Cari Blog Ini

Ahad, 23 Januari 2011

TUGASAN KECEMERLANGAN UNTUK ANAK DIDIK 5 IBNU SINA, 4 IBNU SINA DAN 4 AL KINDI - SEMPENA CUTI TAHUN BARU CINA 2011

Assalammualaikum anak- anak didik cikgu....
pelajar 5 Ibnu Sina yang komited,
pelajar 4 Ibnu Sina yang tekun
dan pelajar 4 al Kindi yang hebat!!Selamat bercuti :-)
Seperti biasa, cikgu pasti akan menitipkan tugasan untuk menemani anak-anak sepanjang cuti ini.... jangan lupa buat tugasan cikgu ni tau!!!
Selamat menjawab!!

Soalan 1: Rumusan
[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah menyertai kegiatan kokurikulum dan cara-cara menggalakkan pelajar menyertainya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Bidang kurikulum dan kokurikulum saling berkait rapat sekali gus menjadi teras bagi meningkatkan keupayaan dan kebolehan pelajar mencapai kecemerlangan. Bidang kokurikulum kini menjadi pelengkap kepada proses pembelajaran di sekolah. Kokurikulum boleh ditakrifkan sebagai satu saluran pembelajaran yang berasaskan gerak kerja yang tersusun dan terancang.

Terdapat tiga komponen utama aktiviti kokurikulum di sekolah, iaitu badan beruniform, persatuan atau kelab, dan sukan serta permainan. Aktiviti badan beruniform menekankan aspek pembentukan disiplin diri pelajar. Pelajar dilatih dengan soal ketepatan masa, mematuhi pemimpin, sentiasa bersedia dan cergas, serta sentiasa bersemangat juang yang tinggi. Selain itu, pelajar juga diuji dengan daya ketahanan fizikal dan mental melalui aktiviti seperti berkawad dan merentas halangan. Semangat bekerjasama dan berdikari turut disemai dalam aktiviti badan beruniform. Latihan-latihan ini akan menguatkan lagi daya ketahanan mental pelajar walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran.

Penglibatan dalam persatuan atau kelab pula membawa penekanan implikasi yang berlainan. Dalam aktiviti berpersatuan, pelajar akan mendapat pelbagai pengetahuan, khususnya dalam hal-hal pengurusan dan pentadbiran. Sebagai contoh, pelajar diasuh dengan kemahiran pengurusan mesyuarat, membuat surat rasmi, kertas kerja dan laporan, mencatat minit, berkomunikasi dengan baik, memberikan idea yang bernas dan latihan berhujah. Apabila berpersatuan, pelbagai pandangan dan idea boleh dikongsi antara sesama ahli. Pengalaman dalam menguruskan mesyuarat juga merupakan satu proses kematangan diri. Latihan-latihan ini dapat memberikan satu pengalaman baharu yang berbeza daripada bidang akademik.

Aktiviti sukan dan permainan sudah pasti memberikan penekanan kepada implikasi, pemikiran strategik dan kekuatan fizikal. Selain memperoleh badan yang cergas, minda juga turut menjadi cergas. Sukan bukan sahaja berkait tentang persoalan siapa yang menang atau siapa yang kalah, sebaliknya sukan memupuk keyakinan diri, menghormati peraturan dan semangat juang yang tinggi. Pelajar juga dididik dengan semangat kerjasama dan toleransi sesama ahli pasukan. Maka tidak hairanlah apabila sukan boleh merentasi sempadan bangsa, politik dan benua. Apabila menyertai ketiga-tiga komponen utama kokurikulum yang dinyatakan sebelum ini sebenarnya pelajar telah menambah nilai terhadap diri sendiri. Mungkin dalam kalangan pelajar ada yang tidak menyedari bahawa nilai tambah ini merupakan sesuatu yang sangat bernilai. Malah, akhir-akhir ini kokurikulum menjadi satu nilai tambahan dalam proses pengambilan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Dengan kata lain, kita akan dapat menghasilkan generasi berilmu yang mempunyai kebolehan dan kesungguhan yang menyeluruh.

Aktiviti kokurikulum juga mampu membentuk modal insan yang berkualiti pada masa hadapan. Sejarah telah membuktikan pemimpin tersohor negara lahir daripada kalangan mereka yang aktif yang berpersatuan semasa zaman remajanya.

(Dipetik dan diubahsuai daripada
Pembentukan Sahsiah Diri Melalui Aktiviti Kokurikulum oleh Abd Ghani bin Abu,
Dewan Siswa, Julai 2007)

Jawab semua soalan


Soalan 2(a) Petikan Umum


Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)Berikan maksud rangkai kata idea yang bernas.
[2 markah]

(ii)Bagaimanakah aktiviti badan beruniform dapat membentuk disiplin diri pelajar?
[3 markah]

(iii)Pada pendapat anda, mengapakah para pelajar tidak berminat untuk menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah?
[4 markah]


Soalan 2 : Rumusan
[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang objektif kerajaan melaksanakan projek pembangunan hartanah dan implikasi pelaksanaannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 perkataan,

Usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia destinasi hartanah antarabangsa sememangnya kena pada masanya, Ketika negara-negara sedang membangun lain rancak menggunakan pendekatan untuk menarik pelaburan asing, Malaysia juga tidak mahu ketinggalan. Asas ekonomi yang semakin kukuh menyakinkan kerajaan untuk melaksanakan antara lain projek-projek hartanah yang dijangka membawa masuk pelaburan asing sebanyak RM20 bilion.

Semestinya pelaksanaan projek-projek seumpama itu ibarat serampang dua mata. Pelaksanaan projek-projek ini bukan sahaja bertujuan merangsang aliran masuk pelaburan asing malah menyediakan pelbagai peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini sekali gus menurunkan graf pengangguran. Selain itu, pelaksanaannya juga pasti menghidupkan industri hiliran lain yang mempunyai hubung kait dengan pasaran seperti perbankan dan guaman. Walaupun hasilnya hanya boleh dilihat dalam tempoh 10 tahun akan datang, namun perlu diakui hal ini mampu menjana pertumbuhan lebih pesat serta memberi kesan berganda kepada ekonomi negara secara umum.

Ketika kerajaan menjangkakan pelaksanaan projek pembangunan hartanah itu mampu menarik pelaburan asing, rakyat negara ini mesti menyiapkan diri dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran. Hal ini penting untuk memastikan setiap peluang yang terbit daripada projek-projek tersebut dapat dimanfaatkan oleh penduduk tempatan tanpa perlu bergantung kepada kepakaran asing. Semestinya kita tidak mahu pelaksanaan projek-projek yang menelan belanja besar itu kelak menguntungkan orang luar semata-mata hanya kerana rakyat negara ini tidak berdaya saing.

Budaya sektor pembinaan negara yang kini amat bergantung kepada buruh asing perlu diubah dan perubahan ini hanya boleh dilaksanakan menerusi kesedaran dalam kalangan penduduk tempatan untuk menyertai industri tersebut. Penduduk tempatan perlu bersedia untuk berubah dan merebut peluang yang terbentang di hadapan mata.

Tidak ada gunanya jika kerajaan bersungguh-sungguh merangka projek untuk menarik kemasukan pelabur asing, sedangkan minda rakyat masih di takuk lama iaitu enggan mengotorkan tangan untuk kerja-kerja kasar di sektor hartanah. Pelaksanaan pelan koridor ekonomi wilayah timur dan utara mesti menjadi penjana kekayaan rakyat di negara ini sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup masing-masing. Projek-projek mega seperti Wilayah Pembangunan Iskandar seharusnya turut dilihat sebagai peluang untuk membaiki kedudukan ekonomi rakyat selain meraih keyakinan pelabur asing untuk melabur di negara ini.


(Dipetik dan diubahsuaikan daripada "Tenaga Kerja Tempatan Jayakan Projek Hartanah," Utusan Malaysia 3 Jun 2007)

Soalan 2 Pemahaman
Soalan 2 (a) Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

(i)Berikan maksud rangkai kata enggan mengotorkan tangan. [2 markah]

(ii)Mengapakah rakyat perlu menyiapkan diri dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran untuk merebut peluang pembangunan di negara kita? [3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, bagaimanakah kerajaan boleh mengurangkan kemasukan tenaga kerja asing ke negara kita? [4 markah]

TUGASAN KECEMERLANGAN UNTUK ANAK-ANAK DIDIK 2 OTHMAN - SEMPENA CUTI TAHUN BARU CINA

Assalammualaikum anak-anak didik cikgu...:) Selamat bercuti!!!
Seperti biasa, cikgu akan titipkan tugasan untuk menemani anak-anak didik cikgu semua sepanjang cuti ini.... jangan lupa buat tugasan cikgu ini ye.... Selamat bercuti!!!

