Cari Blog Ini

Sabtu, 27 Ogos 2011

Titipan bahasa Melayu Tetap di Hati... sempena cuti Aidilfitri khas buat anak-anak didik tersayang.. . 2 Othman

Assalammualaikum anak-anak didik cikgu semua.... apa khabar? Cikgu pasti anak-anak didik 2 Othman semua teruja menantikan gema takbir hari raya kan...jangan lupa tolong ibu kemas rumah ye...Pada kesempatan ini, ciku ingin mengucapkan selamat hari raya untuk anak-anak didik cikgu.... ingat pesanan cikgu, sambil bergembira, pastikan keselamatan dan kesihatan diri juga.

Baiklah, seperti yang cikgu janjikan.... titipan cuti raya ini, cikgu sertakan beberapa tugasan seperti di bawah. siapkan ye...!!!

Selamat bercuti dan berhari raya!!!


Tugasan 1 :

Baca petikan di bawah dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang panduan berpakaian dalam keadaan tertentu. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Anda tentu sudah maklum bahawa pakaian merupakan keperluan asas yang utama kepada manusia, selain makan dan minum. Pakaian juga bukan sekadar penting bagi menutup aurat kita semata-mata, tetapi juga mencerminkan peribadi seseorang, di samping menggambarkan penampilan kita sendiri.

Apabila kita berpakaian, kita kena sesuaikan dengan situasi dan tempatnya. Contohnya, jikalau anda pergi ke majlis-majlis undangan orang, pakailah pakaian yang senonoh, tertib, dan beradab sopan. Anda tidak boleh memakai pakaian yang menjolok mata seperti sendat, sempit, terbelah sana sini, jarang, dan singkat. Namun demikian, ini tidaklah pula bermaksud anda harus memakai sepasang kot, bertali leher, atau memakai 'bow-tie' pula. Lainlah kalau majlis itu diadakan di dalam hotel-hotel. Lazimnya, kalau jamuan-jamuan besar pada waktu malam, memang digalakkan anda memakai sepasang kot berwarna hitam. Pendek kata, semuanya hitam bermula daripada tali leher, atau 'bow¬tie' hitam, sehinggalah kepada stoking, dan kasut pun hitam.

Ketika menghadiri seminar, persidangan, dan sebagainya juga elok jika anda memakai kot dan bertali leher. Ini tidak semestinya lengkap satu suit, atau sepasang. Anda boleh memakai seluar dan kot berwarna lain, atau berbeza tetapi biarlah kena warnanya. Bagi sesetengah majlis khas pula, kita perlu mematuhi arahan cara berpakaian yang disebut dalam kad undangan. Lazimnya, bagi mereka beragama Islam, atau berbangsa Melayu, mereka akan diminta untuk memakai pakaian kebangsaan. Ini bermakna, kaum lelaki harus memakai baju Melayu sepasang, siap dengan samping, dan songkoknya sekali. Sesiapa yang tidak mematuhi arahan berpakaian itu boleh dihalau daripada menyertai majlis itu.

Mengenai pakaian semasa menghadiri upacara keagamaan pula, eloklah memakai pakaian yang lengkap dan sesuai. Dalam Islam, tidak dibenarkan lelaki berseluar pendek untuk pergi sembahyang, atau bersembahyang tanpa memakai baju. Dalam upacara agama yang lain-lain juga begitu. Pakailah pakaian yang sempurna. Orang yang beragama Kristian, misalnya, kaum lelakinya memakai sepasang kot, manakala kaum wanitanya pula berbaju labuh dan sopan. Kalau anda pergi mandi di kolam-kolam renang pula, anda kenalah berpakaian mengikut etika berenang. Lelaki mestilah memakai seluar mandi yang pendek, manakala perempuan mestilah memakai baju mandi khas. Tidak kena kalau anda yang lelaki memakai seluar panjang untuk pergi mandi. Kemudian, pakai pula singlet atau baju-T, manakala yang perempuan pula memakai skirt, gaun, ataupun kain basahan dan batik ketika pergi mandi di kolam. Itu sudah dikira kurang adab dan tidak bertatasusila yang betul.

