Cari Blog Ini

Ahad, 23 Oktober 2011

KARANGAN TUDINGAN SPM 2011 - JAWAKHIR JOHOR




KELUARGA IMPIAN SAYA

“Rumahku, syurgaku”. Ungkapan keramat ini memanifestasikan peri pentingnya setiap ahli dalam sesebuah keluarga memainkan peranan masing-masing dengan sebaik mungkin sehingga menjelmakan kebahagiaan yang menjadikan rumah seumpama syurga. Semua insan mengidamkan sebuah keluarga yang bahagia, tidak terkecuali saya. Dalam sebuah keluarga yang bahagia nilai toleransi, bertimbang rasa, kasih sayang, hormat menghormati dan kejujuran sewajarnya menunjangi kehidupan seharian ahli-ahlinya. Tidak lengkap jika setiap ahli keluarga hanya melakukan kerja sendiri tanpa mempedulikan ahli keluarga yang lain kerana sikap saling membantu bagai aur dengan tebing harus diamalkan dalam sesebuah keluarga. Hal ini dapat diibaratkan seperti makan nasi tidak berlauk. Sukar untuk dipercayai jika seseorang itu mengatakan bahawa dia tidak mengimpikan keluarga yang bahagia lagi harmoni. Kita harus membebaskan mereka daripada belenggu kejahilan dan kegelapan itu kerana tanpa keluarga tidak mungkin kita akan menjadi insan yang berjaya dalam kehidupan.

Sesungguhnya ibu bapa merupakan pihak dominan yang harus memikul dan melaksanakan kewajipan masing-masing demi mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia. Ibu bapa haruslah memainkan peranan penting untuk membina keluarga yang harmoni dan mewujudkan kebahagiaan dalam keluarga. Ibu bapalah yang akan membentuk sahsiah anak-anak. Ibu bapa jugalah yang akan memberikan bekalan yang terbaik kepada anak-anak seperti ilmu pengetahuan dan penerapan nilai-nilai murni. Anak-anak pada era globalisasi ini semakin cepat menerima apa-apa yang dipelajari, maka anak-anak ini perlu dibajai dengan perkara yang baik dan berfaedah serta membuahkan hasil. Anak-anak diibaratkan seperti sehelai kain putih yang harus dicorakkan oleh ibu bapa mereka dengan corak yang cantik lagi menarik. Sewaktu anak-anak masih kecil, ibu bapalah yang menjadi guru mereka kerana merekalah guru yang pertama dan terdekat yang boleh membimbing anak-anak supaya menjadi insan yang berwawasan apabila dewasa kelak. Anak-anak akan meniru jejak langkah ibu dan bapa mereka sejak kecil lagi kerana mereka merupakan idola anak-anak mereka semasa kecil dan hal ini dapat diibaratkan seperti bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Haruslah diingatkan bahawa setiap tingkah laku yang dipamerkan oleh ibu bapa pasti ada yang akan menjejaki langkah mereka. Pendek kata, ibu bapa haruslah membentuk sahsiah anak-anak mereka untuk menjadi insan yang cemerlang dari segi fizikal mahupun rohani mereka dan ciri keluarga beginilah yang menjadi impian saya.

