Cari Blog Ini

Jumaat, 23 Oktober 2009

karangan rencana akhbar

Karangan Rencana
Latihan 1

Kegiatan merosakakan harta benda awam (vandalisme) di Negara sering dikaitkan dengan remaja. Anda ingin menulis sebuah rencana tentang gejala tersebut untuk dimuatkan dalam sebuah akhbar tempatan. Tajuk rencana anda ialah “Permasalahan Vandalisme dalam Kalangan Remaja”.

Tulis rencana tersebut selengkapnya.

Rangka Jawapan:[10 minit]

1.Pendahuluan
- Kerajaan menyediakan kemudahan awam untuk ………………....
- Peruntukan membangunkan infrastruktur sangat besar…………
- Ada yang merosakkan dengan sengaja……………..
- Apakah puncanya?.............................................
- Apakah kesannya kepada orang awam?...................................

2: ISI-ISI JAWAPAN

Isi 1
Pengaruh rakan sebaya – kesibukan ibu bapa – membuka peluang anak-anak brcampur dengan kawan-kawan yang rendah moral / akhlak – kelamaan mereka juga ikut sama apa yang rakan buat.

Isi 2
Tekanan perasaan – masalah keluarga – gagal peperiksaan – putus cinta – oleh itu dengan merosakakan kemudahan awam satu cara melepaskan tekanan itu.

Isi 3
Ibu bapa kurang memberi didikan agama – anak-anak kurang rasa tanggungjawab menjaga kesejahteraan ala mini – tiada perasaab sayang

Isi 4
Menimbulkan masalah kepada orang ramai – tidak dapat menggunakan telefon awam – dalam masa kecemasan.


Isi 5
Merugikan wang rakyat – kos pembinaan sangat tinggi – peruntukan baru perlu dikeluarkan untuk membaik pulih kemudahan yang sudah rosak.


3.0:Penutup

- Kesimpulannya berlakunya Vandelisme bersangkut paut dengan sikap remaja yang sudah “mati rasa”. Sepatutnya mereka menyayangi kemudahan yang disediakan untuk mereka. Impaknya ditanggung oleh masyarakat dan Negara.
Posted by Mohd Zulkifli bin Ramli at 8:29 PM

Fokus soalan cerpen SPM 2009

Fokus SPM 2009 - Lambaian Malar Hijau
Soalan:
Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian jawab soalan berikutnya dengan menggunakan perkataan anda sendiri.

Daneng merenung jauh ke tengah danau biru.
"Cikgu kasihan melihat cara hidup masyarakatmu."
"Cikgu menganggap kami miskin, bukan? Bukan sahaja
cikgu, ramai orang luar yang simpati akan kami. Tetapi konsep miskin itu tidak ada dalam kamus kami. Seluruh hutan dan belantara ini, danau dan tanah ini, milik kami bersama, milik kami sejak berzaman. Hutan ini tidak membenarkan sebarang kekurangan kepada kami." Daneng bersuara dengan agak serius.
Kekaguman mengisi benak Jo sekali lagi melihat kepetahan anak muridnya itu berpidato. Tidak dapat disangkal lagi bahawa Daneng memang bijak dan mempunyai masa depan yang cerah jika diberi peluang. Keinginan untuk meneruskan niatnya terus membara.
"Tentu sekali! Belantara ini sememangnya satu anugerah.
Tetapi dunia sentiasa berubah. Kemajuan menerpa manusia.
(Antologi Anak Laut,Hal.94)

