Assalammualaikum ... anak-anak didik cikgu yang dikasihi.... anak-anak 5 Ibnu Sina dan 5 al-Kindi.... Selamat Hari Raya Aidil Adha cikgu ucapkan.... sambil menikmati saat-saat keemasan cuti ini, jangan lupa titipan cikgu ini.... cetak dan baca untuk ulang kaji....ingat countdown SPM yang hanya tinggal 13 hari lagi...:)
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan
berikutnya dengan menggunakan perkataan anda sendiri.
Setelah
hari malam maka isteri Khoja Maimun pun memakai dengan selengkap pakaian yang
indah-indah. Setelah sudah lalu pergi mendapatkan Bayan seraya katanya, “ Hai
unggas yang ganti ibuku ,berilah aku ini izin supaya aku pergi sahaja pada anak
raja itu!” Maka sahut Bayan, “ Hai Siti yang mulia belumkah lagi tuan hamba
bertemu dengan anak raja itu? Maka tuan terlalu sangat khilaf pada memakai
pakaian yang tidak layak dipakai, kerana emas dan perak itu adakalanya menjadi
fitnah, siapa tahunya kalau terlihat kepada anak raja itu, maka inginlah ia
akan pakaian tuan ini, dendamkan tuan lalu mahukan pakaian ini. Kata anak raja
itu, “ Marilah berikan daku supata dapat kupandang bekas tubuh tuan ini,
menjadi penawar penyakit berahi di dalam tubuhku ini!” Kalaulah tuan berikan
nescaya datanglah bencana dan musykil ke atas tuan. Jikalau tuan laki-laki
datang kelak, maka ditanya akan pakaian ini apa jua jawab tuan? Pakaian itu
dilihatnya pula dipakai oleh anak raja
itu. Matilah tuan dibunuhnya dan lagi hamba pun tidaklah berkawan lagi . Hidup
pun serasa matilah kerana emas ini tidaklah berkawan lagi. Hidup pun serasa
matilah kerana emas ini bertemukan orang berkasih-kasihan serta menjadikan pula amat berbantahan!
Tidakkah tuan mendengar Hikayat Serimala dengan Pandai Emas? Bukankah kerana
sebab emas daripada bersahabat menjadi bercerai
(Dipetik
daripada prosa tradisional 'Hikayat Khoja Maimun' diselenggarakan oleh Abdul
Rahman Kaeh dalam antologi Harga Remaja, Dewana Bahasa dan Pustaka)
(i)
Nyatakan maksud terlalu sangat khilaf? [2
markah]
(ii)
Nyatakan tiga alasan yang disebut oleh Si Bayan jika isteri Khoja Maimun
memakai pakaian tersebut? [3
markah]
(iii)
Pada pendapat anda, mengapakah para isteri boleh terdorong untuk berlaku curang
ketika suami tiada di rumah [3
markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan
berikutnya dengan menggunakan perkataan anda sendiri.
Hatta
beberapa lama Khoja Maimun belayar itu, maka datanglah cubaan Allah Taala atas
hambanya, dengan demikian dicetera akan orang yang empunya cetera ini. Selama
peninggalan Khoja Maimun belayar itu, sebermula ada pada suatu hari maka Bibi
Zainab pun bercintalah akan suaminya. Maka ia pun pergilah duduk di tingkap
mahligainya berangan-angan serta memandang pada jalan seraya itu maka pada
ketika itu terpandanglah kepada anak raja di dalam negeri itu, lalu berkuda
hampir dengan mahligai isteri Khoja Maimun. Pada tatkala Bibi Zainab pun
memandang ke bawah terpandanglah kepada muka anak raja itu, pemandangan Bibi
Zainab terlalu elok rupanya anak raja itu. Sebermula anak raja pun memandang
kepada isteri Khoja Maimun, terlalu baik parasnya sama berjumpa matanya lalu
dibawanya tersenyum oleh anak raja itu. Dengan takdir Allah Taala maka anak
raja itu pun berahilah akan Bibi Zainab itu. Adapun akan Bibi Zainab itu pun tersangkutlah
hatinya akan anak raja itu.
