Cari Blog Ini

Rabu, 24 Ogos 2011

Titipan bahasa Melayu Tetap di Hati... sempena cuti Aidilfitri khas buat anak-anak didik tersayang.. 5 Ibnu Sina, 4 Ibnu Sina dan 4 al Khindi

Assalammualaikum... anak-anak didik cikgu semua, apa khabar?
Pada kesempatan ini, cikgu ingin mengucapkan Selamat Hari Raya untuk anak-anak didik cikgu.... semoga bergembira di Hari Raya ini. Ingat pesanan cikgu, pastikan keselamatan dan kesihatan saat menyambut hari mulia ini, terutamanya anak-anak 5 Ibnu Sina ( naik cuti Percubaan SPM, jangan lupa !!)

Baiklah, seperti yang cikgu janjikan, titipan cuti sekolah kali ini , cikgu ada sertakan bahan seperti di bawah ni...


Selamat bercuti dan berhari raya!!


Tugasan 1 :

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan menganjurkan sukan bertaraf antarabangsa dan langkah-langkah meningkatkan mutu penganjuran sukan tersebut . Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah kata.

Sejak akhir-akhir ini, Malaysia telah mendapat pengiktirafan untuk menganjurkan pelbagai kejohanan yang bertaraf antarabangsa. Antara kejohanan yang pernah dianjurkan termasuklah Sukan Komanvel ke-XVI pada tahun 1998, Kejohanan Hoki Piala Dunia 2002, kejohanan Sukan Lumba Basikal Le Tour d’Langkawi , Kejohanan Bot Laju Formula 1 (F1), Kejohanan Perlumbaan Kereta Formula 1 sejak 1999 dan banyak lagi. Usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan ini sebenarnya banyak mendatangkan manfaat bukan sahaja kepada negara, malahan kepada rakyat juga.

Penganjuran sukan yang bertaraf antarabangsa ini akan mempromosikan negara kita ke seantero dunia. Setiap kejohahan yang dijalankan biasanya disiarkan secara langsung melalui siaran televisyen ke seluruh dunia. Hal ini akan menyebabkan penduduk di negara-negara lain yang juga merupakan peminat setia sesuatu jenis sukan itu akan mengetahui kedudukan negara Malaysia. Mereka sudah tentu akan terpikat dengan keunikan dan kecantikan flora dan fauna di negara kita. Selain itu, sebelum kejohanan berlangsung, pihak penganjur akan mengadakan promosi dengan pelbagai cara untuk menarik kehadiran penonton. Secara tidak langsung, kita dapat mempromosikan negara.

Selain itu, kehadiran penonton yang menyaksikan kejohanan ini juga akan merancakkan aktiviti pelancongan di negara kita. Kehadiran pelancong semasa temasya sukan ini berlangsung membantu meningkatkan pendapatan negara melalui pertukaran wang asing. Kebiasaannya, penonton yang menyaksikan sesuatu kejohanan itu akan datang lebih awal. Di samping menyaksikan pertandingan, mereka juga berkesempatan untuk menikmati keindahan dan keunikan flora dan fauna di negara kita. Selain meningkatkan industri pelancongan, kehadiran pelancong juga dapat memajukan industri perhotelan.

Mereka juga akan tertarik dengan keunikan hasil kraf tangan rakyat negara ini seperti anyaman , seramik, dan batik. Secara tidak langsung industri kraf tangan ini akan berkembang maju. Apabila mereka kembali ke negara asal, mereka akan menceritakan pengalaman yang diperoleh kepada ahli keluarga atau rakan-rakan yang lain. Hal yang demikian, hasil kraf tangan negara ini telah diperkenal ke negara-negara lain melalui penganjuran sukan tersebut.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa penganjuran temasya sukan peringkat antarabangsa membuktikan bahawa negara kita mampu menyaingi negara-negara lain terutamanya dari segi kemudahan infrastruktur dan penyediaan prasarana sukan . Stadium sukan, kemudahan menjalankan latihan secara berpusat, dan peralatan sukan yang bertaraf dunia menjadi kayu ukur semasa membuat persediaan menganjurkan sukan di peringkat antarabangsa. Di samping kejayaan negara menyediakan kemudahan dan menganjurkan sukan di peringkat antarabangsa, negara juga sebenarnya berjaya berjaya menjanakan ekonominya .