Selain itu, apabila anda hendak pergi bermain atau bersukan kenalah berpakaian untuk bermain atau bersukan. Tentulah anda akan memakai seluar pendek dan baju- T yang sesuai. Kasut yang anda pakai juga mesti sesuai dengan gelanggang yang digunakan. Anda tidak dibenarkan memakai kasut bola, atau kasut berpaku untuk acara lumba lari di gelanggang bola keranjang, badminton, dan tenis.Tegasnya, memakai pakaian mestilah sesuai dengan situasi dan tempatnya, Oleh itu, pandai-pandailah anda berpakaian bagi menyesuaikan etika berpakaian itu sendiri.

Tugasan 2 :

Baca petikan di bawah dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang teknik belajar bagi menghadapi peperiksaan di sekolah. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.


Peperiksaan sudah hampir. Hal ini bermakna masa pelajar amat mahal harganya. Justeru, masa haruslah digunakan sebaik mungkin, bak kata pepatah , masa itu emas. Pada saat-saat menjelang pepriksaan pelajar harus tahu teknik belajar yang betul supaya segala yang dipelajari dapat diingati dengan mudah.

Terdapat pelbagai teknik belajar yang boleh digunakan oleh pelajar. Salah satu caranya ialah mendengar dengan teliti ketika guru mengajar. Hal ini membolehkan mereka mengingati dan memahami pelajaran yang diajar. Selain itu, pelajar juga perlu memastikan nota yang diberi oleh guru dicatat dengan teliti bagi memudahkan mereka membuat ulang kaji.

Pelajar juga harus membina jadual belajar sendiri supaya mereka dapat mengulang kaji pelajaran dengan lebih bersistematik. Hal ini secara tidak langsung dapat mendisiplinkan pelajar agar mematuhi jadual yang telah dibuat. Dengan banyak membuat latih tubi yang diberikan oleh guru atau daripada buku-buku rujukan juga dapat membantu pelajar mencapai keputusan cemerlang. Pelajar juga harus sering mencuba soalan-soalan tahun lepas atau soalan yang menguji kemahiran agar pelajar dapat menguasai mana-mana mata pelajaran.

Dengan membaca contoh-contoh jawapan yang didapati dalam buku-buku panduan juga dapat membantu pelajar menghadapi peperiksaan. Hal ini membolehkan pelajar mempelajari teknik yang betul untuk menjawab soalan dalam peperiksaan. Walau bagaimanapun perlu diingatkan bahawa jawapan contoh ini tidak boleh dijadikan bacaan utama, sebaliknya hanya sekadar panduan.Pelajar sebenarnya boleh memberi jawapan yang lebih baik.

Seterusnya,mengadakan kumpulan belajar juga merupakan teknik belajar yang baik. Cara ini membolehkan pelajar mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan dan bertukar-tukar pandangan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi. Satu hal yang perlu diambil perhatian ialah tempat perbincangan haruslah sesuai agar tidak timbul masalah yang boleh menganggu perbincangan.

Bagi mengukuhkan lagi pemahaman pelajar, menghadiri kelas-kelas tuisyen juga dapat membantu.Kelas-kelas tuisyen biasanya mengandungi bilangan pelajar yang kecil. Hal ini memberikan ruang kepada pelajar untuk bertanya kepada guru dengan lebih jelas sekiranya menghadapi masalah dalam sesuatu pelajaran. Walaupun pelajar terpaksa mengeluarkan perbelanjaan untuk mengikuti kelas tuisyen tetapi hasilnya tentu berbaloi.kata orang alah membeli menang memakai.

Di sekolah, kelas-kelas tambahan bagi setiap subjek juga perlu diikuti oleh pelajar yang kurang berkemampuan . Bagi pelajar yang kurang mampu kelas tambahan ini amat bermanfaat. Kelas tambahan ini sama fungsinya dengan kelas tuisyen. Yang membezakannya ialah kelas tambahan di sekolah diberi secara percuma oleh guru-guru yang mengajar secara sukarela. Jadi, pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan tidaklah tercicir dalam usaha untuk memantapkan prestasi pelajaran mereka.

Akhir sekali, kesihatan juga merupakan aspek penting yang tidak harus diabaikan. Pelajar yang akan menghadapi peperiksaan haruslah makan makanan yang seimbang agar badan sentiasa sihat. Tidur yang mencukupi dapat menjamin kesihatan yang baik. Masa untuk beriadah juga haruslah diluangkan agar tekanan dapat dikurangkan.Ingatlah badan sihat otak cergas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan