Cari Blog Ini

Rabu, 25 Julai 2012

Melayan e-mel anak-anak didik

Alhamdulillah, pagi yang ceria ini Allah mengurniakan nikmat kesihatan untuk cikgu dan anak-anak didik cikgu terutamanya anak-anak didik 5 Ibnu Sina. Pagi ini, cikgu mengajak anak-anak 5 Ibnu Sina untuk menghayati maksud kemerdekaan tanahair yang tercinta. Tugas karangan dengan tema komunikasi global ( buku teks halaman 242 )... anak-anak 5 Ibnu Sina telah mengarang teks ucapan ketua pengawas dengan membewa tema kemerdekaan dan menghantar secara e-mel kepada cikgu. Tahniah! Semua pelajar telah berjaya menyiapkan tugasan dalam masa 40 minit sesi pnp. Berikut cikgu paparkan salah satu hasil cetusan minda anak-anak 5 Ibnu Sina. ( Mohd. Huzaifi )




Assalamualaikum w.b.t

Terima kasih saudara pengerusi majlis.

Yang Berusaha Tuan Pengetua Sekolah Menengah Agama Johor Bahru, Tuan Haji Ismail bin Rosdi, seterusnya guru-guru yang disayangi serta rakan-rakan yang dikasihi sekalian.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada jawatankuasa pengelola yang bertungkus lumus dalam memastikan perjalanan majlis pada hari ini dapat berjalan dengan lancarnya. Berdirinya pada hari ini bukanlah hanya untuk beromong kosong tetapi adalah untuk menyampaikan sebuah ucapan mengenai kepentingan menghayati kemerdekaan negara. Tarikh 31 Ogos 2012  ini, genaplah 54 tahun Malaysia menikmati kemerdekaannya. Kemerdekaan negara adalah suatu yang harus kita syukuri, bukan sekadar kita sambut dengan perarakan, lampu-lampu yang bergemerlapan atau bendera yang berkibaran sahaja.


 Jiwa kemerdekaan itu haruslah diisi dengan kesedaran kerana tanpa kemerdekaan kita masih dikongkong dan apa yang kita kecapi hari ini tak mungkin kita rasai. Mengimbau rentetan sejarah sebelum negara ini merdeka, Prof. Datuk Dr .Ibrahim Bajunid, Presiden Persatuan Penyelidikan Pendidikan Malaysia (MERA) telah sudi membuka kembali tirai kemerdekaan untuk kita renungkan bersama. 50 tahun sebelum merdeka iaitu selepas Perang Dunia Kedua, Liga Bangsa-bangsa Bersatu telah diwujudkan. Kebanyakan negara-negara dibawah jajahan British, Peranchis, Portugis dan Sepanyol mahu melepaskan diri dari penjajahan ini. Sebelum pencapaian kemerdekaan, negara-negara yang dijajah ini menuntut ‘universal franchise , ataupun hak untuk mengundi. Ini berlaku pada tahun 1955. Seterusnya satu demi satu negara mencapai kemerdekaan dan kemerdekaan Malaya ketika itu merupakan satu pergerakan global yang hanya menjurus ke arah kemerdekaan politik. Momentum ke arah pencapaian kemerdekaan ini dicetuskan oleh guru-guru serta ahli-ah1i agama pada ketika itu.


Dengan itu pada 31 Ogos 1957 menjadi salah satu negara yang merdeka dan Malaya menjadi ah1i Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation). Kita tidak boleh menunding jari kepada barat kerana kemajuan yang kita capai selepas kemerdekaan sememangnya hasil dari tunjuk-ajar mereka. Kita haruslah akur bahawa kemerdekaan tidak membawa kemajuan sekaligus. Semuanya memerlukan masa. Kita perlu masa untuk belajar mentadbir, kita perlu masa untuk mempelajari i1mu yang baru. Kemajuan mengambil waktu yang agak panjang kerana kita sememangnya tidak ada kemahiran ketika itu -jadi kita belajar daripada barat. Kolonialism sebenarnya banyak juga memberi kebaikan kepada negara kita. Misa1nya, ketika mereka memberikan kemerdekaan kepada kita, mereka meningga1kan sistem perkhidmatan awam yang baik, sistem perubatan dan pendidikan yang tinggi tarafnya untuk kita teruskan. Jadi, apabila kita menjadi negara yang merdeka, segala tinggalan yang baik ini telah kita perbaiki dan perbaiki hinggalah menjadi yang terbaik buat masyarakat Malaysia hari ini. Sebagai masyarakat Malaysia yang merdeka, kita seharusnya membentuk budaya kita sendiri dan mengambil contoh yang baik dari barat, bukan yang buruk. Budaya barat yang menular pada generasi sekarang hanyalah berupa budaya sisipan dan bukan budaya perdana. Ini bermakna kita boleh mengatasi budaya sisipan ini sekiranya kita berusaha. Generasi muda tidak dapat menghayati erti kemerdekaan kerana mereka tidak pernah merasai kegetiran sebelum merdeka. Generasi dulu misa1nya terpaksa menyanyi lagu God Save The Queen setiap hari sebagai menghargai penjajah.

