Cari Blog Ini

Rabu, 21 April 2010

LATIHAN RINGKASAN

Tips dalam meringkaskan karangan

1. Pelajar tidak boleh menyatakan pendapat ataupun pandangan sebaliknya hanya perlu menyatakan isi bedasarkan kehendak soalan.
2. TIDAK BOLEH menyalin bulat-bulat ataupun memotong-motong ayat dan mencantumkannya menjadi satu ayat dalam ringkasan.
3. Ringkasan bermaksud menulis ISI PENTING berdasarkan soalan.
4. Tulis hanya SATU ISI dalam SATU AYAT.
5. Ayat-ayat yang dibina harus ringkas, tepat dan padat.
6. Gunakan gaya bahasa sendiri tetapi tidak mengubah maksud asal petikan.
7. Gunakan penanda wacana yang ringkas dan tepat bagi menhubungkaitkan isi dengan isi dan ayat dengan ayat.Contohnya, (namun,walau bagaimanapun, justeru dan sebagainya)
8. Gantikan kata bilangan dengan penggandaan yang menunjukkan bilangan bagi menjimatkan jumlah perkataan.Contohnya, ‘para pelajar’(2 perkataan) ditulis sebagai ‘pelajar-pelajar’(1 perkataan)
9. Tulis ringkasan hanya dalam SATU PERENGGAN dalam jumlah perkataan yang dinyatakan dalam arahan.(TIDAK MELEBIHI daripada 80 patah perkataan.)


Contoh Soalan :
Baca petikan tersebut dengan teliti. Kemudian tulis satu ringkasan mengenai punca-punca tekanan dalam kehidupan. Panjang ringkasan anda tidak lebih 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal.

Penduduk dunia semakin tertekan! Perkara ini bukan lagi satu persoalan benar atau tidak tetapi lebih kepada perbandingan berapa teruk tahap tekanan atau stres yang dihadapi rakyat sesebuah negara. Tekanan di rumah, di tempat kerja, dan bermacam bentuk tekanan lain dilihat semakin bertambah di kala mencapai kemajuan dan kemodenan.
Agak mustahil bagi seseorang itu hidup tidak menghadapi tekanan kerana semua perkara dalam hidup seharian meninggalkan sedikit kesan kepada kemampuan menyesuaikan diri dengan bermacam keadaan yang dihadapi. Ketegangan jelas kelihatan di seluruh dunia kini akibat bermacam punca, dari bencana alam, peperangan sehinggalah kepada kos makanan.
Dunia menghadapi perubahan mendadak cuaca, terlalu panas atau terlalu sejuk, yang turut membawa bermacam bencana alam.Tidak cukup dengan perkara semula jadi, perbuatan manusia menambahkan lagi bebanan dengan bermacam krisis dan skandal. Pencemaran, krisis bekalan makanan, naik turun harga minyak dan keperluan asas (air, elektrik), harga barang melambung, skandal pencemaran produk makanan, krisis ekonomi dan kini peningkatan pengangguran.
Tidak cukup dengan itu, masih ada yang berselera berperang atau menghalalkan serangan terhadap penduduk awam. Sia-sia dan menyakitkan hati.
Melainkan peperangan, krisis dan skandal serupa turut melanda negara kita. Hasil bermacam cabaran yang perlu dihadapi kini, semakin banyak kejadian ‘tekanan melampau’ dapat dilihat dalam paparan berita. Gejalanya mudah dikesan, dari tindakan melepas geram di khalayak ramai, cara pemanduan di jalan raya, gaya pertuturan dan juga cara berkomunikasi, terutamanya di kaunter-kaunter perkhidmatan.
Bagaimanapun, perlu diingat rakyat Malaysia juga menghadapi tekanan tinggi dalam memahami dan menyesuaikan diri dengan bermacam perkara yang berlaku secara berturut-turut. Bersamalah kita kembalikan ketenangan dan keceriaan hidup, bukan hanya untuk diri dan keluarga, malahan untuk semua yang menggelar Malaysia ‘tanah tumpah darah’.

