Cari Blog Ini

Rabu, 30 Disember 2009

ANTOLOGI CERPEN BARU TINGKATAN 1 DAN 4, 2010

Antologi Komsas baharu 2010 untuk Tingkatan 1 dan 4
Mulai sesi persekolahan 2010, pelajar-pelajar Tingkatan 1 dan 4 akan menggunakan teks KOMSAS yang baharu bagi menggantikan antologi Sehijau Warna Daun (Tingkatan 1) dan Anak Laut (Tingkatan 4) yang telah digunakan sejak tahun 2000. Teks KOMSAS tersebut juga telah diuji dalam peperiksaan SPM mulai tahun 2001 dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun 2002. Perubahan ini memang wajar dilakukan kerana teks berkenaan telah digunakan selama 10 tahun dan sebahagian besar karya sastera yang termuat dalam kedua-dua antologi tersebut telah pun diuji sama ada sekali ataupun lebih daripada itu. Antologi KOMSAS yang baharu bagi Tingkatan 1 berjudul "Kasut Kelopak Jantung" berdasarkan cerpen tulisan Ghazali Lateh dan antologi KOMSAS bagi Tingkatan 4 pula berjudul "Harga Remaja" berdasarkan sajak yang dihasilkan oleh Rahman Shaari. Proses penghantaran buku-buku tersebut ke sekolah-sekolah menengah di seluruh negara kini sedang dilakukan oleh pihak pengedar yang telah diamanahkan. Oleh itu, sesuai dengan perubahan ini diharap para guru di seluruh negara akan bersedia untuk mengajarkan bahan KOMSAS yang terbaharu kepada bakal pelajar tahun hadapan di sekolah masing-masing. Selamat membaca dan mengkaji setiap genre yang dimuatkan di dalam kedua-dua antologi tersebut.
Sumber - MunshiBM

novel baru tingkatan 4

Sinopsis Novel Melunas Rindu - Hartini Hamzah
Novel KOMSAS Tingkatan 4 2010 (Negeri Johor, Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan)


Fuad ialah seorang pemuda yang berketurunan Cina dan beragama Islam. Selain nama Fuad, dia juga memiliki dua nama lain iaitu Joshua dan Abdul Halim. Ayahnya ialah Robert Lim yang berketurunan Cina dan berkahwin dengan Mariana yang berketurunan Melayu. Walau bagaimanapun, hidupnya penuh dengan liku kerana sejak kecil lagi dia tidak mengenali dan tidak mendapat kasih sayang daripada ibu dan bapanya. Dia dibesarkan oleh Peter Lim iaitu bapa saudaranya yang juga adik kepada Robert Lim iaitu ayah kandungnya yang sebenar. Selepas itu dia menjadi anak angkat kepada Pak Ismail dan Mak Salmah. Fuad berusaha untuk mencari kubur ibunya yang disangkanya sudah meninggal dunia. Fuad mendapat sokongan

Fuad yang telah diminta moral daripada Pak Ismail, Mak Salmah, Peter Lim, Swee Lan, dan Robert Lim sendiri memberikan bantuan untuk mengesan ibunya melalui cincin yang diberikan Robert Lim kepada Mariana. Selain itu, Fuad juga dibantu oleh Pak Said dan Pak Ngah Lias untuk mengesan kubur ibunya itu. Akhirnya Fuad mendapat maklumat bahawa ibunya tidak meninggal dunia dan masih hidup. Fuad telah ditawarkan sebagai guru sandaran tidak terlatih di Sekolah Menengah Seri Setia oleh Cikgu Abas. Setelah mempertimbangkan Fuad telah menerima tawaran tersebut. Di sekolah itu Fuad telah berkenalan dengan Farhana yang menjadi Ketua Panitia Bahasa Inggeris di sekolah yang sama. Fuad sentiasa memberikan komitmen yang tinggi terhadap tugasnya dan hubungannya menjadi semakin rapat dengan Farhana. Hubungan yang rapat itu akhirnya melahirkan perasaan cinta yang suci antara mereka berdua. Walau bagaimanapun, perasaan itu terpaksa diubah kerana hubungan mereka sebenarnya adalah sebagai adik-beradik daripada ibu yang sama tetapi berlainan bapa.

