Cari Blog Ini

Selasa, 11 Oktober 2011

KARANGAN TUDINGAN SPM 2011 - JAWAKHIR JOHOR

DISIPLIN TERAS KEJAYAAN


Mendepani realiti baru era milenium yang pantas berubah dan berkembang ini, masyarakat dinamik, madani serta inovatif amat diperlukan untuk mencapai kejayaan agar dapat ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’ dengan negara-negara gergasi seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Perancis. Hal ini demikian, disiplin merupakan cerucuk fundamental bagi kejayaan sesebuah bangsa. Secara holistik, disiplin merupakan pemangkin bagi melahirkan sebuah masyarakat yang progresif, berketrampilan serta sakinah.

Disiplin dapat melahirkan pelajar yang mempunyai keinsanan yang syumul. Hal ini demikian, disiplin merupakan asas bagi sesebuah kejayaan. Contohnya, seseorang pelajar yang ingin berjaya mestilah rajin untuk mengulang kaji pelajaran, bangun awal ke sekolah, membuat semua kerja sekolah yang diberikan dan mematuhi peraturan sekolah. Tanpa disiplin, tidak mungkin seseorang pelajar dapat melakukan perkara-perkara tersebut. Malahan, budaya pesimistik dalam kalangan pelajar mestilah dikikis demi menyambut gamitan menara impian. Tamsilnya, Nik Nur Madihah yang merupakan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2008 mendapat 20 A dalam peperiksaan awam. Beliau tidak menjadikan kemiskinan yang membelenggu hidupnya sebagai batu penarung. Sebaliknya, disebabkan kerajinan, kegighan, ketekunan dan yang paling perdana iaitu disiplin beliau yang tinggilah yang menjadi punca kejayaan bak kata pepatah, ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’. Jelaslah bahawa disiplin merupakan formula yang paling manjur untuk anak watan ini berjaya di menara gading.


Selain itu, ibu bapa juga memerlukan disiplin yang tinggi untuk melahirkan sebuah keluarga yang bahagia. Ibu bapa memikul tanggungjawab yang berat dalam sesebuah institusi keluarga. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak agar menjadi warganegara yang berguna kerana anak yang baru lahir ibarat kain putih dan ibu bapalah yang mencorak, mewarnai dan membentuk keperibadian cahaya mata mereka. Tidak lain tidak bukan, disiplinlah yang diterapkan dalam diri ibu bapa untuk membentuk diri anak mereka yang gemilang. Bukan itu sahaja, ibu bapa juga mestilah menunjukkan tauladan yang baik kerana segala perwatakan ibu bapa akan dicontohi anak-anak bak kata peribahasa, ‘bagaimana acuannya, begitulah kuihnya’. Malahan, ibu bapa bukan sahaja perlu mendidik anak-anak, mereka juga perlu menyediakan segala keperluan serta membesarkan anak-anak. Izharnya, ibu bapa juga hendaklah mempunyai disiplin diri untuk mewujudkan sebuah keluarga bahagia dan melahirkan anak yang penuh dengan sifat mahmudah.

Sementelahan itu, pekerja-pekerja sektor kerajaan mahupun swasta juga tidak terlepas daripada mempunyai disiplin dan komitmen yang tinggi terhadap pekerjaan mereka. Golongan pekerja berkolar putih dan biru ini mestilah menepati masa, bertanggungjawab dan amanah. Contohnya, seorang pegawai bank mestilah menepati masa untuk datang ke tempat kerja. Beliau juga hendaklah bertanggungjawab melakukan segala tugas yang diberikan dan amah terhadap duit-duit yang dipegangnya. Usahlah kita diibaratkan seperti dalam pepatah ‘harapkan pagar, pagar makan padi’. Ternyata bahawa, dalam melakukan sesuatu pekerjaan disiplin diri amat penting kerana kejayaan tidak datang bergolek.

Seterusnya, sebagai pengguna jalan raya, kita mestilah berdisiplin dan memandu secara berhemah. Disiplin yang diamalkan dalam pemanduan dapat mengurangkan kadar kemalangan yang semakin hari semakin meningkat. Seorang pemandu mestilah mematuhi peraturan jalan raya dengan memasang tali pinggang keledar, mematuhi had laju dan peka terhadap papan tanda di tepi jalan. Secara tidak langsung, kadar kalangan yang sudah mencapai tahap mencemaskan ini lebih-lebih lagi semasa musim perayaan dapat dikurangkan. Jelaslah bahawa, pemandu yang berdisiplin dan berhemah dapat membantu mengurangkan kehilangan nyawa yang lebih banyak dan ini bertepatan dengan slogan, ‘pandu cermat, jiwa selamat’.

Di samping itu, sebagai pengguna kita mestilah bijak berbelanja. Dalam dunia yang serba canggih dan wujudnya internet, masyarakat dapat membeli dan berbelanja dengan kemudahan yang terletak di hujung jari sahaja. Masyarakat yang naïf dengan mata kebendaan yang melalaikan akan memboros dan berbelanja mengikut hawa nafsu dan bukannya keperluan. Oleh sebab itu, golongan ini mestilah mempunyai disiplin diri agar dapat berjimat-cermat dan bijak merancang keperluan mereka. Secara tidak langsung, golongan ini dapat mengelakkan diri daripada berhutang dengan bank atau lintah darat. Mukhtasarnya, individu yang dapat mengawal diri daripada terlalu mengikut hawa nafsu dan berlatih untuk mendisiplinkan diri pasti dapat mengecapi kehidupan yang sempurna dan mempunyai sumber kewangan yang stabil bak kata peribahasa ‘ beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis’.

Akhirulkalam, disiplin merupakan cerucuk utama pembangunan negara kerana dengan disiplin kita mampu untuk mengadun satu kombinasi usaha yang cukup padu agar nama Malaysia gah di seluruh pojok dunia. Oleh itu, marilah kita bergabung sinergi dan mengambil langkah sederap untuk mengotakan iltizam serta aspirasi negara iaitu Wawasan 2020 yang bakal tiba.


LANGKAH-LANGKAH MENINGKATKAN MUTU SUKAN NEGARA



Kekalahan skuad bola sepak kebangsaan dalam pertandingan kelayakan Piala Dunia kepada pasukan Singapura serta tumbangnya jagoan badminton negara Datuk Lee Chong Wei, dalam Kejohanan Badminton Dunia baru-baru ini, seolah-olah mengesahkan bahawa mutu sukan Malaysia semakin merudum. Hal ini belum lagi mengambil kira prestasi sukan-sukan teras yang lain seperti hoki, olahraga, renang, dan sebagainya. Kemerosotan pencapaian atlet-atlet negara ketika bertanding sama ada pada peringkat serantau mahupun antarabangsa telah menimbulkan pelbagai tanggapan negatif dalam kalangan peminat sukan di negara ini. Apakah atlet-atlet kita hanya gah ketika bertanding sesama sendiri sehingga mewajarkan gelaran jaguh kampung, ataupun atlet kita kurang bermotivasi apabila bersaing pada peringkat antarabangsa? Walau apa pun pertikaiannya, ternyata pelbagai langkah konkrit dan menyeluruh perlu diambil untuk meningkatkan mutu sukan negara, agar kita dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain dalam bidang sukan.

Dalam hal ini, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah dengan merombak jawatankuasa induk yang menaungi sesebuah persatuan sukan. Bukan lagi rahsia, kebanyakan persatuan sukan di Malaysia dipimpin oleh elit politik. Lihat sahaja persatuan-persatuan seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Malangnya, para pemimpin yang dipilih secara sebulat suara ini, sering menjadikan persatuan berkenaan sebagai medan untuk mencari pengaruh dan meneruskan agenda politik mereka. Keghairahan memenuhi agenda peribadi, menyebabkan program pembangunan sukan dan atlet telah dianaktirikan oleh mereka. Kedangkalan ilmu tentang bidang sukan serta kegagalan memahami perubahan yang berlaku, mewajarkan ketandusan pencapaian para atlet kita. Berkaitan hal ini, mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah menyeru agar para pemimpin politik melepaskan jawatan mereka dalam persatuan sukan agar program pembangunan sukan hanya ditangani oleh individu yang berkelayakan. Justeru, sewajarnya barisan kepimpinan sukan ini dirombak dan seterusnya memberikan laluan kepada muka-muka baru yang mempunyai latar belakang bidang sukan serta beriltizam tinggi untuk memajukan mutu sukan negara, bak kata peribahasa, hanya jauhari yang mengenal manikam.

Di samping itu, program-program pembangunan atlet juga perlu diperbaiki dan diberi nafas baru dalam usaha melahirkan atlet yang berdaya saing dan mampu mengibarkan cabaran negara pada peringkat antarabangsa. Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan telah menyediakan peruntukan yang cukup banyak untuk menyokong program-program pembangunan sukan di negara ini seperti penubuhan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN). Program pembangunan sukan ini meliputi aspek-aspek kritikal seperti kewangan, kejurulatihan, pemakanan, psikologi, dan sebagainya. Berhubung dengan isu ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Sabri Chik pernah menegur tentang cara pemakanan para pemain bola sepak kebangsaan ketika bertanding dalam Kejohanan Piala Asia yang dianggap tidak bersesuaian dengan diet para atlet. Menurutnya kebanyakan para pemain bola sepak negara lebih menggemari roti canai, nasi lemak, dan merokok. Kegagalan menyediakan program-program berkualiti, memungkinkan mutu sukan negara terus merudum dan kita terus ketandusan para atlet yang berpotensi. Contohnya sejak menjuarai Piala Thomas pada 1992, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terus gagal membentuk sebuah pasukan kebangsaan yang mampu memecah penguasaan China dan Indonesia dalam arena badminton. Biarpun munculnya gandingan emas, Koo Ken Kiat dan Tan Boon Heong, namun kegagalan pasukan negara dalam Kejohanan Badminton Dunia bulan lalu menterjemahkan segala-galanya. Namun begitu, segala kelemahan tidak harus menjadi noktah untuk kita terus berusaha. Dengan penggemblengan usaha dan iltizam semua pihak, pastinya sinar di hujung terowong dapat dijelmakan untuk mengangkat kembali martabat sukan negara kita.

