Cari Blog Ini

Jumaat, 16 September 2016

Titipan Bahasa Melayu Dekat di Hati sempena cuti Aidiladha

Tahniah !!

Muhammad Salahuddin, 3 Othman






         Sebagai pembuka kata dan mauduk bicara, antara persiapan yang dapat dilakukan oleh setiap individu pelajar untuk mencapai kejayaan dalam bidang akedemik adalah sentiasa rajin mengulang kaji pelajaran tanpa mengenal erti penat dan lelah. Pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya harus dijadikan pegangan dalam usaha mengejar kejayaan yang diimpi-impikan oleh setiap pelajar. Sepatutnya selepas tamat waktu persekolahan, sama ada       di rumah mahupun di asrama, kita perlu mengulang kaji semula ilmu yang baru sahaja  dipelajari di dalam kelas agar lebih memahami dan dapat mengingat kembali apa yang diajarkan oleh guru. Sesungguhnya cara ini lebih berkesan untuk memantapkan lagi pemahaman kita terhadap sesuatu topik. Walaupun kejayaan bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk dicapai, namun kita janganlah berputus asa dan kita perlulah meneruskan perjalanan kita untuk mencapai apa yang kita dicita-citakan selama ini dengan penuh kegigihan dan kesabaran. Walaupun kegagalan kali pertama mungkin amat pahit dan perit untuk ditempuhi, namun akan terasa manisnya apabila kita berjaya dengan hasil usaha tangan kita sendiri.  Tegasnya, sikap rajin berusaha amat dominan dalam menentukan kejayaan seseorang dalam bidang akademik kerana sesungguhnya usaha tangga kejayaan.

       Selain itu, antara persiapan yang dapat dilakukan untuk menjamin kejayaan dalam bidang akademik adalah dengan mengurus masa dan membuat jadual harian bagi memudahkan lagi urusan seharian kita. Untuk membuat jadual pula, kita juga perlulah bijak mengagihkan masa dan membahagikan subjek-subjek  mengikut keutamaan. Namun perlu diingat, jadual harian ini perlu juga mengambil kira kesesuaian masa untuk belajar dan riadah. Sebagai contoh, kita memperuntukkan masa belajar untuk dua ataupun tiga subjek dalam sehari, namun boleh juga mengikut cita rasa masing-masing. Jadikanlah jadual itu sebagai panduan untuk kita menguruskan diri dengan lebih efisien dan sistematik. Walaupun, senario ini nampak mudah, tetapi akan memberi impak positif yang besar kepada kita. Contohnya, jika semua anggota masyarakat  mendidik anak mereka dengan perkara sebegini, masyarakat tersebut dapat melahirkan insan-insan yang berdisiplin  dan bijak untuk menguruskan masa kepada negara. Impaknya, generasi yang berdisiplin dan berdaya saing dapat dilahirkan dan pastinya negara akan dipandang tinggi daripada negara-negara lain. Bagi diri pelajar sendiri pula, dengan kejayaan pelajar mengurus masa akan dapat meletakkan diri mereka  setanding dengan orang-orang yang berjaya.

           Selain itu,  secara berkumpulan juga antara salah satu persiapan untuk meningkatkan lagi pencapaian dalam bidang akedemik. Hal ini dikatakan demikian kerana, belajar secara berkumpulan ini dapat menambahkan lagi pengetahuan kita dengan cara berkongsi pendapat dan pandangan antara satu sama lain. Namun, perkara ini perlu dipandang serius kerana dapat memberikan impak negatif kepada sesetengah indivdu. Sebagai contoh, ada juga beberapa kumpulan yang acuh tak acuh untuk belajar kerana mereka banyak berbual,  dan bermain. Oleh sebab itu, untuk mengelakkan benda ini berlaku setiap kumpulan perlulah membataskan kapasiti ahli kumpulan dan melantik ketua kumpulan agar dapat memastikan aktiviti pembelajaran berkumpulan dapat berjalan lancar mengikut perancangan.

           Konklusinya, kita sebagai penuntut ilmu ataupun pelajar perlulah bersedia untuk membuat persediaan sehabis baik untuk menghadapi peperiksaan dan janganlah memandang mudah  terhadap perperiksaan kerana peperiksaan itu amatlah penting untuk menentukan masa hadapan kita. janganlah mengambil mudah dengan membuat persediaan pada akhir-akhir waktu. Hargailah masa kerana masa itu amat berharga bagi kita kerana mengikut kata-kata orang dahulu, masa itu ibarat emas. Janganlah sudah terhantuk baru terngadah. Menyesali keputusan peperiksaan yang kurang cemerlang mungkin tiada gunanya lagi. Sebelum nasi menjadi bubur, seyogianya setiap pelajar mengorak langkah membuat persiapan yang secukupnya untuk mencipta kejayaan demi kejayaan dalam bidang akademik dan seterusnya mencorakkan kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan.

       



Titipan Bahasa Melayu Dekat di Hati sempena Cuti Aidiladha

PERSIAPAN YANG PERLU DILAKUKAN UNTUK MENINGKATKAN PENCAPAIAN DALAM BIDANG AKADEMIK
Oleh Zureen Halqish Mohd Hanafi, 3 Abu Bakar



Tahniah Zureen Halqish!
            
