Cari Blog Ini

Isnin, 22 Februari 2010

jawapan rumusan - titipan cuti tahun baru cina 2010

SKEMA JAWAPAN
(Rumusan)


Pendahuluan / pengenalan [2 markah]

1. Petikan membincangkan kepentingan/faedah/kebaikan sains dan teknologi
dalam membina tamadun manusia. (2m)
Isi tersurat [ 4- 12 markah]

1. Sebagai salah satu sumber untuk meneruskan kehidupan. (2m)
2. Masyarakat pengembara primitif menjadikan sains dan teknologi sebagai panduan. (2m)
3. Pemburu boleh mengelak daripada binatang buruan tercium bau mereka. (2m)
4. Pemburu boleh memiliki ilmu anatomi binatang. (2m)
5. Pemburu tahu menentukan bahagian yang paling rawan untuk sasaran senjata. (2m)
6. Turut diaplikasikan dalam pembuatan senjata untuk memburu. (2m)
7. Senjata-senjata boleh ditajam dan diruncingkan. (2m)
8. Boleh mengukur kemajuan sesebuah negara. (2m)
9. Petani boleh mengaplikasikan konsep sains dalam amalan pertanian. (2m)


Isi tersirat [ 4-12 markah]

1. Masyarakat masih menggunakan peralatan lama. (2m)
2. Masyarakat tidak mahu berubah. (2m)
3. Harga peralatan yang sangat mahal. (2m)
4. Kekurangan kepakaran untuk mengendalikannya. (2m)
5. Kos penyelenggaraan meningkat/tinggi (2m)
6. Masyarakat tidak mahir menggunakannya (2m)
7. Kesukaran mendapatkan pinjaman pembelian peralatan. (2m)
8. Masyarakat kekurangan wang/modal. (2m)
9. Institusi kewangan sukar memberi pinjaman. (2m)

Penutup [2 markah]

1. Kesimpulannya, kerajaan perlu menggalakkan penggunaan sains dan teknologi
dalam kehidupan supaya meningkatkan kemajuan negara. (2m)

2. Oleh itu/Tuntasnya/Intihanya semua pihak perlu memanfaatkan sains dan
teknologi dalam kehidupan seharian supaya kehidupan mereka lebih selesa. (2m)


Soalan 2 : Pemahaman

Soalan 2 (a) Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan anda sendiri.


(i) Berikan maksud rangkai kata intipati alam semula jadi.(2 markah]
 Isi / kandungan yang bersumberkan alam semesta

(ii) Bagaimanakah sains dan teknologi membantu kehidupan masyarakat primitif dan moden?
[3 markah]
 Menggunakan senjata untuk memburu [1m]
 Memahami penggunaan dalam pemburuan [1m]
 Masyarakat moden menggunakannya untuk teknologi pertanian [1m]
 Masyarakat moden menggunakannya untuk memahami dan menjaga ekosistem [1m]


(iii) Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah untuk menggalakkan masyarakat supaya
menggunakan sains dan teknologi dalam kehidupan seharian?
[4 markah]
 Kemudahan memberi pinjaman modal / kewangan [1m]
 Pameran / karnival berkaitan sains dan teknologi kepada orang ramai [1m]
 Ceramah / seminar berkaitan sains dan teknolog [1m]
 Lawatan ke Pusat Sains Negara / Pusat Sains dan Teknologi [1m]
 Pendedahan sains dan teknologi kepada pelajar sejak awal [1m]
 Memperbanyak rancangan televisyen berkaitan sains dan teknologi [1m]
 Menawarkan kursus-kursus di universiti berkaitan dengan sains dan teknologi [1m]
 Kerajaan mengadakan minggu atau bulan sains dan teknologi [1m]

Jumaat, 12 Februari 2010

TITIPAN CUTI SEKOLAH SEMPENA TAHUN BARU CINA UNTUK ANAK-ANAK DIDIK 4IS, 5IS DAN 5IR 2010

Assalammualaikum... anak-anak didik cikgu. Selamat bercuti, namun anak-anak perlulah sentiasa beringat... tahun ini anak-anak akan berjuang. Tahun ini juga tahun terakhir untuk anak-anak mengutip pengalaman dan pengetahuan di sekolah.... justeru, janganlah mensia-siakan masa yang ada... sambil becuti, manfaatkanlah masa yang ada dengan aktiviti berfaedah. Sebagai tanda kasih dan ingatan cikgu untuk anak-anak didik cikgu, cikgu juga ada menitipkan buah tangan untuk mengisi masa cuti anak-anak didik cikgu. Titipan menerusi blog cikgu ini merupakan sumbangan peribadi cikgu bagi menyokong usaha melestarikan alam dengan mengurangkan penebangan pokok dan meminimakan penggunaan kertas. Cikgu harap anak-anak gembira dengan buah tangan ini.

Apa yang perlu anak-anak buat adalah, siapkan soalan rumusan dan karangan ini dalam buku rumusan dan penulisan 2. Jika buku tersebut tiada pada tangan anak-anak, tulis dahulu dalam 'test pad'. Sila hantar tugasan ini pada masa pertama hari Khamis 18 Febuari 2010.

Soalan 1 : Rumusan
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang peranan sains dan teknologi dalam membina tamadun manusia dan kekangannya dalam memajukan ekonomi negara.. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Sejarah telah membuktikan bahawa sains dan teknologi telah wujud dalam kehidupan masyarakat tamadun terdahulu dan amat penting dalam membina kemajuan sesebuah bangsa. Gandingan sains dan teknologi itu terlalu kuat impaknya dalam kehidupan sosial manusia yang primitif, sains dan teknologi juga memainkan peranan penting sebagai salah satu sumber untuk meneruskan kehidupan.

Masyarakat pengembara primitif menjadikan sains dan teknologi sebagai panduan dalam aktiviti pemburuan yang merupakan mata pencarian utama mereka termasuk untuk mengesan jejak binatang. Selain itu, pemburu juga perlu bijak mengelak daripada binatan buruan tercium bau mereka dan harus memiliki sedikit ilmu anatomi binatang iaitu bahagian yang paling rawan untuk sasaran senjata. Walaupun agak terbatas perkembangan ilmu sains dan teknologi yang digunakan itu, namun perkembangannya cukup bernilai dan sesuai dengan keadaan masyarakat primitif tersebut. Sains dan teknologi juga turut diaplikasikan dalam pembuatan senjata untuk memburu seperti tombak, anak panah dan busur serta lembing. Senjata itu juga boleh ditajamkan dan diruncingkan dengan menerapkan ilmu sains dan teknologi. Bahan-bahan untuk membuat tombak, panah dan lembing serta binatang-binatang buruan itu pula adalah intipati dalam semula jadi manakala melatih diri untuk menjadi pemburu mahir dan berwibawa pula adalah terbit daripada kemampuan manusia.

Justeru, jelaslah bahawa kepentingan sains dan teknologi adalah amat penting dalam segenap aktiviti kehidupan manusia sekali gus merupakan fenomena sosial sejak dahulu kala lagi. Baik masyarakat primitive mahupun masyarakat moden hari ini, aktiviti kehidupan tidak boleh dipisahkan dengan sains dan teknologi. Bezanya ialah bagaimana sains dan teknologi itu diaplikasikan mengikut kesesuaian zaman dan kehidupan hari ini pastinya memerlukan sains dan teknologi yang lebih maju dan canggih. Keagungan sesebuah tamadun yang sedang dibina hari ini juga terletak sepenuhnya kepada sejauh mana tamadun berjaya mengaplikasikan sains dan teknologi dalam memudahkan kehidupan penduduknya. Selain sains dan teknologi, kemajuan sesebuah negara juga diukur pada kemampuan penduduknya memahami ilmu sains dan teknologi tersebut dengan meluas dan tinggi.

Petani-petani di Jepun amat mahir dalam mengaplikasikan konsep sains dan amalan pertanian mereka tidak hanya sekadar memahami apa itu kompos sebaliknya memiliki pemahaman yang tinggi mengenai ekosistem. Kebanyakan bahan bacaan di negara ini seperti majalah dan buku lebih banyak diterbitkan dengan medium yang lebih ringan seperti hiburan, sukan atau novel remaja. Justeru, bagi memastikan masyarakat di negara ini setaraf dengan penduduk di negara maju lain terutama Jepun, lebih banyak penulisan dengan tema sains dan teknologi diperlukan. Penulis tersebut pula tidak hanya mempunyai kemahiran dan ilmu pengetahuan yang tinggi berkenaan sains dan teknologi malah berupaya membawa tema tersebut dalam masyarakat.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Utusan Melayu
Sains dan Teknologi Membina Tamadun Manusia, Jun 2005)

Soalan pemahaman petikan umum.
Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata intipati alam semula jadi.[2 markah]

(ii) Bagaimanakah sains dan teknologi membantu kehidupan masyarakat primitif dan moden? [3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah untuk menggalakkan masyarakat supaya
menggunakan sains dan teknologi dalam kehidupan seharian?[4 markah]

Soalan 2 : Karangan
Pencemaran alam telah menjadi satu isu global yang diputuskan oleh Perhimpunan Bangsa-bangsa Bersatu. Impak ini memberi kesan yang ketara kepada manusia terutama di Malaysia.

Nyatakan kesan-kesan negatif yang timbul daripada kemelut ini dan langkah mengatasinya.


* Untuk menghasilkan karangan matang dan mantap, anak-anak digalakkan untuk mencari fakta tambahan dengan merujuk sumber dari internet atau majalah. Cikgu amat menggalakkan anak-anak mengambil ungkapan menarik, bicara tokoh ataupun sokongan data dan statistik.