Khamis, 7 April 2011

Contoh teks perbahasan

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Selamat sejahtera dan selamat petang


Yang Berhormat Tuan Speaker Dewan
Pegawai-pegawai Persidangan
Yang Berhormat kerajaan dan Yang Berhormat Pembangkang


Selaku Perdana Menteri, izinkan saya membentangkan usul “Rancangan Realiti Televisyen mampu melahirkan Masyarakat Madani”. Saya percaya bahawa selepas perbahasan sidang dewan yang mulia ini, usul ini bakal diluluskan.


Tuan Yang Dipertua, dan sidang dewan yang dimuliakan,


Rancangan Realiti Televisyen bermaksud program atau siaran televisyen bersifat interaktif yang dijayakan sebilangan peserta yang telah melalui proses saringan dan tapisan yang tertentu. Rancangan realiti mempunyai fokus tertentu seperti pencarian bakat hiburan popular dan alternatif, ilmu, interaksi sosial, sukan, dan lain-lain. Masyarakat madani ialah suatu sistem sosial yang mementingkan ketertiban, kerukunan dan pematuhan terhadap keperluan hidup yang sejahtera. “Mampu melahirkan” membawa maksud kebolehan atau prospek pembentukan, pembinaan, dan penyempurnaan sesuatu hasrat. Pendek kata, usul kerajaan kali ini secara mudah bererti bahawa siaran interaktif televisyen yang memungkinkan harapan terbentuknya sebuah masyarakat yang serba sejahtera.


Saya, ___________________________ telah menjelaskan definisi konsep usul persidangan sebentar tadi. Pihak kerajaan akan tampil dengan hujah-hujah sekukuh Gunung Everest yang teramat sukar digugat oleh pihak pembangkang. Seribu langkah bermula dengan satu langkah. Strategi kerajaan yang pertama bakal dimulai dengan hujah utama Perdana Menteri. Menteri Kedua, Yang Berhormat Dato’ Seri ________________________ akan meneguhkan kes kerajaan dengan menolak definisi Yang Berhormat Ketua Pembangkang yang pasti tertumpu kepada sisi gelap sesuatu kebaikan, sebaliknya mengukuhkan definisi usul kerajaan. Beliau seterusnya akan membidas hujah Ketua Pembangkang, dan kemudian menampilkan dua hujah bagi memperteguh kes kerajaan. Saya tidak nafikan bahawa pembangkang kedua akan menolak dan menyembunyikan kebenaran kes kerajaan, namun hujah yang pastinya bersifat gelas separuh kosong itu mudah diruntuhkan, dan kes pembangkang berantakan dan punah ranah bagaikan puing-puing debu yang dibawa taufan Nargis oleh Yang Berhormat Menteri Ketiga. Dalam sesi penggulungan, kerajaan akan memastikan hujah pembangkang hancur luluh sama sekali, manakala kebenaran usul kerajaan mendapat sokongan padu sidang dewan yang mulia.


Yang Dipertua dan sidang dewan yang dimuliakan,


Hujah utama kerajaan ialah pembentukan jati diri dalam kalangan peserta rancangan realiti dan para penonton yang menjadi pengundi. Para peserta perlu menyiapkan diri mengikut tema tertentu dengan menerapkan elemen kreativiti dan komitmen dalam persembahan demi untuk memancing perhatian dan memenangi sebanyak mungkin undian. Di pihak pengundi yang menjangkau segenap pelosok negara, pada akhirnya akan memenangkan peserta yang benar-benar memiliki bakat dan ciri pemenang sejati, setelah mengambil kira ulasan juri profesional usai persembahan setiap seorang peserta. Jelaslah bahawa peserta mesti menampilkan aksi yang terbaik, unik dan memukau. Keyakinan diri dan daya saing akan jadi taruhan. Para pengundi yang menjadi hakim perlu menjadi jauhari yang mengenal maknikam. Dalam jangka masa panjang, faktor emosi yang mungkin mempengaruhi pola undian akan berada pada skala yang kecil sahaja. Sebagai contoh, Mawi sebagai produk Akademi Fantasia berjaya mendekatkan masyarakat Malaysia kepada hiburan yang santai tetapi sarat mesej. Begitu juga rancangan realiti televisyen yang lain seperti Akademi al-Quran, Akademi Nasyid, Gadis Melayu, Mencari Menantu, Pesona Nona dan sebagainya yang memupuk jati diri dalam kalangan peserta dan penonton yang menjadi pengundi. Ini belum termasuk pihak penganjur yang berhempas pulas menyajikan format, dan konsep rancangan realiti televisyen yang diterima, serta mempunyai sejumlah besar pengikut yang setia. Jelaslah bahawa konsep rancangan televisyen kita memiliki acuan sendiri, dan tidak sama sekali meniru rancangan realiti televisyen Barat yang menjurus kepada budaya hedonisme dan hawa nafsu. Pihak kerajaan memberi jaminan bahawa apa-apa jua kelemahan dan kekurangan yang mungkin cuba diuar-uarkan oleh pihak pembangkang tidak berupaya menghapuskan gemerlap kebaikan rancangan realiti televisyen yang menyumbang ke arah pembentukan masyarakat madani yang sama-sama kita impikan.


Tuan Yang Dipertua dan sidang dewan yang dimuliakan,


Masyarakat madani yang serba sejahtera bertunjangkan jati diri. Sebab itu, saya ingin menegaskan buat kesekian kalinya bahawa rancangan realiti telivisyen mampu melahirkan masyarakat madani.


Saya, Perdana Menteri Malaysia mohon mengusulkan.


(nota: beberapa ubah suai dan penambahbaikan perlu dilakukan untuk mencantikkan contoh teks di atas)
Posted by CIKGU AZHAR RODZI at 9:00 AM

8 ulasan:

  1. great! amat membantu.. thanks! :)

    BalasPadam
  2. Terima kasih, sangat membantu :)

    BalasPadam
  3. Thanks a lot! Really a help.

    BalasPadam
  4. terima kasih , bantuan yang sebesar lautan XD

    BalasPadam
  5. sangat membantu saya. sy jadikan teks ini sbg teks perbahasan sy esok hari. terima kasih cikgu :)

    BalasPadam
  6. terima kasih.....atas bantuan cikgu

    BalasPadam
  7. terima kasih cikgu..akan saya gunakan teks ini untuk pertandingan nanti

    BalasPadam
  8. TERIMA KASIH!!!!:)

    BalasPadam