Jadi apabila mereka menyanyikan lagu NEGARAKU, mereka berasa cukup bangga dan megah kerana terdapatnya satu pencapaian hebat dalam lagu kebangsaan kita. Bagi generasi baharu, NEGARAKU hanyalah lagu. Mereka tidak berasa apa-apa. Mereka juga tidak tahu seksanya datuk moyang mereka menentang komunis pada suatu ketika dulu. Generasi baru lahir dalam negara yang sudah merdeka, mereka tidak sedar bahawa pada suatu ketika dahulu, apa yang mereka kecapi sekarang tidak pemah dirasai oleh generasi dulu. Sudah menjadi hukum alam bahawa kita lebih menghargai apa yang sukar kita dapati. Namun mereka harus disedarkan bahawa konteks kemerdekaan itu sendiri sebenarnya tiada akhiran. Semua pihak memainkan peranan tersendiri -pemimpin negara, keluarga, guru, media massa dan Internet. Kesedaran harus dipupuk dengan cara yang lebih positif. Kalau generasi dulu memperjuangkan kemerdekaan politik, mereka sebagai generasi baharu haruslah meneruskan perjuangan mereka dari segi intelektual. Hal ini demikian kerana negara yang lebih besar mengongkong negara yang lemah. Lambat laun kita terjajah semula kerana kita ceteknya  ilmu. Peneraju ekonomi akan memegang tampuk kemerdekaan sebenar.

Generasi baharu harus diberi penjelasan tentang peranan mereka. Tahap-tahap kemajuan yang harus dicapai dan kepentingan mereka sebagai pemangkin kemajuan akan datang. Hidupkan semangat kemerdekaan secara formal atau tidak formal. Ibu bapa menyedarkan anak-anak, guru menyedarkan murid-murid, pusat pengajian menyedarkan graduan dan media pula menghidupkan jiwa kemerdekaan dalam bentuk dokumentari atau drama. Generasi muda kita harus berjuang menghadapi saingan hebat globalisasi. Kita harus bersedia dan melengkapkan diri dengan segala ilmu yang ada tanpa menolak keluhuran budaya sendiri. Dengan cara itu kemerdekaan yang kita kecapi hari ini akan menjadi lebih bererti pada suatu ketika nanti. Kesimpulannya, sebagai rakyat Malaysia, kita hendaklah menghayati sedalam-dalamnya erti kemerdekaan negara yang kita kecapi pada masa kini agar sifat patriotik dapat disemai dalam diri semua masyarakat. Sekaligus, akan menjadikan masyarakat lebih bersedia untuk mempertahankan negara daripada ancaman musuh agar sejarah lama tidak akan berulang lagi bak kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Sekian, Assalamualaikum w.b.t.

Rabu, 23 Mei 2012

TITIPAN KERJA RUMAH SEMPENA CUTI PERTENGAHAN TAHUN - 25 MEI HINGGA 10 JUN 2012

Assalammualaikum … anak-anak didik cikgu. Selamat bercuti cikgu ucapkan untuk semua anak didik cikgu yang tersayang. Nikmatilah sat-saat indah percutian bersama-sama keluarga dengan sebaik-baiknya. Cikgu percaya, semua aktiviti telah dirancang oleh keluarga masing-masing. Cikgu doakan anak-anak semua berada dalam keadaan sihat sejahtera dan kembali semula ke sekolah dengan semangat baru dan berkobar-kobar untuk menempa kecemerlangan, Insya Allah. Bagi segmen Bahasa Melayu Dekat Di Hati…. Cikgu ada menitipkan beberapa tugasan untuk anak-anak semua yang perlu disiapkan dalam tempoh percutian ini : Anak-anak cikgu di Tingkatan 1 Abu Bakar : Salin 3 contoh karangan berformat ( contohnya : surat rasmi / tak rasmi, ucapan/pidato, laporan, berita, wawancara dll ) Salin 3 contoh karangan tidak berformat ( contoh : perbincangan, cerpen ) Anak-anak cikgu di Tingkatan 3 Ali : Salin 3 contoh karangan berformat ( contohnya : surat rasmi / tak rasmi, ucapan/pidato, laporan, berita, wawancara dll ) Salin 3 contoh karangan tidak berformat ( contoh : perbincangan, cerpen ) Anak-anak cikgu di Tingkatan 5 Ibnu Sina dan 5 Al Kindi : Salin 2 contoh karangan berformat ( contohnya : surat rasmi / tak rasmi, ucapan/pidato, laporan, berita, wawancara dll ) Salin 2 contoh karangan tidak berformat ( contoh : perbincangan, cerpen ) Lengkapkan soalan rumusan dalam Modul Rumusan untuk Latihan 6, 7, 8, 9. Selamat bercuti!!!