(i) Mengapakah Daneng menganggap masyarakatnya tidak miskin?
[3 Markah]
(ii) Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk mengubah persepsi masayarakat Orang Asli terhadap kehidupan mereka di negara kita?
[3 markah]
(iii) Senaraikan satu gaya bahasa inversi dan satu gaya bahasa personifikasi yang terdapat dalam petikan di atas? .
[4 markah]
Jawapan:
(i) Daneng menganggap masyarakatnya tidak miskin kerana mereka menganggap bahawa hutan dan belantara milik mereka.Selain itu, hutan tersebut menyediakan semua keperluan yang dikehendaki.
(ii) Usaha yang perlu dilakukan ialah kemudahan pendidikan untuk mereka hendaklah diperbanyak dan diperlengkap. Selain itu, kerajaan hendaklah membina petempatan yang mempunyai kemudahan infrastruktur yang lengkap untuk mereka. Seterusnya, masyarakat tidak sepatutnya memiinggirkan mereka dalam apa-apa juga aktiviti atau program yang diadakan.
(iii) Gaya personifikasi dalam petikan ialah Kemajuan menerpa manusia.Contoh gaya bahasa inversi pula ialah Tidak dapat disangkal lagi bahawa Daneng memang bijak dan mempunyai masa depan yang cerah jika diberi peluang.

fokus soalan novel spm 2009

Fokus Soalan Novel SPM 2009 - Teknik Plot
Soalan 4(b)
Huraikan teknik plot yang digunakan dalam salah satu novel yang telah anda pelajari.
Jawaban:

Teknik plot penting untuk menyampaikan cerita di samping menarik minat pembaca. Antara teknik plot yang digunakan olch Abdullah Hussain dalam noveInya, Konserto Terakhir termasuklah teknik dialog. Sebagai contohnya, diwujudkannya dialog antara Hilmi dengan Hayati dan dialog antara Hilmi dengan Encik Bakar.

Teknik pemerian pula digunakan oleh beliau untuk menceritakan sesuatu peristiwa secara langsung. Sebagai contohnya, pengarang menceritakan hal tentang Hayati yang belajar bermain piano dengan gurunya.

Teknik monolog dalaman juga digunakan untuk menceritakan emosi seseorang watak. Sebagai contohnya, dialog dalam diri Azizah tentang layanan mesra yang diberikannya kepada Hilmi.

Teknik imbas kembali digunakan untuk menceritakan peristiwa yang lalu. Sebagai contohnya, peristiwa Hayati pulang ke rumah dan Hilmi telah tiada disampaikan oleh pengarang dengan menggunakan teknik tersebut.

Teknik suspens terdapat juga dalam novel ini. Sebagai contohnya, pembaca tertanya-tanya tentang hal yang akan berlaku kepada Hilmi yang terlantar di hospital.

Kemunculan Hayati secara mengejut dari London pada malam Pertunjukan Orkes Perdana menunjukkan bahawa Abdullah Hussain telah menggunakan teknik kejutan dalam ceritanya.

Khamis, 22 Oktober 2009

kenangan bersama 5 abu bakar 2009


inilah situasi semasa sesi latih tubi bahasa melayu dalam kelas kesayangan cikgu... 5 abu bakar. hanya tinggal lebih kurang 3 minggu lagi nak menghadapi peperiksaan SPM. anak-anak didik cikgu pun dah mulai pening-pening lalat sebab banyak sangat buat soalan percubaan negeri-negeri lain... tapi takpa, bukan senang nak senang... ingat tu!!! susah skarang untuk senang kemudian hari ...

Rabu, 21 Oktober 2009

SELAMAT MAJU JAYA ANAK-ANAK DIDIK CIKGU


tinggal lebih kurang 3 minggu lagi SPM akan hadir menemui anak-anak didik cikgu calon SPM 2009...untuk calon-calon SPM 2009 SMKAJB khususnya pelajar 5 Abu Bakar dan 5 Ibnu Rusyd yang amat cikgu sayangi, selamat maju jaya!!! Mudah-mudahan Allah merahmati, memberikan taufik dan hidayah agar anak-anak didik cikgu mudah menjawab semasa peperiksaan nanti...Aminn!!!

Jumaat, 9 Oktober 2009

HARGA SEBUAH PENGALAMAN...


HARGA SEBUAH PENGALAMAN...
Menjadi seorang guru pada alaf ini sememangnya memerlukan kita sentiasa 'up to date' dengan arus perdana.... bagaimana caranya? terpulang... tetapi bagi cikgu, tiada salahnya kita belajar dan menimba ilmu walaupun kita telah bertahun-tahun bergelar seorang guru... kadang-kadang kita terpaksa belajar dengan anak murid sendiri, terutamanya ilmu yang berkait dengan IT terkini. maklumlah zaman cikgu dulu zaman mesin taip. ada komputer pun zaman word star yang agak komplikated, memang susah nak pandai. pengalaman terbaru cikgu tentang IT ini merupakan rentetan daripada PEMANTAUAN CALON GURU CEMERLANG DG44 yang cikgu mohon pada Ogos 2009 yang lalu. jadi pada 2 dan 6 Oktober lepas, bermulalah satu siri baru dalam diari cikgu latifah.... ehem... berkat pemantauan tersebutlah, sekarang ni cikgu latifah dah pandai mengarang dalam blog ini... alhamdulillah. Terima kasih cikgu ucapkan kepada pemantau cikgu, Pn. Hjh. Azizah binti Mohd. Zaki ( Pengetua Cemerlang, SMK Taman Daya )yang telah banyak memberi teguran membina.

Rabu, 7 Oktober 2009

KAEDAH MUDAH MENGINGAT FAKTA KOMSAS

Para pelajar cikgu sangat seronok apabila diberikan peluang untuk menjana kreativiti mengungkapkan beberapa aspek komsas dalam kajian Antologi Anak Laut ke dalam bentuk puisi. Cikgu telah membahagikan pelajar kepada beberapa kumpulan untuk sama-sama berbincang bagi siri ulangkaji komsas cerpen dan prosa klasik. ada kumpulan yang berjaya menyiapkan ungkapan pantun berdasarkan cerpen dan prosa dengan begitu menarik. Berikut merupakan contoh garapan idea kreatif para pelajar 4 IBNU SINA 2009

Ahad, 4 Oktober 2009

FORMAT KARANGAN PIDATO

PENGENALAN

1. MEMPERKENALKAN DIRI
2. MEMBERIKAN DEFINISI
3. MENYATAKAN KATA KUNCI
4. MEMBINCANGKAN ISI


TUGASAN PELAJAR :

1. Anda akan mewakili kelas dalam pertandingan pidato sempena Hari Asrama 2009. Tajuk pidato anda ialah "Asramaku Syurgaku". Anda perlu berbincang dengan rakan anda untuk mencerna tiga isi penting bagi pidato tersebut.

PETUA MENULIS KARANGAN JENIS ULASAN DRAMA

TIP

Panduan Menulis Karangan Berbentuk Ulasan

1. Ulasan bermaksud huraian, komentar, kupasan, atau tafsiran berkenaan sesuatu.
Oleh itu, karangan dalam bentuk ulasan memerlukan anda memberikan komen dan
pandangan tentang sesuatu isu atau perkara yang diulas.

2. Terdapat dua jenis karangan berbentuk ulasan yang ditanyakan dalam peperiksaan,
iaitu:
a) mengulas sesuatu topik atau isu.

(b) mengulas karya seperti cerpen, novel, drama, buku, filem, dan sebagainya.

3. Format karangan ulasan sesuatu topik atau isu sama seperti karangan berbentuk
perbincangan. Bagaimanapun, olahan karangan ulasan agak berbeza.

4. Karangan ulasan karya memerlukan anda menulis butir-butir karya yang diulas pada
permulaan karangan. Contohnya:

CONTOH KARANGAN ULASAN FILEM

Jawapan & Ulasan
Judul : Embun
Arahan : Erma Fatima
Penerbit : Filem Negara Malaysia
Pengulas : Radiatun Nadwah binti Dolah



Cinta dan perang ialah dua subjek yang cukup bertentangan di antara satu dengan yang lain. Yang satu membawakan erti kebahagiaan, manakala perang membawa makna penderitaan. Bagaimanapun filem atau karya sastera melihat kontradiksi itu sebagai hubungan yang cukup istimewa dan sering memberikan pengertian yang cukup menarik apabila digabungkan. Filem “Embun” arahan Erma Fatima juga meneruskan tema begini. Filem ini mengambil landskap Perang Dunia Kedua yang sedang menggila melanda Tanah Melayu. Ketika rakyat sedang menghadapi keganasan dan derita perang, sebuah hubungan cinta anehnya berputik.

Lebih menarik hubungan cinta itu berlaku antara dua kekasih dari dua latar yang berbeza. Si gadis daripada mereka yang sedang dijajah manakala si lelaki daripada tentera yang dikenal kerana kekerasan dan kekejaman. Di sebalik kegilaan perang dalam Embun, hubungan cinta itu patut dilihat sebagai membawa semangat feminis yang kuat. Kebangkitan Embun bertitik tolak dari tertangkapnya Bayu dan kematian bapanya di tangan tentera Jepun. Daripada seorang anak gadis yang malu-malu yang sekadar mahu mengikut kumpulan politik Kesatuan Melayu Muda (KMM) pimpinan abangnya, Embun berubah menjadi wanita yang berani, pendendam, dan bertekad untuk membalas dendam.

Lebih daripada itu, tekad dan dendam Embun sebagai akibat daripada peristiwa dia dirogol oleh tentera Jepun yang diketuai oleh Leftenan Akaishi. Apabila tidak ada golongan pemuda dan wanita yang berani bertindak dan membantunya, Embun terpaksa bertindak sendirian. Embun beruntung kerana dia diselamatkan oleh Leftenan Koishi seorang pegawai penerangan tentera Jepun yang lebih bersimpati dan memahami penderitaan rakyat tempatan akibat perang.

“Embun” memaparkan kemantapan struktur naratifnya dengan dukungan lakonan, fotografi, dan suntingan untuk menjadi filem tempatan yang cemerlang. Skrip yang ditulis oleh Rohiman Haron ini pernah memenangi hadiah dalam peraduan menulis skrip filem anjuran Finas dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak lama dahulu. Struktur naratifnya diolah dengan baik, struktur dramatik dan konfliknya berkembang seimbang di setiap adegan dan memuncak ke penamatnya apabila Embun akhirnya berjaya membunuh Akaishi dan sekali gus menyelesaikan dendamnya biarpun dia sendiri akhirnya terkorban.

Umie Aida sebagai Embun telah memberikan lakonan yang terbaik. Di wajahnya teralir kenaifan gadis desa dan kemudian secara perlahan menjadi pendendam selepas abangnya ditangkap, bapanya mati dan dia sendiri dirogol secara bergilir-gilir. Izi Yahya berjaya menampilkan lakonannya yang terbaik sebagai pegawai tentera Jepun yang rakus dan kejam. Herot wajah dan gerak tubuhnya sudah cukup untuk memberikan dinamisme pada wataknya. Bagaimanapun antara wajah tentera Jepun yang begitu menangkap dan sukar dilupakan adalah Saito, lakonan Mak Kwai Yuen, dengan riak wajah yang dingin serta lebih banyak mengundang misteri yang menakutkan.

Aspek yang cukup cemerlang dalam filem ini ialah arahan fotografi yang dilakukan oleh Teoh Gay Hian. Fotografinya bukan sahaja cantik tetapi sensitivitinya berupaya menghasilkan mood yang sesuai untuk setiap adegan. Cahayanya terkawal, sudut dan gerak kameranya berupaya menangkap detik-detik yang genting. Ada waktunya imej-imej yang dihasilkan sungguh puitis. Aliran air sungai yang tenang dan hampir beku dilimpahi cahaya malam, sedangkan keganasan dan perang sedang bersemarak. Kameranya berjaya menangkap wajah-wajah penduduk kampung yang ketakutan dalam suasana yang genting itu.