Selain itu, para atlet negara juga perlu didedahkan dengan kejohanan-kejohanan antarabangsa secara lebih kerap. Penyertaan secara berterusan amat penting dalam usaha memantapkan persembahan serta menyesuaikan diri dalam situasi pertandingan yang sebenarnya. Pasukan bola sepak contohnya, tidak mampu membentuk persefahaman yang mantap jika digabungkan menjelang saat akhir pada sesebuah kejohanan sahaja. Setiap pemain sudah pasti mempunyai latar belakang kemahiran dan peribadi yang berbeza. Justeru, penyertaan secara berterusan dalam pelbagai kejohanan dapat membentuk persefahaman dalam kalangan mereka seterusnya mampu menuai hasil yang diharapkan. Pencapaian jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan ratu squasy negara, Nicole Ann David sehingga membolehkan mereka berada pada kedudukan teratas senarai pemain terbaik dunia, adalah berpunca daripada penyertaan yang tidak putus-putus dalam pertandingan peringkat antarabangsa. Perlu ditegaskan bahawa kejayaan yang diinginkan tidak boleh dijelmakan dengan usaha secara ala kadar, ibarat melepaskan batuk di tangga. Sebaliknya ia menuntut iltizam dan kerja keras semua pihak sama ada dalam kalangan atlet, pihak-pihak berwajib, dan malahan peminat sukan tanah air.

Di samping itu, Kementerian Pelajaran Malaysia juga perlulah berperanan mencungkil bakat-bakat muda daripada peringkat sekolah lagi. Kita sedia maklum bahawa para pelajar di seluruh negara begitu ramai yang mempunyai bakat yang terpendam dalam bidang sukan. Buktinya semasa kejohanan sukan di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan, kita dapati ramai pelapis muda yang berbakat dan berpotensi. Namun bakat mereka tenggelam begitu sahaja setelah tamat zaman persekolahan. Oleh hal yang demikian pihak Kementerian Pelajaran Malaysia perlu berkerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan serta badan-badan sukan untuk menggilap bakat-bakat muda ini hingga mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Penubuhan sekolah-sekolah sukan seperti Sekolah Sukan Sultan Abdul Jalil, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Bandar Penawar dan lain-lain merupakan satu langkah bijak akan datang agar kita tidak ketandusan pelapis dalam bidang sukan negara pada masa akan datang.

Pengambilan jurulatih serta pemain import juga merupakan suatu usaha yang positif ke arah meningkatkan mutu sukan negara. Hal ini demikian kerana para atlet serta ahli sukan mendapat bimbingan serta tunjuk ajar daripada jurulatih yang berwibawa. Para pemain dapat didedahkan dengan teknik, serta kemahiran bertaraf dunia agar pemain kita dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan pemain-pemain di peringkat dunia. Selain itu, para pemain juga akan mendapat rakan pelatih atau “ sparing partner “ yang bertaraf dunia. Dengan pendedahan serta latihan intensif ini sudah pasti para atlet kita akan mampu bersaing atau bertanding di peringkat antarabangsa. Tindakan FAM untuk mengambil semula pemain-pemain import dalam Liga Bola Sepak Malaysia merupakan usaha serampang dua mata, iaitu untuk meningkatkan mutu sukan negara serta menyemarakkan sokongan peminat sukan kepada pasukan pilihan mereka. Jelaslah bahawa pengambilan jurulatih dan pemain import bukan sahaja meningkatkan prestasi atlet atau ahli sukan, malahan dapat meningkatkan imej negara di mata dunia.

Konklusinya, kemerosotan mutu sukan negara tidak seharusnya dibiarkan terus berlanjutan kerana ia sedikit sebanyak berkaitan dengan maruah kita pada peringkat antarabangsa. Sejajar dengan usia kemerdekaan negara yang sudah menjangkau angka lima puluh tahun, seharusnya ia telah mematangkan pencapaian kita dalam bidang sukan. Mungkin tiada salahnya untuk kita belajar dengan negara-negara seperti Trinidad dan Tobago atau pun Kenya yang telah berjaya melayakkan diri dalam pertandingan akhir bola sepak Piala Dunia 2006 serta mampu melahirkan atlet olahraga bertaraf dunia. Hanya dengan kerjasama erat semua pihak, misi untuk melihat kelibat anak-anak muda Malaysia beraksi pada pusingan akhir bola sepak Piala Dunia 2014 akan menjadi kenyataan. Peribahasa Melayu ada menjelaskan pengayuh sudah ada di tangan, perahu sudah ada di tangan, terserah kepada kita untuk merealisasikan impian 26 juta rakyat Malaysia. “Majulah sukan untuk Negara!

1 ulasan: