•kesan penggunaan telefon bimbit•kebaikan ubat-ubat herba
•kepentingan pelajar melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum
•kepentingan/usaha rakyat melengkapkan diri dengan teknologi maklumat
•kebaikan mengamalkan semangat kesukarelaan
•usaha-usaha menangani isu jualan makanan ringan di sekolah
•kelebihan penanaman sayuran berteknologi tinggi
•kepentingan bioteknologi
•cara-cara memupuk komunikasi berkesan
•tindakan untuk meningkatkan tahap keselamatan di sekolah
•usaha-usaha untuk memartabatkan golongan belia
•peranan/halangan remaja dalam mengisi kemerdekaan negara
•langkah-langkah kerajaan meringankan beban rakyat dalam menghadapi kegawatan ekonomi
•sebab-sebab pelajar wajar menyusun jadual belajar yang efektif/merancang cara belajar yang berkesan
•langkah-langkah untuk memantapkan penggunaan bahasa Melayu
•kesan-kesan makanan segera
•kepentingan pendermaan organ
•kepentingan menghayati sejarah
•tindakan menangani kenaikan harga barang
•sebab-sebab masyarakat tertarik untuk mengunjungi restoran makanan segera•strategi- strategi melahirkan pengguna bijak
•usaha-usaha meningkatkan taraf kesihatan rakyat
•pengaruh teknologi maklumat dalam kalangan masyarakat
•langkah remaja mengamalkan cara hidup yang sihat
•cara-cara menghayati Rukun Negara
•kaedah mengurangkan banjir kilat
•teknik-teknik memperoleh kecemerlangan dalam akademik
•ciri-ciri pekerja cemerlang yang dihasratkan oleh kerajaan
•kebaikan majlis rumah terbuka
•kepentingan pemakanan seimbang
•faedah negara kita memantapkan hubungan dengan negara-negara lain•usaha-usaha mengetengahkan karya penulis remaja
•kaedah ibu bapa berkomunikasi dengan anak-anak remaja DAN PELBAGAI ISU LAGI ..

Dicatat oleh Cikgu Shuhaimi di 13:58:00 0 ulasan

LATIHAN MENJELANG AMBANG SPM

Assalammualaikum anak-anak didik cikgu...hawa peperiksaan kian terasa... bagaimana persiapan anak-anak didik cikgu semua? Cikgu berdoa agar anak-anak didik cikgu dikurniakan kesihatan yang cemerlang untuk berjuang mengharung cabaran SPM 2010 ini... baiklah, cikgu ada menitipkan beberapa latihan terkini, sempat cikgu membuat beberapa rujukan hasil tangan guru-guru cemerlang yang lain.... cikgu harap anak-anak didik cikgu mampu menyambut cabaran A+ cikgu ini... Moga berjaya!!!


JALAN-JALAN KOTA RAYAKU

Saban waktu sepanjang perjalanan
jalan-jalan raya kotaku
lewat senja begini
tika gerimis menabur benih
menerima kehadiran warga kota
lemas dalam kesabaran
lelah meresahkan
dengan luka parah di hati.

Ketidaksabaran membengkak
kesombongan merajai setiap ruang
semakin padat dengan emosi
kebosanan menggigit pangkal rasa.

Demikian etika di perjalanan
budi luhur warga kotaku
tidak lagi berlaku
yang hadir adalah keserakahan
memacu menghimpun kekuatan
menghakis sopan santun
seperti banjir kilat
melanda pinggir perjalanan
fitrah sang manusia
peradaban kota masa kini.

Jalan-jalan raya kotaku
adalah gelanggang kebuasan
perlumbaan kebiadapan
para pesakit
kemanusiaan semakin mandul
pada penghujung musim.

Zam Ismail
Antologi Anak Laut, Dewan Bahasa dan Pustaka

Soalan
(i) Berikan maksud tika gerimis menabur benih. [2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang boleh dilaksanakan untuk melahirkan
pengguna jalan raya yang berdisiplin? [3 markah]
(iii) Nyatakan empat sifat pengguna jalan raya yang ingin digambarkan oleh penyajak melalui sajak di atas. [4 markah]

Panduan Isi
i. Maksud tika gerimis menabur benih ialah ...
semasa/apabila/ketika/ hujan rintik-rintik/renyai mula turun/bermula

ii. Usaha-usaha yang boleh dilaksanakan untuk melahirkan pengguna jalan raya yang berdisiplin ...
… penguatkuasaan undang-undang jalan raya oleh pihak berkuasa
... pendidikan tentang keselamatan jalan raya/sivik di sekolah
... melalui kempen oleh kerajaan/NGO/swasta
... pemantapan kurikulum sekolah pemanduan
... operasi/rondaan/pemantauan oleh pihak polis/JPJ/Majlis Keselamatan Jalan Raya
... kesedaran individu mematuhi peraturan jalan raya

iii. Tiga sifat pengguna jalan raya yang ingin digambarkan oleh penyajak...
...tidak sabar
…sombong
…terlalu emosional
…mementingkan diri sendiri
...mudah bosan
...cepat marah/panas baran
...tidak bersopan santun
...tidak berperikemanusiaan

Semoga pelajar/calon SPM memperoleh manfaat daripada pemaparan bahan ini, insya-Allah(c)cikgumie

Dicatat oleh Cikgu Shuhaimi di 14:17:00

KERTAS 2 PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2010 MRSM
Soalan 2c - Pemahaman Prosa Klasik


Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Sebermula, maka tersebutlah perkataan Saidah datang meniarap di hadapan Jibor seraya menyembah kaki Jibor dengan tangisnya. Maka kata Jibor, “Mengapa maka pekerti tuan hamba demikian ini?”
Maka kata Saidah dengan tangisnya, “sebab pun hamba demikian ini daripada tiada hamba mahu memalingkan muka hamba daripada tuan hamba, yang niat hamba kepada Allah subhanahu wataala kepada siang dan malam hendak mati di bawah kadam tuan hamba juga. Daripada sangat belas hati hamba, maka hamba katakan rahsia ini kepada tuan hamba. Inilah hal saudara tuan hamba yang diharap itu, hamba dapati afalnya itu selama ia diam pada kita di sini. Maka hari pun malamlah sudah, maka pada ketika awal dinihari tuan hamba pun tatkala tidur tiada sedarkan diri, tatkala itu hamba sakit perut hendak qada hajat, maka hamba pun pergi pada tempat buang air seni itu. Setelah sudah hamba buang air seni, maka hamba pun keluar hendak kembali. Maka dipegang oleh Sabor tangan hamba. Maka hamba pun hendak berteriak, maka dihunusnya jambiahnya hendak menikam; daripada hamba takutkan mati, maka hamba pun diamlah. Maka hendak dicabulinya hamba, maka hamba pun tiada mahu pula, daripada hamba takut akan Allah Taala dan takut akan tuan hamba, malulah hamba, baiklah hamba mati dibunuhnya sekalipun, kabullah hamba, daripada derhaka akan tuan hamba.”
(Dipetik daripada‘Sabor’dalam antologi Kerusi,Dewan Bahasa dan Pustaka)
(c) Bahagian Pendidikan & Latihan (Menengah) MARA

(i) Apakah maksud pekerti tuan hamba demikian ini? [2 markah]
(ii) Nyatakan tiga aduan yang disampaikan oleh Saidah kepada Jibor. [3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan yang akan berlaku sekiranya perbuatan memfitnah berleluasa dalam masyarakat? Berikan tiga kesan [3 markah]

Jawapan Contoh
(Jawapan akan disediakan kemudian)

Dicatat oleh Cikgu Shuhaimi di 15:01:00 0 ulasan 07 Oktober 2010


KERTAS 2 PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2010 MRSM
Soalan 2b - Pemahaman Cerpen


Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

“Cikgu faham. Tetapi keputusan kamu mungkin bukan yang sebaik-baiknya. Kamu perlu melihat dari semua segi.”
“Perkara terbaik untuk saya ialah berada di sini. Di tempat ini, nenek moyang saya hidup dan bersemadi. Jiwa saya terikat pada pohon tualang. Pada bukit-bukit ini. Pada pohon-pohon ini. Menghidu keenakan udara jati tempat ini, satu kemestian. Memanjat pokok, mendaki gunung, menuruni lurah, memetik buah-buah hutan, memancing ikan, berjalan berkaki ayam. Inilah kehidupan bagi saya. Saya mendambakan kehidupan di hutan ini. Inilah Daneng, cikgu,” hujahnya.
Jo agak kagum dengan kepetahan tingkah ucapan anak didiknya itu. “Saya faham perasaanmu itu,” ucap Jo sambil memicit bahu kiri Daneng.
Otaknya ligat berputar mencari jalan untuk berbicara dengan seorang anak remaja yang mempunyai pendiriannya yang tersendiri. Pendirian yang diwarisi daripada nenek moyangnya. Keinginan yang mengalir dalam darahnya. Satu pendirian yang murni, mulia tetapi mungkin merugikan.
(Dipetik daripada‘Lambaian Malar Hijau’,
oleh Saroja Theavy a/p Balakrishnan dalam antologi Anak Laut,
Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Nyatakan dua alasan Daneng menolak pujukan Cikgu Jo untuk meneruskan persekolahan. [ 2 markah ]
(ii) Pada pendapat anda, apakah yang akan terjadi kepada Daneng jika dia enggan menerima nasihat Cikgu Jo?
[ 3 markah ]
(iii) Huraikan satu nilai yang terdapat dalam petikan di atas dan satu nilai yang terdapat dalam keseluruhan
cerpen.[ 4 markah ]

Jawapan Contoh
(i) Daneng menolak pujukan Cikgu Jo kerana perkara terbaik baginya adalah berada di hutan tersebut. Bagi Daneng, di hutan itulah nenek moyangnya hidup dan disemadikan. Jiwanya terikat pada pohon tualang , bukit-bukit dan pohon-pohon di situ. Selain itu, Daneng mendambakan kehidupan di hutan tersebut.
(Jawapan diperoleh daripada petikan)
(Kemukakan dua/tiga/empat alasan)
(ii) Jika Daneng enggan menerima nasihat Cikgu Jo, Daneng akan ketinggalan dalam pelajaran. Daneng juga sudah tentu tidak dapat mengembangkan kebolehannya. Selain itu, Daneng juga tidak dapat meneruskan cita-citanya untuk membantu keluarga dan masyarakat Orang Asli. Jika Daneng enggan menerima nasihat Cikgu Jo, hubungannya dengan Cikgu Jo akan menjadi renggang. Daneng akan terus hidup dalam belenggu kemiskinan.
(Jawapan berupa kemahiran berfikir calon)
(Kemukakan tiga/empat/lima isi)
(Elakkan penggunaan perkataan 'mungkin')

Dicatat oleh Cikgu Shuhaimi di 16:10:00 0 ulasan


Kertas 2 Bahasa Melayu
Peperiksaan Percubaan SPM 2010 MRSM

Soalan 1 : Merumuskan Karangan
Arahan Soalan
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang punca-punca pengangguran dalam kalangan siswazah dan kesan-kesan pengangguran tersebut. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