(Dipetik dan diubahsuai daripada buku teks Ting. 5, muka surat 219)


Tugasan 2 :

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan inovasi dan langkah-langkah untuk membantu inovasi. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Inovasi ditakrifkan sebagai apa-apa aktiviti yang dilaksanakan, diusahakan menggunakan idea, pemikiran dan kemampuan akal serta segala kemudahan di sekitar bagi menghasilkan penemuan atau produk atau memberi nilai tambah bagi manfaat sosial. Inovasi merupakan hasil daripada kreativiti dan ia penting kerana beberapa sebab. Inovasi boleh membawa kepada peningkatan produktiviti dan pertumbuhan ekonomi. Inovasi akan memberi manfaat dari segi ekonomi dengan mengkomersialkan produk. Produk yang dijangka banyak menonjol pada masa akan datang lebih tertumpu kepada bahan yang mesra alam.

Inovasi juga memberi keperluan pelanggan dan masyarakat dalam perkara seperti perkhidmatan penyampaian yang cepat dan cekap. Kita boleh melihat kepentingan inovasi dalam penciptaan telegraf elektromagnetik pada tahun 1832. Bermula daripada penggunaan kod Morse kini kita beralih ke telefon mudah alih. Ia membolehkan orang ramai berkomunikasi dengan cepat dan efektif. Melalui inovasi dan kreativiti, kaedah baru dapat dilaksanakan dalam memenuhi kehendak pelanggan dan pengguna. Sebagai contoh, telefon bimbit direka cipta untuk berkomunikasi tetapi inovasi ke atasnya telah dilakukan membolehkan penambahan ciri-ciri lain yang menarik perhatian pembeli dan melariskan jualan. Inovasi juga dapat membuka pasaran tempatan dan global. Ini penting untuk pembangunan produk yang akan membawa kepada peningkatan permintaan dan menggalakkan pelaburan pekerjaan. Secara tidak langsung, ia dapat meningkatkan peluang pekerjaan dan mengurangkan masalah pengangguran serta meningkatkan taraf hidup masyarakat.

Idea untuk mencipta sebuah kanta kecil yang boleh digunakan di mata telah difikirkan oleh para saintis dan bijak pandai sejak kurun ke-16. Ia sebenarnya merupakan buah fikir artis terkenal Itali. Leonardo da Vinci. Kanta lekap pertama dicipta oleh seorang saintis Switzerland pada tahun 1888. Pada tahun 1947, seorang warga Amerika Syarikat mencipta kanta diperbuat daripada plastik yang hanya menutup bahagian konea mata. Ini menunjukkan inovasi dapat meningkatkan persaingan negara. Peningkatan persaingan global turut menguji keupayaan negara untuk memperkenalkan produk baru dan proses-proses. Ini juga akan menjana kekayaan dan keuntungan industri negara. Semuanya ini memerlukan inovasi dan kreativiti. Sifat kreatif inilah yang membawa kepada penghasilan ciptaan terbaru. Kreativiti menjadi asas kepada inovasi tetapi bukan sebaliknya. Kreativiti bukan semestinya bakat semula jadi kerana ia boleh digilap. Dengan beberapa kepentingan dan perlunya inovasi dihasilkan dalam masyarakat , maka budaya kreativiti perlu digalakkan.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana ‘Memupuk Kreativiti Mencambah Inovasi’, Estidotmy, 26 Oktober 2005)


Soalan 2 (a) Petikan Umum

Berdasarkan petikan di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri

(i)Huraikan maksud rangkai kata menjana kekayaan dan keuntungan
berdasarkan petikan di atas. [2 markah]

(ii)Mengapakah kreativiti penting kepada inovasi? [2 markah]

(iii)Pada pendapat anda, apakah kekangan yang dihadapi oleh
individu untuk menghasilkan inovasi mereka. [4 markah]


















Tiada ulasan:

Catat Ulasan