“Embun” sebagai sebuah filem bergerak dalam tempo yang baik dengan unsur dramatiknya yang sentiasa terkawal kerana keupayaan suntingan yang cukup sensitif oleh Kamarudin Abu. Shot-shot yang dipilih bukan sahaja memperkuat adegan, menyarankan makna tetapi juga bersifat sugestif. Bagaimanapun struktur dramatik filem ini yang kuat di peringkat awal terasa agak lembut apabila perjalanan cerita semakin menuju ke akhir. Hal ini lebih terasa apabila hubungan Embun dan Koishi mula terbina. Suasana romantis itu hampir menguasai adegan-adegan selepas itu, mujur adegan memuatkan Bayu dan perjuangannya menguatkan semula kesan dramatik filem ini.

Biarpun filem ini memperlihatkan semangat feminis yang cukup kuat, tetapi beberapa adegan dalam filem ini boleh sahaja menimbulkan persoalan. Embun tidak memberikan gambaran emosi dan psikologi yang seharusnya dialami oleh wanita yang pernah melalui peristiwa hitam dan paling ngeri dalam hidupnya. Apakah peristiwa itu telah meragut emosinya dan kesan psikologinya terus hilang? Kita melihat dalam adegan tertentu dia begitu mudah menerima Koishi yang seharusnya dicurigai kerana pengalamannya masa lepas.

Secara keseluruhan, filem “Embun” ialah filem yang menarik untuk ditonton. Filem ini membangkitkan ingatan kita terhadap sejarah pemerintahan Jepun. Ceritanya telah digarap dengan kemas tetapi terdapat sedikit kelonggaran pada akhir cerita. Walau bagaimanapun, filem ini tetap cemerlang dari segi lakonan, sinematografi, dan penyuntingan.



Ulasan Karangan

Ulasan ini telah ditulis dengan gaya bahasa yang menarik. Kosa kata yang digunakan luas, ayat-ayatnya menarik dan gramatis. Ulasan yang diberikan menyeluruh dan dapat memberikan gambaran kepada pembaca tentang filem yang diulas. Di samping itu, ulasan ini juga telah ditulis dengan format yang betul.





CONTOH KARANGAN ULASAN NOVEL

karangan bentuk ulasan

Karangan Dimensi KOMSAS - Ulasan Novel
Posted on Friday 7 November 2008
Soalan:Anda pernah membaca sebuah novel yang menarik. Anda ingin mengulas novel tersebut untuk disiarkan dalam Majalah Dewan Siswa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Tulis ulasan tersebut dengan lengkap.

Jawapan:
Strategi:T=Keistimewaan diri
K=Kekuatan dan kelemahan dari segi tema, plot, perwatakan, nilai,
F= Ulasan

Isi:
Tema
Watak dan Perwatakan
Plot
Nilai
Mesej

Nama Buku: Konserto Teraakhir
Penulis: Abdullah Hussain
Penerbit: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
Bilangan halaman: 285
Kategori: Novel Remaja
Cetakan pertama: 1980
Harga: RM7.50 (Semenanjung Malaysia)RM8.80 (Sabah/Sarawak)

Novel yang bertajuk “Konserto Terakhir” ini dikarang oleh Abdullah Hussain. Novel remaja ini ringkas penceritaannya, tetapi padat dengan plot-plot yang menarik dan mengusik hati dengan dialog-dialog yang mudah tetapi tinggi tahap bahasanya. Hasil buah tangan Abdullah Hussain ini sangat menyentuh jiwa pembaca.