Sementara itu Farhana menghadapi konflik dengan Cikgu Zamani di sekolah. Hal ini demikian kerana, Cikgu Zamani selalu mengkritik dan mengutuknya dengan pelbagai kritikan dan kutukan. Farhana pula mengatakan bahawa Cikgu Zamani tidak sepatutnya ponteng kelas dan tidak menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya. Sepatutnya cikgu Zamani melakukan tindakan yang selaras dengan perkara yang dikatakannya. Dia selalu mengatakan orang lain sahaja yang melakukan kesalahan dan kesilapan tetapi tidak menyedari bahawa dia sendiri melakukan kesalahan.

Fuad pula menunjukkan keprihatinannya dengan mengambil berat terhadap Farhana. Sebagai contohnya, Fuad mengajak Farhana menaiki keretanya dan dia menghantar Farhana ke rumah ibu Farhana di Kuantan. Selain itu, Fuad juga menemani Farhana di hospital ketika ibu Farhana, iaitu Mariana yang diserang sakit lelah dimasukkan ke hospital. Ketika berada di hospital itulah Fuad mengetahui bahawa nama emak Farhana itu sama dengan nama ibu kandungnya selepas terpandang nama emak Farhana pada rekod catatan perubatan ibu Farhana.

Fuad terpaksa menenangkan perasaan Farhana yang agak sukar menerima hakikat bahawa mereka berdua ialah adik-beradik. Fuad cukup bersedia untuk menerima hakikat itu kerana dia sudah biasa hidup dalam keadaan yang penuh dengan cabaran dan masalah. Ayah kandung Fuad juga mengesali perbuatan silamnya yang meninggalkan Mariana selepas tiga bulan berkahwin tanpa sebarang berita. Robert Lim memohon maaf daripada Pak Ismail, Mak Salmah dan juga Mariana atas kesalahan-kesalahannya itu. Fuad juga akhirnya menerima hakikat bahawa Robert Lim ialah ayah kandungnya, Mariana sebagai ibu kandungnya dan juga Farhana sebagai adik kandungnya.

Sabtu, 28 November 2009

TUGASAN SEMASA CUTI AKHIR TAHUN UNTUK PELAJAR-PELAJAR 4IS DAN 4IR , SMKAJB 2009

Assalammualaikum anak-anak didik cikgu... pelajar-pelajar 4 ibnu sina dan 4 ibnu rusyd 2009.

Selamat bercuti dari cikgu.... !!! pastinya cuti anak-anak didik cikgu amat menyeronokkan apatah lagi cuti ini mungkin diisi dengan slot cuti-cuti Malaysia bersama keluarga tersayang...
namun keselamatan diri jangan diabaikan ya!! cikgu harap anak-anak didik cikgu dapat memanfaatkan masa cuti ini dengan sebaik-baiknya... InsyaAllah.

Sebenarnya cikgu ada buah tangan untuk anak-anak didik cikgu semua.... sepatutnya buah tangan ini cikgu titipkan sebelum cuti bermula, tetapi kekangan masa membataskannya. Namun masih belum terlambat untuk kita memulakannya.... baiklah, buah tangan cikgu merupakan satu tugasan yang mudah dan pasti menyeronokkan anak-anak didik cikgu semua.

cikgu harap semua anak didik dapat melengkapkan tugasan ini dengan sebaik-baiknya. Tugasnya adalah ....

1. Tulis sepucuk surat untuk cikgu.
2. Surat tersebut berkisarkan pengalaman@ aktiviti masa cuti anak-anak didik semua.
3. Emelkan surat tersebut ke
latifahtarkep@yahoo.com selewat-lewatnya pada 31 disember
2009.
4. Panjang surat tersebut... sekurang-kurangnya 350 patah perkataan. Boleh juga lampirkan
gambar-gambar yang menarik semasa percutian @ aktiviti tersebut.
5. Surat yang paling menarik, kreatif dan menyeronokkan akan menerima hadiah istimewa
daripada cikgu.

Selamat menulis dan selamat bercuti!!!

Sabtu, 21 November 2009

alhamdulillah...

alhamdulillah... anak-anak didik cikgu,calon spm 2009 telah selamat menduduki kertas bahasa melayu pada 18 nov lalu... dan syukur, antara contoh karangan yang telah cikgu bekalkan pada saat akhir, dapat juga membantu anak-anak didik cikgu menjawab dalam kertas periksa tersebut....doa cikgu agar calon spm 2009 smkajb akan beroleh kecemerlangan dalam kertas bahasa melayu dan subjek lain....

Sabtu, 7 November 2009

CONTOH KARANGAN : USAHA-USAHA MENGALAKKAN ORANG RAMAI MENGGUNAKAN KENDERAAN AWAM

“Zaman beralih, musim bertukar”, selepas tamat penjajahan asing selama 446 tahun yang telah lama menghantui rakyat, Malaysia telah menjejakkan kaki ke satu ambang yang rancak sekali. Untuk menyesuaikan diri dalam mata dunia dan memenuhi kehendak rakyat, Malaysia telah mengalami pelbagai anjakan paradigma, kerajaan telah berusaha menyediakan prasarana yang mencukupi untuk memastikan sistem pengangkutan awam berjalan lancar. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita boleh dikategorikan sebagai pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan monorel. Jikalau bukan kita yang sebagai warganegara Malaysia menyokong pengangkutan awam, siapakah lagi menyokong? Lantaran itu, langkah-langkah yang proaktif dan drastik hendaklah diimplementasi untuk menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam.

Menurut satu kajian yang dibuat dalam kalangan rakyat, banyak rakyat mengatakan bahawa kepelbagaian sistem tiket untuk menggunakan rangkaian perkhidmatan awam yang berlainan telah mengurangkan minat mereka untuk bergerak dari tempat asal ke tempat destinasi dengan penukaran rangkaian perkhidmatan awam. Oleh itu, kerajaan haruslah melaksanakan sistem tiket bersepadu yang dapat menggalakkan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan haruslah menubuhkan sebuah Lembaga Pengangkutan Awam (PTA) untuk menguruskan pengangkutan di negara kita. Pertubuhan tersebut dapat mempercepat proses perlaksanaan sistem tiket bersepadu yang masih dalam peringkat kajian. Selain itu, kerajaan juga harus mengambil contoh negara barat seperti Melbourne, di negara Melborune penumpang hanya perlu membeli satu tiket untuk menaiki kereta api dan bas. Seperti kata peribahasa serampang dua mata, pendekataan ini bukan sahaja dapat menjimatkan wang tetapi juga dapat memudahkan rakyat untuk mengatur pejalanan laluan. Jikalau sistem tiket bersepadu direalisasikan, jumlah penumpang pastilah dapat mencapai sasaran yang telah diramalkan oleh pengendali.

Langkah seterusnya yang dapat menarik perhatian rakyat untuk menaiki pengangkutan awam adalah dengan meningkatkan kuantiti dan kualiti pengangkutan awam. Bilangan kereta api atau bas awam haruslah dipertingkatkan bagi memenuhi kehendak rakyat. Selain itu, KTM negara kita haruslah mencontohi perkhidmatan kereta api di Jepun yang menggunakan kuasa elektrik seprti shinkansen (bullet train). Dengan menggunakan lokomotif kuasa elektrik, kekerapan KTM di negara kita pasti dapat meningkatkan. Kekerapan pengangkutan awam adalah salah satu unsur untuk menarik perhatian penumpang terutamanya mereka yang memandu kereta atau menunggang motosikal. Dengan kekerapan pengangkutan yang tinggi, penumpang tidak akan membazirkan masa untuk menunggu komuter. Hal ini dapat mengurangkan masa perjalanan keseluruhan. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, kekurangan dalam kekerapan pengangkutan awam akan merumitkan kehidupan masyarakat dan menyebabkan mereka kurang keyakinan terhadap pengakutan awam. Lantaran itu, cara ini haruslah dilaksanakan untuk mendapat balik keyakinan rakyat terhadap pengangkutan awam.