Latihan 1
Bahagian A (i)
[Masa yang dicadangkan : 40 minit]
[20 markah]


Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang usaha-usaha memulihara bangunan bersejarah. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.


Bangunan bersejarah merupakan bangunan masa silam yang sangat berharga dan unik. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu mengekalkan bangunan dan monumen tersebut. Antara contoh bangunan bersejarah di Malaysia termasuklah Kota A’Famosa di Melaka dan Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur. Bangunan bersejarah ini perlu dipulihara supaya tidak mengalami kemusnahan. Oleh itu, pelbagai usaha perlu diambil untuk memulihara bangunan bersejarah ini.

Kawasan bangunan bersejarah perlu dijadikan sebagai destinasi pelancongan sebagai usaha memulihara bangunan bersejarah. Melalui usaha ini, bangunan bersejarah akan terus dipelihara bagi menarik pelancong asing berkunjung ke Malaysia. Kerajaan juga boleh menjadikan bangunan bersejarah sebagai pejabat atau pusat pentadbiran sesebuah organisasi. Melalui langkah ini, bangunan bersejarah dapat berfungsi dan tidak terbiar usang begitu sahaja. Secara tidak langsung, usaha ini dapat mengekalkan struktur bangunan bersejarah agar tidak dirobohkan. Bangunan bersejarah juga wajar dijadikan lokasi bagi upacara-upacara tertentu.

Kerajaan juga perlu melancarkan kempen bagi menggalakkan masyarakat menghargai bangunan bersejarah di negara ini. Selain itu, media massa perlu menyiarkan latar belakang dan peranan bangunan bersejarah supaya masyarakat menghargai warisan tersebut.


Seterusnya, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang terhadap pihak yang menyebabkan kerosakan bangunan bersejarah bagi memastikan warisan ini sentiasa terpelihara. Pihak kerajaan wajar menjalin kerjasama dengan pihak swasta bagi menjalankan kerja pemuliharaan bangunan bersejarah. Dengan menjalankan kerja pemuliharaan ini, bangunan bersejarah yang mengalami kerosakan boleh dibaik pulih. Antara kerja baik pulih yang boleh dilakukan termasuklah mengecat semula bangunan dan menggantikan struktur kayu yang telah reput.


Tegasnya, semua pihak perlu berganding bahu dan bekerjasama bagi memulihara serta mengekalkan bangunan bersejarah. Pemuliharaan bangunan bersejarah penting untuk tatapan generasi akan datang selain menjadi warisan negara.


Bahagian A (ii)
[10 markah]
Berdasarkan petikan Bahagian A (i), jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
1 Berikan maksud rangkai kata masa silam ? [2 markah]
2 Berdasarkan petikan, nyatakan kepentingan pemuliharaan bangunan bersejarah.
[4 markah]
3 Pada pendapat anda, apakah usaha yang wajar dilakukan oleh pihak sekolah untuk mendidik murid menghargai bangunan bersejarah? [4 markah]



Latihan 2
Bahagian A (i)
[Masa yang dicadangkan : 40 minit]
[20 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang langkah-langkah mengurangkan kemalangan jalan raya . Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Saban hari, kita digemparkan dengan berita nahas jalan raya yang terpapar di televisyen dan di akhbar. Bagi mengurangkan peningkatan kadar kemalangan jalan raya, langkah yang efektif wajar disegerakan.

Kealpaan pemandu sering menjadi faktor perdana yang mengakibatkan kemalangan jalan raya. Lantaran itu, pemandu hendaklah senantiasa “membuka mata dan telinga agar peka terhadap keadaan sekelilingnya sebelum dan semasa memandu. Pemandu perlu memastikan keadaan kenderaan sempurna sebelum memulakan perjalanan. Perhatian sepenuhnya perlu ditumpukan tatkala memandu. Oleh itu, elakkan pengambilan minuman keras dan kelesuan ketika memandu kerana ingat sebelum kena, jimat sebelum habis.

Didikan dan asuhan yang diberikan kepada anak kecil yang diibaratkan kain putih bakal membentuk personaliti mereka apabila dewasa kelak. Usaha mewujudkan Kelab atau Persatuan Keselamatan Trafik Jalan Raya dapat menyemai dan memupuk kesedaran tentang peraturan lalu lintas jalan raya dalam sanubari murid sekolah.

Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan harus mengenakan denda dan hukuman yang berat kepada pesalah undang-undang jalan raya. Pada waktu yang sama , bilangan penguat kuasa undang-undang patut ditambah bilangannya agar pengawasan dari masa ke masa dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Selain itu, media massa perlu proaktif dengan menyiarkan iklan-iklan yang boleh menyedarkan pengguna supaya mengamalkan sikap berhemah semasa berada di jalan raya.

Sesungguhnya, masalah ini tidak boleh dipandang enteng memandangkan ciri-ciri insan yang mulia termasuklah sentiasa beristiqamah dan proaktif penting dalam usaha menurunkan kadar kemalangan jalan raya. Selain itu, setiap individu perlu beriltizam dan mempunyai komitmen yang tinggi untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Sekiranya kita bekerjasama, sudah pasti kita akan berjaya dalam usaha merealisasikan misi dan visi “sifar kemalangan” di negara kita.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada “Langkah Mengurangkan Kadar Kemalangan Jalan Raya” Dewan Siswa, September 2009)


Bahagian A (ii)
[10 markah]
Berdasarkan petikan Bahagian A (i), jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
1 Apakah maksud rangkai kata agar peka ?
[2 markah]
2 Berdasarkan petikan, apakah ciri-ciri yang perlu ada untuk menjayakan usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya?
[4 markah]
3 Pada pendapat anda, apakah tindakan yang wajar dilakukan apabila berhadapan dengan kemalangan jalan raya? [4 markah]

Jumaat, 21 Januari 2011

NOVEL TINGKATAN 5-KABUS DI PERBUKITAN-TEMA DAN PERSOALAN

TEMA:

Jati Diri Bangsa Melayu


Jati diri bangsa dan kekuatan pegangan agama menjadikan seorang wanita Melayu berupaya menghadapi cubaan hidup dengan tenang tanpa terkikis nilai wanita Melayu dan penganut agama yang setia. Kekuatan diri membentuknya menjadi wanita glokal yang masih sedar akan asal usul diri.

a) Faridah yang bermaustatin di Rosewood , New Zealand tidak pernah melupai tanah tumpah darahnya Malaysia walaupun sudah 25 tahun menetap di Rosewood.

b) Faridah masih menggemari masakan Melayu iaitu kari yang juga merupakan masakan kegemaran anaknya Anne.

c) Faridah masih mengekalkan panggilan namanya dengan nama Melayu iaitu Idah

d) Faridah masih kuat berpegang pada agama Islam yang menjadi pegangan kuat bangsa Melayu.

* Faridah dan Soleh Johnsons menerapkan ajaran Islam kepada anak-anak mereka iaitu larangan meminum arak.