Novel ini bertemakan kegigihan seorang anak muda yang menghambakan diri dalam bidang muzik yang diminatinya untuk menjadi seorang pemuzik yang terkenal Watak Hilmi yang lemah dalam pelajaran, tetapi rajin, penyabar dan berjiwa seni. Hilmi berbakat besar dalam bidang muzik. Dia mempelajari ilmu tentang muzik daripada Encik Bakar. Apabila membaca novel ini, pembaca dapat menghayati ayat-ayat yang tertulis dalam buku ini. Hal ini menyebabkan pembaca dapat menggambarkan peristiwa yang berlaku.
Dari segi penciptaan watak, penekanan terhadap watak utama adalah baik. Hal ini demikian kerana pembaca dapat membuat gambaran tentang paras rupa Hilmi ini kalau dia benar-benar wujud. Watak Hayati pula boleh dikembangkan lagi. Hal ini demikian kerana potensi watak Hayati untuk menjadi salah satu watak penting atau penyelamat dalam novel ini, begitu juga dengan watak Datuk Johari dan . Watak Datin Salmah dikembangkan dengan agak menarik sebagai watak antagonis yang berkonflik dengan Hilmi. Kita dapat melihat betapa Datin Salmah memandang rendah akan kemiskinan Hilmi kerana Hilmi berasal dari kampung. Watak Azizah dan Datin Salamah kurang disenangi hingga akhir cerita. Walaupun kedua-dua watak ini agak kurang menyenangkan, namun kewujudan kedua-dua watak ini mencuit hati juga menerusi perlakuan dan dialog mereka. Novel ini boleh diadaptasikan dalam bentuk skrip drama televisyen pada masa akan datang. Hal ini demikian kerana teknik penulisan novel ini sendiri sudah memudahkan kerja-kerja penulisan skrip drama.Kekuatan novel ini terletak pada plotnya yang kukuh.Dalam novel ini, pengarang menyusun plot secara kronologi, ringkas dan dikuatkan dengan babak-babak lucu, menyentuh hati dan menyakitkan hati.Untuk mengembangkan plot, penulis menggunakan pelbagai teknik. Satu daripadanya ialah Teknik imbas muka. Sebagai contohnya, fikiran pembaca akan turut melayang jauh dan mengimbas ke depan tentang kemungkinan peristiwa yang akan dialami oleh Hilmi. Selain itu, teknik dialog yang banyak digunakan dalam novel ini telah berjaya menghidupkan cerita.

Novel “Konserto Terakhir” ini dapat mencetuskan satu bentuk motivasi terhadap pembaca untuk menjadi seorang yang berjaya. Jika pembaca benar-benar menghayati novel ini, pasti air mata pembaca akan tersentuh apabila membaca beberapa babak dalam novel ini. Bagi pelajar atau remaja, novel ini amat sesuai dijadikan sebagai bahan bacaan. Oleh sebab novel ini banyak memaparkan penggunaan bahasa yang menarik, pembaca yang membacanya akan dapat meningkatkan penguasaan bahasanya.

Dalam novel ini, nilai kekeluargaan, kasih sayang dan persahabatan digambarkan menerusi dialog dan perlakuan watak-wataknya. Hilmi beruntung kerana memiliki guru dan sahabat baik seperti Encik Bakar, guru muzik Hilmi yang baik hati dan juga Mamat. Buku ini juga ‘menegur’ masyarakat secara tersirat, supaya tidak memandang rendah akan kemampuan seorang pemuda yang miskin dan berpelajaran rendah untuk berjaya dalam kehidupannya.

Novel “Konserto Terakhir” adalah salah sebuah buku panduan masa depan terbaik untuk para remaja. Mesejnya mudah difahami, iaitu, jika kita mempunyai cita-cita, jangan cepat-cepat berputus asa bak kata pepatah,”Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.” Kita tidak harus berputus asa hanya kerana kemiskinan atau berpelajaran rendah. Datuk Hilmi dan Datin Salmah tidak menyangka bahawa Hilmi seorang anak yang miskin dan berpelajaran rendah boleh menjadi pemuzik yang berjaya.


Kesimpulannya, kekuatan novel ini terletak pada jalan cerita yang mudah difahami, plot-plot yang ringkas dan menarik. Novel ini merupakan novel yang patut dibaca terutamanya remaja atau pelajar sekolah. Banyak nilai dan pengajaran yang dapat dimanfaatkan oleh pembaca..Penulis novel ini, iaitu Abdullah Hussain ternyata seorang penulis yang hebat. Sebagai Sasterwan Negara, Gaya penulisannya mampu mewujudkan produk dengan nilai fleksibiliti yang tinggi dalam dunia karyawan, apabila dilihat dari aspek komersil. Novel ini bukan sekadar produk bertulis, malah boleh diangkat dalam pelbagai bentuk media.