Langkah memasang televisyen dalam bas awam yang dijalankan oleh kerajaan mendapat banyak komen yang baik dan diberi pujian kerana langkah ini dapat menghiburkan rakyat dalam perjalanan mereka. Para penumpang berpeluang untuk menonton siaran televisyen ketika berada dalam perjalanan mereka. Prakasa ini haruslah diperluaskan dalam pengangkutan awam seperti Komuter dan LRT untuk menarik lebih banyak penumpang untuk menaiki pengangkutan awam. Selain menghiburkan para penumpang ketika dalam perjalanan, siaran televisyen juga mampu menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat dengan menyiarkan rancangan cinta akan negara, rancangan mengimbas kembali detik-detik sejarah negara dan sebagainya. Selain rancangan sebegini, program lain seperti berita, laporan cuaca, perkembangan sukan, maklumat kewangan juga harus disiarkan supaya rakyat dapat mendapat informasi yang terbaharu dan meningkatkan pengetahuan dalam perjalanan mereka. Hal ini pasti dapat meningkatkan bilangan penumpang pengangkutan awam kerana langkah ini telah memenuhi tabiat rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti tinggi dengan banyaran yang minimum. Manisfestasinya, langkah memasang televisyen memang dapat menarik perhatian para penumpang.

Seperti peribahasa Melayu yang berbunyi “melentur buluh biarlah dari rebungnya”, pendidikan sejak kecil juga merupakan salah satu langkah untuk menggalakkan rakyat tempatan menaiki pengangkutan awam. Sekolah dicadangkan supaya memberi pelajaran tentang kebaikan-kebaikan menggunakan perkhidmatan awam dan keselamatan menggunakan pengangkutan awam supaya dapat menanam konsep yang mendalam kepada fikiran pelajar supaya menaiki perkhidmatan awam lebih baik daripada menggunakan kenderaan sendiri. Usaha ini bukan sahaja diberi kepada pelajar yang kecil, tetapi juga harus diberi kepada mereka yang dewasa untuk mengubah imej buruk yang mendalam di dalam hati mereka. Melalui pendidikan, kita dapat menghasilkan golongan yang bergantung pada perkhidmatan kereta api sebagai pengangkutan utama mereka.Hal ini dapat meningkatkan bilangan penumpang yang menaiki pengangkutan awam. Walaupun mereka memiliki kenderaan sendiri, tetapi mereka tetap akan menggunakan perkhidmatan awam seperti kereta api sebagai pengangkutan utama mereka jika konsep kebaikan pengangkutan awam ditanam mendalam kepada mereka.

Sebenarnya, pengangkutan awam banyak membawa kemaslahatan seperti mengurangkan jarak perjalanan, menghematkan masa, mempercepat operasi penghantaran barangan ke sesuatu destinasi dan sebagainya kepada kita. Akhir kata, pemodenan sistem perhubungan darat merupakan inovasi yang penting ke arah mewujudkan mobilisasi sumber tenaga manuasia pada tahap yang paling optimum. Lantaran itu, kita harus menyokong usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan dalam meningkatkan penumpang menaiki pengangkutan awam.

CONTOH KARANGAN : PERANAN IBU BAPA DALAM MENDORONG KECEMERLANGAN AKADEMIK ANAK-ANAK

Keluarga boleh ditakrifkan sebagai kaum kerabat atau sanak saudara yang saling mengasihi, mencintai dan bersifat belas kasihan terhadap saudaranya yang lain. Tambahan pula, keluarga merupakan aset terpenting dalam kehidupan setiap insan. Seseorang yang tidak mempunyai keluarga, iaitu hidup sebatang kara, tidak mempunyai tempat bergantung untuk menumpang kasih serta hidup bagaikan layang-layang terputus tali. Pada tahun 2003, Malaysia pernah digemparkan dengan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Nur Amalina yang amat membanggakan. Hal ini demikian kerana beliau berjaya mendapat 17A1 sekali gus menjadikan beliau pelajar cemerlang SPM 2003. Kejayaan ini adalah kerana Nur Amalina mempunyai sebuah keluarga yang penyayang dan sanggup memberikan sepenuh sokongan dan dorongan dalam bidang akademik beliau. Jelaslah bahawa faktor kejayaan anak-anak dalam bidang akademik banyak bergantung kepada dorongan dan sokongan daripada keluarga. Terdapat pelbagai jenis sokongan dan dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga untuk memastikan kecemerlangan anak-anak kerana keluarga bahagia pemangkin kecemerlangan anak-anak.

