Cari Blog Ini

Jumaat, 28 September 2012

KARANGAN TUDINGAN SPM 2012 - MODUL JAWAKHIR NEGERI JOHOR 2012


CARA-CARA MENGATASI TEKANAN ATAU STRES
( ANDA / INDIVIDU )


            Setiap manusia tidak terlepas daripada menghadapi tekanan dalam kehidupan. Hal ini bertepatan dengan maksud peribahasa, bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan lautan mana yang tidak bergelora. Bagaimanapun, tekanan yang dihadapi itu berbeza-bezatahapnya. Tekanan yang dihadapi oleh golongan dewasa mungkin akibat memikirkan masalah keluarga, kewangan atau kerjaya, manakala bagi remaja pula tekanan yang dihadapi mungkin berkaitan dengan pelajaran, hubungan dengan rakan atau masalah yang berkaitan dengan keluarga. Bagi sesetengah orang, tekanan mungkin membawa  kejayaan dan kebahagiaan dalam kehidupan, manakala yang lainnya pula menganggap tekanan sebagai sumber kesengsaraan dan penderitaan  sehingga tekanan yang dihadapi  itu  membawa kepada pengakhiran kehidupan. Sebagai pelajar, saya juga tidak terlepas daripada menghadapi tekanan yang berpunca daripada pelbagai faktor terutamanya faktor pelajaran. Oleh hal yang demikian, sebelum nasi menjadi bubur, beberapa langkah telah saya ambil bagi menangani masalah tekanan.

            Kehidupan yang terlalu sibuk menyebabkan kita sering melupakan kegiatan yang sangat berfaedah untuk kesihatan fizikal, mental dan psikologi kita. Kegiatan tersebut ialah riadah, iaitu aktiviti yang sering dilakukan pada waktu lapang terutamanya pada hujung minggu. Antara kegiatan riadah yang kerap saya lakukan ialah berbasikal, joging, bermain futsal, bermain badminton, bersiar-siar di taman rekreasi dan memancing ikan. Selepas bermain futsal dan badminton umpamanya, selain peluh mengalir membasahi tubuh, kepenatan akan dapat dirasakan. Selepas mandi dan membersihkan diri, saya akan berehat melepaskan lelah. Keadaan akan menjadi lebih baik apabila saya dapat melelapkan mata. Oleh sebab kepenatan selepas melakukan riadah, saya akan  tidur dengan sangat lena. Hilang sebentar segala masalah yang membelenggu diri. Tekanan pun menghindar dan akhirnya fikiran menjadi lapang. Ada waktunya saya melakukan riadah bersama-sama ibu bapa saya. Peluang keemasan itu saya gunakan sepenuhnya dengan melakukan perbincangan, sama ada yang berkaitan dengan masalah peribadi, mahupun masalah pelajaran yang sering memberikan tekanan kepada saya. Lantaran itu, saya menganggap kegiatan riadah sebagai serampang dua mata yang membantu meningkatkan kesihatan diri di samping menjadi salah satu cara untuk mengurangkan tekanan.

Sesungguhnya saya amat meyakini bahawa cara kita berfikir amat mempengaruhi kesihatan diri, terutamanya kesihatan mental. Lantas, demi memastikan saya memiliki kesihatan yang baik tanpa menghadapi tekanan, saya  sentiasa berfikiran positif apabilaberhadapan dengan situasi yang kritikal dan sukar. Apabila menerima pujian, saya tidak akan  berbangga dengan pujian tersebut, sebaliknya saya akan memikirkan sama ada pujian tersebut diberikan secara ikhlas atau diberikan kepada saya kerana ada udang di sebalik batu. Berkemungkinan pujian itu diberikan secara bersahaja, atau jika tidak pun saya menerimanya sebagai satu penghargaan. Bagaimanapun, jika kritikan atau teguranpula yang diberikan, saya akan menerimanya dengan minda terbuka dan menganggapnya sebagai kritikan yang membina. Ibu sering mengingatkan saya bahawa kritikan yang diberikan oleh seseorang itu sebenarnya lebih ikhlas dan memiliki nilai kejujuran berbanding dengan pujian yang selalunya lebih bersifat palsu. Di sebalik kritikan yang diterima itu saya akan melakukan muhasabah diri lalu membaiki segala kekurangan yang ada agar saya tidak menerima kritikan yang sama pada waktu yang lain pula. Sekiranya saya tidak dapat menerima kritikan  tersebut, fikiran akan menjadi tidak menentu dan kusut, lalu akhirnya saya akan terjerat dalam kancah tekanan yang melampau. Natijahnya, saya sentiasa menghadapi tekanan dengan fikiran yang positif.

Saya ialah penggemar dan pencinta muzik sama ada muzik ciptaan anak tempatan mahupun muzik antarabangsa. Seandainya muzik tidak didengar menerusi cakera padat, masih ada muzik di dalam jiwa saya yang membuatkan kaki bergoyang. Bagi saya, muzik pencetus kegembiraan dan keceriaan, walaupun sesekali muzik mengundang kesedihan dan kedukaan. Hal ini bertepatan dengan pandangan ahli-ahli psikologi bahawa muzik merupakan salah satuwahana terapi yang efesien dan sumber ketenangan fikiran yang sering diabaikan. Apabila muzik bergema, hati akan dibuai oleh alunan melodinya sehingga di luar kesedaran diri, saya seperti berada di alam yang lain. Muzik yang rancak akan menyebabkan kaki bergoyang, manakala muzik sentimental pula akan menjadikan diri dibuai perasaan.  Seni katanya yang melankolik akan menyumbang ke arah penghayatan yang tinggi seolah-olah saya turut merasakan kedukaan yang sedang dialami oleh pelantun lagu tersebut.  Jika tekanan menghimpit perasaan, tanpa disedari saya telah melupakan sebentar tekanan tersebut dengan bantuan muzik. Hal ini bertepatan dengan kata-kata pujangga yang menukil bahawa muzik tak mungkin dapat dipisahkan daripada jiwa setiap manusia. Tanpa muzik juga kehidupan akan menjadi sepi. Oleh itu, muzik bukan sahaja dapat menghiburkan hati, malah  muzik seperti memiliki kuasa magis  yang berupaya mengurangkan tekanan yang saya hadapi, bertepatan dengan maksud peribahasa sambil menyelam minum air.

Saya juga menjadikan ibadat sebagai salah satu cara untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi. Setiap hari saya akan mendirikan solat , sekurang-kurangnya lima kali sehari kerana solat merupakan tiang agama. Apabila saya tidak mendirikan solat, hal ini bermakna runtuhlah agama saya. Sesungguhnya, solat memberikan ketenangan yang tidak dapat saya ungkapkan dengan kata-kata. Solat yang khusyuk akan menjadikan saya melupakan semua tekanan yang saya hadapi, malah saya dapat merasakan betapa dekatnya diri  saya dengan Yang Maha Pencipta. Jiwa berasa tenang dan damai, hati juga menjadi bersih. Benarlah seperti yang pernah dikatakan oleh  seorang penceramah gaya hidup sihat, Encik Norhisham Mustaffa bahawa solat merupakan senaman yang paling ampuh untuk memberikan kesihatan terbaik buat tubuh badan kita . Ketika rukuk dan sujud, darah akan mengalir dengan lebih sempurna di tubuh kita. Demikian juga ketika saya duduk di antara dua sujud dan duduk tahyat awal serta akhir, kedudukan tubuh dan jari-jari kaki memberikan bentuk senaman yang begitu berkesan. Selepas mendirikan solat, saya akan berzikir yang mampu membersihkan dan memberikan kedamaian kepada hati serta jiwa. Saya sangat menyedari dan menginsafi bahawa hanya Allah yang dapat membantu saya dalam segala hal. Lantaran itu, saya menjadikan ibadat sebagai usaha yang terbaik untuk menghindari dan mengurangkan tekanan yang dihadapi.

Melancong merupakan aktiviti kekeluargaan yang amat saya nanti-nantikan. Setiap tahun ayah dan ibu akan membawa saya serta adik melancong ke luar negara. Sehingga kini kami telah melawat Indonesia, China, Kemboja dan India selain melancong di dalam negara. Sejujurnya, setiap kali melancong saya dapat merasakan keterujaan dan kegembiraan yang membolehkan saya melupakan segala masalah yang membelenggu fikiran. Secara tidak langsung, tekanan yang mengganggu fikiran yang berpunca daripada masalah yang dihadapi dapat saya atasi atau setidak-tidaknnya dapat saya lupakan sebentar. Ketika melancong itu, saya dapat menikmati keindahan dan keunikan panorama negara lain di samping menambahkan pengetahuan tentang budaya dan sejarah negara tersebut, bertepatan dengan maksud peribahasa jauh perjalanan luas pemandangan, banyak pula pengalaman. Ketika melawat Solo dan Jogjakarta di Pulau Jawa, Indonesia umpamanya, saya dapat menyaksikan keunikan budaya mereka walaupun kita masih dalam rumpun yang sama, iaitu Melayu. Seni tari mereka sangat halus dan mempesona berdasarkan gerak jari tangan, kaki dan tubuh mereka dengan iringan muzik gamelan yang syahdu. Adat di keraton pula masih dikekalkan untuk tatapan pelancong walaupun sistem pemerintahan beraja tidak lagi diamalkan di republik tersebut. Keunikan Candi Borobudur amat mengagumkan dengan seni binanya yang amat halus. Keseluruhan aktiviti ketika melancong itu termasuk sesi membeli-belah cukup membantu saya melupakan segala tekanan yang dihadapi.

Sebagai kesimpulan, terdapat pelbagai usaha yang saya lakukan untuk menghadapi tekanan dalam kehidupan. Walau apa-apapun yang berlaku, mahu atau tidak, saya terpaksa menghadapi segala tekanan yang ada demi kelangsungan hidup yang lebih bermakna.Tekanan merupakan masalah dan tekanan juga merupakan sumber motivasi, tanpa tekanan, hidup kurang berseri umpama pokok yang tidak berbunga. Dengan tekanan jugalah fikiran saya menjadi lebih matang dan dewasa. Di sebalik ketabahan saya menghadapi tekanan itu, saya masih memerlukan insan lain untuk menghadapinya dengan lebih rasional. Dalam hal ini, kedua-dua ibu bapa akan menjadi sumber rujukan saya di samping rakan-rakan sebaya yang rapat hubungannya dengan saya. Saya juga tidak melupakan guru yang mendidik dan mengajar saya menjadi insan berilmu. Sesungguhnya, hanya dengan ketabahan dan keimanan yang kukuh dapat membantu saya menghadapi semua tekanan dengan tenang.

KARANGAN TUDINGAN SPM - MODUL JAWAKHIR NEGERI JOHOR 2012


TAJUK-TAJUK KARANGAN JAWAKHIR 2 [ BAHASA MELAYU - KERTAS 1 ] SPM 2012
  
1.         Cara-cara Menangani  Kenaikan Harga Barang.

2.         Cara-cara Menghargai Warga Tua.

3.         Faedah-faedah Melawat Ke Luar Negara.

4.         Keluarga Impian Saya.

5.         Kepentingan Semangat Kejiranan.

6.         Langkah-Langkah Membantu Orang Kelainan Upaya (OKU).

7.         Peranan Ibu Bapa Membentuk Masyarakat Penyayang.

8.         Peranan Ibu bapa Membentuk Budaya Ilmu Dalam Diri Anak-anak.

9.         Peranan Ibu Bapa dalam Mengatasi Masalah Perlumbaan Haram Dalam Kalangan  Remaja.

10.       Usaha-usaha Mempopularkan Puisi Tradisional.

11.       Usaha-usaha Mempopularkan Permainan Tradisional.

12.       Bincangkan: Kecuaian Pengguna Menyebabkan Berlakunya Kemalangan Jalan raya.

13.       Cara-cara Menghargai Jasa Guru.

14.       Kepentingan Pemakanan Seimbang.

15.       Langkah-langkah Meningkatkan Mutu Sukan Negara.

16.       Peranan Ibu Bapa Memupuk Semangat Cinta Akan Negara Dalam Kalangan Anak-anak

17.       Usaha-usaha ( Anda ) Memupuk Amalan Membaca.

18.       Disiplin Teras Kejayaan.

19.       Kepentingan Industri Kecil dan Sederhana ( IKS).

20.       Faktor-faktor Malaysia Menjadi Destinasi Pelancongan Terkenal.

21.       Remaja Berwawasan.

22.       Kepentingan Menyambut Hari Kemerdekaan.

23.       Cara-Cara Mengatasi Tekanan ( Anda / Individu )

24.       Kepentingan Memulihara Bangunan Bersejarah



DISIPLIN TERAS KEJAYAAN

            Mendepani realiti baru era milenium yang pantas berubah dan berkembang ini, masyarakat dinamik, madani serta inovatif amat diperlukan untuk mencapai kejayaan agar dapat anak watan di negara ini  mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara gergasi seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Perancis. Hal ini demikian, disiplin merupakan cerucuk fundamental bagi kejayaan sesebuah bangsa. Secara holistik, disiplin merupakan pemangkin bagi melahirkan sebuah komuniti yang progresif, berketerampilan dan berupaya mendepani setiap kekangan untuk mengharungi arus perubahan dunia yang semakin mencabar. .