Pendidikan bermula dari rumah. Ibu bapa hendaklah mengajar anak-anak mereka mengenal yang mana intan, yang mana kaca, agar mereka bijak membezakan antara perbuatan yang baik dan sebaliknya. Hal ini disebabkan oleh kedapatan anak-anak yang bersifat lurus bendul yang tidak berupaya membezakan antara perbuatan yang baik dan perbuatan yang buruk. Dalam konteks ini ibu bapa haruslah mengajar anak-anak mereka tentang realiti menempuh kehidupan yang diredai Tuhan. Ibu bapa harus mengawasi pergaulan anak-anak di luar rumah kerana dikhuatiri mereka terlampau bebas sehingga terjerumus dalam kemelut dunia yang penuh dengan masalah sosial dan susila yang meruncing sedangkan mereka masih berumur setahun jagung, setampuk darah pinang. Ibu bapa haruslah memastikan anak-anak mereka agar tidak bergaul dengan rakan yang buruk akhlaknya kerana hal tersebut akan menggelapkan masa depan mereka. Tidak cukup jika kasih sayang yang diberikan seperti bena tak bena. Sebaliknya, ibu bapa haruslah memberikan kasih sayang mereka dengan secukupnya selain menganggap anak-anak seperti menatang minyak yang penuh. Didikan agama harus ada dalam diri seseorang. Ibu bapa wajib memastikan anak-anak mereka memperoleh didikan agama tersebut kerana tanpa pegangan agama yang kukuh kita akan tersesat seperti layang-layang yang terputus talinya. Ibu bapa haruslah menerapkan ajaran agama ini sejak anak-anak masih kecil lagi. Hal ini demikian kerana hati anak yang belum dicemari dosa mudah untuk dibentuk bak melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Justeru, ibu bapa haruslah mendidik anak-anak sejak mereka kecil lagi supaya mereka tidak tersesat ketika menempuh belantara kehidupan. Dalam benak saya, inilah antara ciri yang perlu ada dalam keluarga yang menjadi idaman saya.

Anak-anak akan kehilangan semangat untuk melakukan sebarang kerja seharian jika ibu bapa tidak meluangkan masa dengan mereka walaupun hanya untuk bertanyakan khabar. Lantaran itu, ibu bapa haruslah menitikberatkan perkara ini dan haruslah berusaha sedaya mungkin untuk meluangkan masa bersama dengan anak-anak. Sebaik-baiknya ibu bapa meluangkan masa berkualiti bersama-sama anak-anak dan berkesanggupan untuk menjadi pendengar yang setia akan setiap kemelut emosi yang membelenggu anak-anak. Tamsilannya, ibu bapa haruslah bertanyakan masalah yang dihadapi, perkembangan pelajaran di sekolah dan kehidupan sosial mereka. Ibu bapa tidak seharusnya memperlihatkan sikap rakus dalam mengejar fatamorgana dalam aspek kebendaan sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak. Wang ringgit bukanlah penyelesaian bagi setiap masalah yang dihadapi tetapi kasih sayang yang ikhlas dari lubuk hati yang suci itu adalah penting bagi menjana keluarga bahagia. Ibu bapa perlu bijak mengimbangi keperluan masa antara tuntutan kerjaya dan keluarga. Peribahasa Arab mengatakan anak-anak yang kurang memperoleh kasih sayang daripada ibu bapa yang sibuk adalah yatim. Tuntasnya , ibu bapa haruslah meluangkan masa mereka bersama-sama dengan anak-anak agar mereka tidak kesunyian di samping dapat membina keluarga bahagia.

Hidup berkeluarga akan tambah bahagia jika dihiasi dengan akhlak terpuji anak-anak. Untuk mewujudkan keluarga bahagia, anak-anak haruslah menuruti perintah ibu bapa mereka. Anak-anak seharusnya memuliakan maruah diri dan maruah keluarga dengan tidak melibatkan diri dengan aktiviti yang tidak sihat seperti vandalisme, lumba haram, dan menagih dadah. Anak-anak sewajarnya mendengar nasihat ibu bapa, bukannya menjadikan diri mereka tidak ubah seperti mencurahkan air ke daun keladi. Tidak sepatutnya jasa ibu bapa yang tidak terbalas itu dilupakan begitu sahaja. Sebagai insan yang bergelar anak kita haruslah mengenang jasa mereka kerana kita ditegah untuk menjadi seperti kacang lupakan kulit. Anak-anak haruslah mengambil alih tugas ibu bapa yang dahulu menjaga kita sewaktu kecil dan kini tugas itu diambil oleh generasi muda untuk menjaga ibu bapa mereka yang sudah uzur yang sudah tidak boleh menguruskan diri mereka lagi. Jika ibu bapa boleh menatang kita seperti menatang minyak yang penuh, mengapa kita sebagai anak tidak boleh melakukan hal yang sama? Hal ini disebabkan oleh mereka masih tidak bijak untuk menghargai seseorang yang telah berjasa kepada diri mereka sedangkan ibu bapalah yang telah membimbing, mendidik dan menjaga mereka sejak mereka kecil lagi. Seandainya tiada ibu bapa, siapa kita pada hari ini? Pendek kata,anak-anak harus mentaati perintah ibu bapa agar keluarga bahagia dapat dibina. Sejujurnya, inilah antara ciri yang perlu ada dalam sebuah keluarga yang menjadi idaman saya.

Bahagia perlu dicari, kasih sayang perlu dibajai. Yang muda disayangi, yang tua dihormati. Sikap saling menghormati antara ahli keluarga sewajarnya diamalkan agar pertelingkahan, terutamanya antara ibu bapa dengan anak-anak dapat dielakkan. Ramai orang mengatakan bahawa keluarga yang bahagia ialah keluarga yang harmoni, aman dan damai. Sebagai ahli keluarga yang prihatin dan mengambil berat terhadap keluarga, mereka haruslah mewujudkan situasi ini dalam keluarga agar keluarga kita dihormati oleh masyarakat luar dan tidak dipandang serong serta dipandang hina. Ahli keluarga haruslah bahu-membahu antara satu sama lain. Seandainya dalam keluarga itu ada seorang yang lemah dalam subjek matematik, haruslah dibantu oleh adik beradik yang lain kerana sikap bantu membantu ialah sikap yang baik dan mulia. Orang yang kedekut ilmu selalunya akan rugi kerana mereka tidak ingin membantu memajukan generasi akan datang, malah mereka lebih rela melihat generasi akan datang dipijak oleh penjajah. Kita haruslah mengamalkan sikap berat sama dipikul, ringan sama dijinjing dan ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni. Tegasnya, setiap ahli keluarga haruslah mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan untuk membina keluarga bahagia di samping membangunkan generasi akan datang agar sesebuah institusi keluarga itu menjadi keluarga yang dihormati.


Keseluruhan di atas merupakan antara ciri keluarga bahagia yang menjadi impian saya, terutamanya setelah saya dewasa dan membina keluarga sendiri. Semuanya akan menjadi kenyataan sekiranya saya berjaya dalam bidang pelajaran yang sudah pasti akan menjadikan masa hadapan saya cerah kerana kedudukan ekonomi saya yang stabil. Selain itu, saya dan pasangan saya akan memikul tanggungjawab dengan sebaik yang mungkin agar anak-anak akan menjadikan kami sebagai suri teladan mereka. Dengan izin Yang Maha Esa, mudah-mudahan impian saya akan tercapai. Apa yang penting, saya mesti berusaha dengan penuh kesungguhan kerana tanpa usaha tiadalah kejayaan. Semoga fajar yang menyingsing pada sekurang-kurangnya sepuluh tahun akan datang memberikan sinaran paling gemilang dalam kehidupan saya sekeluarga.




KEPENTINGAN INDUSTRI KECIL DAN SEDERHANA (IKS)




Mutakhir ini, arus globalisasi yang menerjah dunia telah memberi impak dan perubahan yang besar kepada negara sama ada dari segi politik, ekonomi dan sosial. Dalam menongkah dan mengejar arus modenisasi ini, kerajaan kita telah menggagaskan konsep 1 Malaysia yang berpaksikan slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Hal ini juga merupakan rentetan kepada Dasar Ekonomi Baru supaya semua lapisan masyarakat dapat menikmati kemakmuran negara secara adil dan saksama. Menyedari hakikat inilah kerajaan telah memperuntukkan sejumlah dana yang besar bagi memajukan Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Hal ini bertepatan dengan peribahasa Melayu hati kuman sama di cecah, hati gajah sama dilapah. IKS telah dibangunkan dengan pesatnya umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Contoh Industri Kecil dan Sederhana (IKS) ialah kilang kraf tangan, kilang keropok, perusahaan batik, kilang mi dan lain-lain lagi. Terdapat banyak kepentingan IKS kepada masyarakat dan negara.

Salah satu kepentingan IKS ialah dapat meningkatkan ekonomi masyarakat terutamanya penduduk di luar bandar. Kita sedia maklum bahawa industri ini banyak didirikan di kawasan luar bandar selaras dengan konsep ‘Satu Kampung Satu Produk’. Sebagai contoh kilang membuat kerepek, kilang membuat sos tomato, kilang kraf tangan dan lain-lain lagi. Pengusaha kilang dapat menjual hasil keluaran mereka kepada penduduk-penduduk kampung serta pengunjung-pengunjung yang lain. Selain itu, mereka juga boleh memasarkan hasil IKS ini di pasar malam, pasar tani serta di karnival-karnival jualan. Meskipun keuntungan penjualannya tidaklah seberapa, namun sikap gigih dan istiqamah pengusaha IKS menyebabkan produk mereka akhirnya mendapat perhatian para pengguna. Dalam usaha untuk mempromosi produk IKS ini, peribahasa yang pipih tidak datang melayang, yang bulat tidak datang bergolek haruslah dijadikan pegangan. Prinsip membujur lalu, melintang patah iaitu berani menghadapi cabaran dan dugaan dalam perniagaan merupakan resipi kejayaan ramai pengusaha IKS pada hari ini. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa IKS ini sangat penting untuk meningkatkan pendapatan penduduk di luar bandar dan seterusnya meningkatkan ekonomi negara.

Selain itu, IKS juga dapat membuka dan memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat terutamanya penduduk kampung. Kita sedia maklum bahawa untuk menjana dan meningkatkan hasil pengeluarannya pengusaha IKS ini memerlukan pekerja yang ramai. Sebagai contoh, kilang membuat kerepek memerlukan pekerja untuk menyediakan bahan, memasak, membungkus serta memasarkan produk mereka. Sekurang-kurangnya kilang IKS tersebut memerlukan antara 15 hingga 20 orang pekerja untuk menjalankan operasinya. Dalam usaha untuk meminimumkan kos serta meningkatkan produktiviti, sudah tentu pengusaha IKS akan memilih para pekerja dalam kalangan masyarakat setempat . Hal ini telah akan membuka peluang kepada suri rumah, ibu tunggal atau orang kurang upaya (OKU) untuk bekerja di situ. Sikap pengusaha IKS yang prihatin serta mengutamakan khidmat sosial kepada masyarakat setempat, akan mewujudkan perasaan kekitaan terhadap IKS yang diwujudkan di sesuatu kawasan itu. Peribahasa Melayu ada mengatakan orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa, ironinya, para pekerja tersebut akan berusaha dengan gigih untuk meningkatkan mutu serta kualiti produk kilang tersebut. Jelaslah bahawa IKS ini bukan sahaja dapat membuka peluang pekerjaan kepada penduduk kampung malah dapat membantu negara mengurangkan masalah pengangguran.

Di samping itu, pembinaan IKS di kawasan-kawasan luar bandar juga dapat membantu meningkatkan sektor pertanian dan perikanan. Kita sedia maklum bahawa IKS memerlukan bahan-bahan mentah untuk proses pengeluaran kilang mereka. Biasanya bahan-bahan mentah ini adalah daripada hasil pertanian, perikanan atau perhutanan. Tamsilnya kilang membuat keropok memerlukan hasil tangkapan laut, manakala kilang kerepek pula memerlukan hasil pertanian seperti ubi, keladi, pisang, jagung dan lain-lain. Secara tidak langsung aktiviti pertanian dan perikanan turut meningkat di kawasan tersebut. Hasil pertanian sara diri penduduk kampung yang selama ini sukar untuk dipasarkan, kini telah menjadi rebutan para pengusaha IKS. Hukum ekonomi menjelaskan bahawa kadar permintaan mempengaruhi penawaran dan harga barangan. Implikasinya harga barang mentah pertanian seperti ubi, pisang, keledek, keladi akan meningkat. Secara tidak langsung sektor pertanian akan meningkat. Hal ini, diperkukuhkan lagi dengan dasar kerajaan yang memberi perhatian serius untuk membantu meningkatkan pendapatan petani dan nelayan. Oleh hal yang demikian, dalam usaha memenuhi permintaan IKS terhadap bahan mentah yang semakin meningkat kerajaan melalui agensi-agensi pertanian seperti FAMA, MARDI, PELADANG dan sebagainya telah memberi khidmat kepakaran dan subsidi kewangan kepada para petani dan nelayan. Tuntasnya, IKS ini merupakan serampang dua mata kerana kewujudannya bukan sahaja dapat meningkatkan ekonomi malahan dapat membasmi kadar kemiskinan rakyat di negara kita yang tercinta ini.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa melancong ke Malaysia umpama telah melancong ke separuh dunia. Hal ini demikian kerana, di Malaysia terdapat pelbagai kesenian dan budaya daripada penduduk pelbagai bangsa dan agama. Apakah kaitan penyataan ini dengan IKS? Kolerasinya ialah kewujudan IKS dapat meningkatkan sektor pelancongan di negara kita. Kita sedia maklum bahawa para pelancong suka membeli kraftangan untuk dibawa pulang. Sebenarnya di Malaysia terdapat banyak barangan kraftangan daripada pelbagai etnik dan kaum yang menjadi warganegara Malaysia. Sebagai contoh perusahaan membuat tembikar, pasu bunga, ukiran, labu sayong, batik, songket, tikar, bakul barangan hutan dan lain-lain lagi. Hasil kraf tangan melambangkan identiti serta jati diri negara. Para pelancong membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk membeli kraftangan ini sebagai cenderamata kenang-kenangan atau hadiah kepada rakan-rakan apabila pulang kelak. Dalam hal ini peribahasa Melayu ada menyebut bahawa tak tumbuh, tak melata, tak sungguh orang tak kata. Hal ini menjelaskan bahawa kualiti serta keunikan kraftangan Malaysia akan menarik lebih ramai pelancong ke negara kita. Ironinya perkara ini bukan sahaja akan meningkatkan imej Malaysia sebagai negara berbilang bangsa malahan dapat meningkatkan ekonomi negara menerusi sektor pelancongan.

Konklusinya, terdapat banyak kemaslahatan Indutri Kecil dan Sederhana (IKS) kepada masyarakat dan negara kita. Sebagai rakyat Malaysia kita tidak seharusnya membiarkan peluang ini berlalu begitu sahaja. Kita perlu gigih meningkatkan kualiti IKS kerana industri ini sebenarnya merupakan sebahagian daripada barangan keluaran tempatan yang berperanan meningkatkan imej negara di mata dunia. Apabila masyarakat sama ada di dalam atau di luar negara menggunakan sahaja barangan IKS, maka secara tidak langsung jati diri negara telah terserlah. Oleh hal yang demikian, semua pihak iaitu pihak kerajaan, swasta, masyarakat serta individu perlulah bekerjasama untuk meningkatkan industri ini. Dana yang besar telah diperuntukkan oleh kerajaan perlu digunakan sebaik-baiknya bagi tujuan memajukan IKS. Diharapkan barangan keluaran IKS mampu bersaing dalam pasaran di peringkat tempatan dan juga persada antarabangsa. Hal ini juga selaras dengan gagasan 1 Malaysia iaitu, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan.

1 ulasan:

  1. cikgu, gurindam 12 fasal tak ada la dalam buku saya. lagi satu, jawapan untuk soalan komsas yang lain tak ada ke cikgu?

    BalasPadam