Cari Blog Ini

Jumaat, 16 September 2016

Titipan Bahasa Melayu Dekat di Hati sempena cuti Aidiladha

Tahniah !!

Muhammad Salahuddin, 3 Othman






         Sebagai pembuka kata dan mauduk bicara, antara persiapan yang dapat dilakukan oleh setiap individu pelajar untuk mencapai kejayaan dalam bidang akedemik adalah sentiasa rajin mengulang kaji pelajaran tanpa mengenal erti penat dan lelah. Pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya harus dijadikan pegangan dalam usaha mengejar kejayaan yang diimpi-impikan oleh setiap pelajar. Sepatutnya selepas tamat waktu persekolahan, sama ada       di rumah mahupun di asrama, kita perlu mengulang kaji semula ilmu yang baru sahaja  dipelajari di dalam kelas agar lebih memahami dan dapat mengingat kembali apa yang diajarkan oleh guru. Sesungguhnya cara ini lebih berkesan untuk memantapkan lagi pemahaman kita terhadap sesuatu topik. Walaupun kejayaan bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk dicapai, namun kita janganlah berputus asa dan kita perlulah meneruskan perjalanan kita untuk mencapai apa yang kita dicita-citakan selama ini dengan penuh kegigihan dan kesabaran. Walaupun kegagalan kali pertama mungkin amat pahit dan perit untuk ditempuhi, namun akan terasa manisnya apabila kita berjaya dengan hasil usaha tangan kita sendiri.  Tegasnya, sikap rajin berusaha amat dominan dalam menentukan kejayaan seseorang dalam bidang akademik kerana sesungguhnya usaha tangga kejayaan.

       Selain itu, antara persiapan yang dapat dilakukan untuk menjamin kejayaan dalam bidang akademik adalah dengan mengurus masa dan membuat jadual harian bagi memudahkan lagi urusan seharian kita. Untuk membuat jadual pula, kita juga perlulah bijak mengagihkan masa dan membahagikan subjek-subjek  mengikut keutamaan. Namun perlu diingat, jadual harian ini perlu juga mengambil kira kesesuaian masa untuk belajar dan riadah. Sebagai contoh, kita memperuntukkan masa belajar untuk dua ataupun tiga subjek dalam sehari, namun boleh juga mengikut cita rasa masing-masing. Jadikanlah jadual itu sebagai panduan untuk kita menguruskan diri dengan lebih efisien dan sistematik. Walaupun, senario ini nampak mudah, tetapi akan memberi impak positif yang besar kepada kita. Contohnya, jika semua anggota masyarakat  mendidik anak mereka dengan perkara sebegini, masyarakat tersebut dapat melahirkan insan-insan yang berdisiplin  dan bijak untuk menguruskan masa kepada negara. Impaknya, generasi yang berdisiplin dan berdaya saing dapat dilahirkan dan pastinya negara akan dipandang tinggi daripada negara-negara lain. Bagi diri pelajar sendiri pula, dengan kejayaan pelajar mengurus masa akan dapat meletakkan diri mereka  setanding dengan orang-orang yang berjaya.

           Selain itu,  secara berkumpulan juga antara salah satu persiapan untuk meningkatkan lagi pencapaian dalam bidang akedemik. Hal ini dikatakan demikian kerana, belajar secara berkumpulan ini dapat menambahkan lagi pengetahuan kita dengan cara berkongsi pendapat dan pandangan antara satu sama lain. Namun, perkara ini perlu dipandang serius kerana dapat memberikan impak negatif kepada sesetengah indivdu. Sebagai contoh, ada juga beberapa kumpulan yang acuh tak acuh untuk belajar kerana mereka banyak berbual,  dan bermain. Oleh sebab itu, untuk mengelakkan benda ini berlaku setiap kumpulan perlulah membataskan kapasiti ahli kumpulan dan melantik ketua kumpulan agar dapat memastikan aktiviti pembelajaran berkumpulan dapat berjalan lancar mengikut perancangan.

           Konklusinya, kita sebagai penuntut ilmu ataupun pelajar perlulah bersedia untuk membuat persediaan sehabis baik untuk menghadapi peperiksaan dan janganlah memandang mudah  terhadap perperiksaan kerana peperiksaan itu amatlah penting untuk menentukan masa hadapan kita. janganlah mengambil mudah dengan membuat persediaan pada akhir-akhir waktu. Hargailah masa kerana masa itu amat berharga bagi kita kerana mengikut kata-kata orang dahulu, masa itu ibarat emas. Janganlah sudah terhantuk baru terngadah. Menyesali keputusan peperiksaan yang kurang cemerlang mungkin tiada gunanya lagi. Sebelum nasi menjadi bubur, seyogianya setiap pelajar mengorak langkah membuat persiapan yang secukupnya untuk mencipta kejayaan demi kejayaan dalam bidang akademik dan seterusnya mencorakkan kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan.

       



Tiada ulasan:

Catat Ulasan