            Disiplin dapat melahirkan pelajar yang mempunyai keinsanan yang syumul. Hal ini demikian, disiplin merupakan asas bagi sesebuah kejayaan. Contohnya, seseorang pelajar yang ingin berjaya mestilah rajin untuk mengulang kaji pelajaran, bangun awal ke sekolah, membuat semua kerja sekolah yang diberikan dan mematuhi peraturan sekolah. Tanpa disiplin, tidak mungkin seseorang pelajar dapat melakukan perkara-perkara tersebut. Malahan, budaya pesimistik dalam kalangan pelajar mestilah dikikis demi menyambut gamitan menara impian. Tamsilnya, Nik Nur Madihah yang merupakan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2008 mendapat   20 A dalam peperiksaan awam. Beliau tidak menjadikan kemiskinan yang membelenggu hidupnya sebagai batu penarung. Sebaliknya, disebabkan kerajinan, kegigihan, ketekunan dan yang paling perdana iaitu disiplin beliau yang tinggi dan minda yang positif telah menyuntik semangat dirinya untuk menggapai  kejayaan persis kata tokoh terkemuka,  Cecil B. DeMille iaitu orang yang berjaya dalam hidup ialah orang yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepada tujuan itu tanpa menyimpang.  Jelaslah bahawa disiplin merupakan formula yang paling manjur untuk anak watan ini meraih kegemilangan dalam kehidupan.


            Selain itu, ibu bapa juga memerlukan disiplin yang tinggi untuk melahirkan sebuah keluarga sakinah.  Ibu bapa menggalas tanggungjawab yang berat dalam sesebuah institusi keluarga. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak agar menjadi warganegara yang berguna kerana anak yang baru lahir ibarat kain putih dan ibu bapalah yang mencorak, mewarnai dan membentuk keperibadian cahaya mata mereka. Tidak lain tidak bukan, disiplinlah yang diterapkan dalam diri ibu bapa untuk membentuk diri anak mereka yang gemilang. Bukan itu sahaja, ibu bapa juga mestilah berupaya menjadi suri teladan  yang baik kerana segala perwatakan ibu bapa akan dicontohi anak-anak bak kata peribahasa, bagaimana acuannya, begitulah kuihnya. Malahan, ibu bapa bukan sahaja perlu mendidik anak-anak, mereka juga perlu menyediakan segala keperluan serta membesarkan anak-anak. Izharnya, ibu bapa juga hendaklah mempunyai disiplin diri untuk mewujudkan sebuah keluarga bahagia dan melahirkan anak yang membudayakan  sifat-sifat  mahmudah dan menghindari segala unsur  mazmumah..

            Sementelahan itu, pekerja-pekerja sektor kerajaan mahupun swasta juga tidak terlepas daripada mempunyai disiplin dan komitmen yang tinggi terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan kepada  mereka. Golongan pekerja berkolar putih dan biru ini mestilah menepati masa, bertanggungjawab dan amanah. Contohnya, seorang pegawai bank mestilah menepati masa untuk datang ke tempat kerja. Beliau juga hendaklah bertanggungjawab melakukan segala tugas yang diberikan dan berintergriti terhadap bidang tugas  yang melibatkan kewangan. Usahlah kita diibaratkan seperti dalam peribahasa harapkan pagar, pagar makan padi.  Dalam abad ini, ketuanan dan keterbilangan sesebuah negara bersandarkan kehebatan ekonominya. kita mahukan generasi yang diibaratkan duduk meraut ranjau, tegak meninjau jarak bukannya pemimpin yang hanya tahu menakik darah di batu. Kita perlu lakukan transformasi ekonomi melalui generasi yang bijak meneroka dan mencuba sesuatu yang baru dan hasilnya mengagumkan seluruh planet ini Ternyata bahawa, dalam melakukan sesuatu pekerjaan disiplin diri amat penting kerana kejayaan tidak datang bergolek.

            Seterusnya, sebagai pengguna jalan raya, kita mestilah berdisiplin dan memandu secara berhemah. Disiplin yang diamalkan dalam pemanduan dapat mengurangkan kadar kemalangan yang semakin hari semakin meningkat. Seorang pemandu mestilah mematuhi peraturan jalan raya dengan memasang tali pinggang keledar, mematuhi had laju dan peka terhadap papan tanda di tepi jalan. Secara tidak langsung, kadar kamalangan yang sudah mencapai tahap mencemaskan ini lebih-lebih lagi semasa musim perayaan dapat dikurangkan.  Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan tiada mahu langsung kemalangan jalan raya pada musim perayaan walaupun ramai menganggapnya mustahil.  Menurutnya,keadaan "nahas sifar" ini boleh dicapai kerana kajian menunjukkan kebanyakan kemalangan jalan raya disebabkan oleh faktor manusia dan bukannya faktor kenderaan atau jalan tidak elok. Memang Ops Sikap itu membantu kerana tanpa Ops Sikap, kita tidak dapat membayangkan betapa banyak lagi yang akan mati di atas jalan raya. Persoalannya takkan sehingga kita terpaksa mengharapkan Ops Sikap sepanjang tahun, tetapi pemandu itu sendiri tidak mahu mengubah sikap mereka sendiri. Slogan "Anda Mampu Mengubahnya" memang tepat sebagai peringatan kepada semua pengguna jalan raya.
Jelaslah bahawa, pemandu yang berdisiplin dan berhemah dapat membantu mengurangkan kehilangan nyawa yang lebih banyak dan ini bertepatan dengan slogan, pandu cermat, jiwa selamat.

            Di samping itu, sebagai pengguna  mestilah bijak mengutamakan disiplin ketika  berbelanja. Dalam dunia yang serba canggih dan wujudnya Internet, masyarakat dapat membeli dan berbelanja dengan hanya mengakses maklumat hanya  di hujung jari sahaja. Masyarakat yang naïf dengan mata kebendaan yang melalaikan akan memboros dan berbelanja berpaksikan  hawa nafsu dan bukannya keperluan. Oleh sebab itu, golongan ini mestilah mempunyai disiplin diri agar dapat berjimat-cermat dan bijak merancang keperluan mereka. Secara tidak langsung, golongan ini dapat mengelakkan diri daripada berhutang dengan bank atau  lintah darat yang sentiasa mengintai peluang untuk mengaut keuntungan . Mukhtasarnya, individu yang dapat mengawal diri daripada terlalu mengikut hawa nafsu dan berlatih untuk mendisiplinkan diri agar berbelanja secara berhemat pasti dapat mengecapi kehidupan yang sempurna dan mempunyai sumber kewangan yang stabil bak kata peribahasa  beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis.


            Akhirulkalam, disiplin merupakan cerucuk utama pembangunan negara kerana dengan disiplin kita mampu untuk mengadun satu kombinasi usaha yang cukup padu agar nama Malaysia gah di seluruh pojok dunia. Siapa menyangka bahawa tangan yang menghayun buaian itu boleh menggoncang dunia. Perkara-perkara ini menunjukkan bahawa orang yang  berdidiplin dan memiliki  minda yang positif ialah orang  yang tidak gentar akan perubahan dan menyesuaikan dirinya dengan perubahan tersebut. Dengan itu, sifat itu dengan sendirinya mampu membina sebuah masyarakat yang kreatif dasawarsa ini.  Oleh itu, marilah kita bergabung sinergi dan merencanakan  langkah sederap untuk mengotakan iltizam serta aspirasi negara iaitu Wawasan 2020 yang bakal tiba.

Penskoran:
Peringkat: Cemerlang
Markah dicadangkan: 80 -88
Komen:
1.    Tugasan: Menjawab tugasan
2.    Idea      :  Menepati tugasan  dan huraian jelas dan matang
3.    Bahasa : gramatis dan kosa kata luas dan tepat/ terdapat ungkapan menarik 
        4.Pengolahan: menarik dan berkesan


USAHA-USAHA INDIVIDU (ANDA) MEMUPUK AMALAN MEMBACA

Dasar langit terbuka dan dunia tanpa sempadan hari ini telah menyebabkan remaja hilang keyakinan diri dan ketahanan jiwa sehingga terdorong melakukan pelbagai aktiviti negatif seperti berpeleseran, membuli dan vandalisme. Mengapakah remaja lebih gemar melakukan aktiviti yang tidak mendatangkan sebarang faedah kepada mereka? Tidak pernahkah terdetik dalam sanubari mereka bahawa terdapat pelbagai aktiviti berfaedah yang boleh mereka lakukan khususnya membaca? Hal ini demikian kerana, membaca akan menghubungkan antara manusia dengan segala ilmu pengetahuan. Namun begitu, berdasarkan kajian, rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun berbanding bilangan buku yang dibaca oleh rakyat Jepun. Justeru, kita perlulah mencari formula terbaik persis mutiara kata  yang buruk dibuang dengan runding, yang baik ditarik dengan maufakat untuk menjadikan rakyat Malaysia gemar membaca. Oleh sebab  itu, sebagai seorang pelajar dan remaja, kita perlulah mencari inisiatif dan cara yang efektif untuk menjadikan amalan membaca itu amalan hidup.

Prakarsa pertama untuk menjadikan membaca sebagai amalan hidup ialah, saya perlulah rajin pergi ke perpustakaan. Marcapada, Malaysia tidak pernah ketandusan perpustakaan malah di negara ini terdapat pelbagai jenis perpustakaan, tamsilnya perpustakaan sekolah, perpustakaan awam dan perpustakaan bergerak. Di perpustakaan yang dikunjungi, saya dapat membaca dan meminjam pelbagai jenis buku untuk meningkatkan ilmu pengetahuan. Saya akan sentiasa berusaha dan rajin ke perpustakaan untuk membaca walaupun memaklumi bahawa perpustakaan yang dipenuhi dengan buku itu ibarat lautan yang terbentang luas yang tidak mungkin dapat diteroka. Walaupun sekadar membaca sebuah buku seminggu, dapat saya rasakan ilmu yang diperoleh amat besar nilainya. Sementara itu, saya juga akan melakukan lawatan sambil belajar ke Perpustakaan Negara atau perpustakaan di universiti-universiti terkemuka di Malaysia. Selain dapat menyemai minat membaca dalam diri, saya juga dapat melihat kecanggihan teknologi yang terdapat di situ bertepatan dengan kata peribahasa sambil menyelam minum air. Ternyata pasti, dengan bersikap rajin mengunjungi perpustakaan saya akan sentiasa terdorong untuk menjadikan membaca sebagai amalan hidup.

Peribahasa Melayu yang menyatakan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, amat bersesuaian untuk saya jadikan pegangan dalam usaha memupuk amalan membaca. Kata-kata hikmat  di atas akan diperjelaskan serta dibahaskan dari perspektif menyediakan sudut bacaan di rumah atau bilik sendiri. Suka saya tegaskan bahawa perubahan diri sendiri merupakan cara yang paling proaktif dan mujarab untuk menjadikan membaca sebagai amalan dalam kehidupan. Demi memupuk budaya membaca dalam jiwa saya, saya perlu menyediakan sudut bacaan atau perpustakaan mini di rumah untuk kegunaan semua ahli keluarga. Situasi ini akan menggalakkan serta mendorong kami sekeluarga supaya berjinak-jinak dengan bidang ilmu supaya amalan membaca diterapkan dalam minda setiap anggota keluarga. Sementalahan itu, saya perlu membeli pelbagai judul buku yang menarik dan sesuai untuk dibaca di samping mengamalkan budaya membaca buku  sebelum tidur.  Neville Black, seorang ahli falsafah Barat, berpendapat bahawa ilmu pengetahuan adalah aset yang paling dominan sekiranya kita ingin bersaing dengan pihak lain pada zaman globalisasi ini. Atas kedahagaan menuntut ilmu pengetahuan, saya akan membaca dan terus membaca sehingga menjadi seorang modal insan yang berminda kelas pertama. Berdasarkan perbincangan di atas, pada hemat saya, saya perlu memupuk amalan membaca dalam diri sekali gus menjadi suri teladan kepada adik-adik saya.

            Selain itu, saya juga boleh ikut serta secara aktif dalam program NILAM atau Nadi Ilmu Amalan Membaca. Hal ini kerana, NILAM berfungsi untuk menarik minat para pelajar membaca dalam kuantiti yang banyak. Melalui program ini, saya perlu membaca dua versi buku iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dan kemudiannya direkodkan dalam buku NILAM. Pelajar yang membaca dalam kuantiti yang banyak akan diberi penghargaan bermula daripada gangsa, perak, emas dan seterusnya nilam. Malah, pelajar yang aktif juga boleh mewakili sekolah ke peringkat yang lebih tinggi iaitu peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Dalam program ini juga terdapat tahap Rakan Pembaca. Rakan Pembaca berfungsi untuk menarik minat pelajar lain dan seterusnya berkongsi ilmu dengan mereka. Kesannya pelajar lain juga akan turut sama menjadikan amalan membaca sebagai satu keperluan dalam hidup mereka. Apa yang pasti, segala keinginan untuk meningkatkan jumlah bahan bacaan yang dibaca perlu lahir daripada diri saya tanpa wujud paksaan daripada pihak lain. Dalam hal ini, saya amat berpegang kepada ayat al-Quran yang menyatakan bahawa Allah tidak akan mengubah nasib seseorang, sekiranya seseorang itu sendiri tidak mahu mengubahnya.

            Sementara itu, saya juga boleh pergi ke pameran buku, ekspo dan kedai buku. Hal ini kerana, saya akan mengetahui pelbagai klasifikasi buku di sini. Misalnya, pameran buku yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pameran Buku Kebangsaan. Dalam pameran-pameran seperti inilah saya dapat membeli buku dengan harga yang murah dan berpatutan dan membaca buku secara percuma di tempat-tempat yang disediakan di pameran tersebut. Terdapat juga ruang-ruang khas yang disediakan di sudut maklumat di pameran atau ekspo tersebut mengenai sinopsis buku-buku yang dijual. Dengan cara ini, saya dapat membaca secara ringkas tentang buku-buku tersebut sebelum membuat pilihan untuk membelinya. Saya bukan sahaja dapat membaca secara percuma, malah dapat menjimatkan masa, kos dan tenaga. Dengan mengunjungi pameran-pameran, ekspo atau kedai buku, saya akan mengenali lebih ramai rakan yang berkongsi minat yang sama iaitu membaca. Peribahasa jauh perjalanan luas pemandangan amat bersesuaian dengan perkara dan situasi yang saya bincangkan di atas.

            Seterusnya, saya juga boleh membuat langganan buku pada setiap bulan. Buku-buku atau majalah yang dilanggan bukanlah sekadar berunsurkan tarbiah sahaja, tetapi juga bercorak santai seperti Dewan Siswa, majalah i-sihat dan Solusi. Di manakah saya boleh mendapatkan buku atau majalah tersebut? Saya boleh melanggannya melalui Internet atau meminta bantuan  guru di sekolah untuk melanggannya. Impaknya, saya akan sentiasa membaca pada setiap masa, menjimatkan masa dan dapat mengetahui perkembangan terkini apabila melanggan buku pada setiap bulan. Dalam hal ini, saya akan menjadikan individu yang gemar membaca dan sentiasa dekat dengan buku sebagai idola. Sebagai contoh, A.Samad Said yang terkenal dengan karya puisinya, Profesor Ungku Aziz, Mary Renault dengan buku-buku sejarahnya dan penulis novel tersohor, Sharifah Abu Salem. Apabila saya menjadikan mereka sebagai idola, saya akan sentiasa terdorong untuk melanggan pelagai buku di pasaran sekali gus menjadikan membaca sebagai rutin hidup saya.

            Memang tidak dapat disangkalkan bahawa negara kita sedang mengecapi perkembangan dan kemajuan dengan menongkah arus globalisasi, liberalisasi dan duniawi yang melanda seantero dunia. Oleh hal yang demikian, untuk meneruskan perjuangan kita merealisasikan hasrat membentuk negara pembaca teras negara maju. Saya juga berperanan penting dalam menyahut cabaran negara supaya menjadi seorang rakyat yang minat membaca. Pada dasarnya, media massa sebagai arus perdana yang berpengaruh sama ada media cetak atau media elektronik sentiasa mengadakan pertandingan atau aktiviti malahan kempen kesedaran di seluruh pelosok negara untuk memupuk minat membaca dalam masyarakat. Oleh hal yang demikian, saya perlu menyertai aktiviti seperti sayembara, menulis esei, syarahan dan sebagainya untuk menanam tabiat membaca. Tidak ketinggalan juga, saya dapat mengajak rakan-rakan sebaya ataupun ahli keluarga untuk menyertai kempen ”Amalan Membaca Nadi Ilmu Pengetahuan” bersama-sama. Hal ini diibaratkan sambil menyelam minum air dan serampang dua mata kerana dapat menjalinkan hubungan silaturahim serta mendapat info terkini tentang amalan membaca.

Konklusinya, remaja perlulah berusaha memajukan diri untuk jaminan masa hadapan. Hal ini kerana, remaja adalah pewaris tampuk kepimpinan negara. Remaja merupakan aset negara kerana bertepatan dengan kata-kata  pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Janganlah dibiarkan usia remaja dipenuhi dengan perkara yang sia-sia. Kontradiksinya, penuhilah masa remaja kita dengan aktiviti yang berfaedah seperti amalan membaca. Remaja perlu berpegang teguh dan jitu dengan slogan ’Membaca Jambatan Ilmu’ dan ’Rakyat Membaca, Bangsa Berjaya’ seperti yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri kita, Dato’ Seri Najib bin Abdul Razak. Generasi berpengetahuan merupakan tunjang untuk mencapai wawasan 2020 bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju dalam tempoh lapan tahun mendatang.