Pengangguran merupakan salah satu permasalahan sosioekonomi yang terus menghambat negara ini. Setiap tahun, beribu-ribu orang siswazah menamatkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan harapan menggunung untuk mendapatkan kerjaya yang setimpal; namun, tidak semuanya bernasib baik. Berdasarkan Statistik Perburuhan dan Sumber Manusia 2008, jumlah pendaftar baharu yang berdaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja ialah 174,355 orang iaitu seramai 40,356 orang (23.1 peratus) memiliki ijazah, manakala 35,832 orang (20.6 peratus) merupakan pemegang diploma.
Sikap terlalu memilih kerjaya menyebabkan peningkatan masalah pengangguran dalam kalangan siswazah. Hal ini menjadikan siswazah sanggup menunggu pekerjaan yang eksklusif dan bergaji tinggi. Keadaan ini bertambah buruk apabila siswazah mempunyai interpretasi terlalu tinggi terhadap prasarana kerja seperti kredibiliti syarikat, fleksibiliti waktu bekerja, jarak, infrastruktur dan sistem pengangkutan yang baik. Ada juga sesetengah siswazah yang tidak optimistik dalam memilih bidang kerjaya. Mereka beranggapan demikian kerana kurang yakin dengan kemampuan diri dan kelulusan yang dimilikinya.
Isu pengangguran dalam kalangan siswazah juga dikaitkan dengan sikap majikan yang sangsi terhadap kebolehan siswazah memandangkan mereka tidak mempunyai pengalaman bekerja. Sesetengah majikan melihat pengalaman lebih penting berbanding dengan taraf pendidikan. Majikan sanggup menawarkan kerja yang sepatutnya dilakukan oleh orang yang berpendidikan tinggi kepada orang yang tidak berpendidikan tinggi dengan alasan mengurangkan kos upah. Kebanyakan siswazah tidak mempunyai kemahiran berkomunikasi secara berkesan untuk membolehkan mereka bersaing dalam pasaran kerja yang semakin kompleks dan sengit. Siswazah IPT tempatan sekarang juga tidak mempunyai kekuatan penguasaan bahasa kedua seperti bahasa Inggeris, Mandarin dan sebagainya.
Siswazah baharu sukar diserap ke alam pekerjaan kerana tiada kekosongan jawatan. Hal ini disebabkan terdapat penjawat awam yang melanjutkan pelajaran demi meningkatkan mobiliti sosial. Di samping itu, IPT sering dipersalah oleh sesetengah pihak dan didakwa kurang menawarkan kursus yang dikehendaki oleh pasaran kerja. Maka, tidak hairanlah jika kebanyakan siswazah akhirnya mencuba nasib dalam bidang yang tidak sesuai dengan kelulusan dan kemahiran mereka. Mutakhir ini juga, pembangunan teknologi tinggi mula mengambil alih tugas manusia dalam sektor pengeluaran. Kemasukan pakar asing dari luar negara untuk bekerja di Malaysia memburukkan keadaan lagi.
Siswazah perlu menilai potensi diri sebelum berusaha mendapatkan sesuatu pekerjaan. Masalah pengangguran pasti dapat diatasi jika siswazah menguasai secara teori dan praktikal bidang yang diambil di universiti, melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan meningkatkan kualiti diri yang dapat menyakinkan panel temu duga untuk jawatan yang dipohon.
(Dipetik dan diubah suai daripada ‘Dilema Pengangguran Siswazah’
Oleh V. Suresh Kumar, Dewan Masyarakat, Oktober 2009)
(c) Bahagian Pendidikan & Latihan (Menengah) MARA

Khamis, 16 September 2010

SALAM LEBARAN UNTUK ANAK-ANAK DIDIK CIKGU

Assalammualaikum... anak-anak didik cikgu yang cikgu kasihi... apa khabar? Bagaimana sambutan lebaran ini? Pastinya meriah dan cukup bermakna sekali... kerja rumah dah siap? baiklah... dalam kita bergembira ini, jangan lupakan kerja rumah yang telah cikgu-cikgu anak-anak berikan ye...!!! jangan lupa isnin nanti, jumpa kembali di alam persekolahan dengan 'mood' baru untuk persediaan PMR, SPM dan peperiksaan akhir tahun ting. 1, 2,dan 4....

