Cari Blog Ini

Jumaat, 17 Februari 2012

titipan bahasa Melayu Tetap di Hati... sempena cuti hujung minggu 17 Februari 2012

Assalammualaikum anak-anak didik cikgu semua.... pasti semuanya gembira menghabiskan masa hujung minggu bersama-sama keluarga yang tersayang...mudah-mudahan terubat rindu anak-anak semua untuk menjamah masakan ibu tersayang... betul3x...

Baiklah, seperti yang cikgu janjikan... ada buah tangan istimewa untuk anak-anak didik semua... khusus buat anak didik cikgu 1 Abu Bakar yang comel....3 Ali yang komited... 5 Ibnu Sina yang rajin ... 5 al Kindi yang hebat... anak-anak didik cikgu digalakkan untuk mencetak ( print ) tugasan dalam blog cikgu ini dan tampal dengan kemas dalam buku karangan berpandu masing-masing....selamat belajar!!!


Tugasan untuk anak-anak cikgu di kelas 1 Abu Bakar:



Berdasarkan gambar di atas, huraikan pendapat anda tentang kesan-kesan obesiti kepada penghidapnya. Panjangnya huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


Tugasan untuk anak-anak cikgu di kelas 3 Ali :



Berdasarkan gambar di atas, huraikan pendapat anda tentang kesan-kesan negatif penggunaan kad kredit. Panjangnya huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


Tugasan untuk anak-anak cikgu di kelas 5 Ibnu Sina dan 5 al Kindi :





Berdasarkan gambar di atas, huraikan pendapat anda tentang faktor-faktor berlakunya krisis air. Panjangnya huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Rabu, 15 Februari 2012

Jawapan Modul Latihan Berpandu Tatabahasa - Peribahasa

Berikan satu peribahasa lain yang hampir sama maksud dengan peribahasa yang dikemukakan di bawah.

1. Seperti belut pulang ke lumpur.
Seperti gagak pulang ke benua.

2. Bagai layang-layang putus tali.
Bagai anak ayam kehilangan ibu.

3. Seperti pinang dibelah dua.
Bagai cincin dengan permata.

4. Seekor kerbau membawa lumpur, habis semuanya terpalit.
Kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

5. Membuka pekung di dada.
Menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri

6. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.
Alang-alang mandi biar basah.
Alang-alang berminyak biar berkilat.


7.Sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit.
Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain.

8. Air ditetak tidak akan putus.
Biduk lalu kiambang bertaut.

9. Harapkan pagar, pagar makan padi.
Harapkan sokong, sokong membawa rebah

10. Bapa borek, anak rintik.
Ke mana tumpahnya kuah, kalau tak ke nasi.

Isnin, 13 Februari 2012

Surat Pilihan 1 Abu Bakar : 14 Februari 2012

Surat Pertama : 18, Jalan Perdana 3,
Taman Perdana Jaya,
81110 Johor Bahru,
Johor.
6 Januari 2012

Assalamualaikum, cikgu Nurul yang senantiasa segar dalam ingatan saya. Apa khabar, cikgu? Semoga cikgu sihat-sihat hendaknya. Saya di sini sihat-sihat sahaja.

Ke hadapan cikgu Nurul yang dirindui,
Tujuan saya mengutus warkah ini adalah untuk mengucapkan ribuan terima kasih sebanyak bintang di langit kerana telah membimbing saya hingga berjaya memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah yang lalu. Sekarang, saya menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Johor Bahru. Saya hendak cikgu mengetahui bahawa betapa rindunya hati saya kepada suara, gelak ketawa dan senyuman cikgu.

Tanpa kehadiran cikgu, mustahil saya akan berada hingga ke tahap ini. Atas segala nasihat yang dititipkan, saya berusaha bersungguh-sungguh hingga saya mengenggam kejayaan yang begitu bermakna. Segala titik peluh cikgu terbayar dengan kejayaan yang saya dan rakan-rakan peroleh.

Cikgu yang saya hargai sepanjang hayat,

Pada awalnya, hukuman yang dikenakan kepada saya ibarat suatu celaan. Tetapi, setelah saya sedar, hukuman itu amat bererti ibarat sebutir mutiara. Hatta hukuman itu perit, namun hukuman itu terbalas dengan sehelai slip keputusan UPSR yang menunjukkan keputusan 5A. Saya berjanji akan mengingati cikgu selagi hayat dikandung badan. Cikgu, peganglah janji saya selama-lamanya.

Akhirulkalam, terima kasih sekali lagi membasahi bibir untuk Cikgu Nurul. Semoga cikgu dipanjangkan usia oleh Allah Subhanahu WaTaala agar kita dapat bertemu suatu hari nanti. Jadi, titik noktah warkah ini akan berakhir di sini. Salam sayang daripada saya dan rakan-rakan.

Dalam ingatan tulus ikhlas,
Rahima Izzati.



Surat kedua :

No 42 , Jalan Seri Austin,
6/4 Taman Seri Austin ,
81100 Johor Bahru,
Johor Darul Takzim .

13 Mac 2012.

Assalamualaikum .
Menemui guruku Latifah yang berada di Kedah , semoga dalam keadaan sihat walafiat. Saya di sini sihat sahaja .

Guruku,
Tujuan saya menulis warkah ini adalah bertujuan ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana telah mendidik saya selama 6 tahun yang kini berada di SMK Agama Johor Bahru .
Tanpa cikgu , tiadalah saya di SMK Agama Johor Bahru . Cikgu yang telah mengorbankan masa untuk saya bagi mengadakan kelas tambahan dan sebagainya.
Cikgu juga telah membawa saya berjaya hingga ke menara gading . Saya akan teruskan usaha saya sehingga berjaya dansaya akan selalu ingat jasa cikgu sehingga akhir ayat.
Sekian , terima kasih .

Yang benar ,
Nazirah


Surat ketiga :

No 80 Jalan Azizah,
Kem Majidee ,
80634, Johor Bahru,
Johor.
14 Februari 2012

Kehadapan guruku yang dirindui. Semoga sentiasa berada dalam sihat walafiat.

Cikgu,
Tujuan saya menulis surat ini adalah untuk mengucapkan ribuan terima kasih kerana telah mendidik dan mengajar saya hingga berada di tahap ini.Saya sekarang berada di SMK Agama Johor Bahru. Sesungguhnya tanpa kehadiran cikgu di dalam hidup saya, saya tidak mungkin berada di sini.
Semasa di sekolah rendah dahulu, cikgu banyak melayan kerenah saya. Tetapi cikgu tetap mengajar dengan penuh sabar .Cikgu tidak pernah jemu dan berputus asa walaupun saya bukanlah seorang yang cerdik dan mendengar kata.
Saya amat merindui cikgu-cikgu dan rakan-rakan serta kenangan yang kita lalui bersama tahun lepas.Sesungguhnya mutiara-mutiara yang cikgu taburkan masih tersemat di dalam hati dan saya akan menjadikan ia sebagai pedoman hingga ke akhir hayat.
Akhirulkalam,sekali lagi saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada cikgu kerana telah banyak mendidik saya untuk menjadi seorang insan yang berguna di dunia dan di akhirat.

Yang Benar
Aishah Fiqa


Surat keempat :

No 24, Jalan Badik 12
Taman Puteri Wangsa.


Kehadapan cikgu Rashidi yang amat kami rindui,

Kami di sini sihat-sihat sahaja.kami berharap agar cikgu di sana sihat juga.Tujun kami mengirimkan surat ini adalah untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada cikgu kerana telah banyak menyumbangkan jasa kepada kami dengan sedaya upaya untuk melihat kejayaan kami.

Cikgu,
Kami sentiasa mendoakan kesihatan cikgu agar dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki.kami disini akan sentiasa mengingati kenangan yang telah dilalui sepanjang kami belajar bersama cikgu selama setahun.
Kami berharap agar cikgu dapat menyumbangkan jasa cikgu kepada generasi yang akan datang.Kami disini sangat menghargai pengorbanan yang telah cikgu berikan kepada kami sehingga kami berjaya memperoleh kejayaan yang kami ingini.
Sebelum kami mengakhiri kata-kata kami,sekali lagi kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas jasa cikgu.Sampai di sini sahaja,semoga kita dapat mengutus surat pada masa akan datang.
Sekian,terima kasih.
Anak muridmu
Marsya

Sesi p&p pertama di makmal komputer bersama-sama anak-anak pelajar 1 Abu Bakar yang comel....

Tugasan hari ini....

Tulis sepucuk surat menyatakan terima kasih kepada guru di sekolah rendah anda. Nyatakan terima kasih kerana telah mendidik dan memberikan semangat untuk anda belajar bersungguh-sungguh hingga berjaya memperoleh 5A dalam UPSR yang lalu. Panjangnya surat anda mestilah tidak kurang daripada 180 patah perkataan.
Email kepada : latifahtarkep@yahoo.com

Surat yang terpilih akan cikgu muatkan dalam blog cikgu. Selamat Menulis ...:)

Isnin, 6 Februari 2012

Jawapan Modul Latihan Berpandu Tatabahasa - Pola Ayat

Latihan 1 :
1. Pemuda itu sedang menari. ( FN + FK )

2. Encik Zahid seorang jurutera. ( FN + FN )

3. Cikgu Latifah guru bahasa Melayu kami.( FN + FN )

4. Rumah saya di Taman Johor Jaya. ( FN + FS )

5. Kakak saya sedang membaca buku. ( FN + FK )

6. Kasut Ali sudah buruk ( FN + FA )

Latihan 2 ;
1. Penyanyi itu jiran saya. ( FN + FN )

2. Nasi lemak Mak Minah sangat sedap ( FN + FA ).

3. Emak sedang menanak nasi di dapur ( FN + FK )

4. Pokok itu pokok rambutan.( FN + FN )

5. Dewan sekolah saya sangat besar. ( FN + FA )

6. Baju saya berwarna merah hati. ( FN + FK )

Latihan 3 :
1. Tulisan Nabil sangat kemas. ( FN + FA )

2. Rumah Ahsan rumah batu. ( FN + FN )

3. Kampung datuk Afiq di Pasir Gudang.( FN + FS )

4. Bapa Naim seorang guru. ( FN + FN )

5. Syazwan dan Akmal sedang berbual-bual ( FN + FK ).

Jumaat, 3 Februari 2012

Jawapan Modul Latihan Berpandu Rumusan - Latihan 2-5

Latihan 2 : SPM N 2006

Pendahuluan :
Petikan tentang langkah-langkah/usaha-usaha yang perlu dilakukan bagi memupuk nilai murni dalam kalangan masyarakat.

Isi tersurat :
1. kerajaan melancarkan Kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni untuk menyuburkan amalan mulia itu.
2. amalan berterima kasih perlu disuburkan semula.
3.nilai kerjasama dan tolong menolong perlu ditekankan dalam kalangan masyarakat.
4. budaya berbahasa yang sopan dan berakhlak mulia harus dijadikan amalan harian.
5. ibu bapa bertanggungjawab dalam mendidik dan menbantuk sahsiah anak-anak agar mengamalkan akhlak terpuji.
6. guru-guru perlu mendidik anak-anak murid supaya berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai murni.
7. KPM memperkanalkan mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan.
8. rakyat dan kerajaan mesti berusaha bersama-sama untuk mewujudkan masyarakat yang berhemah dan berbudi bahasa.

Isi tersirat : kesan terhakisnya amalan berbudi bahasa
1. anggota masyarakat tidak menghormati orang lain
2. anak-anak akan cenderung bersikap kasar dengan orang lain.
3. masyarakat tidak dapat hidup dengan harmoni / aman / masyarakat huru hara.
4. masalah sosial berlaku berleluasa.
Kesimpulan :
Semua pihak mesti menyokong usaha memupuk nilai murni dan amalan budi bahasa agar masyarakat yang harmoni/berbudi bahasa/sejahtera dapat diwujudkan.



Soalan 2(a):
i. ukuran kemajuan… maksudnya , penilaian terhadap ketamadunan/kemodenan
ii. … untuk menyuburkan amalan berbudi bahasa yang sudah lama sudah lama diamalkan. .. amalan tersebut semakin terhakis sekarang ini… kerajaan hendak menerapkan amalan mulia ini dalam fikiran, perilaku dan hati budi masyarakat Malaysia.
iii. pada pandangan saya… anggota masyarakat perlu memberikan sokongan padu terhadap kempen ini… setiap individu perlu sedar kepentingan amalan itu … ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam menjayakan kempen itu … pihak sekolah dan guru perlu memainkan peranan penting memberikan kesedaran kepada murid.

Latihan 3 : SPM N 2007

Pendahuluan :
Petikan tentang langkah-langkah/cara-cara/usaha-usaha untuk menangani maslaah disiplin di sekolah.

Isi tersurat :
1. KPM menubuhkan Jawatankuasa Petugas Khas menangani Gejala Disiplin untuk menangani masalah disiplin murid.
2. KPM juga membuka talian penting dan e-mel untuk menerima aduan masalah disiplin.
3. pihak sekolah mendapatkan bantuan daripada pihak polis untuk mengatasi maslah tersebut.
4. pihak polis dibenarkan untuk menahan murid di luar kawasan sekolah pada waktu persekolahan.
5. KPM mengenakan tindakan tatatertib kepada sekolah yang menyembunyikan kes disiplin murid .
6. prosedur yang sedia ada untuk mengambil tindakan terhadap murid yang menlanggar disiplin masih digunakan.

Isi tersirat :
1. masalah disiplin murid akan menggagalkan usaha memperkasakan pendidikan di Malaysia
2. masalah disiplin murid meningkatkan jumlah keciciran akibat gagal dalam peperiksaan
3. negara akan kekurangan modal insan untuk menjadi pelapis pemimpin masa hadapan.
Kesimpulan :
Semua pihak perlu bertindak mengatasi maslah disiplin murid agar matlamat pendidikan negara tercapai.



Soalan 2(a) :
i. … sekolah berstatus elit… maksudnya, sekoah yang berkedudukan tinggi atau sekolah yang terkenal.
ii. peranan pendidikan … untuk menentukan hala tuju negara …. Melahirkan pemimpin yang berwibawa, berkaliber, dan kental jati diri … untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis selaras dengan FPK.
iii. pada pendapat saya… dengan memberikan kefahaman kepada pelajar tentang kepentingan pelajaran dan masa depan mereka… pendekatan kaunseling dnegan memberikan motivasi kepada pelajar yang mengalami konflik dan tekanan secara berhemah … kaunseling secara bijaksana tanpa menjejaskan hubungan dengan mana-mana pihak.

Latihan 4 : SPM N 2008

Pendahuluan :
Petikan tentang kebaikan/kemaslahatan pembabitan Malaysia dalam bidang penerokaan angkasa lepas.

Isi tersurat:
1. Malaysia dapat menjalin kerjasama dengan negara yang telah maju dalam bidang tersebut.
2. Malaysia dapat mencontohi cara mereka bekerja dalam bidang tersebut
3. penerokaan angkasa lepas dapat memajukan sistem komunikasi
4. menyebabkan bidang perniagaan dan pemasaran semakin meluas
5. peluang pekerjaan dan perkhidmatan dapat berkembang
6. kerja-kerja pemetaan, pengawalan dan pemantauan alam sekitar menjadi lebih mudah.

Isi tersirat :
1. menjadikan penerokaan angkas alepas sebagai satu mata pelajaran di sekolah
2. media massa mendedahkan penerokaan angkasa lepas kepada rakyat secara meluas.
3. kerajaan mengadakan kempen menggalakkan penglibatan rakyat dalam bidang ini
Kesimpulan :
Kerajaan Malaysia perlu meneruskan usaha penerokaan angkasa lepas agar dapat menyaingi negara yang lebih maju dalam bidang tersebut.

Soalan 2(a):
i. memberikan impak… maksudnya mendatangkan kesan.
ii. bukti… Malaysia memulakan penerokaan itu pada awal 1980-an yang melibatkan kos yang tinggi … melaksanakan program penghantaran angkasawan pertama ke angkasa lepas menerusi kerjasama dengan beberapa buah negara lain… pelancaran tiga buah satelit ke angkasa lepas.
iii. … sebagai murid yang berwawasan … saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mendalami bidang tersebut … menyertai aktiviti kokurikulum yang lasak sebagai persediaan membina kekuatan fizikal dan mental… banyak membaca buku tentang angkasa lepas…

Latihan 5 : SPM N 2009

Pendahuluan :
Petikan tentang faedah/kebaikan/keperluan/kemaslahatan tidur yang berkualiti dari segi saintifik kepada setiap individu.

Isi tersurat :
1. melancarkan proses metabolisme karbohidrat dalam badan
2. mampu meningkatkan keupayaan seseorang untuk belajar
3. membantu salam memelihara daya ingatan seseorang
4. melancarkan proses penyimpanan maklumat dalam otak
5. memantapka sistem ketahanan dalam badan seseorang
6. memulihkan pusingan biologi dalam badan
7. menyegarkan tubuh badan dan meningkatkan produktiviti
8. mengurangkan risiko sakit jantung
9. komponen penting bagi mendapatkan kesihatan yang baik

Isi tersirat : ( cara mengatasi sukar tidur )
1. membaca buku untuk meletihkan otak
2. elakkan minuman berkafein, teh atau kopi sebelum tidur
3. kosongkan fikiran dari memikirkan masalah sebelum tidur
4. dapatkan rawatan doktor/pakar
5. makan pil tidur dengan nasihat doktor / dengar muzik sebelum tidur
Kesimpulan :
Kita perlu tidur secukupnya bagi meningkatkan tahap kecergasan dan kesihatan.

Soalan 2(a) :
i. keadaan yang merimaskan … maksudnya, situasi yang tidak tenteram/kusut
ii. kesan tidak cukup tidur … dia akan menghadapi masalahsukar menumpukan perhatian dalam pekerjaan atau pelajaran …mengalami masalah kelembapan otak … menyebabkan proses penyimpanan maklumat dalam otak terganggu …kurang tumpuan untuk membuat keputusan dan perancangan …kemalangan berlaku di tempat kerja dan jalan raya.
iii.pada pendapat saya … kerana seseorang itu terlalu memikirkan masalah tempat kerja/kerja sekolah … terlalu memikirkan maslah diri hingga tidak dapat tidur … suasana sekeliling bising / tempat tidur tidak selesa/sesuai … pengambilan makanan yang merangsang saraf seperti kopi, teh dan minuman keras … kurang senaman dan riadah … tidak sihat / berpenyakit sukar tidur/insomnia.

2012... cabaranmu kusambut...!!!

Alhamdulillah.... masih lagi dikurniakan kesihatan yang cemerlang... Allah maha mengasihani... tahun 2012 telah lebih kurang sebulan kita tempuhi... diam tak diam, dalam tempoh sebulan ini, cikgu telah berhadapan dengan seribu satu cabaran... yang telah, sedang dan akan terus dihadapi....

Mudah-mudahan Allah merestui perjalanan kerjaya cikgu ini.... dilimpahi rezeki yang melimpah ruah, anak-anak didik yang rajin dan komited... rakan seperjuangan yang tabah dan dedikasi... tahun ini masih sama macam tahun lepas nampaknya, kami masih kekurangan guru BM... masih lagi masa mengajar 30 masa... huhuhu...berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.... namun perjuangan harus diteruskan..... insyaAllah!!!

Harapan cikgu agar anak-anak didik cikgu tahun 2012 ini.... pelajar-pelajar 5 Ibnu Sina yang komited dan 5 al Kindi yang hebat... akan terus maju melangkah demi kecemerlangan yang dicita-citakan.... InsyaAllah!!!

Jawapan Modul Latihan Berpandu Rumusan - Latihan 1

Latihan 1 : SPM N 2005

Pendahuluan :
Petikan tentang peranan jiran dalam kehidupan bermasyarakat.

Isi tersurat :
1. Semangat kejiranan dapat menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni.
2. jiran mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana
3. Jiran dapat menyalurkan pengetahuan dalam bidang ilmu dan kemahiran yang dimiliki oleh mereka.
4. Jiran yang bersatu padu mampu menjamin keselamatan setempat daripada ancaman (seperti kecurian dan budaya samseng).
5. Semangat kerjasama sesama jiran dapat mencegah perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.
6. Jiran yang bekerjasama dapat menjana program yang menyumbang kebajikan kepada masyarakat setempat.

Isi tersirat :
1. Jiran setempat boleh mengadakan gotong royong untuk menyatupadukan masyarakat.
2. Mereka juga boleh mengadakan rumah terbuka semasa sambutan perayaan.
3. Saling mengenali dan bertegur-sapa
4. Ibu bapa mendidik anak-anak agar menghormati jiran tetangga.
Kesimpulan :
Semua pihak perlu menghargai jiran agar kehidupan yang sejahtera dapat diwujudkan.

Soalan 2(a):
i. … menjamin keselamatan setempat maksudnya, mengambil langkah-langkah awal sebelum sesuatu yang buruk berlaku.
ii. kepentingan perpaduan …kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara. .. juga dapat mengelakkan negara daripada berada dalam keadaan kucar-kacir… masyarakat sapat hidup dalam keadaan aman damai.
iii. pada pendapat saya…masyarakat bersikap materialistik dan individualistik…masyarakat juga terlalu sibuk dengan kerjaya seharian hingga tidak mempedulikan jiran tetangga… tuntutan kehidupan moden hari ini menyebabkan kita kurang bergantung dengan jiran.