Setelah
sudah maka anak raja itu pun menyimpang ke rumah seorang perempuan. Setelah
sampai anak raja itu pun berkata kepada perempuan itu, “ Hai ibuku pergilah sampaikan
kepada perempuan itu, katakan aku suruh kepada orang itu, katakan aku
berkehendakkan dia dengan barang-barang
tipu daya ibu akan meluluskan maksud aku ini!” Setelah didengar oleh orang tua
itu segeralah ia pergi kepada isterinya Khoja Maimun itu
(Dipetik daripada prosa tradisional 'Hikayat Khoja Maimun' diselenggarakan
oleh Abdul Rahman Kaeh dalam antologi Harga Remaja, Dewana Bahasa dan Pustaka)
- Apakah
maksud tersangkutlah hatinya? (2
markah)
- Tuliskan
peristiwa pertemuan pertama Bibi Zainab dengan anak raja (3 markah)
- Sekiranya
anda Bibi Zainab, apakah yang anda lakukan untuk menghilangkan kesunyian. (3 markah)
Baca
petikan di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan berikutnya
dengan menggunakan perkataan anda sendiri.
Maka Taif pun
berkata, “ Hai perempuan, siapa engkau ini dan apa katamu?” Maka sahut
perempuan itu, “Akulah yang mengawali istana raja itu. Telah aku keluarlah,
siapa dapat kembalikan aku ke istana ini?” Maka kata Taif, “ Apa erti katamu
itu?”Maka kata perempuan itu, “Bahawa Raja Tabristan ini berpalinglah daulatnya
dan umurnya pun singkatlah” Maka sahut Taif, “ Hai perempuan, betapakah perinya
engkau kembali ke istana raja ini dan daulatnya raja pun akan bertambah-tambah
dan umurnya pun akan dilanjutkan oleh Allah?” Maka kata perempuan itu, “
Sungguh-sungguhkah engkau hendak buat kebaktian kepada raja itu? Jika engkau
hendak akan bertambah-tambah daulatnya raja kamu itu dan umurnya pun
dilanjutkan Allah, hendaklah engkau bunuh akan anakmu yang engkau kasihkan
dengan tulus hatimu, supaya segera aku kembali ke istana raja kamu itu!” Telah
Taif mendengar kata perempuan itu maka Taif pun segeralah ditangkap tangan
anaknya. Maka segera dipegangkannya oleh perempuan itu seraya katanya, Jangan
engkau bunuh anakmu itu! bahawa sesungguhnyalah telah kembalilah aku ke istana
raja kamu, daripada tulus hati kamu dengan ikhlasnya hati kamu mengerjakan
pekerjaan tuanmu itu. Adalah Allah Taala memberi balasan atas kejujuranmu dan
keikhlasanmu kerana yang sempurna adalah Allah Taala jua.Maka raja kamu
berbahagialah ia, dan daulatnya pun bertambah-tambah dan umurnya puna akan
dilanjutkan Allah Taala!” Maka Taif pun dilepaskannya tangan anaknyaitu lalu
dibawanya kembali ke rumahnya.
(Dipetik daripada prosa tradisional 'Hikayat
Khoja Maimun' diselenggarakan oleh Abdul Rahman Kaeh dalam antologi Harga
Remaja, Dewana Bahasa dan Pustaka)
- Bagaimanakah
perempuan itu masuk ke dalam istana tanpa membunuh anak Taif?
(2 markah)
- Berdasarkan petikan di atas, siapakah perempuan yang berkata-kata
itu dan apa keitimewaanya? (3
markah)
- Pada pendapat anda, apkah amalan yang perlu dipraktikkan dalam
kehidupan seharian? (3
markah)
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian
jawab soalan-soalan berikutnya dengan menggunakan perkataan anda sendiri.
Syahadan
setelah sudah maka oleh isteri saudagar itu akan keempat hamba raja itu pun
disuruhnya seorang memegang air dn seorang disuruhnya menyelampai spu tangan
dan seorang membawa santapan dan seorang memegang tempat basuh tangan. Maka
raja pun hairanlah melihat kelakuannya
isteri saudagar itu, demikian kelakuannya itu. Maka raja pun bertanya
kepada hambanya, “ Betapakah hal kamu sekalian maka tidak pulang selama ini?”
Maka jawab hamba raja berempat itu disembahyangkannyalah khabarnya segala hal
ehwal itu kepada raja itu. Setelah didengar oleh baginda itu, maka ia pun
hairanlah akn dirinya tiadalah berbuat lagi.
Sebermula
adapun akan isteri saudagar itu, telah ia melihat kelakuan raja demikian itu
maka katanya. “ Hai, Raja kepada hati raja, hamba ini seperti perempuan yang
lain ituah? Maka raja tiada tahu malau dn sopan kepad asegala manusia dan tidak
takut akan azab Allah Taala. Jikalau hamba mengerjakan pekerjaan yang demikian
itu dn lagi tiada diperkenankan oleh Allah sebagai lagi tiada pada segala
mahkluk, muka yang mana hamba hendak pandangkan kepad aorang, dan apalah
jawabtatkala di Padng Mahsyar di hadapan penghulu Yang Maha Mulia itu. Bahawa
sesungguhnya pekerjaan ituakan masyhur juga akhirnya dan lagi apabila didengar
oleh suami hamba, nescaya matilah hamba dibunuhnya. Syahadan lagi jikalau
perempuan yang tiada berbudi lagi hina zahil akalnyaitu, redalah ia dapat malu
dianya tiada takut azab Allah Taala di dalam neraka jahanam lima ratus ribu
tahun lamanya itu, tiada ia takut asalkan ia dapat. Demikianlah hamba dengar
perihal orang yang menduakan suaminya itu. Adapun raja jikalau hamba hendak
berbuat khianat atas hamba raja dapat hamba perikan dia itu.
(Dipetik daripada prosa tradisional 'Hikayat Khoja Maimun'
diselenggarakan oleh Abdul Rahman Kaeh dalam antologi Harga Remaja, Dewana
Bahasa dan Pustaka)
- Berikan maksud
rangkai kata disembahyangkanlah khabarnya segala hal ehwal itu
( 2 markah )
- Jelaskan nasihat isteri saudagar kepada raja seperti yang
terdapat dalam petikan di atas. (3
markah)
- Pada pendapat anda, huraikan faktor-faktor yang menyebabkan berlaku
keruntuhan rumah tangga sesebuah keluarga. (3
markah)
Jawapan soalan 1
I.
Maksud rangkai kata ialah
melakukan kesilapan yang besar/ kesalahan yang besar
II.
Alasan yang disebut oleh
Si Bayan jika isteri Khoja Maimun memakai pakaian tersebut ialah
- Jika suami Khoja Maimun bertanya tentang pakaian itu tentu susah
untuk dijawabnya.
- Jika dilihat oleh suaminya pakaian itu dipakai oleh anak raja
tentu isteri Khoja Maimun dibunuhnya.
- Jika isteri Khoja Maimun dibunuh tentu Si Bayan tidak akan
mempunyai kawan lagi.
III. Pendapat
saya, para isteri boleh terdorong untuk berlaku curang ketika suami
tiada di rumah kerana
- Isteri
terlalu kesunyian apabila suami sibuk bekerja
- Si
isteri terpedaya oleh hasutan syaitan agar berbuat maksiat
- Si
isteri inginkan kemewahan yang tidak diperoleh daripada suami.
Jawapan
Soalan 2
I. Maksud rangkai kata tersebut ialah
jatuh cinta
III. Rentetan peristiwa :
• Bibi Zainab kesunyian
lalu duduk di tepi tingkap, memerhatikan keadaan sekeliling sambil
berangan-berangan.
• Seorang anak raja
sedang menunggang kuda lalu di hadapan mahligai Bibi Zainab
• Bibi Zainab dan anak raja berpandangan
lalu mereka tersenyum
III. Perkara yang akan saya lakukan
• Membaca al-Quran
supaya dapat mententeramkan hati dan mendoakan suami selamat
• Melakukan aktiviti
riadah seperti berkelah, bersukan bersama-sama jiran-jiran.