Khamis, 2 September 2010

TITIPAN CUTI SEKOLAH SEMPENA CUTI PENGGAL DAN AIDILFITRI

Assalammualaikum anak-anak didik cikgu.... Selamat menyambut Syawal yang dinanti-nanti... pastinya sambutan meriah dan cukup bermakna. Mudah-mudahan kita semua dipanjangkan umur dan dapat sekali lagi bersua dengan bulan penuh barakah Ramadan al-Mubarak tahun hadapan. Ramadan meninggalkan kita, moga amalan kita sepanjang Ramadan diterima Allah, doa kita dimakbulkan... dan hari-hari yang mendatang membawa seribu rahmat umpama pelangi indah buat kita semua. Sempena cuti panjang ini, ingin cikgu ingatkan anak-anak didik cikgu agar tidak lupa untuk mengulangkaji pelajaran. Bagi anak-anak tingkatan lima, isikanlah masa yang ada ini untuk memperkemas langkah bagi menyambut SPM hujung tahun ini. Mudah-mudahan, persiapan rapi anak-anak mampu menyuntik semangat untuk berjuang dengan penuh semangat semasa peperiksaan nanti.

Baiklah, seperti yang telah cikgu janjikan titipan cuti sekolah ada cikgu sertakan di bawah. Selamat menjawab!!!


TITIPAN UNTUK ANAK-ANAK DIDIK CIKGU 5 IBNU RUSYD DAN 5 IBNU SINA YANG HEBAT!

TUGASAN PERTAMA :

Pada masa ini, penyakit kanser merupakan penyakit berbahaya yang digeruni oleh segenap lapisan masyarakat kerana menjadi pembunuh secara senyap.

Huraikan punca-puncanya dan langkah-langkah untuk menanganinya.

TUGASAN KEDUA :

Masyarakat hari ini digalakkan untuk menggunakan pengangkutan awam kerana banyak kelebihannya.

Huraikan kelebihan-kelebihan pengangkutan awam kepada masyarakat di negara kita.


TITIPAN UNTUK ANAK-ANAK DIDIK 4 IBNU SINA YANG RAJIN.

TUGASAN PERTAMA:

[30markah]

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat suatu rumusan tentang faktor-faktor rakyat wajib memerangi rasuah dan halangannya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah kata.

Rasuah merupakan salah satu penyakit masyarakat yang wujud sejak dahulu dan berterusan hingga sekarang. Rasuah boleh berlaku dalam pelbagai institusi masyarakat tidak terkecuali dalam pentadbiran awam sesebuah negara. Kini, dapat kita saksikan sikap serius kerajaan Malaysia bertindak membasmi rasuah hingga akar umbi, terutama yang melibatkan sektor awam. Langkah tegas kerajaan ini harus disambut baik oleh semua lapisan masyarakat.

Kerajaan telah mengeluarkan arahan-arahan tentang perkara ini dan merangka serta menentukan suatu penanda aras berhubung dengan rasuah. Ketetapan itu membuktikan sikap serius kerajaan memerangi rasuah. Perkara yang dapat kita jangkakan pada masa depan ialah peningkatan usaha Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk menyelesaikan kes-kes rasuah yang diadukan oleh pihak yang terlibat kepadanya. Kakitangan sektor awam wajar mengambil perhatian terhadap perkara ini dan menanamkan azam untuk mengelakkan diri daripada sebarang perbuatan rasuah. Sesungguhnya, perbuatan rasuah akan merugikan pihak pelaku apabila mereka disiasat, diheret ke mahkamah, dibicarakan, dan dijatuhi hukuman. Sebelum perkara ini berlaku, wajarlah iktibar daripada peribahasa sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna diambil. Bagi anggota masyarakat pula, mereka perlu mengambil kira keseriusan kerajaan dan tidak melibatkan diri menawarkan rasuah sebagai jalan pintas untuk menyelesaikan masalah masing-masing secara haram. Amalan menawarkan rasuah hanya menyelesaikan masalah dalam jangka masa pendek.

Amalan rasuah ini akan mendatangkan mudarat besar kepada masyarakat, rakyat, dan negara. Semua pihak, baik kakitangan kerajaan mahupun anggota masyarakat perlu menahan diri daripada melakukan rasuah dengan memikirkan kepentingan jangka panjang negara. Kita haruslah menyokong usaha kerajaan membasmi rasuah demi kebaikan kita semua. Sokongan itu meliputi amalan mahupun sikap serta mentaliti masing-masing. Kita mengakui bahawa rasuah mempunyai pelbagai tahap. Ada yang bertahap rendah dan melibatkan nilai yang sedikit. Di samping itu, wujud rasuah yang membabitkan jumlah yang besar dan berkaitan pula dengan kedudukan yang lebih tinggi. Walau bagaimanapun, kedua-duanya tetap rasuah dan menjadi wabak masyarakat yang sangat bahaya. Sesungguhnya rasuah menjadi penyakit yang memakan diri sesuatu organisasi. Maka usaha memeranginya perlu bermula daripada mentaliti dan sikap antirasuah khususnya di kalangan kakitangan sektor awam. Mereka harus disedarkan bahawa rasuah melemahkan sektor awam dan akhirnya mendatangkan mudarat kepada semua pihak.

Apabila rasuah berleluasa, jentera sektor awam tidak akan berkesan dan segala rancangan kerajaan tidak dapat disempurnakan. Jika rasuah tidak dapat dibanteras, rakyatlah yang akan menanggung kerugian kerana merekalah yang membayar cukai tetapi tidak dapat menikmati keefisienan perkhidmatan kerajaan.

em>Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana Membasmi Rasuah ke Akar Umbi
Rencana Pengarang, Utusan Malaysia, 13 Ogos 2003.)


Soalan 2: Pemahaman
[35 markah]

Jawab semua soalan.
(i) Berikan maksud sektor awam dalam petikan tersebut. [2 markah]

(ii) Terangkan akibat yang akan berlaku jika rasuah tidak dibanteras penularannya.
[3 markah]
(iii) Pada pandangan anda, apakah langkah-langkah.yang paling berkesan untuk
membanteras rasuah? [4 markah]

TUGASAN KEDUA :
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang kesan-kesan gejala buli dan langkah-langkah mengatasinya. Panjang rumusan andahendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Perbuatan membuli diertikan sebagai mengasari orang yang lemah dengan tujuan atau maksud untuk menunjukkan kekuatan. Secara tidak langsung, menjadikan mereka yang lemah mematuhi atau menghormati mereka yang kuat. Fenomena buli dapat dikategorikan kepada dua jenis iaitu buli secara langsung dan tidak langsung. Buli secara langsung termasuk diugut, disepak, atau membalas pukulan. Buli jenis ini disebut sebagai buli fizikal. Sementara buli secara tidak langsung atau buli psikologi melibatkan kata-kata (verbal) termasuk memanggil atau ejek-mengejek dengan nama tertentu, dikacau, ditertawakan rakan lain, atau menyebarkan gosip liar terhadap seseorang.

Biasanya mangsa buli datang dari keluarga yang menyokongnya manakala pembuli datang daripada keluarga yang bermasalah dan selalu dikasari atau dihukum oleh ibu bapanya. Kebanyakan kejadian buli berlaku di sekolah yang kurang pemantauan disiplinnya, sama ada akibat kelemahan guru, kemudahan fizikal atau organisasi, budaya dan nilai yang diamalkan.

Mangsa buli akan mengalami kesan negatif dalam jangka panjang malah boleh menyebabkan kejadian bunuh diri. Di luar negara seorang murid membunuh diri kerana diejek gemuk dan berambut kerinting, malah ada yang membunuh rakannya kerana tidak tahan dibuli setelah guru dan pihak sekolah gagal mengambil tindakan intervensi. Mangsa buli akan menjadi seorang dewasa yang terlalu emosional sehingga menjejaskan hubungannya dengan orang lain dan keluarga. Malah kajian menunjukkan ada murid menjadi pembuli akan bertindak agresif apabila dewasa dan menjadi seorang pendera terhadap isteri, perogol, dan perompak.

Tingkah laku buli bukan sahaja boleh menimbulkan ketakutan kepada mangsanya, tetapi kepada rakan sekelasnya yang menyaksikan perlakuan itu walaupun mereka tidak dibuli. Pemerhati tingkah laku buli akan turut mengalami gangguan emosi dan merasakan persekitaran sekolah tidak lagi selamat. Malah pemerhati buli juga merasa bimbang dia pula akan diancam oleh pembuli dan menjadi mangsa seterusnya. Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia dan Pensyarah Jabatan Pendidikan Psikologi, Dr. Suradi Salim, berpendapat bahawa mangsa yang dibuli akan merobah personaliti mereka menjadi seorang yang penakut. Mangsa bukan sahaja takut ke sekolah, malah takut diugut, dipukul dan sebagainya.

Sebetulnya perasaan “takut” yang luar biasa ini amat memeritkan. Jika dibiarkan akan membentuk peribadi individu terbabit menjadi lemah dan kurang keyakinan diri. Akibat ketakutan yang amat sangat inilah menyebabkan mereka tidak akan mengadu kepada guru atau ibu bapa. Biasanya, mereka dikaunseling bukan si pembuli tetapi mangsa kerana mereka perlu dibantu bagaimana untuk mengatasi masalah tersebut. Sebaliknya, si pembuli berasa seronok kerana dapat membuli orang lain. Masalah ini hanya dapat dikesan apabila menjadi serius sehingga berlaku kecederaan fizikal.

(Diubahsuai daripada “Menangani Masalah Buli di Sekolah” dalam Dewan Siswa, Ogos 2005, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur)

Pemahaman

Berdasarkan petikan di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan
ayat anda sendiri.
(i) Apakah maksud rangkai kata mengambil tindakan intervensi berdasarkan
petikan? [2 markah]

(ii)Nyatakan kesan-kesan yang serius berlaku ke atas pelajar yang dibuli? [3 markah]

(iii)Pada pendapat anda, apakah bentuk hukuman yang wajar dikenakan ke atas
pembuli yang membabitkan kes kematian. [4 markah]


TUGASAN UNTUK ANAK-ANAK DIDIK 1 ABU BAKAR YANG BIJAK

TUGASAN PERTAMA :

Baca petikan di bawah dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang keistimewaan bandar Batu Pahat . Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Bandar Batu Pahat juga dikenali sebagai Bandar Penggaram, sempena nama Bukit Penggaram yang dibuka atas titah perintah Sultan Johor pada peghujung abad ke-19. Bandar Penggaram merupakan bandar baharu yang mengalami pertumbuhan pesat. Bandar ini dilengkapi dengan segala prasarana asas. Kemudahan ini menarik para peniaga dan pedagang ke sini.

Di pinggir Bandar Batu pahat pula terdapat banyak kilang industri kecil dan sederhana. Di antara industri yang tersohor ialah tekstil. Maka tidak hairanlah jika banyak orang datang ke sini, iaitu dari Melaka hingga ke Singapura untuk membeli belah bahan tekstil. Tidak jauh dari pusat bandar pula terdapat sebuah pelabuhan kecil yang terletak di muara Sungai Batu Pahat. Pelabuhan ini menjadi pusat perdagangan. Kebanyakan barang dagangan diimport dari kepulauan Sumatera yang merangkumi kayu balak, kelapa, dan getah.

Bandar Batu Pahat mempunyai panorama yang indah. Selain keindahan alam semula jadi, terhias permai sungai dan lembah di Sungai Batu Pahat dan dua cabang anak sungai di sebelah hulu yang terletak di kawasan Simpang Kanan dan Simpang Kiri. Para pengunjung lebih terpesona melihat Gunung Banang dan Gunung Soga yang menghiasi latar belakang daerah Batu Pahat.

Peneroka awal Batu Pahat ialah orang Melayu, Jawa, Banjar dan Bugis. Apabila semakin banyak penduduk ke sini, maka imigran Cina dan India pula menyusul tiba. Orang Jawa dibawa masuk untuk bekerja di ladang kopi dan getah. Orang Cina pula berniaga dan berdagang. Selain itu, mereka juga menanam gambir dan lada serta membuka lombong.

Batu Pahat banyak menyimpan sejarah suka dan duka. Antara peristiwa yang menggembirakan ialah lahirnya Pergerakan Melayu Semenanjung Johor pada tahun 1945. Di Batu Pahat juga pernah berlaku peristiwa berdarah yang menyayat hati semasa Perang Dunia Kedua berlaku.

TUGASAN KEDUA :

Baca petikan di bawah dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang masalah-masalah yang dihadapi oleh mangsa banjir.Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan.

Selalunya pelbagai penyakit akan timbul selepas banjir mulai surut. Penyakit yang selalunya dikaitkan dengan banjir ialah penyakit bawaan air seperti cirit-birit, taun, dan juga yang berpunca daripada nyamuk, iaitu denggi. Pihak berkuasa juga telah pun memberikan maklumat terperinci mengenai penyakit-penyakit yang perlu ditangani segera. Jika tidak penyakit ini akan memberi masalah yang lebih besar kepada mangsa banjir.

Namun kita jangan lupa, masalah mental mungkin juga dihadapi mangsa banjir selepas banjir surut. Berbanding dengan penyakit bawaan air tadi, masalah mental pada kebiasaannya tidak disedari oleh pesakit apatah lagi orang lain. Jika mereka menghadapinya dan mengetahuinya sekalipun, mereka akan cuba menyembunyikannya. Sehinggalah masalah tersebut menjadi terlalu sukar untuk dirawat.

Kita sedia maklum bahawa musibah banjir mengakibatkan sejumlah harta benda musnah begitu sahaja. Sudah pasti hal ini menyebabkan seseorang itu mudah untuk berdukacita kerana perasaan kehilangan sesuatu yang berharga terjadi ke atas diri. Perasaan dukacita inilah yang menyebabkan seseorang itu mudah hilang punca dan sukar untuk menyesuaikan diri. Mereka juga mungkin akan mempunyai perasaan rendah diri yang keterlaluan.

Selain itu pula ada sebilangan besar mangsa banjir akan kehilangan mata pencarian. Misalnya golongan peniaga jalanan. Mereka sudah pasti antara golongan yang paling teruk terjejas mata pencarian. Hal ini demikian kerana hasil jualan mereka berdasarkan jualan harian. Jika tidak berniaga, mereka pasti rugi. Tetapi jika mereka berniaga pun mungkin sukar untuk mendapat pembeli. Golongan ini perlu diberikan perhatian.

Demikian juga halnya dengan orang yang terlibat dengan sesuatu perniagaan seperti kedai barangan elektrik. Mereka juga akan teruk terjejas kerana peralatan yang hendak dijual telah rosak kerana banjir. Para peniaga ini akan kehilangan mata pencarian dan ada kemungkinan mereka akan mengalami gangguan mental yang hebat. Mereka mungkin cuba menafikannya; namun hakikatnya berbeza.

Semua keadaan di atas memerlukan persediaan mental yang kuat dan mereka memerlukan bantuan agar boleh menjalani hidup seperti sedia kala. Tidak kiralah persediaan menghadapi penyakit atau masalah mental, semua ini memerlukan kekuatan jiwa yang kuat. Semoga mereka yang terlibat banjir ini menjadi orang yang kuat dan tabah.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “Persediaan Selepas Banjir”
oleh Khairol Anuar Masuan dlm. Utusan Malaysia, 26 Januari 2007.)


Berdasarkan petikan, jawab soalan-soalan berikut menggunakan perkataan anda sendiri.
(i) Apakah maksud rangkai kata mudah hilang punca? [2 markah]
(ii) Mengapakah mangsa banjir menghadapi masalah mental? [4 markah]
(iii)Pada pendapat anda, bagaimanakah kita boleh membantu mangsa banjir?
[4 markah]