* Faridah dan Johnsons menghantar anak-anak mereka Anne dan Melina belajar di sekolah rendah Islam ketika berusia enam tahun di Christchurch yang terletak 30 km dari rumah mereka di Rosewood


PERSOALAN

a. Sayang akan bangsa dan tanah air

o Faridah amat menyayangi tempat asalnya , Sungai Besar , Selangor walaupun sudah 25 tahun tinggal di New Zealand.

b. Keretakan rumah tangga yang memisahkan kasih sayang anak-anak
o Perpisahan Salmah dengan Kamarudin menyebabkan perpisahan anak kembarnya Rahayu dan Faridah. Mereka tidak bertemu lebih dari 20 tahun

c. Kasih sayang antara ibu, ayah dan anak
i. Perasaan sayang Salmah tidak pernah pudar walaupun telah berpisah dengan Rahayu selama lebih 20 tahun

ii. Mejar (B) Kamarudin meredah hutan belantara mencari anaknya yang Faridah yang hilang di dalam hutan Cameron Highlands walaupun selama lebih 20 tahun dia tidak pernah pernah bersua denga Faridah setelah berpisah dengan Salmah (ibu Faridah )

iii. Hamidah amat menyayangi Rahayu walaupun Rahayu hanya anak tirinya yang dibela bagai anak sendiri sejak berusia 7 tahun.

d. Pelestarian alam semula jadi

i· Soleh Johnsons mengusahaknan sebuah kawasan peranginan di Lojing, Cameron Highlands tanpa menebang pokok-pokok balak merbau dan tualang dan pokok-pokok balak yang lain demi mengekalkan ekosistem Cameron Highlands.

e. Kepentingan agama dalam kehidupan
i. Faridah masih kekal sebagai Muslim yang taat walaupun telah tinggal di Nez Zealand selama 25 tahun.


ii. Soleh Johnsons seorang Muslim yang kuat pegangan agama, anak-anaknya Anne dan Melina dihantar belajar di sebuah sekolah rendah agama yang jauhnya 30 km dari Rosewood semata-mata mahu anak-anaknya mendapat pendidikan Islam yang baik.

f. Pengamalan agama yang sederhana dan penuh unsur lemah lembut
i. Melina amat terpesona dan kagum dengan cara pengamalan Islam yang ditunjukkan oleh Ustaz Hassan Syukri (Imam Masjid Marang )dan Haji Awang (jirannya) penuh berhemah dan berlemah lembut


ii. Haji Awang tidak agresif apabila bercakap tentang agama Islam. Pendapatnya tidak terburu-buru berbanding Mohd. Attar rakan Benny (suami Melina ) yang sangat agresif iaitu menggunkan unsur keganasan yang menakutkan.


g. Ketaksuban agama yang keterlaluan/ masalah kumpulan militan Islam
i· Mohd. Attar , rakan Benny memperjuangkan Islam secara agresif . Ditangkap ketika membawa bom di Singapura


h. Semangat kental untuk memajukan sektor pertanian

i. Azrul meneruskan usaha bapanya menjadi usahawan tani dan berjaya membina empayar perniagaannya sehingga mendapat penghargaan (bergelar Datuk ) kerana usaha gigihnya memajukan industri tani di Sungai Besar


ii. Zain , anak Azrul meneruskan pengajian di bidang pertanian di New Zealand untuk meneruskan legasi perniagaan tani ayahnya.


iii. Soleh Johnsons mengusahakan industri ternak kambing secara Islam di New Zealand dan usaha ini diteruskan pleh zain yang berkahwin dengan anaknya Anne.


a. Sikap optimis terhadap sektor agrikultur/pertanian
Azrul amat yakin akan keputusannya untuk memajukan sektor pertanian selepas tamat pengajian di UPM . 25 tahun kemudian dia bergelar Tokoh Peladang Jaya.


i. Perkahwinan campur pelbagai bangsa

i. Faridah berkahwin dengan Soleh Johnsons seorang bangsa Inggeris New Zealand


ii. Melina berkahwin dengan Benny berbangsa Arab


iii. Anne berkahwin dnegan Zain berbangsa Melayu

j. Amalan agama yang longgar dalam kehidupan masyarakat kini sehingga mudah dipergunakan oleh orang lain

i· Benny seorang lelaki yang longgar pegangan agama walaupun seorang Muslim dia masih minum arak dan sering berfoya-foya, akhirnya tanpa sedar telah diperalatkan oleh Mohd. Attar seorang anggota militan Islam sehingga terpaksa melarikan diri dan meninggalkan Melina seorang diri di Marang.


k. Prejudis terhadap agama

· Kegiatan vandalisme berlaku di An Noor Islamic Centre,

· Media yang memberi gambaran negatif tentang Islam

l. Kepelbagaian budaya dan adat resam bersatu di bawah satu pegangan agama
· Benny seorang Arab, Melina dan Anne mengamalkan cara hidup Barat dan Timur

· Asraf penuntut Muslim dari Afrika.

· Orang Barat tidak suka mencampuri urusan peribadi orang lain seperti yang digambarkan oleh Zain tetapi Orang Melayu lebih terbuka apabila berbicara tentang keluarga/peribadi.

· Asraf berpendapat orang Afrika Muslim lebih berkongsi berbanding bahagian lain Afrika yang saling mencurigai.


m. Pemuliharaan khazanah negara
· Bukit Kutu diwartakan sebagai Hutan Rizab Hidupan Liar.

· Bangsa Maori di New Zealand dipelihara sebagai warisan unik New Zealand dan amat dihormati di New Zealand.

Khamis, 20 Januari 2011

Isnin, 17 Januari 2011

KABUS DI PERBUKITAN-NILAI DAN PENGAJARAN
NILAI DAN PENGAJARAN



Nilai ialah unsur-unsur baik yang terdapat dalam novel

Pengajaran ialah unsur-unsur yang negatif untuk dijadikan iktibar kepada kita

Kedua-dua nilai dan pengajaran dikaji untuk menjadi panduan dan teladan dalam kehidupan seharian kita.

A. NILAI

1.KETEGUHAN JATI DIRI BANGSA DAN AGAMA


· Faridah masih kental jati diri Melayunya walaupun telah tinggal di New Zealand selama 25 tahun. Dia masih makan makanan Melayu iaitu kari malah anaknya Anne meminta dia memasak kari.

· Faridah masih mengekalkan panggilan nama Melayunya Idah- nama yang dipanggil oleh suaminya Soleh Johnsons.

· Faridah masih mendengar lagu-lagu Melayu melalui internet.

· Datul Azrul sering berpesan kepada anaknya Zain, agar tidak melupakan kampung halaman dan pulang ke kampung halaman setelah tamat pengajian di New Zealand.

· Melina dan Benny masih berpegang kuat pada ajaran agama iaitu mereka berkahwin setelah saling menyayangi alupun baru 2 minggu berkenalan.

· Faridah dan Soleh Johnsons menghantar Anne dan Melina bersekolah agama di sekolah rendah yang terletak 30km dari Rosewood pada sebelah petang.

· Datuk Azrul solat berjemaah subuh dan mendengar ceramah agama di surau kampungnya.

· Soleh Johnsons mengusahakan pusat penyelembihan untuk membekalkan daging halal kepada umat Islam di New Zealand.

2.KASIH SAYANG

· Salmah amat menyayangi anaknya Rahayu sehingga sering terkenang-kenangkan Rahayu yang sudah meninggal dunia akibat kanser.

· Hamidah menyayangi anak tirinya Rahayu yang dibela sejak berusia 7 tahun, menjaga Rahayu yang sakit di hospital .

· Benny amat menyayangi Melina. Melina dibawa tinggal di Dubai kerana Benny tidak lagi boleh keluar dari Dubai setelah tersenarai sebagai militant oleh Amerika Syarikat.

· Faridah amat menyayangi keluarganya (Soleh Johnsons, Anne dan Melina) sehingga tidak pernah meninggalkan mereka setelah 25 tahun berhijrah ke New Zealand

· Faridah amat menyayangi ibunya Salmah sehingga terlalu sedih selepas Salmah meninggal dunia.


3.KETABAHAN/KECEKALAN

· Faridah tabah menjalani hidup selama 25 tahun di New Zealand tanpa pulang ke Malaysia setelah berkahwin dengan Soleh Johnsons.


4.KEBERANIAN

· Kamarudin berani meredah hutan tebal Bukit Kutu bersama-sama buyung semata-mata mahu mencari anaknya Faridah dan Iqbal yang hilang selepas terlibat dalam kemalangan dalam perjalanan ke Raub.

· Melina berani memandu seorang diri dari Marang Kuala Terengganu ke Bukit Cameron Highlands untuk bertemu ibunya Faridah.


5.KEBIJAKSANAAN

· Datuk Azrul membuat keputusan yang bijak apabila menceburi bidang pertanian selepas tamat pengajian dari UPM.


6.BERTANGGUNGJAWAB

· Kamarudin seorang bapa yang bertanggungjawab. Walaupun hampir 14 tahun tidak bersua dengan Faridah, dia tetap berusaha mencari Faridah yang hilang dalam hutan.

· Ghazali seorang majikan Faridah yang bertanggungjawab. Ghazali seorang pegawai JKM berada bersama-sama pasukan pemyelamat di Rumah Rehat Gap semasa poerasi mencari Faridah dan Iqbal.


