Cari Blog Ini

Rabu, 25 Julai 2012

Melayan e-mel anak-anak didik

Alhamdulillah, pagi yang ceria ini Allah mengurniakan nikmat kesihatan untuk cikgu dan anak-anak didik cikgu terutamanya anak-anak didik 5 Ibnu Sina. Pagi ini, cikgu mengajak anak-anak 5 Ibnu Sina untuk menghayati maksud kemerdekaan tanahair yang tercinta. Tugas karangan dengan tema komunikasi global ( buku teks halaman 242 )... anak-anak 5 Ibnu Sina telah mengarang teks ucapan ketua pengawas dengan membewa tema kemerdekaan dan menghantar secara e-mel kepada cikgu. Tahniah! Semua pelajar telah berjaya menyiapkan tugasan dalam masa 40 minit sesi pnp. Berikut cikgu paparkan salah satu hasil cetusan minda anak-anak 5 Ibnu Sina. ( Mohd. Huzaifi )




Assalamualaikum w.b.t

Terima kasih saudara pengerusi majlis.

Yang Berusaha Tuan Pengetua Sekolah Menengah Agama Johor Bahru, Tuan Haji Ismail bin Rosdi, seterusnya guru-guru yang disayangi serta rakan-rakan yang dikasihi sekalian.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada jawatankuasa pengelola yang bertungkus lumus dalam memastikan perjalanan majlis pada hari ini dapat berjalan dengan lancarnya. Berdirinya pada hari ini bukanlah hanya untuk beromong kosong tetapi adalah untuk menyampaikan sebuah ucapan mengenai kepentingan menghayati kemerdekaan negara. Tarikh 31 Ogos 2012  ini, genaplah 54 tahun Malaysia menikmati kemerdekaannya. Kemerdekaan negara adalah suatu yang harus kita syukuri, bukan sekadar kita sambut dengan perarakan, lampu-lampu yang bergemerlapan atau bendera yang berkibaran sahaja.


 Jiwa kemerdekaan itu haruslah diisi dengan kesedaran kerana tanpa kemerdekaan kita masih dikongkong dan apa yang kita kecapi hari ini tak mungkin kita rasai. Mengimbau rentetan sejarah sebelum negara ini merdeka, Prof. Datuk Dr .Ibrahim Bajunid, Presiden Persatuan Penyelidikan Pendidikan Malaysia (MERA) telah sudi membuka kembali tirai kemerdekaan untuk kita renungkan bersama. 50 tahun sebelum merdeka iaitu selepas Perang Dunia Kedua, Liga Bangsa-bangsa Bersatu telah diwujudkan. Kebanyakan negara-negara dibawah jajahan British, Peranchis, Portugis dan Sepanyol mahu melepaskan diri dari penjajahan ini. Sebelum pencapaian kemerdekaan, negara-negara yang dijajah ini menuntut ‘universal franchise , ataupun hak untuk mengundi. Ini berlaku pada tahun 1955. Seterusnya satu demi satu negara mencapai kemerdekaan dan kemerdekaan Malaya ketika itu merupakan satu pergerakan global yang hanya menjurus ke arah kemerdekaan politik. Momentum ke arah pencapaian kemerdekaan ini dicetuskan oleh guru-guru serta ahli-ah1i agama pada ketika itu.


Dengan itu pada 31 Ogos 1957 menjadi salah satu negara yang merdeka dan Malaya menjadi ah1i Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation). Kita tidak boleh menunding jari kepada barat kerana kemajuan yang kita capai selepas kemerdekaan sememangnya hasil dari tunjuk-ajar mereka. Kita haruslah akur bahawa kemerdekaan tidak membawa kemajuan sekaligus. Semuanya memerlukan masa. Kita perlu masa untuk belajar mentadbir, kita perlu masa untuk mempelajari i1mu yang baru. Kemajuan mengambil waktu yang agak panjang kerana kita sememangnya tidak ada kemahiran ketika itu -jadi kita belajar daripada barat. Kolonialism sebenarnya banyak juga memberi kebaikan kepada negara kita. Misa1nya, ketika mereka memberikan kemerdekaan kepada kita, mereka meningga1kan sistem perkhidmatan awam yang baik, sistem perubatan dan pendidikan yang tinggi tarafnya untuk kita teruskan. Jadi, apabila kita menjadi negara yang merdeka, segala tinggalan yang baik ini telah kita perbaiki dan perbaiki hinggalah menjadi yang terbaik buat masyarakat Malaysia hari ini. Sebagai masyarakat Malaysia yang merdeka, kita seharusnya membentuk budaya kita sendiri dan mengambil contoh yang baik dari barat, bukan yang buruk. Budaya barat yang menular pada generasi sekarang hanyalah berupa budaya sisipan dan bukan budaya perdana. Ini bermakna kita boleh mengatasi budaya sisipan ini sekiranya kita berusaha. Generasi muda tidak dapat menghayati erti kemerdekaan kerana mereka tidak pernah merasai kegetiran sebelum merdeka. Generasi dulu misa1nya terpaksa menyanyi lagu God Save The Queen setiap hari sebagai menghargai penjajah.

Jadi apabila mereka menyanyikan lagu NEGARAKU, mereka berasa cukup bangga dan megah kerana terdapatnya satu pencapaian hebat dalam lagu kebangsaan kita. Bagi generasi baharu, NEGARAKU hanyalah lagu. Mereka tidak berasa apa-apa. Mereka juga tidak tahu seksanya datuk moyang mereka menentang komunis pada suatu ketika dulu. Generasi baru lahir dalam negara yang sudah merdeka, mereka tidak sedar bahawa pada suatu ketika dahulu, apa yang mereka kecapi sekarang tidak pemah dirasai oleh generasi dulu. Sudah menjadi hukum alam bahawa kita lebih menghargai apa yang sukar kita dapati. Namun mereka harus disedarkan bahawa konteks kemerdekaan itu sendiri sebenarnya tiada akhiran. Semua pihak memainkan peranan tersendiri -pemimpin negara, keluarga, guru, media massa dan Internet. Kesedaran harus dipupuk dengan cara yang lebih positif. Kalau generasi dulu memperjuangkan kemerdekaan politik, mereka sebagai generasi baharu haruslah meneruskan perjuangan mereka dari segi intelektual. Hal ini demikian kerana negara yang lebih besar mengongkong negara yang lemah. Lambat laun kita terjajah semula kerana kita ceteknya  ilmu. Peneraju ekonomi akan memegang tampuk kemerdekaan sebenar.

Generasi baharu harus diberi penjelasan tentang peranan mereka. Tahap-tahap kemajuan yang harus dicapai dan kepentingan mereka sebagai pemangkin kemajuan akan datang. Hidupkan semangat kemerdekaan secara formal atau tidak formal. Ibu bapa menyedarkan anak-anak, guru menyedarkan murid-murid, pusat pengajian menyedarkan graduan dan media pula menghidupkan jiwa kemerdekaan dalam bentuk dokumentari atau drama. Generasi muda kita harus berjuang menghadapi saingan hebat globalisasi. Kita harus bersedia dan melengkapkan diri dengan segala ilmu yang ada tanpa menolak keluhuran budaya sendiri. Dengan cara itu kemerdekaan yang kita kecapi hari ini akan menjadi lebih bererti pada suatu ketika nanti. Kesimpulannya, sebagai rakyat Malaysia, kita hendaklah menghayati sedalam-dalamnya erti kemerdekaan negara yang kita kecapi pada masa kini agar sifat patriotik dapat disemai dalam diri semua masyarakat. Sekaligus, akan menjadikan masyarakat lebih bersedia untuk mempertahankan negara daripada ancaman musuh agar sejarah lama tidak akan berulang lagi bak kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Sekian, Assalamualaikum w.b.t.