Ahad, 15 April 2012

Hikayat Langlang Buana

Sinopsis Cerita

Inang kepada Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi mengatakan bahawa dia bermimpi pada malam sebelumnya dan tuan puteri juga bermimpi perkara yang sama. Inang mengatakan bahawa itulah tandanya tuan puteri akan mendapat jodohnya. Seperti biasa, tuan puteri mengajak inang-inangnya mandi di tasik yang dijaga oleh peri. Peri itu pula memberitahu perkara itu kepada Raja Indera Bumaya dan menyuruhnya supaya bersembunyi untuk melihat tuan puteri itu dan apabila baginda terpandang akan tuan puteri itu, baginda terus tertarik kepadanya.

Raja Indera Bumaya pun menjadikan dirinya seekor burung bayan yang cantik iaitu matanya dibuat daripada intan dan bulunya daripada pusparagam dan kakinya daripada emas. Tuan puteri tertarik oleh burung bayan itu dan meminta inangda supaya menangkap burung itu. Namun begitu semua dayangnya gagal untuk menangkap burung bayan itu hinggalah dayang-dayang menyarankan supaya tuan puteri sendiri yang menangkapnya. Tuan puteri berasa sangat gembira kerana burung bayan itu terus hinggap pada tangan tuan puteri. Burung bayan itu bukan sahaja cantik, malahan pandai berpantun dan berkata-kata serta boleh menukar dirinya menjadi burung nuri dan bunga yang sudah dikarang. Burung bayan itu sebenarnya datang dari negeri Lela Gambar iaitu dari kawasan matahari naik atau dari Timur lalu dibawa ke mahligai tuan puteri.

Burung bayan yang sebenarnya Raja Indera Bumaya itu telah bertukar menjadi burung nuri dan seterusnya menjadi bunga yang sudah digubah lalu dicium oleh tuan puteri dan Raja Indera Bumayapun mengembalikan dirinya yang asal dan tuan puteri jatuh cinta kepadanya. Tuan puteri menjamu Raja Indera Bumaya dan seterusnya mereka bergembira dan bergurau senda dengan semua dayang. Empat orang menteri dan empat orang hulubalang yang mengawal tuan puteri dari bawah mahligai, menyampaikan berita tentang tuan puteri membawa masuk lelaki ke dalam mahligainya kepada Raja Bahrum Dewa iaitu ayahanda Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi. Perkara itu menyebabkan Raja Bahrum Dewa sangat murka dan menitahkan hulubalang serta rakyat mengepung lelaki itu pada malam itu juga.

Setelah tuan puteri mengetahui berita tentang hulubalang dan rakyat datang ke mahligainya untuk mengepung dan menangkap Raja Indera Bumaya, dia berasa takut dan sedih kerana tidak sanggup berpisah dengannya. Raja Indera Bumaya pun menyeru geliga daripada Raja Johan Shahperi dan keluarlah empat jin yang menyerupai manusia yang lengkap bersenjata untuk menangkis serangan hulubalang dan rakyat Raja Bahrum Dewa. Hulubalang dan rakyat Raja Bahrum Dewa itu gagal untuk menangkap Raja Indera Bumaya. Perkara ini menyebabkan Raja Bahrum Dewa menjadi semakin murka dan menitahkan semua rakyatnya mengepung Raja Indera Bumaya. Perkara itu menyebabkan tuan puteri berasa semakin takut tetapi perkara itu membuktikan cinta dan sayangnya kepada Raja Indera Bumaya. Raja Indera Bumaya kemudiannya menyeru gemala hikmat daripada Raja Johan Shahperi dan keluarlah empat ribu jin yang akan berperang dengan rakyat Raja Bahrum Dewa. Dalam peperangan itu banyaklah darah yang tumpah ke bumi.

Tema
Kasih sayang yang mendalam terhadap orang yang tercinta.

Persoalan
1. Kebijaksanaan dalam memikat orang yang disayangi.
2. Keberanian dalam menempuh rintangan
3. Menghormati tetamu yang datang
4. Ketaatan kepada raja atau ketua
5. Tolong-menolong dalam kehidupan

Watak dan Perwatakan
1. Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi
i. Puteri Raja Bahrum Dewa
ii. Penyayang – sayang kepada Raja Indera Bumaya
iii. Penyedih – menangis kerana takut kepada ayahandanya yang hendak menangkap Raja Indera Bumaya.
iv. Menghormati tetamu – menghormati Raja Indera Bumaya dan melayan baginda dengan baik dan menjamu baginda.

2. Raja Indera Bumaya

i. Putera raja dari negeri Lela Gambar
ii. Boleh bertukar rupa menjadi burung bayan, burung nuri dan bunga.
iii. Bijaksana - bijaksana untuk memikat tuan puteri
iv. Penyayang - sayang akan tuan puteri
v. Memiliki geliga sakti

3. Peri
i. Penjaga tasik tempat tuan puteri mandi.
ii. Suka menolong orang - menyuruh Raja Indera Bumaya bersembunyi untuk melihat tuan puteri.

4. Raja Bahrum Dewa
i. Ayahanda Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi
ii. Garang dan tegas - menitahkan menteri dan rakyatnya menangkap Raja Indera Bumaya yang berada di dalam mahligai tuan puterinya.

5. Inangda
i. Sentiasa menemani tuan puteri
ii. Patuh akan arahan tuan puteri - menurut perintah tuan puteri agar menangkap burung bayan.

Gaya Bahasa

1. Pantun
Gambar di dalam puan,
Dang Jirat duduk menyuji;
Jika beta khabarkan tuan,
Tuan nescaya ghairat dalam di hati.

2. Simile – seperti bunga raya yang baharu kembang

3. Bahasa klasik – syahadan, alkisah, perwara, bercetera, berlangir

4. Bahasa istana – baginda, tuan puteri, tuanku, santap

Teknik Plot
1. Pemerian – pemerian tentang Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi dengan dayang-dayang pergi ke kolam untuk mandi.

2. Dialog – dialog antara tuan puteri dengan Raja Indera Bumaya semasa di dalam mahligai tuan puteri

3. Saspens - Raja Indera Bumaya hendak ditangkap oleh menteri dan rakyat Raja Bahrum Dewa.

Latar
Masa

1. Waktu pagi
2. Waktu siang
3. Waktu malam


Tempat

1. Di tasik - Tuan puteri mengajak inang-inangnya mandi di tasik.
2. Di mahligai tuan puteri - Tuan puteri menjamu Raja Indera Bumaya dan seterusnya mereka bergembira dan bergurau senda dengan semua dayang.
3. Di istana Raja Bahrum - Empat orang menteri dan empat orang hulubalang yang mengawal mahligai tuan puteri itu menyampaikan berita tentang Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi membawa masuk lelaki ke dalam mahligainya kepada Raja Bahrum Dewa.
4. Negeri Lela Gambar - Burung bayan datang dari negeri Lela Gambar iaitu dari kawasan matahari naik atau dari Timur.

Masyarakat
1. Masyarakat feudal - susun lapis masyarakat yang terdiri daripada raja, pembesar dan rakyat.
2. Masyarakat peri - masyarakat jin yang menyerupai manusia dan bertugas menjaga tempat mandi tuan puteri
3. Masyarakat manusia yang berani - Raja Indera Bumaya berani menentang semua cabaran dan bahaya untuk mendapatkan Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi.
4. Masyarakat yang penyayang - Inderaputera sayang akan Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi dan begitu juga sebaliknya.

Nilai
1. Kebijaksanaan - Raja Indera Bumaya menggunakan kebijaksanaannya untuk memikat tuan puteri.
2. Kasih sayang - Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi sayang akan Raja Indera Bumaya dan berasa takut sekiranya Raja Indera Bumaya ditangkap.
3. Tolong-menolong - Peri menolong Raja Indera Bumaya dengan memberikan cadangan tentang cara Raja Indera Bumaya hendak melihat Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi.
4. Tegas - Raja Bahrum Dewa menitahkan menteri dan rakyatnya menangkap Raja Indera Bumaya yang berada di dalam mahligai tuan puterinya itu.

Pengajaran
1. Kita haruslah bertindak dengan bijaksana dalam melakukan sebarang tindakan.
2. Kita hendaklah menyayangi orang yang dicintai sampai bila-bila.
3. Kita mestilah menolong orang yang sedang memerlukan pertolongan.
4. Sebagai ketua kita perlulah tegas dengan pendirian atau tindakan.

Isnin, 9 April 2012

PBS... oh ... PBS

Seminggu ini kena tinggalkan anak-anak didik di sekolah.... berkampung dengan kawan-kawan cikgu yang mengajar tingkatan 1. Mengkaji dan cuba memahami apakah itu pentaksiran baharu untuk tingkatan 1... tahu dan faham, tahu, faham, boleh buat dan tingkah laku sopan mithali... ermmm

Sabtu, 24 Mac 2012

Sabtu, 10 Mac 2012

Titipan bahasa Melayu Tetap di Hati... sempena cuti pertengahan semester 9 Mac hingga 18 Mac 2012

Assalammualaikum anak-anak didik cikgu semua....apa khabar?
Cikgu harap anak-anak semua dapat mengisi mas cuti ini dengan aktiviti yang berfaedah... khususnya anak-anak didik tingkatan 3 dan 5. Masa itu emas. Isikan masa cuti anda dengan sebaik-baiknya sebagai persediaan untuk Penilaian Kurikulum 1.

Baiklah, sebagai tanda kasih cikgu untuk anak-anak didik semua, cikgu ada titipkan tugasan cuti sekolah seperti berikut. Insya Allah...


Tugasan untuk anak-anak didik 1 Abu Bakar yang comel
dan 3 Ali yang cemerlang :


1. Tulis sebuah cerpen bertemakan ' Terima Kasih Cikgu '. Panjangnya karangan anda tidak kurang daripada 180 patah perkataan. Hantar pada atau sebelum jam 12 tengah hari, hari Isnin 12 Mac 2012 ke emel cikgu latifahtarkep@yahoo.com. Karangan yang terpilih akan cikgu hantar ke pertandingan menulis cerpen peringkat daerah.


Tugasan untuk anak-anak didik cikgu di kelas 5 Ibnu Sina yang komited dan 5 al-Khindi yang hebat:

1. Tulis sebuah cerpen bertemakan ' Terima Kasih Cikgu '. Panjangnya karangan anda tidak kurang daripada 350 patah perkataan. Hantar pada atau sebelum jam 12 tengah hari, hari Isnin 12 Mac 2012 ke emel cikgu latifahtarkep@yahoo.com. Karangan yang terpilih akan cikgu hantar ke pertandingan menulis cerpen peringkat daerah.

2. Banyak pihak yang tidak berpuas hati dengan mutu pengangkutan awam di negara kita. Jelaskan masalah-masalah yang dihadapi oleh pengguna pengangkutan awam. Tuliskan karangan anda selengkapnya. Panjangnya karangan anda hendaklah tidak kurang daripada 350 patah perkataan.

Jumaat, 17 Februari 2012

titipan bahasa Melayu Tetap di Hati... sempena cuti hujung minggu 17 Februari 2012

Assalammualaikum anak-anak didik cikgu semua.... pasti semuanya gembira menghabiskan masa hujung minggu bersama-sama keluarga yang tersayang...mudah-mudahan terubat rindu anak-anak semua untuk menjamah masakan ibu tersayang... betul3x...

Baiklah, seperti yang cikgu janjikan... ada buah tangan istimewa untuk anak-anak didik semua... khusus buat anak didik cikgu 1 Abu Bakar yang comel....3 Ali yang komited... 5 Ibnu Sina yang rajin ... 5 al Kindi yang hebat... anak-anak didik cikgu digalakkan untuk mencetak ( print ) tugasan dalam blog cikgu ini dan tampal dengan kemas dalam buku karangan berpandu masing-masing....selamat belajar!!!


Tugasan untuk anak-anak cikgu di kelas 1 Abu Bakar:



Berdasarkan gambar di atas, huraikan pendapat anda tentang kesan-kesan obesiti kepada penghidapnya. Panjangnya huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


Tugasan untuk anak-anak cikgu di kelas 3 Ali :



Berdasarkan gambar di atas, huraikan pendapat anda tentang kesan-kesan negatif penggunaan kad kredit. Panjangnya huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


Tugasan untuk anak-anak cikgu di kelas 5 Ibnu Sina dan 5 al Kindi :





Berdasarkan gambar di atas, huraikan pendapat anda tentang faktor-faktor berlakunya krisis air. Panjangnya huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.