Rabu, 26 September 2012

KARANGAN TUDINGAN SPM 2012 - MODUL JAWAKHIR 2 NEGERI JOHOR



Tema  : Cara-cara menghargai jasa guru

Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang pernah menyatakan bahawa lahirnya seorang Perdana Menteri, doktor, peguam dan pensyarah adalah bermula daripada seorang guru biasa yang mengajarnya membaca dan menulis. Nah, inilah ungkapan yang mengangkat martabat seorang guru dalam mendidik anak bangsa tanpa mengira masa, tenaga serta wang ringgit. Mereka ibarat matahari yang menyinari kehidupan insaniah dengan cahaya ilmunya. Kegigihan guru dalam mendidik anak watan dengan ikhlas tanpa rasa jemu tidak perlu dipertikaikan.  Tanpa usaha dan pengorbanan guru, tidak mungkin pelajar mencapai kejayaan yang cemerlang.  Oleh itu, cara-cara menghargai jasa guru yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dan diperincikan untuk kepentingan bersama.
             Memetik kata-kata daripada Mantan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang menyatakan bahawa pemupukan adab menghormati guru bermula dari rumah dan mengharapkan ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka menghargai jasa guru.  Berdasarkan pernyataan tersebut, jelaslah adab menghormati guru merupakan elemen penting dalam memupuk budi bahasa dan adab sopan dalam kalangan pelajar. Pelajar yang menjaga tutur kata dan adab ketika berhadapan dengan guru merupakan antara cara kita menghargai jasa guru. Para pelajar perlulah sentiasa bermanis muka sambil mengucapkan selamat sejahtera atau memberikan salam ketika berhadapan atau berselisih dengan guru tanpa mengira keadaan.  Semasa di dalam kelas, pelajar yang menghormati guru tidak sesekali membuat bising sehingga mengganggu  guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.  Sikap seperti masuk telinga kiri keluar telinga kanan perlu dielakkan. Dalam konteks ini, mereka sewajarnya memberikan tumpuan dan perhatian sepenuhnya semasa pengajaran guru dan sentiasa mengambil peluang bertanya dan berbincang tentang pelajaran. Ketika mengadakan sesi perbincangan di kelas, pelajar perlu menjaga  tata susila, tidak meninggikan suara dan memandang guru serta rakan dengan mesra. Bukankah guru merupakan lubuk akal lautan ilmu? Tegasnya, berbudi bahasa serta beradab sopan merupakan amalan terpuji bagi menghargai guru yang mengajar serta mendidik kita.
Berdisiplin dan mematuhi peraturan sekolah juga merupakan salah satu  cara yang tidak boleh dikesampingkan oleh pelajar yang terpancar akhlak mulianya.  Antara ciri pelajar yang berdisiplin ialah mereka sentiasa datang awal ke sekolah, sentiasa menepati masa, tidak terlibat dalam gangsterisme, vandalisme mahupun ponteng sekolah. Selain itu, pelajar berpakaian seragam dengan kemas  dengan rambut bersisir rapi. Amalan seumpama ini, memupuk disiplin pelajar untuk bersedia belajar seterusnya mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah.  Jika disiplin terkawal sudah tentu memudahkan tugas guru untuk mengajar seterusnya mendidik pelajar agar berjaya dengan cemerlang. Peribahasa bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat, membuktikan kerjasama erat antara guru dan pelajar dalam mematuhi  peraturan yang ditetapkan pasti menjadi pemangkin kecemerlangan akademik serta sahsiah pelajar. Jelaslah, mematuhi disiplin mencerminkan penghormatan pelajar kepada guru.
            Di samping itu, pelajar perlu prihatin dan menunjukkan kasih sayang terhadap guru. Amalan mengingati dan menghargai jasa guru merupakan amalan yang mulia. Para guru akan berasa bahawa jasa  mereka dihargai walaupun mereka tidak berkhidmat sebagai pendidik lagi. Kita boleh menghargai jasa guru dengan meraikan sambutan Hari Guru pada setiap tanggal 16 Mei. Pada  hari tersebut, sewajarnya pelajar memberikan hadiah kepada guru yang mengajar mereka sebagai tanda penghargaan  atas segala usaha dan titik peluh yang dicurahkan. Hadiah yang diberikan tidak semestinya berpaksi kepada wang ringgit semata-mata tetapi mestilah disertakan dengan hati yang tulus lagi ikhlas. Nilai bukan ukuran tetapi pemberian yang ikhlas itu lebih bermakna. Sekiranya pelajar tidak mampu memberikan hadiah, cukuplah sekadar ucapan selamat hari guru.
                 Amalan ziarah-menziarahi guru perlulah dijadikan budaya dalam kalangan pelajar.     Menziarahi guru ketika mereka mengalami kesusahan dan sakit juga cara kita menghargai jasa para guru. Sebagai manusia tentunya para guru menghadapi pelbagai masalah dalam kehidupan. Sebagai contohnya,  kemungkinan guru ditimpa kemalangan, bencana, menghidapi penyakit dan sebagainya kerana malang tidak berbau.  Sebagai pelajar, kita perlu menziarahi mereka jika mereka menghadapi situasi tersebut sebagai tanda melahirkan rasa simpati ibarat cubit paha kanan paha kiri terasa sakitnya. Ketika menziarahi mereka sakit, kita perlulah membawa buah tangan untuk menggembirakan guru sekali gus mengurangkan beban kesakitan yang ditanggung. Jika mereka mengalami kemalangan atau bencana alam, kita perlu mengutip derma bagi meringankan beban yang mereka tanggung. Hal ini amat bertepatan dengan peribahasa, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Jelaslah bahawa frasa, jasamu dikenang, budimu disanjung bukanlah sekadar omongan kosong kerana pengorbanan guru sentiasa dikenang oleh para pelajar.
                   Selain itu, kita juga boleh menghargai jasa guru dengan mendoakan kesejahteraan guru yang telah mengajar dan mendidik kita selama ini. Mendoakan kesejahteraan guru sama ada semasa hayatnya atau sesudah mereka kembali ke rahmatullah membuktikan kita sentiasa mengenang jasa mereka. Kita perlulah mendoakan mereka agar sentiasa sihat sejahtera dan dielakkan daripada segala bahaya. Hal ini kerana jika guru sihat sudah tentu mereka akan dapat menjalankan tugas mendidik anak watan dengan sempurna. Bagi mereka yang telah meninggal dunia, kita perlulah mendoakan agar dosa-dosa mereka diampunkan agar mereka sejahtera di alam barzakh. Sesungguhnya, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama dan sudah tentu jasa serta pengorbanan guru akan terus dikenang sepanjang masa.
              Sudah terang lagi bersuluh, jasa dan  pengorbanan seorang guru itu sukar untuk dibalas walaupun dengan segunung intan. Tanpa guru siapalah kita kerana gurulah yang mengajar kita mengenali erti kehidupan. Akhirnya, marilah kita bersama-sama menghargai jasa guru agar ilmu yang kita peroleh daripadanya mendapat keberkatan daripada Tuhan. 

Renungilah bait-bait puisi di bawah.
            Guru,
            kau ibarat dian yang membakar diri
            melahirkan insan yang lestari
            tanpa mengira waktu dan hari
            segala ilmu dicurah dan diberi
            kerana kau sedar tanggungjawab yang diberi
            tanpamu negara tak mungkin teguh berdiri.                            

Penskoran :
Peringkat  :  Cemerlang
Markah dicadangkan  :  91  /100
Komen :
1.  Takrif
Menjawab tugasan.
2.  Idea
Sangat relevan dan dihuraikan dengan baik dan matang.
3.  Bahasa
Sangat gramatis dan bervariasi.
4.  Pengolahan
Sangat menarik dan berkesan serta pemerengganan sesuai.


Tema : Keluarga Impian Saya



“Rumahku, syurgaku” merupakan ungkapan keramat yang memanifestasikan peri pentingnya setiap ahli dalam sesebuah keluarga memainkan peranan masing-masing dengan sebaik mungkin sehingga menjelmakan kebahagiaan yang menjadikan rumah seumpama syurga. Semua insan mengidamkan sebuah keluarga yang bahagia, tidak terkecuali saya. Dalam sebuah keluarga yang bahagia, nilai toleransi, bertimbang rasa, kasih sayang, hormat menghormati dan kejujuran sewajarnya menunjangi kehidupan seharian ahli-ahlinya. Tidak lengkap jika setiap ahli keluarga hanya melakukan kerja sendiri tanpa mempedulikan ahli keluarga yang lain kerana sikap saling membantu bagai aur dengan tebing harus diamalkan dalam sesebuah keluarga. Sukar untuk dipercayai jika seseorang itu mengatakan bahawa dia tidak mengimpikan keluarga yang bahagia lagi harmoni. Oleh sebab itu, kita harus membebaskan mereka daripada belenggu kejahilan dan kegelapan itu kerana tanpa keluarga tidak mungkin kita akan menjadi insan yang berjaya dalam kehidupan.

Sesungguhnya setiap individu harus memikul dan melaksanakan kewajipan masing-masing demi mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia. Ibu bapa haruslah memainkan peranan penting untuk membina keluarga yang harmoni dan mewujudkan kebahagiaan dalam keluarga. Ibu bapalah yang akan membentuk sahsiah anak-anak. Ibu bapa jugalah yang akan memberikan bekalan yang terbaik kepada anak-anak seperti ilmu pengetahuan dan penerapan nilai-nilai murni. Anak-anak pada  era globalisasi ini semakin cepat menerima  apa-apa yang dipelajari, maka anak-anak ini perlu dibajai dengan perkara yang baik dan berfaedah serta membuahkan hasil. Anak-anak umpama sehelai kain putih yang harus dicorakkan oleh ibu bapa supaya menjadi sehelai kain batik yang cantik lagi menarik. Sewaktu anak-anak masih kecil, ibu bapalah  yang  menjadi guru mereka kerana merekalah guru yang pertama dan terdekat yang boleh membimbing anak-anak supaya menjadi insan yang berwawasan apabila dewasa kelak. Anak-anak akan meniru jejak langkah ibu dan bapa kerana mereka merupakan idola anak-anak mereka semasa kecil dan hal ini dapat diibaratkan bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Haruslah diingatkan bahawa setiap tingkah laku yang dipamerkan oleh ibu bapa pasti ada yang akan menjejaki langkah mereka. Tuntasnya, benarlah bahawa ibu bapa haruslah membentuk sahsiah anak-anak mereka untuk menjadi insan yang cemerlang dari segi fizikal mahupun rohani mereka dan ciri keluarga beginilah yang menjadi impian saya.

Selain itu, ibu bapa hendaklah mengajar anak-anak mereka yang mana  intan, yang mana  kaca, iaitu mereka bijak membezakan antara perbuatan yang baik dan sebaliknya. Hal ini disebabkan oleh sifat anak-anak yang naif lantas tidak berupaya membezakan antara perbuatan  yang baik dan perbuatan yang buruk. Dalam konteks ini  ibu bapa haruslah mengajar anak-anak mereka  tentang realiti menempuh kehidupan yang diredai Tuhan. Ibu bapa harus mengawasi pergaulan anak-anak di luar rumah kerana dikhuatiri mereka terlampau bebas sehingga terjerumus ke lembah dunia yang penuh dengan masalah sosial dan susila yang meruncing sedangkan mereka masih berumur setahun jagung dan darah setampuk pinang. Ibu bapa haruslah memastikan anak-anak mereka tidak bergaul dengan rakan yang buruk akhlaknya kerana hal tersebut akan menggelapkan masa depan mereka. Tidak cukup jika kasih sayang yang diberikan seperti bena tak bena. Sebaliknya, ibu bapa haruslah memberikan kasih sayang mereka dengan secukupnya selain melayan anak-anak bagai menatang minyak yang penuh. Ibu bapa juga perlu memastikan  anak-anak memperoleh didikan agama yang mantap sejak anak-anak masih kecil lagi kerana tanpa pegangan agama yang kukuh mereka akan tersesat seperti layang-layang terputus talinya. Ironinya, ibu bapa haruslah mendidik anak-anak sejak mereka kecil lagi supaya mereka tidak tersesat ketika menempuh belantara kehidupan. Dalam benak  saya, inilah antara ciri yang perlu ada dalam keluarga yang menjadi idaman saya.

Anak-anak akan kehilangan semangat untuk melakukan sebarang kerja  seharian jika ibu bapa tidak meluangkan masa dengan  mereka walaupun hanya untuk bertanyakan khabar. Lantaran itu, ibu bapa haruslah berusaha sedaya mungkin untuk meluangkan masa bersama dengan anak-anak. Meluangkan masa bersama-sama ahli keluarga tidak bererti  mereka hanya melakukan aktiviti di luar rumah, bahkan usaha tersebut  boleh juga dilakukan di dalam rumah seperti membincangkan masalah yang membelenggu pemikiran anak-anak di samping menyelesaikannya. Ibu bapa haruslah mengambil berat terhadap anak-anak  dengan bertanyakan masalah yang dihadapi, perkembangan pelajaran di sekolah dan kehidupan sosial mereka. Ibu bapa tidak seharusnya memperlihatkan sikap rakus dalam mengejar fatamorgana  dalam aspek kebendaan sehingga mengabaikan tanggungjawab  terhadap anak-anak. Wang ringgit bukanlah penyelesaian bagi setiap masalah yang dihadapi tetapi kasih sayang yang ikhlas dari lubuk hati yang suci itu adalah penting bagi menjana keluarga bahagia. Tidak salah jika ibu bapa mencari rezeki pada  siang hari, tetapi jika sering pulang lewat petang sehingga mengabaikan makan minum anak-anak, tentu mereka akan  makan hati. Peribahasa Arab pernah mengatakan bahawa anak-anak yang kurang memperoleh kasih sayang daripada ibu bapa yang sibuk adalah yatim. Walau bagaimanapun, ibu bapa haruslah meluangkan masa mereka bersama dengan anak-anak  agar mereka tidak kesunyian di samping dapat membina keluarga bahagia.

Menjadi anak yang derhaka ialah perkara yang dilarang sama sekali dalam mana-mana ajaran agama. Untuk mewujudkan keluarga bahagia, anak-anak haruslah menuruti perintah ibu bapa mereka. Anak-anak hendaklah belajar dengan penuh kesungguhan dan mendapat  keputusan yang cemerlang kerana pencapaian tersebut dapat membanggakan ibu bapa untuk membalas jasa mereka. Anak-anak seharusnya memuliakan maruah diri dan maruah keluarga dengan tidak melibatkan diri dengan aktiviti yang tidak sihat seperti vandalisme, lumba haram, dan menagih dadah. Anak-anak sewajarnya mendengar nasihat ibu bapa, bukannya menjadikan diri mereka tidak ubah seperti mencurahkan air ke daun keladi. Tidak sepatutnya jasa ibu bapa yang tidak terbalas itu dilupakan  begitu sahaja. Sebagai insan yang bergelar anak  kita haruslah mengenang jasa mereka kerana kita ditegah untuk menjadi seperti kacang lupakan kulit. Anak-anak haruslah mengambil alih tugas ibu bapa yang dahulu menjaga kita sewaktu kecil dan kini tugas itu diambil oleh generasi muda untuk menjaga ibu bapa mereka yang sudah uzur yang sudah tidak boleh menguruskan diri mereka lagi. Jika ibu bapa boleh menatang kita umpama anak emas, mengapa kita sebagai anak tidak boleh melakukan hal yang sama? Hal ini disebabkan oleh mereka masih tidak bijak untuk menghargai seseorang yang telah berjasa kepada diri mereka sedangkan  ibu bapalah yang telah membimbing, mendidik dan menjaga mereka sejak mereka kecil lagi. Seandainya tiada ibu bapa,siapakah kita pada hari ini? Akhir sekali,anak-anak harus mentaati perintah ibu bapa agar keluarga bahagia dapat dibina. Sejujurnya, inilah antara ciri yang perlu ada dalam sebuah keluarga yang menjadi impian saya.

Haruslah menjadi kewajipan dalam institusi kekeluargaan untuk saling hormat menghormati  antara satu sama lain. Ahli keluarga sewajarnya mengelakkan daripada mencetuskan pertelingkahan, terutamanya antara ibu bapa dengan anak-anak kerana keluarga bahagia tidak seharusnya ada sikap seperti ini dan hal ini boleh mencemarkan nama baik keluarga secara tidak langsung. Ramai orang mengatakan bahawa keluarga yang bahagia ialah keluarga yang harmoni, aman dan damai. Sebagai ahli keluarga yang prihatin dan mengambil berat terhadap keluarga, mereka haruslah mewujudkan situasi ini dalam keluarga agar keluarga kita dihormati oleh masyarakat luar dan tidak dipandang serong serta dipandang hina. Ahli keluarga haruslah  bahu-membahu antara satu sama lain. Seandainya dalam keluarga itu ada seorang yang lemah dalam subjek matematik, haruslah dibantu oleh adik beradik yang lain kerana sikap bantu membantu ialah sikap yang baik dan mulia. Orang yang kedekut ilmu selalunya merupakan orang yang rugi kerana mereka tidak ingin membantu memajukan generasi akan datang, malah mereka lebih rela melihat generasi akan datang dipijak oleh penjajah. Kita haruslah mengamalkan sikap berat sama dipikul, ringan sama dijinjing dan ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni. Tegasnya, saya mengimpikan ahli keluarga yang  mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan  untuk membina keluarga bahagia di samping membangunkan generasi akan datang agar sesebuah institusi keluarga itu menjadi keluarga yang dihormati.

Tuntasnya,  itulah antara ciri keluarga yang menjadi impian saya, terutamanya setelah saya dewasa dan membina keluarga sendiri. Semuanya akan menjadi kenyataan sekiranya saya berjaya dalam bidang pelajaran yang sudah pasti akan menjadikan masa hadapan saya cerah kerana kedudukan ekonomi saya yang stabil. Selain itu, saya dan pasangan yang menjadi suri kehidupan saya akan memikul tanggungjawab dengan sebaik yang mungkin agar anak-anak akan menjadikan kami sebagai rol model mereka. Dengan keizinan daripada Yang Maha Esa, mudah-mudahan impian saya akan tercapai. Lebih jauh lagi, saya mesti berusaha dengan penuh kesungguhan agar impian tidak tinggal sebagai mimpi pada siang hari kerana tanpa usaha tiadalah kejayaan. Semoga fajar yang  menyingsing pada sekurang-kurangnya sepuluh tahun akan datang  memberikan sinaran paling gemilang dalam kehidupan saya.


Penskoran :
Peringkat
Cemerlang
Markah dicadangkan
82 - 85
Komen :
Tugasan
Menjawab tugasan.
Idea
Relevan. Huraian jelas.
Bahasa
Ayat gramatis. Kosa kata luas dan menarik.
Pengolahan
Menarik dan berkesan. Pemerengganan seimbang.



Remaja pada masa ini merupakan angkatan muda yang akan menjadi tonggak pemerintahan pada masa hadapan. Bijak pandai ada berkata, sekiranya kita hendak melihat kepimpinan masa hadapan, lihatlah remaja yang ada pada masa ini. Lantaran itu, dalam menempuh milenium yang sarat dengan cabaran reformasi ini,  ciri-ciri remaja yang kamil dan mempunyai nilai keinsanan yang syumul penting untuk membangunkan negara. Dalam hal ini, semua pihak berperanan bagi melahirkan remaja yang mempunyai  ciri-ciri remaja yang berwawasan.
           
           Berakhlak mulia merupakan salah satu ciri remaja berwawasan. Hal ini demikian kerana akhlak yang luhur, datang dari hati yang bersih. Remaja yang berakhlak mulia akan suka didampingi malah akan meraih rasa hormat daripada orang sekeliling. Remaja yang berakhlak mulia pasti tidak akan terjebak dengan kemelut sosial yang mementingkan dunia hedonistik semata-mata serta berusaha untuk menghindarkan diri daripada bergaul dengan remaja-remaja yang bermasalah. Taat pada agama sudah pasti dapat melahirkan individu yang berakhlak mulia kerana semua agama di dunia menyeru kepada kebaikan dan melarang kepada kemungkaran. Secara tidak langsung, remaja yang mempunyai sikap mahmudah dapat dilahirkan seterusnya dapat menjadi seorang insan yang kamil. Remaja yang berakhlak mulia juga sudah pasti dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk, yang mana kaca, yang mana permata bak kata peribahasa yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Jelaslah bahawa berakhlak mulia merupakan salah satu ciri remaja berwawasan.

            Selain itu, remaja berwawasan sudah pasti mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dan tinggi. Remaja yang berwawasan pasti akan berusaha untuk mencari ilmu dan sentiasa dahagakan ilmu. Pepatah ada juga mengatakan carilah ilmu sehingga ke negeri China kerana ilmu yang ada hanya setitik daripada selautan. Malahan, Albert Einstein juga pernah berkata semakin banyak yang dipelajari, semakin banyak yang tidak diketahui.  Dengan melahirkan remaja yang berilmu pengetahuan, anak muda ini tidak akan mudah ditipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab serta akan sentiasa dihormati dan disanjung oleh masyarakat sekeliling. Jelaslah bahawa, remaja yang berilmu pengetahuan juga merupakan ciri yang vital dalam melahirkan remaja yang berwawasan.


            Di samping itu, remaja yang berwawasan juga akan sentiasa gigih untuk menggapai gamitan menara impian. Sudah tentulah budaya pesimistik dan culas dikikis serta dibuang jauh untuk mencapai kejayaan walau seruwet manapun yang diamalkan oleh remaja berwawasan ini. Secara langsung, remaja berwawasan akan gigih berusaha menggunakan setiap detik dan waktu agar diisi dengan perkara yang bermanfaat  dan berfaedah kerana masa itu emas. Selain itu, masa yang pergi tidak mungkin akan kembali. Oleh itu, remaja yang berwawasan akan memastikan setiap masa yang terluang diisi dengan perkara yang mendatangkan maslahat seperti menelaah buku, beriadah atau melakukan ibadah kerana cendekiawan ada mengatakan masa ibarat pedang,sekiranya kita leka mata pedang itu akan  memenggal kita. Jelaslah bahawa, gigih berusaha merupakan ciri yang signifikan dalam melahirkan remaja yang berwawasan.


            Sementelahan itu, bersemangat patriotik juga merupakan ciri remaja berwawasan. Remaja yang berwawasan akan berusaha menjaga nama baik negara serta memerah keringat untuk menaikkan nama negara. Remaja yang berwawasan juga akan mengekalkan perpaduan negara yang sudah sedia terjalin ukhuwah sesama manusia mahupun berlainan bangsa dan agama demi menyahut seruan ‘Satu Malaysia’ yang diuar-uarkan oleh Dato’ Seri Najib bin Tun Abdul Razak. Terbuktilah bahawa, remaja yang berwawasan akan mempunyai semangat patriotik yang tinggi.

            Tuntasnya, semua pihak haruslah bergabung tenaga melahirkan remaja yang berwawasan agar Malaysia akan terus maju dan terkenal di seluruh pojok dunia pada masa hadapan.
                                                                                    (496 patah perkataan)

Penskoran :                     
Peringkat  :  Cemerlang
Markah dicadangkan  :   26 -27
Komen :
1.          Takrif
 Menepati tugasan.
2.          Idea
 Relevan dan dihuraikan dengan baik berserta contoh yang sesuai.
3.          Bahasa
 Gramatis, berkesan dan bervariasi.