7.KEPRIHATINAN

· Azrul amat prihatin dengan isu alam sekitar. Azrul menyertai kempen Save Our River- S.O.S di KLCC anjuran Persatuan Pencinta Alam

· Soleh Johnsons tidak mahu mengusahakan kebun sayur di Tanah Tinggi Lojing kerana tidak mahu merosakkan ekosistem alam semula jadi sebaliknya membina kawasan peranginan berkonsep semula jadi iaitu kebun teh, padang ragut untuk kuda liar, dusun buah-buahan sitrus dan taman-taman bunga.

· Soleh Johnson amat pritahin akan keinginan Faridahuntuk ;pulang ke kampung halamannya di Malaysia. Dia, akhirnya berhijrah ke Cameron Highlands bersama-sama Faridah.


8.KESETIAAN

· Melina seorang isteri yang setia. Dia berhijarh ke Malaysia mengikut Benny yang bertugas di Marang Trengganu

· Melina seorang isteri yang setia, berhijrah ke Dubai kerana perlu berada di sisi Benny yang telah pulang ke Dubai kerana disyaki sebagai militan.


9. KETAATAN kepada agama

· Faridah taat akan ajaran agama. Bangun bersembahyang Subuh .

· Melina mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Benny selepas

· berkenalan selama 2 minggu kerana masih berpegang kuat pada ajaran Islam

· setelah dipelawa oleh Benny untuk ke Malaysia selama tiga bulan


10. BERBUDI BAHASA

· Zain seorang pemuda yang berbudi bahasa. Dia menziarahi Faridah untuk berkenalan dengan keluarga Faridah dan menyampaikan salam daripada kedua-dua orang tuanya di Malaysia.


11. KEPASRAHAN/KEREDAAN pada takdir tuhan

· Soleh memberitahu Anne, segala yang berlaku dalam keluarga mereka merupakan ketentuan Allh SWT apabila Anne bertanya sebab Faridah meninggalkan kampung halamannya 25 tahun dahulu. Penghijrahan Faridah menjadi penyebab kelahiran Anne ke dunia



B.PENGAJARAN

1.Kita mesti mempunyai jati diri yang kental terhadap bangsa sendiri.

· Faridah masih mengekalkan idenditi bangsa Melayunya walaupun sudah 25 tahun tinggal di New Zealand iaitu masih menggunakan nama Idah.

2. Kita mesti meletakkan pegangan agama sebagai asas kehidupan untuk

berjaya dalam hidup

· Soleh Johnsons berjaya menjadi pengusaha ternakan dan penyembelihan cara Islam di New Zealand .

· Dia amat dikenali dalam kalangan 30.000 orang Muslim di New Zealand.


3. Kita mesti memulihara alam semula jadi agar kerosakan ekologi dapat

dikurangkan

· Soleh Johnsons dan Datuk Azrul tidak mahu mengusahakan ladang sayur demi kelestarian Tanah Tinggi Lojing, sebaliknya mengusahakan pusat peranginan berkonsep agropelancongan.

· Bukit Kutu kekal menjadi Hutan Rizab Hidupan Liar yang telah diwartakan sejak zaman pemerintahan British.


4. Kita mesti berwawasan jauh untuk mencapai kejayaan

· Azrul seorang graduan yang berpandangan jauh tentang masa depan bidang pertanian di negara ini.

· Azrul menyatakan hasratnya untuk menternak kambing selepas tamat pengajian kepada ayahnya setelah melihat pasaran kambing yang tinggi bagi majlis akikah, korban, majlis menyambut kelahiran dan kegunaan masyarakat Hindu.

· 25 tahun kemudian Azrul bergelar Datuk Azrul setelah berjaya memajukan industri pertanian melalui ladang sendiri dan Pertubuhan Peladang.


5. Kita mesti berfikiran terbuka untuk mencapai kejayaan

· Datuk Azrul menghantar anaknya Zain belajar dalam bidang pertanian di New Zealand untuk mengalami sendiri perbezaan cara hidup masyarakat New Zealand yang jauh lebih maju di bidang pertanian dan membezakannya dengan sikap masyarakat tempatan yang tidak berubah walaupun negara sudah maju.

· Datuk Azrul terpaksa berusha gigih meyakinkan penduduk Merbau Berdarah agar menyatukan kebun-kebun mereka untuk membentuk mini estet kelapa sawit dan buah-buahan


6. Kita mesti yakin sektor pertanian mampu memajukan negara

· Datuk Azrul memberitahu Zain bahawa semaju mana pun negara jika tanpa hasil tani, rakyatnya tidak dapat meneruskan kehidupan.

· New Zealand, negara tempat Faridah bermaustatin merupakan negara pertanian dan penternakan biri-biri yang maju. Suaminya Soleh Johnsons mengusahakan industri penternakan dan penyelembihan yang berjaya di Christchurch.


7. Kita mesti beradab dan menghormati golongan tua/veteran

· Faridah menziarahi Pak Talib berusia 80/90 tahun pengusaha belacan semasa pulang ke Sungai Besar.

· Benny menziarahi Faridah dan Soleh Johnsons untuk menyampaikan hasrat melamar Melina sebagai isteri

· Zain menziarahi Faridah untuk berkenalan dengan keluarga Anne setelah berhasrat untuk mengahwini Anne.


8. Kita jangan mengabaikan adat budaya bangsa dalam kehidupan

· Zain menyampaikan hasratnya untuk berkahwin dengan Anne gadis kacukan

Inggeris –Melayu kepada ayahnya bagi mendapatkan persetujuan bapa dan ibunya.

· Datuk Azrul dan Datin Aisyah menziarahi Faridah dan Soleh Johnsons di Cameron Highlands untuk berbincang dan mengurus perkahwinan Zaindan Anne.


9. Kita mesti ingat asal usul keturunan kita

· Faridah sentiasa bercerita tentang sawah bendang, pokok kelapa di kampung halamannya Sungai Besar kepada Melina dan Anne.

· Melina ingin ke Sungai Besar untuk melihat kampung halaman ibunya dan menjejak warisannya yang dirasakan semakin hilang.


10. Kita mesti mengamalkan cara hidup yang sederhana dan harmoni demi

keamanan negara/ berlemah lembut apabila menasihati maasyarakat

· Ustaz Hassan Syukri menyampaikan ajaran agama Islam dengan lemah lembut

· Ustaz Hassan Syukri memberitahu Mohamed Attar orang Melayu Islam di Malaysia mengamalkan cara hidup yang sederhana dan sentiasa berlemah lembut.


11. Kita hendaklah berhati-hati memilih kawan

· Benny terperangkap dalam kumpulan militan Mohammed Attar yang dikenalinya semasa bertugas di Marang. Kepetahan Mohammed Attar berhujah memikat Benny yang masih kurang ilmu pengetahuan Islam tanpa menyedari Mohammed Attar ialah seorang anggota kumpulan militan.


12. Kita hendaklah bijak membuat keputusan apabila berada dalam kesusahan

· Melina bertindak melaporkan kehilangan suaminya Benny kepada pihak polis dengan segera setelah Benny tidak pulang ke rumah selama empat hari. Tindakan bijaknya menyebabkan pihak polis mengeluarkan perintah perlindungan keselamatan kepadanya.


13. Kita mesti ada sifat tolak ansur dalam hidup berkeluarga

· Soleh Johnsons bersetuju untuk tinggal di Cameron Highlands setelah Anne berkahwin dengan Zain .

· Soleh Johnsons mengikut hasrat Faridah untuk tinggal di Cameron Highlands (menetap di Malaysia)


14. Kita jangan terlalu taksub dengan satu-satu pendapat dan pegangan

sehingga menjejas keamanan dan keselamatan orang lain

· Mohammed Attar seorang juruterbang helikopter di syarikat tempat Benny bertugas ialah seorang yang tahfiz Al Quran dari Madrasah al-Husaini, Islamabad , mahir tentang rukun Islam, tauhid tetapi amat benci akan Amerika yang dianggap petualang.

· Dia dipercayai oleh polis republik mahu mengebom kasino yang baru dibina di Pulau Sentosa tetapi berjaya ditangkap oleh pihak berkuasa republik tersebut.

· Mohammed Attar tidak dapat menerima pendapat Ustaz Hassan Syukri yang menekankan unsur lemah lembut dalam berdakwah dan menegur orang lain.


15. Kita mesti prihatin akan kesusahan orang lain yang berada di sekeliling kita

· Azrul sentiasa menemani Rahayu yang sakit di HUKM

· Pasukan polis Raub menjalankan operasi mencari Faridah dan Iqbal yang hilang selepas kemalangan.

· Ghazali seorang majikan yang prihatin akan keselamatan Faridah dan Iqbal. Ghazali bermalam di Rumah Rehat Gap untuk mendapatkan maklumat terkini tentang Faridah dan Iqba

Rabu, 12 Januari 2011

SINOPSIS NOVEL KABUS DI PERBUKITAN

Novel Kabus Di Perbukitan (Novel Ting.5 SPM 2011)
SINOPSIS

Bab 1 : Pucuk-pucuk Kayu di Hadapan Matanya
Rahayu sukar bangun pagi kerana menyiapkan tugasan pada malam sebelumnya. Badannya juga kurang sihat. Namun dia bergegas bangun kerana dia berjanji akan ke perpustakaan bersama-sama Azrul. Tepat pukul 8.00 dia tiba di perpustakaan. Azrul mengajak Rahayu bersarapan terlebih dahulu dan mereka berbual-bual tentang tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Rahayu memberitahu dia berasa lega apabila dapat menyiapkan tugasan. Azrul pula menceritakan rancangannya untuk ke KLCC pada hujung minggu kerana menyertai kempen Persatuan pencinta Alam. Kempen itu dinamakan Save Our River untuk menyelamatkan sungai yang tercemar. Rahayu berminat ikut serta dan niat itu dipersetujui oleh Azrul. Mereka berdua memang akrab dan berhasrat untuk berkahwin. Malahan perhubungan mereka juga tidak ditentang oleh ibu bapa masing-masing. Azrul sangat aktif dalam aktiviti alam sekitar. Dia sering menyertai ekspedisi mendaki gunung. Rahayu pula berminat dengan aktiviti Azrul tetapi dia menghidap penyakit asma. Dia merupakan pelajar dalam jurusan pembangunan manusia. Ketika di perpustakaan, tiba-tiba Ayu jatuh dan pengsan. Dia dikejarkan ke Pusat Kesihatan UPM. Ketika itu imbas kembali memaparkan kisah faridah dan Mastura. Faridah mahu ke Raub dengan memandu van. Dia ingin menenangkan fikirannya. Tunangnya telah memutuskan pertunangan mereka tanpa sebarang alasan. Dalam perjalanan tiba-tiba Faridah disapa oleh Iqbal, seorang muridnya yang mengalami sindrom down. Hal ini amat mengejutkan Faridah yang melihat Iqbal bersama-sama Mastura ketika dia bertolak. Faridah hilang kawalan terhadap vannya lalu melanggar penghadang jalan. Vannya terjatuh ke dalam gaung.

Bab 2 : Hilang Tanpa Jejak

Ghazali dan Said iaitu pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat telah ke rumah Faridah untuk menyampaikan berita kehilangan Faridah dan Iqbal. Salmah , ibu Faridah berasa sangat sedih menerima berita itu kerana Faridahlah tempat dia bergantung. Majlis sembahyang hajat dan doa selamat diadakan di kampung diketuai oleh Imam Haji Sohod. Ghazali dan Said pergi ke Bukit Fraser untuk mengetahui maklumat tentang kehilangan Faridah. malam itu mereka ditemani oleh pegawai-pegawai polis telah ke tempat kejadian. Namun mereka hanya dapay melihat van yang berada lebih kurang 50 kaki di dalam gaung. Pihak penyelamat akan menarik van itu keluar dengan bantuan anggota tentera. Malam itu Ghazali dan Said bermalam di Rumah Rehat Gap di Bukit Fraser. Mereka ditemani oleh beberapa orang pegawai polis termasuk Sarjan Yusoff. Keadaan yang terlalu sejuk menyebabkan Ghazali mengenang nasib Faridah dan Iqbal yang masih hilang. Semua usaha yang dijalankan termasuk menggunakan pasukan Senoi Praak untuk mengesan mangsa menemui jalan buntu. Sarjan Yusoff mencadangkan agar mereka menggunakan bomoh kerana bimbang ada pengaruh makhluk halus dalam kejadian tersebut. Akan tetapi Ghazali kurang bersetuju dengan cadangan itu. Mereka hanya mampu berdoa dan akan mendapatkan bantuan helikopter Tentera Udara untuk meneruskan usaha menyelamat.

Bab 3 : Bersarang di Dalam Dada

Berita kehilangan Faridah disampaikan kepada bapanya Mejar(B) Kamarudin yang sudah berkahwin dengan Hamidah tidak memberitahu isterinya tentang Faridah yang merupakan kembar seiras Rahayu. yang membezakan kedua-dua beradik itu ialah Faridah mempunyai lesung pipit dan Rahayu tidak memilikinya. Namun Hamidah tidak menghalang suaminya pergi ke tempat kejadian. Sepeninggalannya Kamarudin , Hamidah mendapat berita tentang Rahayu yang dirawat di Hospital Universiti Kebangsaan, cheras. Pihak hospital mahu berjumpa dengan ibu bapa Rahayu untuk membincangkan masalah kesihatan Rahayu. Azrul menunggu Hamidah ketika wanita itu sampai. Setelah bertemu dengan Rahayu yang terbaring di katil. hamidah diminta untuk bertemu dengan Dr. Susan yang merawat Rahayu. Melalui pemeriksaan Dr. Susan, terdapat tompok-tompok dikesan melalui x-ray dalam dada Rahayu. Tompok-tompok putih itu mula menjalar ke pangkal leher dan menyebabkann leher Rahayu membengkak. Pihak hospital meminta kebenaran agar ujian biopsi ke atas Rahayu dapat dijalankan untuk mengesan sel-sel kanser. Hamidah memberikan kebenaran agar ujian biopsi dijalankan terhadap Rahayu. Setelah menjalani ujian tersebut Rahayu dibenarkan pulang. Azrul membantu Rahayu ketika Rahayu di rumah. Nota-nota kuliah dan tugasan disampaikan kepada Rahayu.

Bab 4 : Air Mata dan Rambut yang Berguguran

Rahayu dirawat di hospital. Dia berasa sangat sedih dengan keadaannya. Azrul tetap datang menemani Rahayu di wad. Keadaan penyakit Rahayu semakin serius. Rambutnya gugur setelah menjalani rawatan kimoterapi. Hamidah juga tetap setia menjaga anak tirinya itu. Perasaan Rahayu bertambah tertekan apanila Suhaila yang menjadi rakannya di wad meninggal dunia. Sebelum meninggal dunia Suhaila memberikannya beberapa buah novel cinta untuk dibaca. Mejar (B) Kamarudin tidak dapat menahan kesedihan melihat keadaan anaknya yang menderita. Azlin iaitu jururawat yang menjaga Rahayu di wad menjadi teman rapatnya. Azlin melayan Rahayu dengan baik agar Rahayu tidak terlalu tertekan dengan penderitaannya. Dr. susan hanya memberikan masa tiga bulan untuk Rahayu terus hidup. Dalam pada itu, Rahayu tetap mengingati kakaknya faridah yang nasih hilang.

Bab 5 : Bukit Kutu

Faridah yang hilang selepas kemalangan terasa dirinya berada di tempat yang asing. Dia seolah-olah berada di sebuah rumah zaman kolonial. Tempatnya agak eksklusif di sebuah kawasan peranginan tempat tinggi. Tuan rumah itu seorang lelaki kulit putih bernama Tuan Cecil Renking yang fasih berbahasa Melayu. Faridah mula berasa dia tidak berada di alam maya. Dia bertanya bagaimana dia berada di tempat itu. Dia diberitahu bahawa orang Penghulu Garang yang menjumpainya bersama-sama Iqbal lalu dibawa ke situ. Dia diberitahu bahawa tempat itu bernama Bukit Kutu. Ketika dia tidur dia bermimpi bertemu dengan adiknya Rahayu. Mereka berdua seolah-olah berkomunikasi antara satu dengan lain. Rahayu meminta Faridah pulang kerana Bukit Kutu deolah-olah satu dunia yang berbeza. Di hospital Rahayu kelihatan seperti meracau-racau. Dr. Susan berkata perkara itu merupakan kesan morfin iaitu ubat yang digunakan untuk merawat Rahayu. Dr. Susan juga diberitahu oleh Hamidah tentang Faridah. Dr. Susan mula menyedari bahawa ada hubungan bawah sedar antara Rahayu dan Faridah.

Bab 6 : Hanya pada Harapan

Azrul berasa sedih dengan penderitaan yang dialami oleh Rahayu . ketika dia melawat Rahayu di rumahnya, gadis itu berkata dia hanya menanti kematian. Rahayu juga meminta agar Azrul meneruskan cita-citanya untuk membuka perniagaan berasaskan pertanian. Hamidah memahami perasaan Azrul. Dia memujuk Azrul dengan mengatakan orang yang berpenyakit memang berkelakuan seperti Rahayu. Azrul pulang dengan perasan yang hambar. Satu sidang akhbar diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub untuk mengumumkan penamatan usaha mencari dan menyelamat Faridah dan Iqbal. Namun pihak polis berjanji untuk meneruskan siasatan kes yang dikategorikan sebagai orang hilang. Penamatan operasi itu menyebabkan Kamarudin berasa kecewa. Dia membuat keputusan untuk mencari anaknya sendiri memandangkan kembar Faridah sedang sakit dan berhajat untuk bertemu dengan kakaknya itu. Kamarudin berhasrat untuk meminta bantuan rakannya, Buyung untuk membantunya mencari Faridah.

Bab 7 : Kabus di Perbukitan

Kamarudin memulakan usaha mencari anaknya Faridah di hutan. Dia ditemani oleh Buyung yang juga bekas tentera. Kamarudin berasa dirinya tidak secergas semasa masih berkhidmat dalam angkatan tentera sebelum dia bersara 15 tahun yang lalu. Buyung masih seperti dahulu iaitu dia sangat suka menghisap rokok gulung. Kamarudin mengajak Buyung mencari Faridah di Bukit Kutu. Katanya Rahayu sering meracau dan menyebut Bukit Kutu. Dia teringat akan Rahayu yang sedang sakit. Dia juga menghantarkan Rahayu untuk bertemu dengan ibu kandungnya Salmah di Sungai Besar. Dia mahu memenuhi semua kehendak Rahayu kerana dia berasa bersalah terhadap semua pergolakan yang berlaku dalam keluarga mereka. Setelah lima jam mendaki, mereka sampai di puncak Bukit Kutu. pemandangannya sangat indah. Kamarudin dan Buyung bermalam di bukit itu ketika malam tiba. Keadaan malam sangat gelap dan berkabus. suasana sangat dingin. Kamarudin bertanya pada Buyung tentang kemungkinan kehilangan Faridah ada kaitan dengan makhluk halus. Hamidah menghubungi Kamarudin untuk memberitahu perkembangan keadaan Rahayu. Menurutnya Rahayu ada memberikan gambaran tentang tempat Faridah hilang. Berdasarkan panduan itu, Kamarudin meneruskan pencarian. Mereka cuba mencari kawasan petempatan orang asli kerana gambaran yang diberikan oleh Rahayu ada kaitan dengan kawasan orang asli.

Bab 8 : Terus Mencari

Kamarudin dan Buyung meneruskan pencarian hingga ke sempadan negeri Pahang. Dalam perjalanan mereka mendengar bunyi salakan anjing dan suara kanak-kanak. Mereka berjumpa dengan kawasan orang asli suku Temuan. Buyung menceritakan tujuan kedatangan mereka kepada Tok batin Senik. Setelah mendengar cerita Buyung, Tok Batin Senik mengajak mereka ke rumahnya. Di situlah Kamarudinmendapati Faridah sedang tidur. Kepalanya berbalut dengan kain putih dan ada kesan darah. Tok batin Senik menjelaskan bahawa Faridah dijumpai di Sungai Dua. Keadaan Faridah waktu dia ditemui oleh orang asli seperti kebingungan dan tidak ingat akan namanya. Iqbal mengikut Meor untuk meminta bantuan. Tok Batin Senik menyuruh anak buahnya menebas semak untuk dijadikan kawasan pendaratan helikopter. Akhirnya Faridah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dengan helikopter. Berita tentang penemuan Faridah tersebar ke seluruh negara.

Bab 9 : Pekan Sungai Kubu

Bab ini mengisahkan imbas kembali yang berlaku suatu ketika dahulu di Pekan Sungai Kubu. secara bawah sedar, Faridah seolah-olah berada di tempat tersebut dan menyaksikan suasana kehidupan di situ. Penduduk keluar ke pekan membeli barang keperluan selepas hujan teduh. Terdapat 12 buah kedai di pekan kecil itu. Orang Melayu dan Mandailing mempunyai empay buah kedai. Pekedai Cina menjual pelbagai barang keperluan. Ada sebuah kedai yang menjual candu untuk pekerja-pekerja lombong. Rumah kayu milik Tuan Cecil Renking terletak di atas bukit. Kebanyakan penduduk bekerja sebagai pelombong bijih timah. Bijih diangkut dengan kereta kuda melalui pondok cukai yang dijaga oleh Penghulu Garang. Faridah dibawa oleh Amah Siti ke pasar. Faridah tertarik dengan cara orang dulu-dulu berkomunikasi dengan penuh adat sopan. Setelah sebulan tinggal di Sungai Kubu, Faridah mula menyesuaikan diri. Namun, dia masih tidak dapat mencelikkan mata. Dia berharap untuk pulang ke Sungai Besar. Akan tetapi Amah Siti mengatakan Sungai Besar sangat jauh dari tempat mereka. Di rumah Tuan Cecil, Faridah dan Iqbal diberikan sebuah bilik kecil, bersebelehan bilik Amah Siti. Tuan Cicil diberitahu tentang kewujudan buaya keramat di empangan bijih. Namun, Tuan Cecil tidak percaya tentang unsur keramat. Beliau mengambil keputusan untuk menembak buaya itu. Tindakan Tuan Cecil tidak disenangi oleh Penghulu Garang. Katanya tempat itu akan ditimpa bala akibat perbuatan Tuan Cecil itu. Penghulu Garang menyuruh orang berpindah meninggalkan tempat tersebut.

Bab 10 : Kauhadir dalam Igauan


faridah dirawat di wad kecemasan hospital tetapi belum sedar. Tubuhnya penuh dengan kesan gigitan dan calar-balar. Ghazali sedih melihat keadaan Faridah yang terlantar. Setelah keadaan stabil, Faridah dipindahkan dari wad rawatan rapi. Hanya duga orang pelawat dibenarkan melawat Faridah pada satu-satu masa. Rahayu dibawa melawat Faridah. Dia menangis sambil menggenggam tangan kakaknya. Dia bercakap dengan Faridah yang masih tidak sedarkan diri. Akibat berasa lemah kerana baru menjalani kemoterapi, Rahayu meletakkan kepalanya di tepi dada Faridah. Dia tertidur dan bermimpi rumah mereka digenangi air. Dalam mimpi itu, kedua-dua adik-beradik itu seolah-olah bercakap antara satu sama lain. Tiba-tiba suasana dikejutkan oleh raungan Faridah menyebut nama Rahayu. Pada masa itu juga Rahayu didapati telah meninggal dunia.

Bab 11 : Kasih Ibu Sepanjang Jalan

Kematian Rahayu meninggalkan kesan yang mendalam terhadap ibu kandungnya, Salmah. Dia sering teringat akan Rahayu dan mula diserang sakit jantung. Suatu pagi Salmah mahu ke pasar di Sungai Haji Dorani. Dia mahu membeli belacan di gerai Pak Talib. Ghazali sering datang untuk membantu Faridah. Salmah mencadangkan agar Faridah berkahwin dengan Ghazali tetapi Faridah berasa malu dan bimbang dianggap perigi mencari timba. Namun demikian Ghazali telah berterus terang untuk mengambil Faridah sebagai isteri. Rombongan peminangan akan dihantar untuk meminang Faridah secara rasmi. Faridah seba salah. Dia bimbang kekecewaan pertama akan berulang kembali. Akhirnya Faridah bersetuju untuk menerima Ghazali sebagai teman hidupnya. Salmah berasa sangat gembira dengan persetujuan Faridah.