Mutakhir ini, kejayaan akedemik sangat vital dalam menentukan kejayaan masa hadapan seseorang individu. Namun, kejayaan akedemik ini hanya akan dimiliki jika seseorang itu berusaha untuk mencapainya. Malangnya, masyarakat pascamodenisasi ini tidak peka akan kepentingan kejayaan dalam bidang akademik. Sewajarnya, persediaan perlu dilakukan lebih awal untuk mendapat hasil yang cemerlang dalam peperiksaan yang bersifat akademik. Persoalannya, mengapakah sikap yang kurang cakna akan kepentingan akedemik wujud dalam diri para pelajar? Dalam hal ini, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh kerana sesungguhnya kejayaan tidak datang dengan mudah bak kata peribahasa yang bulat takkan datang bergolek, yang pipih takkan datang melayang. Oleh itu, kita mestilah melakukan persiapan awal agar kejayaan dapat dikecapi.
Langkah primer yang perlu dilakukan oleh seorang pelajar adalah sentiasa fokus serta memberikan sepenuh perhatian ketika guru sedang mengajar. Pakar psikologi ada mengatakan bahawa lima puluh peratus kejayaan pelajar adalah disebabkan fokusnya ketika dalam sesi pembelajaran di dalam kelas. Hal ini penting supaya murid tidak terlepas fakta penting ketika guru sedang mengajar. Tamsilnya, ketika mengikuti sesi pembelajaran di dalam kelas pelajar boleh membuat catatan ringkas atau bertanya apabila tidak memahami topik yang dipelajari pada waktu itu. Tahukah anda bahawa, bertanya merupakan aspek utama dalam pembelajaran persis kata peribahasa melayu malu bertanya sesat jalan? Impaknya, murid akan lebih mudah memahami konsep pembelajaran serta dapat menguasai topik tersebut juga dapat mengaplikasikan dalam peperiksaan yang dihadapi. Dalam pada itu, untuk mendapatkan impak pembelajaran yang maksimum di dalam kelas, pelajar seharusnya mempunyai tidur yang cukup untuk bangun awal pada keesokan harinya dan membuat persediaan awal sebelum guru mengajar topik yang ingin diajarkan. Hal yang demikian akan menyebabkan mereka lebih mudah memahami topik ketika proses pembelajaran dilakukan.  Tegasnya, tumpuan dan fokus di dalam kelas akan  mendorong seseorang kecemerlangan dalam akedemik.
Pada waktu yang sama, seorang pelajar yang cemerlang perlulah menjaga amalan pemakanan dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang dan bernutrisi. Piramid makanan sudah tersusun sempurna untuk dijadikan panduan dan diikuti oleh setiap pelajar bagi memastikan keseimbangan zat makanan yang diambil. Sebaik-baik makanan ialah makanan sunah. Rasulullah menyuruh kita mengamalkan makanan sunah yang diamalkan oleh baginda. Kita ambil contoh yang terdekat iaitu kismis. Kismis merupakan salah satu makanan yang boleh mengurangkan tekanan, melancarkan peredaran darah, merawat anemia, menguatkan jantung dan menerangkan hati selain dari terkenal dengan kelebihannya kepada otak. Sabda Rasulullah mengenai kismis, biasakanlah memakan kismis kerana kismis dapat menghilangkan kepahitan, menghilangkan lendir, menyihatkan badan, membaguskan rupa, menguatkan saraf dan menghilangkan letih. Selain daripada pemakanan sunah, kita juga boleh mengambil makanan  yang baik untuk otak seperti kekacang dan bijirin penuh. Bijirin penuh amat penting kerana bijirin penuh dapat memberi tenaga yang konsisten kerana proses pembebasan tenaganya yang perlahan mampu memberi tenaga dalam tempoh yang lama. Hal ini dikatakan perlu bagi seseorang pelajar kerana kehidupan di sekolah yang sangat padat dengan aktiviti mental dan fizikal sememangnya memerlukan tenaga yang banyak untuk para pelajar melunaskan setiap tugasan. Dengan pemakanan yang sihat, kita akan lebih bertenaga dan dapat memberi lebih tumpuan dan fokus ketika bekerja dalam jangka masa yang panjang. Selain itu, kita perlu juga mengelakkan diri daripada memakan makanan yang mengandungi pewarna makanan dan bahan pengawet yang mampu merosakkan otak kita. Makanan seperti ini tidak sepatutnya diamalkan oleh seorang pelajar yang bergelar pelajar cemerlang. Jelaslah, amalan pemakanan yang sihat mampu melahirkan otak yang sihat bagi memudahkan otak pelajar berfungsi dengan lancar bak kata peribahasa Arab ,akal yang sihat datangnya dari tubuh badan yang sihat.
