Cari Blog Ini

Selasa, 11 Oktober 2011

KARANGAN TUDINGAN SPM 2011 - JAWAKHIR JOHOR


PERANAN IBU BAPA MEMBENTUK MASYARAKAT PENYAYANG

Dewasa ini, semakin hari, semangat sayang menyayangi dalam masyarakat semakin terhakis ditelan arus pemodenan negara. Semangat sayang menyayangi dalam masyarakat merupakan sikap mengambil berat dan saling hormat menghormati dalam masyarakat. Masyarakat penyayang dapat dibentuk melalui perasaan saling menyayangi dan menghormati sesama ahli keluarga. Ibu bapa mempunyai peranan besar dalam melahirkan individu yang penyayang yang dapat mewujudkan masyarakat yang penyayang.

Ibu bapa berperanan memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak. Kehidupan anak-anak harus diisi dengan kasih sayang daripada ibu bapa yang dapat mnyemai sikap penyayang dalam diri mereka. Kehadiran ibu bapa amat penting dalam tempoh anak-anak membesar. Contohnya, ibu bapa harus sentiasa berada di samping anak-anak semasa mereka dalam kekecewaan seperti gagal dalam peperiksaan untuk menenangkan mereka. Kasih sayang yang dipupuk sejak kecil akan terus sebati dalam diri mereka seperti kata peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tegasnya ibu bapa harus sedia melapangkan waktu untuk mencurahkan kasih sayang kepada anak.

Selain itu, didikan agama juga perlu untuk melahirkan individu yang penyayang. Ibu bapa juga harus mengajar anak-anak mereka mendalami ilmu agama dan mendekatkan diri kepada Tuhan. Contoh amalan yang boleh diajar kepada anak-anak adalah menunaikan solat fardhu, membaca al-Quran dan berzikir. Amalan-amalan ini akan melembutkan hati dan mententeramkan jiwa serta melahirkan anak-anak yang bersahsiah mulia. Sifat ini yang akan menjadi darah daging dalam diri anak-anak dan mendorong mereka untuk berperilaku baik seterusnya sentiasa menyayangi keluarga. Oleh itu, tidak dapat dinafikan lagi didikan agama yang secukupnya amat penting dalam melahirkan individu penyayang.

Di samping itu, ibu bapa juga haruslah menunjukkan nilai-nilai yang baik kepada anak-anak mereka. Ibu bapa mestilah menjadi teladan kepada anak-anak mereka seperti kata peribahasa melayu, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Hal ini demikian menunjukkan anak-anak mencerminkan perwatakan orang tua mereka. Banyak nilai baik yang boleh ditunjukkan kepada anak-anak. Contohnya, semangat berjiran. Nilai-nilai baik ini akan menjadi ikutan kepada anak-anak. Semangat hormat menghormati dan amalan hidup berjiran ini yang akhirnya membentuk sifat penyayang dalam diri anak-anak.

Tambahan lagi, keadaan keluarga yang stabil amat perlu bagi melahirkan individu yang penyayang. Ibu bapa mempunyai peranan besar dalam membentuk keluarga yang stabil. Keluarga yang stabil ialah keluarga yang saling menyayangi , hormat-menghormati dan cukup dari segi kewangan keluarga. Ibu bapa harus memastikan hubungan kekeluargaan sesama ahli keluarga erat bagi melahirkan keluarga yang penyayang.

Individu yang penyayang dapat dilahirkan melalui hubungan baik dengan masyarakat sekeliling. Ibu bapa harus mendekatkan anak-anak dengan masyarakat setempat bagi mewujudkan hubungan baik dengan masyarakat. Contohnya, ibu bapa boleh mengajak anak-anak untuk menyertai gotong-royong di kawasan tempat tinggal atau solat berjemaah di surau atau masjid. Sesungguhnya, hubungan silaturahim yang erat mampu melahirkan individu yang penyayang.

Konklusinya, ibu bapa berperanan besar dalam melahirkan individu yang penyayang. Oleh itu, ibu bapa harus memainkan peranan mereka iaitu memberikan kasih saying, didikan agama yang secukupnya, menunjukkan nilai yang baik dan sebagainya kepada anak-anak untuk melahirkan individu yang penyayang yang akan mewujudkan masyarakat yang sejahtera. Ingatlah !, Individu yang penyayang akan mewujudkan keluarga cemerlang dan seterusnya melahirkan bangsa terbilang.