Bab 12 : Tekad

Azrul menamatkan pengajiannya di UPM. Namun demikian beliau tidak berminat untuk bekerja makan gaji. Dia mahu memulakan projek ternakan kambing. Pasaran kambing di negara ini semakin besar. Berdasarkan kajian Azrul, terdapat pelbagai spesies kambing yang sesuai dipelihara. Keputusan Azrul mendapat sokongan bapanya tetapi ibunya agak resah. Suatu hari, Azrul menziarahi kubur arwah Rahayu. Dia terserempak dengan Faridah yang kebetulan menziarahi kubur adiknya. Dia teringat akan kisah kehilangan Faridah ketika Rahayu sedang dirawat di hospital. Mereka berdua berkenalan. Namun kehidupan Azrul agak muram kerana masa terkenangkan Rahayu. Dia banyak termenung hingga disedari oleh ibunya. Namun Azrul menyakinkan ibunya bahawa dia akan meneruskan niatnya untuk bekerja sendiri. Dia tetap menjadikan Rahayu sebagai pencetus semangatnya untuk menghadapi masa hadapan yang mencabar.

Bab 13 : Rindu

Ghazali telah bertukar ke Kelang. Dia hanya pulang ke rumah dua atau tiga kali dalam seminggu. Faridah masih tinggal di Sungai Besar untuk menemani ibunya. Salmah pula meneruskan kehidupan dengan mengerjakan sawah. namun dalam jiwanya dia sangat rindu akan anaknya. Bertahun-tahun dia terpisah dengan Ayu setelah dibawa pergi oleh Kamarudin selepas mereka berpisah. Fikiran Salmah semakin terganggu. Dia sering menziarahi kubur anaknya itu. Dia sering teringat saat-saat terakhir kehidupan Ayu, ketika anak gadisnya pulang untuk bersama-sama dengannya. Oleh sebab itu dia sangat sukar melupakan Rahayu, walaupun dua tahun selepas Rahayu meninggal dunia. faridah dan Ghazali bimbang dengan keadaan Salmah. Faridah menceritakan tentang Azrul kepada Ghazali. Katanya Azrul terlalu sayang akan arwah Rahayu. Kini Azrul mengusahakan ternakan kambing dan tapak semaian. Dia mahu mengotakan janjinya dengan arwah Rahayu untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Bab 14 : Ibu, Angin Telah Menderu Pergi

Faridah bangun awal pagi, iaitu pukul 4.00 pagi. Dia menunaikan solat tahajud. Entah mengapa hatinya berasa resah. Ketika fajar menyingsing, Faridah membasuh beras kerana ibunya berpesan kepadanya untuk masak nasi lemak. Faridah berasa hairan kerana ibunya lambat bangun pagi itu. Ketika cuba dikejutkan, barulah dia sedar bahawa ibunya telah meninggal dunia. Faridah memeluk tubuh ibunya dengan penuh kasih. Dia berasa pemergian ibunya ialah titik akhir penderitaan orang tua itu.

Bab 15 : 25 Tahun Kemudian - Cintaku Abadi

Faridah kini berada di New Zealand. Dia telah berhijrah ke negara itu sejak 25 tahun yang lalu. Dia tinggal di Rosewood iaitu pekan kecil berhampiran bandar Christchurch. Dia telah berkahwin dengan Soleh Johnsons dan memiliki dua orang anak perempuan, Anne dan Melina. Faridah melalui kenangan pahit di tanah air sendiri. Tidak lama selepas ibunya meninggal dunia, Ghazali pula meninggal akibat kemalangan jalan raya. Dia hampir gila dengan tekanan hidup akibat kehilangan orang yang tersayang. Nasibnya baik apabila dia ditawarkan oleh ibu pejabat JKM untuk berkursus selama enam bulan di New Zealand. Selepas itu dia tidak balik-balik lagi ke kampung kerana telah bertemu jodoh dengan Soleh Johnsons. Ingatannya terhadap Sungai Besar tetap abadi. Suaminya memahami perasaan Faridah. Soleh mengusahakan kawasan ternakan dan pusat penyembelihan kambing. Dia sering mengupah pelajar Islam dari negara luar untuk menyembelih kambing sebagai kerja sambilan.

Bab 16 : Mengejar Mimpi-Mimpi

Melina adalah salah seorang anak kembar Faridah. Pada suatu hari Melina berkenalan dengan Benny yang berketurunan Arab. Benny menyapa Melina ketika dia sedang minum di sebuah gerai di Auckland. perkenalan mereka merupakan permulaan hubungannya dengan lelaki yang lahir di Dubai itu. Dari segi peribadi Melina agak bebas. Dia sangat berbeza dengAnne yang begitu taat dengan ajaran Islam. Dia juga tidak tinggal bersama-sama keluarganya di Christchurch, sebaliknya memilih tinggal di Auckland dan bekerja sebagai pembantu pelukis pelan. Benny meneruskan perhubungannya dengan Melina. Mereka saling bertemu dan berbincang tentang pelbagai perkara. Benny memberitahu dia akan ke Malaysia kerana hendak melihat tempahan perahu layarnya di Terengganu. Dia juga bakal ditempatkan oleh syarikat keluarganya untuk mengendalikan anak syarikat mereka di Malaysia. Dia mengajak Melina dan ajakan itu sangat-sangat dihargai oleh Melina. Dia memang teringin untuk ke Malaysia kerana tidak pernah berbuat demikian walaupun ibunya orang Malaysia. Akhirnya Benny membuat keputusan untuk mengahwini Melina . Benny dan Melina pulang ke rumah ibu bapanya di Christchurch untuk menyatakan hasrat mereka untuk berkahwin serta untuk mendapat persetujuan Soleh Johnsons.

Bab 17 : Penyembelihan Kambing

Zain ialah anak Azrul yang menuntut dalam bidang pertanian di New Zealand. Dia bekerja sambilan sebagai penyembelih kambing di pusat penyembelihan yang dimiliki oleh Soleh Johnsons. Dia tinggal bersama-sama Asraf Ameen yang berasal dari Nigeria. Pada suatu hari, mereka mendapat jemputan perkahwinan anak Soleh johnsons dan bercadang untuk menghadirinya. Zain seperti juga ayahnya, sangat meminati bidang pertanian. Dalam kalangan pelajar Malaysia di Universiti Lincoln, hanya dia seorang yang mengambil jurusan pertanian. Dia sering teringat akan pandangan ayahnya tentang kepentingan bidang pertanian. Di tanah air, ayahnya merupakan seorang peladang yang berjaya. Datuk Azrul pernah membawa isterinya melawat New Zealand ketika Zain belajar di sana. Mereka menikmati keindahan pemandangan di New Zealand ketika menaiki bot persiaran di pantai Kouikora. Menurut zain, ada ramai orang Melayu yang menetap di New Zealand. mereka menjadi orang berjaya. Pada suatu hari, Zain bertemu Anne.Zain membantu Anne yang menghadapi masalah keretanya rosak. Pertemuan itu membuatkan Zain jatuh hati pada Anne.

Bab 18 : Tanah Tumpah Air Mata

Benny membawa Melina ke Malaysia selepas dua minggu mereka dinikahkan di Masjid al-Noor, Christchurch. Di Kuala Lumpur mereka berdua dilayan dengan baik oleh pekerja syarikat yang ditugaskan untuk menjemput Benny. Benny akan memulakan tugasnya di syarikat milik bapa saudaranya Jaafar al-anbia. Dia telah lama menghabiskan masa dengan belayar. melina berasa dia berada di tempat yang sangat asing dan bimbang tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di Kuala Lumpur. Namun Benny berkata Kuala Lumpur mempunyai lebih 50 ribu orang ekspatriat asing seperti mereka berdua. Semasa di Kuala Lumpur, Khalid bertindak sebagai pemandu Benny. Dalam satu mesyuarat, Benny diperkenalkan kepada ahli-ahli lembaga pengarah syarikat milik keluarga al- Anbia. Dia diberitahu bahawa dia akan ditugaskan di pejabat cawangan Kuala Terengganu. Benny tidak menolak dan berkata dia suka akan Terengganu. Dia memang suka akan laut. Melina membeli peta untuk mencari tempat yang bernama Sungai Besar, iaitu tempat kelahiran ibunya, Faridah. Dia teringat akan ibunya yang gemar mendodokannya dengan lagu Melayu ketika dia masih kecil.

Bab 19 : hati dan Warna Kanvas

Benny membeli sebuah banglo di tepi pantai dengan harga setengah juta ringgit termasuk tanah lima ekar. Melina juga tertarik dengan suasana banglo tersebut kerana kedudukannya menghadap laut. Benny tidak bimbang dengan kewangan kerana dia yakin dapat menjual perahu layar yang ditempahnya dengan harga yang lebih tinggi. Marang telah menjadi tempat tinggal melina. Dia suka melihat laut dari beranda banglo itu. Dia memulakan minatnya kembali, iaitu melukis. Keindahan Marang diabadikan di atas kanvas lukisannya. Benny turut mengagumi bakat yang dimiliki oleh Melina. Setelah agak lama bertugas, Benny mempunyai beberapa orang kawan. Antaranya Mohamed Attar yang berasal dari pakistan, Mehmood dari Maghribi dan Noor Mohamad dari bangladesh. Mehmood masih bujang dan berniat untuk berkahwin dengan gadis di kampung halamannya. Mereka sering berbincang soal agama, soal jihad dan dakwah Islam. Benny mula sedar dan mahu kembali ke jalan Allah.

Bab 20 : Pendatang

Soleh bimbang dengan kejadian vandalisme di An Noor islamic Centre apabila beberapa buah kereta dipecahkan cerminnya. hal ini akan menyebabkan media memberikan gambaran yang salah tentang Islam. Faridah pula yakin ketenangan akan tetap terjamin. Malah Faridah sendiri pula mulanya sukar untuk menyesuaikan diri ketika mula-mula sampai di Christchurch dahulu. Dia disangka orang Maori, rakyat pribumi New Zealand. Kini dia diterima dengan baik oleh semua jiran. Dia juga mencadangkan agar ada usaha dijalankan untuk membaiki hubungan antara anggota masyarakat setempat. dia mencadangkan agar diadakan majlis ramah mesra komuniti. Cadangannya sangat disokong oleh suaminya. Mereka pun bercadang untuk menganjurkan majlis tersebut dalam masa dua minggu. Mereka akan memaklumkan perkara itu kepada komuniti setempat. Mereka juga menjemput rakan-rakan sekuliah Anne untuk membantu. Ketika merancang majlis tersebut, Faridah teringat akan kemeriahan majlis kenduri di kampung yang sudah lama ditinggalkan. Dia juga terbayangnwajah Melina yang sudah menetap di Malaysia.

Bab 21 : Tak Ingin Tahu

Zain kembali ke tanah air setelah tiga tahun berada di New Zealand. Zain mendapati banyak perubahan telah berlaku di kampungnya dalam tempoh ketiadaannya. Azrul pula dianugerahi gelaran 'Datuk' kerana berjasa kepada rakyat melalui penglibatannya dalam bidang pertanian. Beliau juga menggalakkan para petani untuk menanam modal dalam Pertubuhan Peladang di samping berusaha menyatukan kebun-kebun tradisi menjadi estet mini kelapa sawit dan dusun buah-buahan. Ketika Datuk Azrul berbual dengan Zain, tiba-tiba Masitah muncul untuk mendapatkan tandatangan tentang urusan pengambilan tenaga pekerja asing. Datuk Azrul mengambil pekerja asing untuk bekerja dengannya kerana tiada pilihan. Menurut Datuk Azrul, anak-anak tempatan semuanya sudah berpendidikan tinggi dan tidak sesuai bekerja di ladang.

Bab 22 : Mengukur Usia

Datuk Azrul mengimamkan sembahyang Asar. Dia berasa sedih kerana tidak ramai jemaah yang hadir ke masjid. Hal ini demikian kerana kebanyakan penduduk kampung terdiri daripada orang tua. Banyak juga yang menghidap penyakit gout. Jemaah solat Jumaat juga kini berkurangan hingga sekitar 60 orang sahaja. Kebun-kebun juga telah banyak terbiar. Anak-anak yang mewarisi kebun ramai. Mereka pula tidak mahu menjual tanah pusaka masing-masing. Jadi, pemilikan tanah semakin lama semakin mengecil dan tidak ekonomi. Datuk Azrul tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengubah sikap masyarakat. Suasana kerjasama dalam masyarakat kini juga sudah berbeza. Zain bersetuju dengan pandangan bapanya bahawa zaman sudah berubah, Negara ini makmur kerana rakyat bekerja kuat. Pendidikan tinggi pula bukan jaminan untuk menjadi senang tetapi jalan yang memudahkan. Datuk Azrul sendiri berjaya dalam bidangnya kerana beliau berpendidikan tinggi. Namun dia masih tidak berjaya mengubah pandangan masyarakat setempat untuk mengusahakan tanah secara lebih komersial. Zain memberitahu Datuk Azrul bahawa dia sudah mempunyai pilihan teman hidup iaitu seorang gadis kacukan di New Zealand. Datuk Azrul tidak membantah dengan pilihan anaknya.

Dirgahayu Bahasaku : Pantun Enam Kerat

Putik kelapa menjadi muda,
Kelapa muda jadi kemirau,
Sudah kemirau menjadi kotai;
Hati luka pura tiada,
Rasa pedih buat tak hirau,
Ibarat kaca jatuh ke lantai.

Ambil galah jolok kedondong,
Galah pendek buluh sumpitan,
Buluh bersisip tali jerami;
Bukan salah ibu mengandung,
Sudah takdir sudah suratan,
Sudah nasib jadi begini.

Sarat bermuat ikan cencaru,
Gelama tidak berumpan lagi,
Kail tersangkut di tepi batang;
Sudah dapat orang yang baru,
Yang lama tidak berkenan lagi,
Ibarat melukut di tepi gantang.

Md. Ali Bachik (Penyelenggara)
Khazanah Puisi Klasik Melayu, 2003

Maksud
Rangkap 1

Seseorang yang miskin dan tidak mempunyai wang biasanya tidak dihiraukan oleh orang lain. Hal ini akan membuatkan orang berkenaan berasa sangat kecewa.

Rangkap 2

Setiap masalah dan nasib malang yang dihadapi oleh seseorang bukan disebabkan oleh orang lain tetapi sememangnya takdir kehidupannya begitu.

Rangkap 3

Sudah menjadi resam dunia apabila orang itu memiliki sesuatu yang baharu, dia akan mengabaikan yang lama.

Tema : Kesedihan akibat kehidupan yang miskin, nasib yang sentiasa malang, dan sering disisih oleh masyarakat.

Persoalan :

i. Persoalan tentang masalah kewangan yang sering menjadikan seseorang itu sentiasa dibelenggu masalah.
ii. Persoalan tentang nasib yang menimpa diri seseorang sememangnya sudah ditakdirkan.
iii. Persoalan tentang sikap manusia yang mengabaikan sesuatu yang lama setelah mendapat sesuatu yang baharu.

Nilai

i. Kesabaran - manusia mestilah sentiasa sabar menghadapi masa-masa sukar kerana ketiadaan wang dan sebagainya.
ii. Bersyukur - manusia sentiasa bersyukur dan berserah apabila menerima nasib yang kurang baik.
iii. Mengenang jasa - manusia tidak harus mengamalkan sikap lupa daratan apabila mendapat sesuatu yang baharu.

Pengajaran

i. Kita hendaklah bersabar untuk menempuh segala masalah yang bakal dihadapi.
ii. Manusia hendaklah sentiasa bersyukur dan menerima segala dugaan yang ditakdirkan.
iii. Masyarakat mestilah mengenang jasa orang dan tidak mengamalkan sikap melupakan yang lama setelah memperoleh sesuatu yang baharu.

Bentuk
i. Terdiri daripada tiga rangkap pantun.
ii. Puisi ini merupakan pantun enam kerat kerana terdiri daripada enam baris dalam satu rangkap.
iii. Tiga baris pertamanya ialah pembayang dan tiga baris yang terakhir ialah maksud.
iv. Jumlah kata dalam baris adalah antara 3 – 4 patah.
v. Bilangan suku kata dalam baris antara 8 – 12 suku kata.
vi. Rima akhirnya ialah a,b, c, a,b, c.
vii. Puisi ini berbentuk terikat dengan ciri-ciri puisi tradisional


Gaya bahasa

i. Ada menyelitkan penggunaan kata arkaik/klasik seperti pura (wang).
ii. Ada unsur gaya bahasa perbandingan simile.

Contohnya :
Ibarat kaca jatuh ke lantai.
Ibarat melukut di tepi gantang.

SELAMAT DATANG 2011 ... CABARANMU AKAN KUSAMBUT !!!

Salam pertemuan kembali anak-anak didik cikgu.... Selamat menyambut tahun baru 2011...pastinya azam baru kan!!.. Baiklah, anak-anak didik cikgu semua, cikgu harap calon SPM 2011 akan terus melangkah gagah demi mencapai cita-cita!! Cikgu sentiasa bersama anak-anak didik semua...