Indikator seterusnya, aspek pengurusan masa yang bijak adalah langkah efisien yang seyogia dilakukan oleh seorang pelajar cemerlang. Hal ini dapat dilakukan dengan  membuat jadual belajar yang fleksibel dengan mengambil kira agihan masa yang seimbang antara aktiviti kurikulum dan kokurikulum. Pengurusan masa yang baik juga  dapat mengelakkan seseorang daripada terjebak dalam kebejatan sosial yang menghambat para pelajar seperti melepak dan membuang masa begitu sahaja . Selain itu, penyediaan jadual ini amat penting bagi mengelakkan pelajar kebosanan dengan hanya menghadap buku setiap masa. Pelajar yang cemerlang juga memerlukan riadah dalam kehidupan seharian mereka. Menyingkap daripada perspektif lain, aktiviti riadah yang dilakukan mampu menjadi pemangkin untuk mengurangkan tekanan seseorang. Bayangkan, jika seorang pelajar perlu menghadap buku sahaja, tidakkah mereka akan mula mengalami tekanan? Kepenatan dan keletihan menunjukkan simptom-simptom tekanan seperti letih, lesu dan tidak bersemangat. Hal yang demikian menyebabkan prestasi mereka mengalami kemerosotan serta mengundang pelbagai impak negatif. Adanya jadual belajar juga akan membantu pelajar untuk menyiapkan tugasan yang diberi oleh guru tepat pada waktunya tanpa bertangguh kerana sesungguhnya bertangguh itu pencuri masa. Mantan Perdana Menteri kita iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad ada mengatakan, ramai yang boleh memiliki jam tangan yang tinggi harganya tetapi tidak ramai yang boleh menetapi masa yang berharga. Kata-kata beliau ini terbukti dengan sikap segelintir masyarakat zaman kini hanya sibuk mahu memiliki jam tangan yang tinggi harganya tetapi tidak mampu menghargai setiap saat yang mereka ada. Seorang pelajar cemerlang mesti mempunyai waktu untuk meng ulang kaji harian mereka.Waktu yang paling bagus untuk mengulang kaji pelajaran adalah pada waktu pagi. Pakar psikologi mengatakan, otak berfungsi seratus peratus pada waktu pagi, lima puluh peratus pada waktu petang dan hanya dua puluh peratus pada waktu malam. Izharlah bahawa pengurusan masa yang bijak mampu menjadikan seorang pelajar yang berdisiplin dan menguruskan masa dengan baik.
Selain itu, pelajar cemerlang sewajarnya memiliki sahsiah dan peribadi yang unggul. Tidak berguna bagi seseorang jika hanya memiliki keputusan yang cemerlang tetapi tidak mempunyai sahsiah yang terpuji. Maka, seorang pelajar cemerlang haruslah menjaga hubungan baik antara ibu bapa, guru dan rakan seperjuangan. Keberkatan ilmu daripada seorang guru itu amat berharga kerana tanpa keberkatan ilmu tidaklah ilmu itu berkekalan dalam diri seorang pelajar. Mereka haruslah menggunakan bahasa dan juga kata yang sopan bagaikan butir- butir mutiara yang berharga. Meninjau dari aspek rakan pula, seorang pelajar yang bergelar pelajar cemerlang perlulah berlapang dada untuk mengajar rakan lain jika mereka tidak memahami sesuatu topik yang diketengahkan. Hal ini dikatakan demikian kerana bantuan yang diberikan dapat mengukuhkan lagi pemahaman atas penerangan yang diberikan. Rasulullah bersabda dalam hadisnya, apabila mati anak Adam maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu doa anak yang soleh, sedekah jariah dan ilmu yang bermanfaat. Tidaklah rugi seseorang jika menyampaikan sesuatu info kepada orang lain malah akan ditambahkan lagi ilmu seseorang yang menyampaikan ilmu. Sifat sombong dan bakhil dalam pembelajaran tidak pernah wujud dalam kamus seorang pelajar cemerlang. Impaknya, mereka akan disenangi bukan sahaja oleh guru dan juga rakan malah masyarakat sekeliling turut menyenangi sikap mereka kerana tidak besikap seperti kera sumbang ataupun bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.  Jelaslah bahawa, akhlak peribadi yang mantap mampu mengapai kecemerlangan dalam diri seorang pelajar.
Tuntasnya, kecemerlangan dalam bidang akademik seseorang pelajar mampu mencorakkan masa depan yang cerah. Pelajar cemerlang seharusnya memiliki kualiti diri yang tinggi bukan sahaja dari segi akedemik malahan dari segi kokurikulum dan sahsiah juga perlu dititiberatkan. Mereka ini menepati ciri-ciri modal insan kelas pertama yang mampu melonjakkan anjakan paradigma kepada negara. Namun  begitu, kita tidak boleh hanya menunggu kejayaan datang bergolek kepada kita. Kejayaan itu perlu dicari dan digali. Persediaan yang mantap dan konsisten perlu dilakukan. Walaupun mungkin agak lambat bak sehari selembar benang, namun pepatah ada mengatakan kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Hasil persediaan yang dilakaukan dan sinergi semua pihak pasti membuahkan kecemerlangan dalam diri seorang pelajar. Prakarsa yang diambil memerlukan komitmen yang padu daripada semua pihak bukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam mahupun melepaskan batuk di tangga sahaja. Marilah kita menjangkau daya dan usaha sehabis mungkin untuk mencorakkan masa depan negara dengan warna seindah pelangi bagi melahirkan modal insan yang syumul untuk bersaing di peringkat antarabangsa mahupun seantero dunia.


Khamis, 15 September 2016

Titipan Bahasa Melayu Dekat di Hati sempena cuti Aidiladha ...terima kasih atas komitmen anak-anak didik cikgu L yang telah menghantar tugasan.

Karangan kiriman Siti Qaisara binti Mohammad Feisal
3 abu Bakar.

Tahniah Qaisara! Teruskan kecemerlangan anda!






Setiap individu yang ingin berjaya dalam bidang akademik perlu melakukan persiapan. Jelaskan persiapan-persiapan yang perlu dilakukan untuk mencapai pencapaian anda dalam bidang akademik. 

            Mutakhir ini, pencapaian akademik dianggap sangat penting dalam menentukan kejayaan seseorang individu pada masa hadapan. Namun, kejayaan akademik itu hanya akan dimiliki jika seseorang itu berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Malangnya, terdapat segelintir masyarakat pada masa ini yang tidak peka akan kepentingan kejayaan dalam bidang akademik. Sewajarnya persediaan perlu dilakukan lebih awal untuk mendapat hasil yang cemerlang. Persoalannya, mengapakah sikap yang kurang cakna akan kepentingan akademik ada dalam diri para pelajar? Dalam hal ini, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh kerana sesungguhnya kejayaan tidak datang dengan mudah bak kata peribahasa, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang  melayang. Oleh sebab itu, kita mestilah melakukan persiapan awal agar kejayaan dapat dicapai.

            Salah satu persiapan yang perlu kita lakukan ialah kita hendaklah sentiasa menumpukan perhatian semasa guru sedang mengajar di dalam kelas. Hal ini amat penting  kerana jika kita memberikan sepenuh tumpuan terhadap guru yang sedang mengajar sudah tentulah proses pembelajaran dapat diserap masuk ke dalam minda kita dengan optimum. Kajian pakar psikologi menunjukkan bahawa penerimaan manusia adalah 30% daripada pendengaran dan 70% daripada penglihatan. Jika seorang pelajar tidur di dalam kelas, kedua-dua sumber ilmu, yakni penglihatan dan pendengaran, akan tertutup. Maka ilmu apakah yang diserap masuk ke dalam dadanya? Kita juga perlu terlibat secara aktif ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan agar dapat mewujudkan suasana bilik darjah yang ceria dan tidak membosankan. Natijahnya,  kita dapat menguasai sesuatu subjek atau mata pelajaran dan seterusnya mengaplikasikannya dalam peperiksaan. Kita juga seharusnya kerap bertanya kepada guru-guru sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang kurang difahami kerana berdasarkan satu kajian yang telah dijalankan oleh pakar psikologi mendapati kebanyakan kecemerlangan pelajar-pelajar dalam peperiksaan adalah disebabkan oleh pelajar-pelajar yang sentiasa mengemukakan soalan-soalan sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang kurang difahami oleh mereka. Benarlah kata pepatah Melayu, malu bertanya sesat jalan, jika kita malu mengemukakan soalan kepada guru tentang subjek yang kita kurang faham terus menjadi tidak faham selama-lamanya. Tegasnya, memberikan tumpuan ketika guru sedang mengajar merupakah  persiapan yang perlu dilakukan oleh pelajar yang ingin berjaya.
            
       Seterusnya, pengurusan masa yang cekap perlu ada dalam diri kita untuk mempersiapkan diri dalam mencapai kejayaan akademik yang cemerlang. Persoalannya adalah bagaimana cara kita hendak menguruskan masa? Kita hendaklah menyediakan jadual harian mahupun jadual belajar agar dapat melakukan tugas tepat pada masanya. Jadual belajar dapat mendisiplinkan kita dan membantu kita mengurus masa dengan lebih efisien. Selain itu, dengan adanya jadual ini, kita dapat mengelakkan diri daripada membuang masa daripada melakukan aktiviti yang tidak berfaedah seperti melepak, bermain permainan video dan duduk goyang kaki. Kerja-kerja rumah juga tidak akan tertangguh. Jika kita menangguhkan sesuatu pekerjaan, kerja tersebut menjadi semakin banyak sehingga kita kekurangan masa untuk menyiapkannya kerana sesungguhnya bertangguh itu pencuri masa. Tokoh negarawan ulung negara Tun Dr Mahathir pernah berkata ramai orang boleh membeli jam mahal tetapi tak ramai orang boleh menghargai masa. Kata-kata tokoh ini seharusnya kita jadikan pedoman dalam aspek pengurusan masa agar kita mejadi orang yang cemerlang dan tahu memanfaatkan masa dua puluh empat jam yang dikurniakan oleh Allah dengan sebaik-baiknya. Impak murni hasil daripada pengurusan masa akan melahirkan pelajar yang berdisplin dan disenangi guru-guru dan rakan-rakan serta dapat meningkatkan lagi kejayaan dengan lebih cemerlang. Jelaslah bahawa, pengurusan masa amat penting bagi persiapan dalam mencapai sesebuah kejayaan dam biang akademik.

            Selain itu, kita perlulah menjaga amalan pemakanan yang sihat dalam kehidupan seharian kita. Tanpa pemakanan yang sihat, kita mungkin sahaja kekurangan nutrien dan memungkinkan kita mudah berasa lemah badan, tidak bersemangat dan jatuh sakit. Antara contoh makanan yang baik untuk kesihatan tubuh badan dan minda ialah ikan, kismis, kurma, madu, kekacang dan susu segar. Sebagai contoh, ikan mengandungi Omega-3 yang baik untuk pertumbuhan dan kecerdasan otak, kurma mampu menyihatkan sel darah merah kerana mengandungi vitamin E manakala kandungan gula dalam kismis dikenal pasti dapat meningkatkan daya pemikiran otak. Hal ini demikian kerana otak memerlukan gula ringkas dalam kuantiti yang banyak. Rasulullah SAW bersabda bahawa biasakanlah makan kismis kerana kismis dapat menghilangkan kepahitan, menyihatkan badan, menguatkan saraf, menghilangkan lendir dan menghilangkan letih. Jelaslah bahawa, tubuh badan kita memerlukan semua zat untuk menjalani aktiviti seharian tanpa menjadi lesu.

            Tambahan pula, penyertaan yang aktif dalam aktiviti kokurikulum memungkinkan kita mencapai kejayaan yang cemerlang dalam akademik. Kita sebagai seorang pelajar perlu membabitkan diri dalam akiviti kelab dan persatuan sama ada di peringkat sekolah mahupun di luar sekolah. Unit beruniform seperti Persatuan Kadet Remaja sekolah, kelab sukan dan permainan seperti catur dan memanah akan menjadikan diri kita serba boleh dalam pelbagai aspek di sekolah. Jika kita melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum,  secara tidak langsung aktiviti ini berupaya merehatkan minda kita   daripada terkongkong oleh amalan membaca buku sahaja lalu memberikan satu ketenangan minda. Sesungguhnya, ramai pelajar yang bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum telah membuktikan kemenjadian yang setara dalam bidang akademik.


            Akhirulkalam, persiapan awal yang dilakukan dengan amalan yang terbaik dapat membuahkan hasil kejayaan akademik yang cemerlang kepada kita kelak. Oleh itu kita harus sedar bahawa kita perlu berusaha bersungguh-sungguh jika ingin kejayaan menjadi milik kita. Pastinya kehidupan kita dalam masa akan datang lebih terjamin dan cerah pula. Benarlah kata pepatah usaha tangga kejayaan membuktikan bahawa usaha untuk berjaya terletak pada tangan kita sendiri. Kejayaan dalam peperiksaan boleh dianalogikan sebagai pelita yang menjadi penyuluh kepada kita pada malam-malam yang gelap-gelita. Jika tidak kita akan hidup teraba-raba dalam kegelapan. Oleh sebab itu, persiapan awal amatlah penting bagi melahirkan lebih ramai lagi pelajar yang berjaya, berdisiplin, patuh, dan juga berkualiti untuk menjamin masa depan mereka dan juga Malaysia kelak.