CARA-CARA MENGHARGAI JASA GURU



Guru ialah insan mulia yang mengajar dan mendidik kita tanpa mengira masa , tenaga serta wang ringgit. Mereka ibarat lilin yang membakar diri demi memberikan didikan terbaik kepada pelajar. Tanpa usaha dan pengorbanan guru tidak mungkin pelajar mencapai kejayaan yang cemerlang Lantaran itu, sewajarnya kita menghargai guru jasa dan pengorbanan para guru.
Budi bahasa dan adab sopan amalan yang mulia. Pelajar yang menjaga tutur kata dan adab ketika berhadapan dengan guru merupakan antara cara kita menghargai jasa guru. Para pelajar perlulah sentiasa bermuka manis sambil mengucapkan selamat sejahtera atau memberi salam ketika berhadapan atau berselisih dengan guru tanpa mengira keadaan. Semasa di dalam kelas, pelajar yang menghormati guru tidak sesekali membuat bising sehingga mengganggu guru menjalankan tugasnya. Mereka sewajarnya memberi tumpuan dan perhatian sepenuhnya semasa pengajaran guru dan sentiasa mengambil peluang bertanya dan berbincang tentang pelajaran. Ketika mengadakan sesi perbincangan di kelas, pelajar perlu menjaga tata susila, tidak meninggikan suara dan memandang guru serta rakan dengan mesra. Bukankah guru merupakan lubuk akal lautan ilmu? Tegasnya, berbudi bahasa serta beradab sopan merupakan amalan terpuji bagi menghargai guru yang mengajar serta mendidik kita.
Selain itu, berdisiplin dan mematuhi peraturan sekolah juga cara menghargai jasa guru. Antara ciri-ciri pelajar berdisiplin ialah mereka sentiasa datang awal ke sekolah, sentiasa menepati masa, tidak terlibat dalam gangsterisme, vandalisme mahupun ponteng sekolah. Selain itu, pelajar berpakaian seragam dengan kemas dengan rambut bersisir rapi. Amalan seumpama ini, memupuk disiplin pelajar untuk bersedia belajar seterusnya mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Jika disiplin terkawal sudah tentu memudahkan tugas guru untuk mengajar seterusnya mendidik pelajar agar berjaya dengan cemerlang. Peribahasa “bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”,membuktikan kerjasama erat antara guru dan pelajar dalam mematuhi peraturan yang ditetapkan pasti menjadi pemangkin kecemerlangan akademik serta sahsiah pelajar. Jelaslah, mematuhi disiplin mencerminkan penghormatan pelajar kepada guru.
Di samping itu, pelajar perlu prihatin dan menunjukkan kasih sayang terhadap guru. Amalan mengingati dan menghargai jasa guru adalah amalan yang mulia. Para guru akan merasakan bahawa jasa mereka dihargai walaupun mereka tidak berkhidmat sebagai seorang tenaga pengajar lagi. Kita boleh menghargai jasa guru dengan meraikan sambutan Hari Guru pada setiap tanggal 16 Mei. Pada hari ini juga,kita boleh memberikan hadiah kepada guru yang mengajar kita sebagai tanda penghargaan atas segala usaha dan titik peluh yang dicurahkan. Hadiah yang diberikan tidak semestinya berpaksi kepada wang ringgit semata-mata tetapi mestilah disertakan dengan hati yang tulus lagi ikhlas. Barang yang murah akan menjadi tanda mata yang sangat berharga jika pemberian tersebut dengan hati penuh ikhlas. Jika tidak mampu memberi hadiah, ucapan selamat hari guru sudah cukup bermakna buat para guru.
Menziarahi guru ketika mereka mengalami kesusahan dan sakit juga cara kita menghargai jasa para guru. Sebagai manusia tentunya para guru menghadapi pelbagai masalah dalam kehidupan. Misalnya guru mungkin ditimpa kemalangan, bencana, menghidapi penyakit dan sebagainya. Sebagai murid, kita perlu menziarahi mereka jika mereka menghadapi situasi tersebut sebagai tanda melahirkan rasa simpati ibarat cubit peha kanan peha kiri terasa sakitnya. Ketika menziarahi mereka sakit, kita perlulah membawa buah tangan sebagai tanda kita bersimpati terhadap mereka. Jika mereka mengalami kemalangan atau bencana alam, kita perlu mengutip derma bagi meringankan beban yang mereka tanggung. Jelaslah bahawa frasa ‘guru, jasamu dikenang, budimu disanjung’ bukanlah sekadar omongan kosong kerana pengorbanan guru sentiasa dikenang oleh para pelajar.
Selain itu,kita juga boleh menghargai jasa guru dengan mendoakan kesejahteraan guru yang telah mengajar dan mendidik kita. Mendoakan kesejahteraan guru sama ada semasa hayatnya atau sesudah mereka kembali ke rahmatullah membuktikan kita sentiasa mengenang jasa mereka. Kita perlulah mendoakan mereka agar sentiasa sihat sejahtera dan dielakkan daripada segala bahaya. Hal ini kerana jika guru sihat sudah tentu mereka akan dapat menjalankan tugas mendidik kita dengan sempurna. Bagi mereka yang telah meninggal dunia, kita perlulah mendoakan agar dosa-dosa mereka diampunkan agar mereka sejahtera di alam barzakh. Sesungguhnya harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama dan sudah tentu jasa serta pengorbanan guru akan terus dikenang sepanjang masa.
Sudah terang lagi bersuluh, jasa dan pengorbanan seseorang guru itu sukar untuk dibalas walau dengan segunung intan. Tanpa guru siapalah kita kerana gurulah yang mengajar kita mengenali erti kehidupan. Justeru, marilah kita bersama-sama menghargai jasa guru agar ilmu yang kita perolehi daripadanya mendapat keberkatan daripada tuhan. Renungilah bait puisi di bawah.
Guru,
kau ibarat dian yang membakar diri
melahirkan insan yang lestari
tanpa mengira waktu dan hari
segala ilmu dicurah dan diberi
kerana kau sedar tanggungjawab yang diberi
tanpamu negara tak mungkin teguh berdiri.

6 ulasan:

  1. terima kasih cikgu . .walaupun saya tidak mengenali cikgu, akan tetapi ilmu yang dicurahkn cikgu sgat berguna kepada saya . .terima kasih cikgu . .

    BalasPadam
  2. saya berterima kasih atas jasa guru yg mengajar saya.....:)

    BalasPadam
  3. Mohon copy untuk buat esei, hehe. Terima kasih! :)

    BalasPadam
  4. hhhmmmm.... bguna jgk esei nii..!!tapi bleh thn lah . klau xpen lbh jlslah pengetahuan anak anak malaysia kita.

    BalasPadam
  5. hhhhmmm.Cikgu boleh send yng lagi ummmm tak? berkaitan peranan ibu bapa

    BalasPadam