Cari Blog Ini

Rabu, 21 Julai 2010

TITIPAN HUJUNG MINGGU 23 -25 JULAI 2010 BUAT ANAK-ANAK DIDIK CIKGU DI TINGKATAN 4 IBNU SINA

Salam cuti hujung minggu untuk anak-anak didik cikgu semua.... jangan nakal-nakal.... ujian kedua bakal menjengah. Cikgu harap anak-anak didik cikgu dapat manfaatkan masa terluang ini dengan aktiviti yang berfaedah dan memberi maslahat untuk diri anak-anak sekelian. Seperti biasa, cikgu titipkan buah tangan sempena cuti hujung minggu ini... buat ye!!

Soalan 1: Rumusan
[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah untuk memantapkan penggunaan bahasa Melayu dan kekangan yang dihadapi. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Tanggal 31 Ogos, setiap tahun Malaysia meraikan kemerdekaan daripada penjajahan British. Dalam tempoh tersebut pelbagai kemajuan dan pembangunan yang membanggakan mampu dicapai oleh negara kita. Pascamerdeka, Malaysia berhadapan dengan cabaran baru untuk membina identiti bahasa Melayu agar setaraf dengan kedudukannya sebagai bahasa rasmi negara. Pelbagai langkah perlu dilaksanakan untuk merealisasikan matlamat tersebut.

Antara langkah utama yang perlu dilakukan oleh rakyat Malaysia adalah memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Walaupun agenda ini sudah lama diperjuangkan, matlamat tersebut masih belum tercapai. Namun, usaha memantapkan penggunaan bahasa Melayu dengan bersungguh-sungguh dapat meningkatkan jati diri rakyat. Hal ini perlu diberikan perhatian yang serius kerana kesan penjajahan Inggeris dan arus globalisasi yang melanda telah meminggirkan kedaulatan bahasa kebangsaan. Negara yang mempunyai sejarah yang panjang seperti Jepun dan Perancis bangga akan bahasa ibunda masing-masing. Mereka meremehkan bahasa asing dan cuba mewujudkan peraturan agar bahasa asing tidak mengatasi kedudukan dan kepentingan bahasa kebangsaan.

Mereka yang bertanggungjawab mempamerkan bahasa kebangsaan pada papan tanda tanpa memasukkan penggunaan bahasa asing khususnya bahasa Inggeris. Jika berkunjung ke luar negara, sedikit banyak pengunjung perlu memahami bahasa kebangsaan mereka untuk memudahkan komunikasi. Rakyat negara tersebut berasa bangga menggunakan bahasa kebangsaan walaupun kemahiran menguasai bahasa kedua dianggap penting dan digalakkan untuk memudahkan mereka berinteraksi dengan orang asing. Oleh sebab itu, sekolah memainkan peranan utama dalam penggunaan bahasa yang tepat dan betul

Rakyat di negara ini tidak mencapai kemajuan sebenar sebagai bangsa merdeka sekiranya bahasa ibunda tidak diletakkan di tempat yang sewajarnya. Matlamat ini tidak mampu dicapai dengan segera kerana memerlukan kesedaran dan pendidikan dalam tempoh yang panjang. Bagi mencapai matlamat itu, kerajaan wajar mengadakan kempen yang berkesan.

Bahasa merupakan identiti sesebuah negara. Satu cara untuk menyamatarafkan bahasa Melayu agar setanding dengan bahasa di negara maju adalah dengan mengukuhkan dan menggalakkan penggunaan bahasa Melayu baku dalam kalangan semua kaum yang mampu memberikan imej yang positif kepada Malaysia. Selain memperkasakan bahasa, peningkatan kualiti wacana nasional perlu dilestarikan. Pakar-pakar bahasa dan pihak media perlu mengambil tanggungjawab masing-masing untuk membantu rakyat menguasai bahasa Melayu dengan sebaik mungkin. Ahli akademik disarankan tidak terlalu leka di menara gading sahaja sehingga buah fikiran mereka tidak sampai kepada rakyat. Mereka digalakkan lebih banyak menulis dan diberi ruang untuk memberikan pendapat di media.


Pengukuhan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan penyebaran luas idea yang kritis dan progresif mampu menyumbang kepada pembinaan negara. Kemajuan intelektual perlu seiring dengan kemajuan fizikal agar pembangunan negara ini berjalan dengan lancar.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana
Membina Identiti Malaysia oleh Haris Zalkapli, Dewan Masyarakat Jun 2007)

-------------------------------------------------------------------------------
Soalan 2: Pemahaman
[35 markah]
Jawab semua soalan

Soalan 2(a) Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata memberikan imej yang positif. [2 markah]

(ii) Nyatakan sebab-sebab bahasa Melayu perlu dimartabatkan di negara kita.
[3 markah]

(iii) Pada pendapat anda , apakah usaha-usaha yang dapat dilakukan oleh pihak sekolah dalam memartabatkan penggunaan bahasa Melayu?
[4 markah]

Ahad, 18 Julai 2010

TITIPAN HUJUNG MINGGU 23-25 JULAI 2010 - KHAS UNTUK PELAJAR 5 IBNU SINA DAN 5 IBNU RUSYD

Salam sayang untuk anak-anak didik cikgu... selamat berhujung minggu bersama keluarga tersayang. Cikgu pasti anak-anak didik cikgu tentu sedang memanfaatkan detik-detik yang amat berharga ini, tambahan pula peperiksaan percubaan kian mengintai waktu... isilah masa yang sedikit cuma ini dengan sebaik-baiknya. Seperti biasa, cikgu tidak akan lama meninggalkan anak-anak didik cikgu. Cuti ini cikgu akan pastikan, nama cikgu akan sentiasa lekat di minda anak-anak semua khususnya mata pelajaran Bahasa Melayu yang amat cikgu cintai. Cikgu harap anak-anak didik cikgu pun begitu juga....


TUGASAN PERTAMA


Baiklah, untuk titipan kali ini cikgu minta anak-anak pelajar menulis sebuah cerpen berdasarkan bahan KOMSAS tingkatan 4 iaitu Seloka Pak Kaduk dan Pantun Enam Kerat. Cuba fahami seloka dan pantun tersebut, dan olah semula menjadi sebuah cerpen yang menarik untuk tatapan bersama. Panjang cerpen tersebut tidak kurang daripada 350 patah perkataan. Tolong siapkan cerpen tersebut dalam buku karangan anda. Selamat menulis!!!

TUGASAN KEDUA

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
.
”Bagaimana dengan Eyrique? Sudah ditemui?”
Pertanyaan Strenn berbau sinis.”Lupakan dia Annyss, kalau kau menjadi isteriku sekaligus kau adalah Permaisuri Alstonia. Tapi kalau Eyrique naik takhta, kau tidak tidak akan dapat apa-apa."
............Strenn dapat merasakan kemenangannya.”Untuk pengetahuan kau, aku sudahpun berjumpa dengan Eyrique.” Annyss cukup nekad dengan jawapannya.”Esok akan kubawa dia ke istana. Bersedialah!” Dengan hamburan kata-kata itu, Annyss meninggalkan Strenn yang amat terkejut. Air mukanya jelas berubah tatkala Annyss menekan perkataan’sudah’.

............Annyss sendiri agak tergamam dengan tindakannya. Entah mengapa lancar benar lidahnya mendustai Strenn. Dalam diam dia memasang tekad. Eyrique harus muncul esok walau apa sekalipun halangannya.

............Annyss menghempaskan diri di atas katil peraduannya. Kekecohan ini timbul semenjak Maharaja Alstonia yang ke –73 mangkat. Eyrique sebagai pewaris tunggal belum mencapai usia kedewasaannya. Oleh itu, adinda baginda dilantik sebagai pemangku. Namun setelah masanya tiba, kehilangan Eyrique yang mendadak menjadi satu misteri. Ada yang berkata dia merajuk kerana ayahanda saudaranya enggan menyerahkan takhta kepadanya. Kemangkatan bonda Annyss pula menambahkan kekeruhan suasana.


(Dipetik daripada cerpen Annyss Sophellia dalam antalogi Anak Laut , Dewan Bahasa dan Pustaka)


(i) Apakah masalah-masalah yang berlaku di Alstonia? [3 markah]

(ii) Pada pendapat anda, apakah kesan yang akan timbul sekiranya pemimpin bersikap mementingkan diri sendiri? Berikan alasan anda. [3 markah]

(iii) Huraikan satu perwatakan Annyss Sophellia dalam petikan cerpen di atas dan dua perwatakan lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen . [3 markah]