Antara peranan keluarga ialah kepimpinan melalui teladan. Anak-anak akan lebih terdorong untuk mengikut jejak langkah kejayaan ibu bapa mereka kerana ibu bapa lebih mengenali dan rapat dengan anak-anak . Ibu bapa yang berjaya akan menjadi idola dan inspirasi untuk kecemerlangan anak-anak. Tambahan pula, kejayaan ibu bapa akan menyebabkan anak-anak cuba mememotivasikan diri mereka sekali gus merubah kehidupan mereka agar berjaya atau lebih berjaya daripada ibu bapa mereka. Dalam era globalisasi ini, kebanyakan ibu bapa yang berjaya mempunyai anak-anak yang berpotensi untuk berjaya seperti mereka. Buktinya, kajian statistik oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapati hampir 50 peratus rakyat Malaysia terlibat dengan gejala negatif lazimnya mempunyai konflik keluarga. Oleh itu, benarlah bahawa kepimpinan melalui teladan merupakan dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga untuk kecemerlangan anak-anak.

Malah, pada realitinya, ibu bapa sanggup memerah keringat, membanting tulang dan bekerja keras dengan tulang empat kerat mereka agar memperoleh pendapatan yang lumayan dan mewah. Hal ini kerana ibu bapa mahu memberikan kemudahan dan keselesaan yang secukupnya kepada anak-anak bagai menatang minyak yang penuh. Semua ibu bapa menginginkan kejayaan daripada anak-anak supaya anak-anak mempunyai masa depan yang cerah. Mereka tidak mahu anak-anak mereka hidup susah.Sebagai contoh, ibu bapa yang tidak berkemampuan terpaksa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang semata-mata untuk membiayai persekolahan anak-anak mereka. Dalam era modenisasi ini, pendidikan semakin memerlukan kos yang tinggi. Hal ini menyebabkan ibu bapa terpaksa bekerja dengan lebih kuat dan lebih masa untuk menampung kos pendidikan anak-anak mereka. Buktinya, mantan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga pernah menyatakan bahawa wang ringgit bukanlah pengganti kasih sayang malah semua ibu bapa sanggup mengorbankan apa-apa sahaja untuk kebahagiaan cahaya mata mereka. Kenyataan ini membuktikan bahawa ibu bapa rela berkorban demi anak-anak mereka sekali pun terpaksa bergadai nyawa. Sudah terang lagi bersuluh bahawa pengorbanan ibu bapa menjadi dorongan untuk anak-anak cemerlang dalam bidang pelajaran.

Dorongan lain yang boleh diberikan oleh keluarga adalah dengan memberikan anak-anak didikan agama yang sempurna. Hal ini kerana anak-anak yang mempunyai didikan agama yang sempurna akan terang hati dan lebih mudah untuk menerima pelajaran. Mereka akan mempunyai prinsip hidup yang teguh, sekali gus menyebabkan mereka tidak mudah terpengaruh oleh gejala negatif yang semakin berleluasa seperti kudis dalam masyarakat marcapada ini. Kejayaan Nadia Amira yang cemerlang dalam SPM 2006 menunjukkan bahawa pelajar yang mempunyai didikan agama yang sempurna mampu meraih kejayaan. Albert Einstein pernah mengatakan bahawa agama tanpa ilmu adalah buta, manakala ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Oleh itu, jelaslah bahawa didikan agama yang sempurna merupakan salah satu dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga demi kecemerlangan anak-anak dalam bidang akademik.

Sebagai intiha, dorongan daripada keluarga merupakan faktor terpenting kejayaan anak-anak. Rentetan itu, ibu bapa serta ahli keluarga yang lain wajarlah bersatu padu bagai aur dengan tebing dan sama-sama berusaha seperti hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah untuk merealisasikan impian murni mereka. Dorongan keluarga dapat melahirkan anak-anak yang cemerlang, gemilang dan terbilang seperti yang dilaungkan mantan Perdana Menteri kita yang lebih dikenali sebagai "Pak Lah". Marilah kita buktikan kepada dunia bahawa pemikiran rakyat Malaysia tercinta ini tidak lagi dibelenggu atau tidak lagi umpama katak di bawah tempurung, malah telah bertamadun dalam menuju era globalisasi untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara lain untuk negara maju yang lain di seluruh sarwajagat ini.

CONTOH KARANGAN : USAHA-USAHA MEMBENDUNG KENAIKAN HARGA BARANG

Belakangan ini, kenaikan harga barang telah melanda negara kita. Kenaikan ini menyebabkan perbelanjaan rakyat Malaysia semakin bertambah. Bagi golongan yang hidup seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang atau kurang berada ini, kenaikan ini sudah pasti menimbulkan beban kepada mereka. Terdapat beberapa langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menghadapi kenaikan ini, bak kata pepatah, ingat sebelum kena jimat sebelum habis.

Satu daripada langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah ini ialah setiap rakyat Malaysia perlulah mempraktikkan amalan berjimat cermat. Amalan ini dapat dilaksanakan dengan mengurangkan perbelajaan atau ikat perut. Sebagai contohnya, jika pada suatu ketika dahulu kita berbelanja sebanyak 100 peratus, perbelanjaan tersebut hendaklah dikurangkan kepada 50 atau 60 perataus sahaja. Wang selebihnya hendaklah kita simpan. Melalui cara ini, kita dapat mengurangkan pengaliran wang di pasaran dan seterusnya dapat mengurangkan permintaan terhadap sesuatau barangan sekali gus dapat mengurangkan kenaikan harga barang.

Selain itu, ketua sesebuah keluarga pula hendaklah merancang perbelanjaan keluarga dengan teliti. Semua perbelanjaan hendaklah dibuat berdasarkan keperluan yang sebenarnya. Hal ini bermaksud barang-barang yang tidak diperlukan hendaklah diketepikan. Sebagai contohnya, setiap ahli keluarga hendaklah menangguhkan pembelian pakaian yang berjenama mahal, peralatan perabot, dan sebagainya. Mereka hendaklah menumpukan pembelian barangan keperluan utama seperti beras, gula, tepung, dan sebagainya.

Di samping itu, semua ahli masyarakat hendaklah memboikot barang-barang di pasaran yang harganya naik secara mendadak. Dalam hal ini, masyarakat hendaklah bersatu hati seperti yang terungkap dalam pepatah Melayu, iaitu bersatu teguh bercerai roboh. Sebagai contohnya, masyarakat janganlah membeli ayam daging di pasar yang mengalami kenaikan harga yang tidak munasabah. Apabila pembeli memboikot pembelian terhadap ayam daging tersebut dalam tempoh tertentu, harga ayam tersebut akan turun kembali.

Bukan itu sahaja, pihak kerajaan pula hendaklah sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan tanpa mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan. Pegawai yang bertanggungjawab hendaklah mengadakan lawatan secara mengejut dari semasa ke semasa untuk memastikan penjual mematuhi peraturan yang telah ditetapkan atau tidak bersikap seperti lintah darat. Sebagai contohnya, mana-mana penjual yang menaikkan harga barangan secara sesuka hati atau cuba memasang lukah di pergentingan, mereka hendaklah didakwa di mahkamah. Tindakan ini akan menyebabkan mereka tidak berani untuk mengambil kesempatan dalam suasana negara menghadapi kemelut kenaikan harga minyak.

Kesimpulannya, kenaikan harga barang telah menyusahkan banyak pihak. Oleh itu, semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menangani masalah ini. Bagi sesetengah pihak pula, janganlah bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Semua rakyat Malaysia mestilah bertindak seperti ke bukit sama-sama didaki dan ke lurah sama-sama dituruni untuk mencari jalan bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku. Sebagai pengguna pula, kita mestilah memboikot barang-barang tertentu jika ada pihak yang ingin mengambil kesempatan dalam situasi genting yang bagai telur di hujung tanduk ini.