Pemahaman :

1. Apakah maksud rangkai kata krisis dan skandal?

2. Apakah gejala negatif yang dialami oleh manusia apabila mereka menghadapi tekanan?

3. Bagaimanakah kita menghadapi tekanan-tekanan ini secara positif?

Rabu, 14 April 2010

TITIPAN CUTI HUJUNG MINGGU 17-18 APRIL 2010

Assalammualaikum... salam pertemuan kembali anak-anak didik cikgu. Apa khabar? Mudah-mudahan saat cuti hujung minggu bersama keluarga ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya, pastinya setiap saat yang berlalu begitu bermakna. Baiklah, seperti yang telah cikgu janjikan.. titipan hujung minggu kita ialah :

KHAS UNTUK PELAJAR 4 IBNU SINA

1. Siapkan persembahan 'power-point' kumpulan dengan nilai tambah yang bersesuaian, contohnya gambar, muzik dan video.
2. Tolong 'save' dalam cd dan hantar pada pagi isnin.
3. Tugasan pengayaan ialah karangan respon terbuka tentang usaha-usaha mengekalkan keamanan dunia. Rangka isi-isi penting telah cikgu sediakan, anak-anak hanya perlu olah isi tersebut dengan nilai tambah statistik, ungkapan menarik dan kata-kata tokoh yang sesuai. Selamat mengarang!!!

Usaha-usaha Mengekalkan Keamanan Dunia
RANGKA KARANGAN

1.0 Pendahuluan
2.0 Isi/Fakta
2.1Peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
•Apakah peranan PBB ?
•Mengapakah PBB perlu campur tangan dalam menyelesaikan pertelingkahan pemimpin-
pemimpin dunia?
•Bagaimanakah peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dapat mengekalkan keamanan
dunia?
•Contoh
•Penegasan Isi
2.2Mewujudkan persefahaman dalam aspek politik dan ekonomi dalam kalangan pemimpin dunia
•Apakah persefahaman yang diperlukan?
•Mengapakan perlunya persefahaman?
•Bagaimanakah cara untuk mencapai persefahaman?
•Contoh
•Penegasan Isi

2.3Penganjuran Sukan Di Peringkat Antarabangsa
•Apakah kebaikan penganjuran sukan di peringkat antarabangsa?
.Mengapakah penganjuran sukan di peringkat antarabangsa dapat mengekalkan keamanan dunia?
•Bagaimanakah penganjuran sukan di peringkat antarabangsa dapat mengekalkan keamanan dunia?
•Contoh
•Penegasan isi

3.0Penutup

KHAS UNTUK PELAJAR 5 IBNU SINA
1. Siapkan persembahan 'power-point' kumpulan dengan nilai tambah yang bersesuaian, contohnya gambar, muzik dan video.
2. Tolong 'save' dalam cd dan hantar pada pagi isnin.
3. Tugasan pengayaan ialah karangan respon terbuka tentang usaha-usaha mengekalkan keamanan dunia. Rangka isi-isi penting telah cikgu sediakan, anak-anak hanya perlu olah isi tersebut dengan nilai tambah statistik, ungkapan menarik dan kata-kata tokoh yang sesuai. Selamat mengarang!!!

KARYA SASTERA KURANG DIMINATI OLEH MASYARAKAT PADA HARI INI. BINCANGKAN SEBAB-SEBAB KARYA SASTERA KURANG DIMINATI.
Rangka Jawapan

1.0Pendahuluan:
-Masyarakat hari ini tidak mengendahkan khazanah kesusasteraan bangsa yang menjadi warisan
turun-temurun akibat terlalu ghairah memburu kejayaan.
-Karya sastera sebenarnya sarat dengan unsur-unsur pengajaran dan nilai-nilai yang wajar
dijadikan teladan dan iktibar oleh masyarakat.
-Oleh yang demikian, karya-karya sastera ini wajar diterapkan dalam diri setiap individu dan seterusnya mencorakkan sahsiah masyarakat.

2.0Isi / Fakta
2.1Tanggapan masyarakat bahawa karya sastera tiada nilai komersial

Mengapakah tanggapan masyarakat bahawa karya sastera tiada nilai komersial punca karya sastera diminati?
Bagaimanakah dasar-dasar kerajaan menyebabkan karya-karya sastera kurang di
minati?
Banyak sekolah yang tidak menawarkan aliran kesusasteraan melayu sebagai salah pelajaran elektif.
Rumusan / penegasan isi :
Oleh yang demikian, jelaslah bahawa dasar kerajaan telah menyebabkan tanggapan masyarakat terhadap karya sastera sangat rendah.

2.2 Bahasa yang digunakan sukar difahami.
Mengapakah bahasa yang digunakan oleh penulis karya sastera sukar difahami oleh khalayak pembaca?
Bagaimanakah bahasa yang sukar difahami menyebabkan karya sastera kurang diminati?
Contoh :
Rumusan / Penegasan isi:
Jelaslah bahawa, bahasa yang sukar difahami telah menyebabkan karya sastera
kurang diminiati.

2.3 Kurangnya publisiti dan promosi secara besar-besaran terhadap karya sastera oleh pihak yang bertanggungjawab.
Mengapakah kurang publisiti dan promosi besar-besaran terhadap karya sastera oleh pihak yang bertanggungjawab?
Bagaimanakah kurang pendedahan terhadap karya sastera menyebabkan karya sastera kurang diminati.
Contoh :
Rumusan / Penegasan isi
Oleh itu, ternyata bahawa kurangnya publisiti dan promosi besar-besaran terhadap karya sastera telah menyebabkan karya tersebut kurang diminati.

2.4 Amalan membaca yang kurang dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Mengapakah amalan membaca yang kurang dalam masyarakat menyebabkan karya sastera kurang diminati?
Bagaimanakah bahan-bahan bacaan ringan dan berbentuk hiburan telah menyebabkan karya sastera kurang diminati?

3.0 Penutup :
Galakan daripada pihak kerajaan dan pihak swasta haruslah berganding bahu.
Mengubah pendekatan yang lebih menarik dan sistematik.
Usaha yang lebih komprehensif perlu dilakukan untuk mendekatkan karya sastera kepada masyarakat. Bantuan boleh dihulurkan oleh sasterawan dan persatuan penulis untuk mengetengahkan karya-karya sastera ke pangkuan masyarakat. Bak kata pepatah “ Kalau tidak dipecahkan ruyungnya, manakan dapat sagunya”.

KHAS UNTUK PELAJAR 5 IBNU RUSYD

KARANGAN RESPON TERBUKA]
Tajuk : Cara-cara Menghargai Jasa Ibu Bapa

Soalan
Jasa ibu bapa sangat besar nilainya dan tidak terbalas oleh anak-anak. Jelaskan cara-cara menghargai jasa ibu bapa.

Rangka Karangan

1.0 Pendahuluan

-ibu bapa merupakan insan yang paling penting dalam kehidupan setiap anak
-tanpa ibu bapa tiadalah anak
-ibu bapa telah banyak berkorban untuk memastikan anak-anak membesar dengan sempurna
-ibu bapa terpaksa bekerja keras semata-mata untuk membolehkan anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna
-sebagai anak kita mestilah menghargai jasa ibu bapa

2.0Isi/Fakta

Cara-cara Menghargai Jasa Ibu Bapa
Isi 1 : Membantu ibu bapa membuat kerja rumah

- Apakah cara-cara menghargai jasa ibu bapa?
- Mengapakah anak-anak perlu membantu ibu bapa membuat kerja rumah?
- Bagaimanakah cara anak-anak membantu ibu bapa membuat kerja rumah?
- Contoh/Bukti: Menolong ibu memasak, menjaga adik-adik, membantu bapa
mencuci kereta, membersihkan persekitaran rumah
- Rumusan isi : Justeru ibu bapa akan berasa senang hati kerana beban tugas
mereka di rumah bertambah ringan

Isi 2 : Menjaga ibu bapa selepas mereka tua
- Apakah cara lain yang boleh dilakukan untuk menghargai jasa ibu bapa?
- Mengapakah anak-anak perlu menjaga ibu bapa setelah mereka tua?
- Bagaimanakah anak-anak menjaga ibu bapa setelah mereka tua?
- Contoh/Bukti : Membawa ibu bapa tinggal bersama, melayan mereka dengan
sabar, menjaga makan minum mereka dengan sempurna
- Rumusan isi : Oleh hal yang demikian, anak-anak hendaklah menjaga ibu
bapa baik dari segi jasmani mahupun rohani

Isi 3 : Mengunjungi ibu bapa jika tinggal berasingan
- Apakah cara lain menghargai jasa ibu bapa?
- Mengapakah kita perlu mengunjungi ibu bapa?
- Bagaimanakah caranya mengunjungi ibu bapa?
- Contoh / bukti : pulang ke kampung sebulan sekali, bertanya khabar,
membawa makanan dan barang kesukaan mereka
- Rumusan isi : Dengan cara ini ibu bapa tidak akan berasa sunyi dan tersisih
walaupun anak-anak tinggal berjauhan

Isi 4 : Berjaya dalam pelajaran

-Apakah cara lain menghargai jasa ibu bapa?
-Mengapa kita perlu berjaya dalam pelajaran?
-Bagaimanakah kejayaan anak-anak dapat membalas jasa ibu bapa?
-Contoh/Bukti : anak mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading dan mendapat pekerjaan yang baik
-Rumusan isi : Kejayaan anak-anak melambangkan kejayaan ibu bapa dalam mendidik anak-anak.

3.0 Penutup/Kesimpulan
Kesimpulannya, jasa ibu bapa terhadap anak-anak tidak ternilai. Ibu bapa tidak mengharapkan anak-anak membalas jasa dengan menghamburkan wang atau kemewahan tetapi cukuplah sekadar anak-anak mengambil berat terhadap diri mereka dan prihatin terhadap masalah mereka pada saat mereka menghadapi hari-hari tua. Jika kita menghargai jasa ibu bapa kita, setelah kita tua, anak-anak kita pasti akan menghargai jasa kita. Usahlah kita menjadi anak-anak yang tidak mengenang jasa seperti Si Tenggang yang melupakan ibunya setelah menjadi kaya.

LATIHAN KARANGAN JENIS SURAT KIRIMAN

Hari Guru bakal tiba tidak lama lagi. Pastinya, wajah-wajah guru yang tidak jemu-jemu mendidik anak-anak bangsa tergambar di lensa minda semua insan bergelar pelajar. Justeru, bagi menzahirkan penghargaan dan tanda terima kasih anda, tulislah sepucuk surat khas buat guru Bahasa Malaysia anda sempena sambutan Hari Guru 2010. Surat anda hendaklah berkisarkan jasa dan sumbangan guru anda sebagai pembina negara bangsa dan menepati tema 1 Malaysia. Panjang karangan anda hendaklah tidak kurang daripada 350 patah perkataan.

RESPON SURAT KIRIMAN PELAJAR :

Terima kasih Natasha, kiriman surat natasha amat bermakna dan menyentuh sukma cikgu. cikgu kongsikan titipan bermakna awak untu tatapan semua pengunjung blog cikgu... inilah surat natasha.

02-01, blok 6,Jalan Bertam 16,
Taman Daya,
81100 Johor Bahru,
Johor Darul Takzim.

15 Mei 2010

Ke hadapan guruku yang dikasihi, Cikgu Latifah Tarkep. Saya harap keadaan cikgu pada hari ini disusuli dengan senyuman. Diharap juga cikgu bahagia di samping keluarga tersayang.

Cikgu,
Saya rasa mungkin cikgu sudah tahu apa tujuan saya mengirimkan warkah keramat ini kepada cikgu. Saya hanyalah insan biasa yang hanya mampu mengirimkan warkah, tidak dapat memberikan sebuah hadiah kepada cikgu. Walau /..bagaimanapun, ingin saya sertakan sebuah cerita tentang seorang pelajar yang tidak sedar bahawa dirinya telah melukakan hati gurunya yang sangat dia cintai. Cerita yang ingin saya sertakan ini telah membuka mata saya bahawa dalam kerjaya seorang guru, pelbagai perkara yang tidak dijangka boleh terjadi, terlalu banyak cabarannya. Saya harap, cikgu dapat mengikuti kisah ini dengan penuh penghayatan.

********************************************************************************************
HARGA KEEGOAN
"Boleh berikan saya tiga faktor yang mempengaruhi kadar tindak balas?" Lantang suara Cikgu Anura melawan bunyi bising suara pelajar. Suasana di makmal kimia pada tengah hari itu begitu panas dan merimaskan.
"Biar saya jawab soalan itu!" Azlan mengangkat tangan sambil tersengih-sengih bagaikan kerang busuk. Sorakan daripada rakan-rakannya menaikkan lagi semangatnya hendak menjawab.
Cikgu Anura memandang Azlan dengan perasaan curiga.
"Ini mesti hendak mempersendakan aku lagi," getus hati kecilnya. Ini bukan kali pertama dia dipermainkan oleh Azlan yang digelar 'Romeo Jawa' itu. Minggu lepas, Azlan memanggilnya darling di hadapan para pelajarnya. Merah mukanya menahan malu diperlakukan sebegitu oleh pelajarnya sendiri. Mana mungkin dia berkenan dengan budak hingusan seperti Azlan walaupun mukanya tampan seperti Fahrin Ahmad, pelakon terkenal masa kini.
Cikgu Anura menghampiri Azlan sambil menjegilkan matanya. Dia merenung pelajar tampan berambut ikal itu.
"Ya, Romeo Jawa," kata Cikgu Anura.
"Apa jawapan saudara kali ini?" tanya Cikgu Anura.
Matanya sengaja dibularkan dengan harapan supaya pelajar itu takut. Geramnya mula menggelegak di hati.
Azlan tersenyum meleret. Dia mengenyitkan matanya kepada Cikgu Anura.
"Bagi mendapatkan kadar tindak balas yang berkesan, tiga faktor yang terlibat adalah sayang, cinta dan kas...."
Belum sempat Azlan menghabiskan jawapannya, satu cubitan keras hinggap di bahunya. Azlan terjerit kesakitan. Seluruh kelas menjadi gamat dengan gelak ketawa pelajar-pelajar lain.
"Diam!" jerit Cikgu Anura sambil bercekak pinggang. Merah padam mukanya menahan malu.
Kelas yang tadinya agak gegak-gempita dengan deraian ketawa pelajar serta-merta menjadi sepi bagaikan disambar garuda. Belum pernah Cikgu Anura berasa begitu marah dan malu seperti ini.Darahnya mendidih hingga ke tahap maksimum.
"Jangan cuba hendak kurang ajar dengan saya, saudara keluar sekarang. Saya tidak mahu lihat muka saudara di sini selama-lamanya," herdik Cikgu Anura. Cikgu Anura sebak dan akhirnya dia menangis tersedu-sedu di tempat duduknya. Kelas terus sepi.
Semenjak hari itu, Azlan tidak kelihatan lagi di sekolah. Cikgu Anura kini lebih tenang mengajar di kelas Lima Permata.
Azlan pula benar-benar menyesali perbuatannya, namun dia malu untuk bertemu dengan Cikgu Anura. Dia hanya sekadar mengutuskan salam melalui teman-temannya dan memohon keampunan. Cikgu Anura pula tidak peduli langsung bahkan membalas salam Azlan dengan pesanan yang ringkas, 'tiada maaf bagimu selamanya'.
Satu pagi yang bening,telefon bimbit Cikgu Anura berdering.
"Hello, boleh saya bercakap dengan Cikgu Anura?" Satu suara tua menyentuh gegendang telinga Cikgu Anura. Dia terkesima seketika kerana dia tidak mengenali orang yang empunya suara.
"Hello, saya Anura, Boleh saya tahu siapa yang bercakap di sana?" balas Cikgu Anura. Dadanya terasa berdebar.
Saya datuk Azlan," perkenal suara tua di hujung sana.
"Boleh kita berjumpa sebentar di hospital?" Suara lirih itu kelihatan begitu hiba meraih simpati.
"Di hospital? Mengapa? Ada sesuatu terjadi pada Azlankah?" soal Cikgu Anura bertalu-talu. Dadanya berdebar. Belum pun sempat perbualan diteruskan, talian terputus. Cikgu Anura resah memikirkan apa yang telah berlaku. Dia bergegas mengenakan pakaian seadanya dan memandu ke hospital. Wajah nakal Azlan dan usikannya terngiang-ngiang di fikiran Cikgu Anura.
Setibanya di hospital, Cikgu Anura tercangak-cangak kerana tidak tahu ke mana harus dituju. Seorang tua berwaah durja menghampirinya perlahan-lahan.
"Cikgu Anura?" tanya orang tua itu. Cikgu Anura mengangguk.
"Mana Azlan? Mengapa dengan dia?" tanya Cikgu Anura cemas.
"Azlan sedang dibedah. Dia kemalangan dalam perjalanan hendak ke rumah puan." Sendu di hati orang tua itu tidak dapat ditahan lagi. Dia kalah dan akhirnya, air matanya berguguran.
Terkebil-kebil mata Cikgu Anura mendengar cerita orang tua itu. Satu kisah di luar dugaannya. Hatinya turut tersentuh. Kesal mula menyelubungi jiwanya kerana tidak memaafkan Azlan. Keegoannya menyebabkan Azlan kembali ke pangkuan Illahi dalam hiba. Seluruh badannya terasa lemah.
"Ini gambar arwah ibu Azlan. Dia genggam kemas gambar ini semasa dia meninggal," suara datuk Azlan kedengaran. Gambar yang kusam itu bertukar tangan.
Sekali lagi Cikgu Anura tersentak. Wajah di dalam gambar lama itu begitu seiras dengan wajahnya. Akhirnya, titisan mutiara jatuh berderai membasahi pipi Cikgu Anura. Ditatapnya gambar kusam itu dalam esak tangis yang tidak dikawal.
Inikah harga sebuah keegoan?
*******************************************************************************************
Cikgu,
Cerita ini saya sertakan untuk cikgu kerana pada pertama kali saya membacanya, hati saya sangat tersentuh. Namun begitu, cerita ini tiada kaitan dengan insan yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia. Ianya hanyalah rekaan semata-mata. Sekarang, barulah saya tahu betapa sukarnya manjadi seorang guru. Terbeban dengan palbagai disiplin pelajar, memantau kelemahan pelajar, memberikan yang terbaik untuk pelajar, dan yang paling penting, yang ada di dalam diri Cikgu Latifah yang saya kenali adalah beliau cukup mengambil berat tentang masalah pelajar. Cara cikgu menjadi seorang guru telah menarik lagi minat saya untuk teruskan menulis warkah ini. Cara cikgu mengajar dengan menyelami hati pelajar menyebabkan cikgu dipandang tinggi oleh palajar-pelajar lain. Namun begitu, bukanlah niat saya untuk memuji atau memuja cikgu, tetapi tiada cara lain lagi yang setimpal untuk saya mengucapkan terima kasih kepada cikgu.

Cikgu,
Saya tahu, mungkin selama ini terselit seguris kesedihan di dalam hati cikgu kerana kesilapan yang telah saya lakukan. Tetapi, saya juga tahu, seorang guru tidak akan menunjukkan kesedihan di hadapan anak-anak muridnya. Oleh itu, pada hari yang cukup bermakna buat cikgu ini, berikanlah saya satu kesempatan untuk meminta maaf kepada cikgu atas segala tingkah laku yang pernah saya tonjolkan. Kadangkala, tiada niat untuk saya sengaja melakukan sebarang kesilapan terhadap cikgu, mungkin hanya ingin mencari sedikit hiburan tetapi terlupa akan kemuliaan seorang guru yang patut dihormati oleh insan yang bergelar murid, seperti Azlan yang terdapat dalam cerita di atas. Ibu saya selalu berpesan agar tidak sekali-kali mengguriskan hati seorang guru. Katanya, guru juga merupakan ibu bapa kita. Setiap pukulan dan kemarahan yang diberikan olehnya merupakan satu anugerah yang tidak dapat kita rasai apabila sudah berjaya melangkah masuk ke alam universiti kelak.'Hormatilah guru sebelum kamu memahaminya, sayangilah guru sejurus kamu memahaminya.' Dengan seribu kekesalan di dalam jiwa, saya amat mengharapkan pengampunan dari cikgu. Diharap cikgu sudi memaafkan.

Cikgu Latifah tesayang,
Dengan penuh rasa malu yang terselit di dalam lubuk hati ini, ingin saya pinta satu permintaan. Cikgu doakanlah saya dalam menghadapi peperiksaan demi peperiksaan yang akan saya tempuhi, sehingga terhulurnya sijil keputusan SPM ke tangan saya yang hina ini. Jasa cikgu akan saya kenang sampai bila-bila. Jika ditakdirkan Illahi, saya berjaya mendaki ke menara gading kelak, cikgu doakanlah agar saya masih setia membawa bersama nama cikgu ke puncaknya. Guru umpama lilin yang membakar diri. Lilin itulah yang banyak berjasa kepada sekalian manusia, ia dengan rela mengorbankan dirinya sedikit demi sedikit untuk menerangi kegelapan insan. Tanpa lilin itu, sudah tentu banyak manusia yang mati tersungkur dek halangan yang menanti di hadapan mereka. Itulah sebabnya mengapa doa seorang guru itu amat penting dalam kehidupan. Hanya dengan satu kalimah ' Ya Allah, permudahkanlah kejayaan anak-anak muridku menghadapi arus-arus kehidupannya yang mencabar, Ya Allah' yang terpacul dari bibir seorang guru, mampu melahirkan seribu orang kabinet menteri, doktor, peguam syariah, pensyarah terkemuka, arkitek dan sebagainya.

Andai kata diberikan peluang untuk saya terus menyenaraikan satu persatu nilai yang cikgu tampilkan kepada kami semua, sehingga ke hari tua sekalipun, masih belum tentu sampai ke titik noktahnya. Sebagai seorang insan lemah yang mengharapkan suluhan cahaya ilmu daripada cikgu, inlah sahaja yang dapat saya coretkan. Andai tersalah bicara, harap cikgu sudi memaafkan. Tiada apa yang dapat saya sertakan melainkan seutus doa untuk cikgu dan keluarga semoga kekal bahagia hingga akhi hayat.

Cikgu sayang,
Maafkanlah kami,
Tolonglah kami,
Bimbinglah kami,
Sinarilah hidup kami dengan cahaya suriamu,
Kamilah anak-anakmu yang bakal mengharungi onak duri,
Di sepanjang perjalanan hidup kami,
Doakanlah kejayaan hidup kami, Cikgu.


Daripada insan lemah,
Natasha

Selasa, 6 April 2010

JAWAPAN LATIHAN NOVEL PGT

1) Huraikan pengajaran yang terdapat dalam novel yang anda kaji. (8m)

Novel yang saya kaji ialah Putera Gunung Tahan. Terdapat banyak pengajaran yang dikemukakan oleh pengarang dalam novel ini.

Antaranya ialah kita hendaklah cinta akan tanah air atau negara kita sendiri. Hal ini dapat dibuktikan melalui watak utamanya iaitu Ratu Bongsu yang bertegas tidak membenarkan orang Inggeris membina tempat peranginan di puncak Gunung Tahan. Ratu Bongsu walaupun ditawarkan dengan harta yang banyak, namun beliau tidak terpengaruh dengan pemberian wang ringgit, pangkat, dan kemewahan yang dijanjikan oleh pihak Inggeris.

Selain itu, kita hendaklah berani mempertahankan pegangan agama yang kita anuti. Hal ini dapat dibuktikan melalui watak perempuan Tua yang sanggup berhujah dengan Tuan Robert tentang kemuliaan agama Islam berbanding dengan agama Kristian.

Selain itu juga, kita hendaklah sentiasa menolong orang yang hidup dalam kesusahan. Hal ini dapat dibuktikan melalui watak Perempuan Tua yang sudi menyelamatkan Tuan Robert yang hampir dibunuh oleh orang Sakai. Contoh lain ialah, Ratu Bongsu sanggup membantu Mem William yang cedera parah apabila kapal terbangnya terhempas dalam serangan di puncak Gunung Tahan.

2 ) Huraikan keistimewaan watak utama yang terdapat dalam novel yang anda kaji. (8m)

Novel yang saya kaji ialah novel Putera Gunung Tahan. Watak utama dalam novel ini ialah Ratu Bongsu. Terdapat banyak keistimewaan dalam novel yang saya kaji ini.

Antara keistimewaan watak utama ialah Ratu Bongsu seorang pemimpin yang bertanggungjawab terhadap rakyat jelata. Hal ini dapat dibuktikan apabila puncak Gunung Tahan akan diserang oleh pihak Inggeris, beliau telah meminta semua orang bunyian melarikan dan menyelamatkan diri ke dalam hutan.

Keistimewaan kedua ialah, Ratu Bongsu telah bertindak tegas terhadap orang Inggeris yang diwakili oleh Tuan William dengan tidak membenarkan orang Inggeris membina tempat peranginan di puncak Gunung Tahan. Beliau sanggup menolak tawaran pangkat dan wang ringgit yang dijanjikan oleh Inggeris demi mempertahankan bangsa dan tanah air daripada penjajahan Inggeris.

Selain itu, Ratu Bongsu juga seorang yang penyayang. Beliau sangat menyayangi ibunya dan selalu meminta pendapat ibunya sebelum mengambil apa-apa tindakan. Beliau juga amat menyayangi Mem William. Walaupun Mem William merupakan isteri musuhnya, tetapi sebagai manusia dia sanggup membantu Mem William yang menghadapi musibah dan bersedia mengambil Mem William sebagai isterinya.

Watak utama juga digambarkan sebagai seorang yang istimewa apabila mudah membantu orang yang dalam kesusahan. Hal ini terbukti apabila beliau sentiasa membantu Tuan William mendapatkan peralatan untuk menghubungi isterinya yang berada di London. Beliau sanggup meminjamkan teropong terus kepada Tuan William untuk melihat isterinya yang jauh di mata.

3) Gaya bahasa memainkan peranan penting dalam memastikan keistimewaan sesebuah karya. Berdasarkan novel yang anda kaji, bincangkan kepelbagaian gaya bahasa dalam novel tersebut. (8m)

Berdasarkan novel Putera Gunung Tahan, terdapat pelbagai gaya bahasa yang telah digunakan untuk menarik minat pembaca dan telah memberikan kesan yang mendalam kepada pembaca.

Antara gaya bahasa yang digunakan ialah gaya bahasa dialog. Hal ini dapat dibuktikan melalui perbualan antara watak seperti Tuan William dan tuan Robert ketika bermalam di dalam gua dan perbualan tentang agama Islam dan agama Kristian antara Tuan Robert dengan Perempuan Tua. Selain itu, penggunaan bahasa asing seperti bahasa Inggeris. Hal ini dapat dilihat daripada penggunaan “Good morning old lady” iaitu ucapan Tuan Robert kepada Perempuan Tua. Selian itu juga, penggunaan bahasa istana telah diselitkan dalam novel ini. Hal ini dapat dibuktikan melalui ungkapan “Ampun tuanku beribu-ribu aampun, kedatangan patik mencemarkan istana tuanku ini harap mendapat ampun”. Penggunaan bahasa simile. Hal ini dapat dibuktikan melalui penggunaan kata seperti, umpama, bagai, dan bak. Contoh yang terdapat dalam novel yang saya kaji ialah padang-padang yang luas seperi permaidani permaidani terbentang.


4) Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, huraikan tema yang terdapat dalam kedua-dua buah novel tersebut.

Kedua-dua buah novel yang saya kaji ialah Di Hadapan Pulau dan Putera Gunung Tahan. Dalam novel DHP, tema yang diketengahkan oleh pengarang ialah penderitaan hidup semasa pemerintahan tentera Jepun di Tanah Melayu. Hal ini dapat dilihat apabila rakyat menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan dan menghadapi tekanan perasaan. Buktinya dapat dilihat apabila Kapten Hebat terpaksa memakan Mokmeng (monyet) untuk meneruskan hidup. Begitu juga Taksiah yang terpaksa menggadaikan maruah diri kepada tentera Jepun untuk meneruskan kelangsungan hidup akibat penjajahan tentera Jepun. Walau bagaimanapun, ketabahan dan kecekalan Aziz dan Afidah dalam mengharungi penderitaan hidup perlu dipuji. Mereka berdua berusaha gigih untuk mendapatkan bekalan makanan dengan membantu Syed Fikri menanam sayur di kawasan rumahnya. Aziz dan Afidah juga sanggup mencari makanan di kawasan kubur lama untuk terus hidup dalam zaman peperangan ini.

Dalam novel PGT, temanya ialah semangat cinta akan tanah air dan sanggup mempertahankannya daripada dijajah oleh penjajah British. Hal ini dapat dilihat melalui watak ratu Bongsu yang berpendirian tegas tidak menyerahkan puncak Gunung Tahan kepada pihak British walaupun ditawarkan dengan wang ringgit dan ganjaran yang lumayan. Sebagai pemimpin puncak Gunung Tahan, beliau telah mengatur strategi untuk mengelakkan pencak Gunung Tahan jatuh ke tangan British. Ratu Bongsu juga sentiasa meminta pendapat orang yang lebih tua untuk menguruskan kepimpinannya dengan meminta pendapat Perempuan Tua. Di samping itu, beliau merupakan pemimpin yang baik dan berjiwa rakyat. Beliau telah meminta semua pengikutnya lari meninggalkan puncak Gunung Tahan untuk menyelamatkan diri apabila kawasan itu akan diserang oleh tentera British. Kesediaannya untuk tinggal bersama-sama Kusina ketika puncak Gunung Tahan dibom membuktikan bahawa beliau seorang yang mempunyai semangat patriotik yang tinggi untuk mempertahankan tanah air.

LATIHAN NOVEL PGT

1) Huraikan pengajaran yang terdapat dalam novel yang anda kaji. (8m)
2) Huraikan keistimewaan watak utama yang terdapat dalam novel yang anda kaji. (8m)
3) Gaya bahasa memainkan peranan penting dalam memastikan keistimewaan sesebuah
karya. Berdasarkan novel yang anda kaji, bincangkan kepelbagaian gaya bahasa
dalam novel tersebut. (8m)
4) Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, huraikan tema yang terdapat dalam
kedua-dua buah novel tersebut.