• Membuat kerja kerja
kebajikan seperti berkhidmat di rumah orang tua-tua supaya tidak berasa sunyi
Jawapan soalan 3
I Perempuan itu dapat
masuk ke dalam istana kerana Taif telah bersetuju membunuh anaknya dengan
hatinya yang tulus
II. Perempuan itu ialah
- Pengawal istana
Keistimewaan perempuan itu jika dia dapat masuk ke dalam istana ialah
- Daulat Raja Tabristan akan bertambah
- Umur Raja Tabristan bertambah lanjut
III. Antara amalan yang perlu diamalkan ialah
- Membaca untuk menambah pengetahuan
- Memakan makanan yang berkhasiat dan seimbang
- Bersenam secara berterusan dan mengamalkan gaya hidup sihat.
Jawapan soalan 4
I. Maksud rangkai kata tersebut ialah
diceritakan segala peristiwa yang berlaku
II. Nasihat isteri saudagar kepada raja
Takut kepada azab Allah S.W.T
Kejahatan yang dilakukan akan diperkatakan sepanjang masa
Takut azab di dalam neraka jahanam
III. Pendapat tentang faktor –faktor yang
menyebabkan berlaku keruntuhan
rumah tangga sesebuah
keluarga
Hilang kesefahaman antara suami isteri
Suami atau isteri yang curang
Masalah kewangan
Campur tangan pihak ketiga seperti keluarga ibu bapa
HIKAYAT MERAH SILU
Baca petikan di bawah
dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya dengan menggunakan ayat
anda sendiri.
Setelah beberapa lama
Merah Gajah berkahwin dengan Puteri Betong dengan berkat kurnia Allah Taala,
Puteri Betong pun hamil. Setelah segenap bulannya, Puteri Betong pun melahirkan
seorang anak laki-laki dan diberi nama Merah Silu. Selang beberapa lama
kemudian, Puteri Betong pun hamil lagi. Setelah genap bulannya, lahirlah lagi
seorang anak lelaki dan diberi nama Merah Hasum.
Puteri Betong mempunyai sehelai
rambut berwarna keemasan di tengah kepalanya, tetapi ia tidak diketahui
suaminya sehinggalah pada suatu hari, terlihat suaminya ketika puteri sedang
menyikat rambut.
Kata Merah Gajah kepada isterinya,
“Wah adinda, mari hamba bantunkan rambut tuan puteri yang sehelai itu!”
Jawab tuan puteri itu, “ Jika rambut
hamba sehelai itu dicabut oleh tuan hamba, alamat perceraian tuan hamba dengan
hamba.”
Beberapa kali diminta oleh Merah
Gajah untuk mencabut rambut itu, tetapi tidak dibenarkan oleh isterinya. Pada
suatu hari, semasa isterinya sedang tidur, Merah Gajah mencabut rambut
isterinya yang berwarna keemasan itu. Baginda menyangka tiada apa-apa yang akan
berlaku. Apabila rambut itu tercabut, keluarlah darah dari liang rambut. Sebaik
sahaja darahnya berhenti maka Puteri Betong pun hilanglah.
Orang suruhan Merah Gajah segera
memberitahu ayahanda Raja Muhammad. Ujar hamba sahaya itu, “ Ya tuanku, paduka
anakanda tuan kami, Puteri Betong telah hilanglah sebab dibantunnya oleh Merah
Gajah sehelai rambutnya di tengah kepalanya!” Setelah Raja Muhammad mendengar
khabar inang itu baginda merasa amat marah. Baginda menghimpunkan segala askar
pergi mendapatkan Merah Gajah lalu dibunuhnya.
Setelah Merah Gajah mati, segera
orang memberitahu ayahanda Merah Gajah, Raja Ahmad. Kata mereka, “Wah tuanku
paduka, anakanda Merah Gajah itu telah mati dibunuh oleh mentuanya sebab ia
membantunkan rambut sehelai yang di tengah-tengah kepala Puteri Betong! Pada
fikiran anakanda Merah Gajah perbuatannya itu tiada akan mati Puteri Betong
kerana mencabut rambut yang berwarna keemasan itu.”
Sebaik mendengar khabar itu, Raja
Ahmad menghempaskan dirinya, mengoyak-ngoyak baju serta mencarik-carik kainnya.
Raja Ahmad pun terlalu marah. Dengan serta-merta baginda menghimpunkan segala
askar lengkap dengan segala senjatanya.
Maka pada ketika yang baik, Raja
Ahmad pergi menemui Raja Muhammad. Apabila berhadapan askar kedua-dua itu,
mereka pun berperang. Tempik sorak segala hulubalang dan rakyat kedengaran amat
hebat. Askar kedua-dua pihak ramai yang mati dan luka sebab beramuk-amuk sesama
sendiri. Dalam pergaduhan itu matilah Raja Muhammad dan Raja Ahmad.
Tinggallah Merah Silu dengan Merah
Hasum berdua saudara dan saki-baki rakyat yang masih hidup. Mereka menyembah
mengaku akan taat setia kepada anak raja kedua itu untuk terus tinggal di dalam
negeri itu.
Tiada beberapa lama kemudian, Merah
Silu berkata kepada saudaranya, Merah Hasum itu, “ Hai saudaraku, betapa bicara
kita kerana kita ini hanya dua bersaudara tinggal kerana nenek dan ibu bapa
kita telah hilang dalam negeri Semerlanga ini! Jikalau kita diam dalam negeri
ini, sekali-kali tiada memberi manfaat kepada kita. Baiklah kita pindah dari
negeri ini mencari tempat yang baik supaya kita dapat diam di sana.”
Setelah putus bicara dua bersaudara
itu, pada ketika yang baik, mereka pun keluar meninggalkan negeri Semerlanga.
Mereka mengikut jalan arah matahari mati. Mereka berhenti di sebuah tempat, dan
kemudian meneruskan perjalanan. Dengan takdir Allah SWT, mereka sampai di
sebuah negeri bernama Beruana. Mereka membuka perkampungan dan diam di sana, di
sebelah- menyebelah sungai itu.
(Dipetik daripada “Merah Silu” dalam
antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan
Pustaka)
1) Berdasarkan petikan, nyatakan peristiwa yang
menyebabkan kematian Puteri Betong. (3
markah)
2) Bagaimanakah
keadaan ketika Raja Ahmad berhadapan dengan Raja Muhammad. (3
markah)
3) Berikan maksud
rangkai kata membantunkan rambut? (2
markah)
4) Apakah yang
dimaksudkan dengan meninggalkan negeri? (2
markah)
5) Pada pendapat
anda, wajarkah Merah Gajah mencabut
rambut isterinya? (3
markah)
6) Jika anda diberi
peluang, bagaimanakah cara untuk menyelesaikan masalah Raja Ahmad dan Raja
Muhammad? (3
markah)
7) Adakah wajar
rakyat taat setia kepada Merah Silu dan Merah Hasum? (3
markah)
Cadangan jawapan :
1) Peristiwa yang menyebabkan kematian Puteri Betong kerana
suaminya, Merah Gajah telah mencabut rambutnya yang berwarna keemasan.
2) Keadaan ketika Raja Ahmad berhadapan dengan Raja Muhammad iaitu
mereka telah berperang dengan menghimpunkan askar masing-masing, kedengaran
suara riuh rendah di sebelah kedua-dua pihak dan mengakibatkan kematian rakyat
Raja Muhammad dan Raja Ahmad.
3) Maksud rangkai kata membantunkan rambut iaitu mencabut rambut.
4) Maksud meninggalkan negeri ialah berpindah.
5) Pada pendapat saya, tidak wajar Merah Gajah mencabut rambut
isterinya kerana menyebabkan kematian isterinya jika rambutnya dicabut.
6) Cara untuk menyelesaikan masalah Raja Ahmad dan Raja Muhammad
iaitu memerlukan perbincangan sebelum membuat keputusan. Selain itu, sikap
terburu-buru dalam melakukan sesuatu tindakan. Seterusnya mengusul sesuatu
peristiwa sama ada benar atau tidak dengan keadaan yang berlaku.
7) Wajar rakyat taat setia kepad Merah Silu dan Merah Hasum kerana
keturunan waris kepada Puteri Betong dan Merah Gajah. Selain itu, tiada
perebutan takhta yang akan berlaku dalam negeri tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan