Cari Blog Ini

Jumaat, 11 Mac 2011

TUGASAN KECEMERLANGAN UNTUK ANAK-ANAK DIDIK 2 OTHMAN YANG RAJIN SEMPENA CUTI SEMESTER PERTAMA ( 12 MAC HINGGA 20 MAC 2011 )

Assalammualaikum anak-anak didik cikgu yang dikasihi.... apa khabar semua? Pastinya cuti ini amat dinanti-nantikan... :) Seperti yang cikgu telah janjikan, ada buah tangan untuk cikgu titipkan sempena cuti ini...buat tau!! Anak-anak didik 2 Othman pasti akan beroleh kejayaan cemerlang berkat usaha gigih dan semangat jitu tidak pernah mengalah. Baiklah.... selamat mengulang kaji! Jangan lupa siapkan 2 tugasan ringkasan ini tau!!


Tugasan 1 :

Baca petikan di bawah dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang sebab-sebab azam tahun baharu tidak tercapai. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.



Seseorang itu tidak perlu menunggu bulan Januari untuk menulis tentang azam. Namun disebabkan ketibaan tahun baru begitu signifikan dengan azam, maka kita sentuh isu ini secara ringkas. Dan, disebabkan semua remaja akan memulakan musim persekolahan mulai Januari tahun Masihi, elok juga kita kongsikan beberapa perkara mengenai azam. Tahun baru datang. Usia meningkat setahun lagi. Bagi pelajar yang sebelum ini belajar di sekolah kebangsaan, pasti bangga kerana sudah masuk ke alam remaja dan bersekolah menengah. Kepada remaja yang sedang leka di tingkatan dua tahun Ialu, 2006 adalah masa untuk menilai tahap pencapaian dalam Ujian Penilaian Menengah Rendah.
Seperti yang saya nyatakan, tidak perlu menunggu tahun baru untuk memasang azam. Bagi penganut agama Islam, malah apa jua agama, semua umat manusia dituntut ke arah penambahbaikan. Untuk jadi Iebih baik, anda tidak perlu menunggu waktu tertentu. Semua masa tetap sesuai untuk berubah. Namun demikian, sikap suka bertangguh-­tangguh untuk menjadi orang yang Iebih baik menyebabkan azam yang ditanam tidak kesampaian. Azam merujuk pada kemahuan, cita-cita, atau keinginan yang kuat yang mahu dicapai oleh seseorang. Azam malah Iebih berpengaruh daripada itu, kerana kemahuan yang hendak diusahakan tidak disertai dengan tindakan secara bersungguh-sungguh sudah tentu hanya tinggal perancangan tanpa hasilnya.
Selain itu, azam yang disemat juga tidak munasabah. Individu itu juga tiada matlamat untuk merealisasikannya. Oleh itu, ganjaran manis serta lumayan untuk anda nikmati pada masa depan tidak akan tercapai. Ibarat menanam sepohon anak rambutan, jauh di sudut hati pastilah kita mengharapkan pohon yang kecil itu membesar rendang dan menghasilkan buah yang manis enak. Namun untuk mendapatkan buah yang segar enak, sudah tentu pohon mesti disiram, dibaja serta dijaga sempurna.
Begitulah juga azam yang anda semai. Sekadar mencatat senarai azam yang terlalu banyak pada setiap 1 Januari, tetapi kemudian tertinggal sepi di sana, maka azam akan mati bersama berlalunya hari. Azam sewajarnya bertindak sebagai motivasi yang akan memandu anda untuk sampai ke tahap yang disasarkan. Hakikatnya, yang sering berlaku, apabila hari berlalu, motivasi seseorang yang semakin menurun dan azam pun terpinggir. Setiap awal tahun, biasanya pelajar berazam untuk mengamalkan ulang kaji secara tekal, tetapi barangkali kerana hambatan lain seperti kokurikulum atau kekangan emosi yang tidak sepatutnya, maka masa sukar diuruskan. Ulang kaji tercicir, kokurikulum pula sederhana, Iebih banyak masa yang terbazir sia-sia. Sedar-sedar peperiksaan datang dan anda terkial­-kiai menjawab kerana tidak membuat persediaan yang rapi.
Sempena ketibaan tahun baru dan remaja bakal melangkah kembali ke sekolah, masih ada yang tidak menilai azam yang pernah anda azamkan tahun Ialu. Adakah semuanya tercapai, atau hanya separuh terlaksana atau langsung tiada yang positif? Seterusnya, azam seseorang tidak kesampaian juga disebabkan oleh sikap sering menyalahkan orang lain jika azam tidak tercapai. Lebih berbahaya jika menyalahkan Tuhan atau takdir kerana keinginan yang kecundang. Seelok-eloknya muhasabah diri sendiri. Tentu ada yang tidak kena di mana-mana. Barangkali usaha tidak cukup. Mungkin kita silap mengatur strategi yang tepat.


Tugasan 2 :


Baca petikan di bawah dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang khasiat buah durian belanda. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.





Pernahkah anda makan buah durian belanda ? Buah ini bukan durian biasa seperti yang sering kita lihat dijual di tepi-tepi jalan, se­baliknya durian belanda (Annona muricata) ialah sejenis buah yang seakan-akan buah nona, berkulit lembut tetapi berduri tumpul. Rasanya masam-masam manis dan enak dimakan begitu sahaja, ataupun dibuat jus.
Ramai yang tidak tahu bahawa batang, akar, biji, dan buah durian belanda mempunyai banyak kha­siat untuk kegunaan perubatan tra­disional mahupun moden. Durian belanda mengandungi bahan amiloid, asid sitrik, fruktosa, mangan, sukrosa, retikutina, dan tanin. Kajian yang di­lakukan oleh Universiti Hawaii dan Universiti Purdue mendapati bahawa durian belanda mempunyai pelbagai khasiat.

Antara khasiat durian belanda ialah mampu merawat dan mengelakkan seseorang daripada mendapat kanser. Penduduk di Banjaran Andes, Peru pula membuat serbuk teh daripada daunnya untuk mengubati sakit kerongkong. Sementara biji­nya ditumbuk halus, khusus untuk mem­bunuh parasit di dalam tubuh manusia seperti cacing.

Penduduk Amazon, di Brazil pula mengguna­kan bahagian akar, kulit, dan daun untuk mengubati penyakit kencing manis. Ada juga segelintir orang menggunakan pokok durian belanda untuk dijadikan tonik minuman bagi mengatasi masalah jantung dan penyakit hati.

Khasiat lainnya ialah minyak daripada daun, atau buah­nya yang masih muda pula dicampurkan dengan minyak zaitun untuk disapu pada kulit bagi mengatasi masalah sakit sendi dan sengal-sengal anggota tubuh. Di Jamaica, Haiti dan India Barat, buah durian belanda dan air jusnya diminum untuk meredakan demam, membunuh cacing pada kanak-kanak, dan menyembuhkan cirit-birit. Kulit pokok ini sesuai untuk meng­ubati penyakit jantung dan batuk, di samping mengembalikan kesuburan pasangan yang sukar mendapat anak. Bagi ibu yang baru bersalin, wanita suku asli Guyana juga meminum jus, atau memakan terus buahnya untuk meningkatkan pengeluaran su­su badan, di samping meng­elakkan masalah ketegangan.

Dari segi perubatan moden, kajian kedua-dua universiti mendapati bahan yang terkan­dung dalam buah durian belan­da dapat digunakan sebagai antibakteria, antikanser, antitu­mor, astringen, selain untuk mengubati penyakit saraf..Daun durian belanda pula cukup berkesan untuk mengha­lau tikus di kediaman. Caranya adalah dengan meletakkan be­berapa helai daun yang masih segar di tempat yang sering dikunjungi tikus. Bau daunnya itu sudah cukup untuk mengha­lau tikus keluar dari rumah.

Siapa yang menyangka bahawa du­rian belanda ini banyak kha­siatnya? Kini, kita sekadar mengetahui minuman jus durian belanda yang memang me­nyegarkan itu. Namun kita kurang arif keistimewaan buah tersebut. Oleh itu, jika anda pergi ke pasar raya, atau pasar tani, belilah buah durian belanda kerana mengandungi pel­bagai khasiat yang baik untuk kesihatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan