Cari Blog Ini

Ahad, 27 Januari 2013

Tugasan sempena Cuti CPA 25 - 28 Januari 2013

Tahniah untuk puteri 5 AKD Syafiqah Nabilah binti Razali,  yang telah menjadi orang pertama menghantar e-mel tugasan cuti CPA. Sama-sama kita kongsi pengalaman puteri ini menghabiskan masa cuti hujung tahunnya.... :)



Musim cuti sekolah yang panjang ini tidak dibiarkan berlalu begitu sahaja walaupun keluarga sibuk dengan urusan masing-masing.Setelah sekian lama tidak bercuti bersama sekeluarga pada tahun 2012 ini, maka kami sekeluarga mengambil keputusan untuk pergi bercuti ke Selangor sahaja.Walaupun nama tempatnya sudah tidak asing lagi didengari tapi  mungkin tempat yang jarang kita pergi itu membawa seribu kenangan bersama keluarga bukan ? Inikan lagi menjadi seorang pelajar yang belajar di sekolah asrama yang jarang pulang ke rumah sudah tentu percutian bersama keluarga memberi makna yang besar baginya. Kami pergi bercuti pada Hari Natal kaum Kristian kerana ketika itu abang, ibu dan ayahku sedang mengambil cuti.
Setiap manusia tidak terlepas dari dugaan yang Maha Esa.Begitu juga dengan dirku tidak terlepas dari pelbagai dugaan dan cabaran. Pelbagai cabaran yang dihadapi sebelum meniti hari bahagia bersama keluarga antaranya ayah dikehendaki bertugas di hospital ketika itu kerana pesakit tiada doktor untuk merawatnya.Manakala abang pula pulang ke rumah lambat kerana keretanya rosak tetapi dengan izin-Nya segalanya selesai dan sudah bersiap sedia untuk bertolak pada pukul 9.00 pagi.
Seminggu sebelum meniti hari kegembiraan telah terbayang-bayang apakah aktiviti menarik di sana. Kami bertolak dari halaman rumah pada pukul 9.00 pagi ke I-City Shah Alam,Selangor.Walaupun pernah ke sana 4 tahun lepas, mana mungkin suasana dan imejnya sama seperti dulu. Kami sekeluarga ke sana pada waktu tengah hari kerana hendak memasuki Snow Walk pada harga Rm25 seorang. Snow walk dibuka bukan sahaja pada waktu malam tapi pada waktu pagi juga. Baru sahaja menjejakkan kaki ke pintu masuknya sudah terasa sejuk yang amat. Kami masuk berempat tanpa ibu kerana ibu memang  tidak tahan pada suhu sejuk lebih-lebih lagi suhunya 10 darjah Celsius ke bawah. Kami memakai baju sejuk yang disediakan di pintu masuk.Terdapat 3 gelongsor yang boleh digunakan  oleh kanak-kanak di bawah pengawasan pengawai keselamatan di situ.  Ketika ku sedang ingin mengambil gambar di dalam ais yang membeku itu , aku terjatuh ke belakang seperti ‘nangka busuk’ sangkal bapaku. Apalah nasib ku ketika itu apabila orang yang berada di situ memandang ke arah ku . Itulah dinamakan ‘malang tidak berbau’.
Masuk ke dalam Snow Walk hanya memakan masa selama 30 minit sahaja kerana kami tidak tahan akan kesejukan di dalamnya.Selepas itu,kami berjalan sekeliling I-City dan kami mendapati bahawa terdapat satu tempat dinamakan 5D Movie Show.Kami pun mengambil kesempatan untuk masuk ke dalam dengan harga seorang hanya Rm15. Kami menunggu giliran sebelum masuk dan dibekalkan dengan sebuah cermin mata hitam. Kami rasa tidak puas kerana dengan tayangan selama tidak sampai 10 minit dihabiskan dengan duit Rm15. Walau bagaimanapun kami tetap teruskan perjalanan dan memasuki ‘Art Museum’ pula. Di situ terdapat pelbagai lukisan dinding berbentuk 3D dan amatlah kreatif sekali pelukis berkenaan. Bangunan 2 tingkat itu hanya menampilkan lukisan 3D dan bebas untuk kami mengambil gambar di dalamnya. Perjalanan kami diteruskan lagi sehingga pukul 6 petang untuk makan petang di KFC yang berdekatan.
Bukan setakat golongan muda yang datang bercuti di situ , malahan golongan tua pun tidak terkecuali. Sebaik sahaja matahari terbenam mulalah bulan menjelma dek waktu ketika malam.Orang ramai tidak putus-putus datang ke sini kami pun melangkah keluar dari situ.Sebaik sahaja keluar bau durian menusuk hidung kami yang berada di dalam kereta pada ketika itu tetapi apabila melihat jam waktu Maghrib telah masuk kami terpaksa batalkan niat untuk berhenti makan durian di situ.Ayah pula teringat akan kawannya yang menetap di Nilai 3 dan dia menelefonnya untuk berjumpa serta makan malam bersama. Selepas kudapan malam kami telah selesai , kawan ayah mengajak kami bermalam di rumah sewanya di Nilai 3. Tanpa segan dan silu kami pun menuju ke rumahnya.Seharian yang amat memenatkan badan dan kami berehat di rumah yang ekslusif itu dengan penuh selesa .
Pada keesokan harinya kami dijamukan selera nasi lemak dari Selangor yang tidak jauh bezanya dengan nasi lemak yang biasa cuma nasi lemak di sana lebih manis sedikit. Ketika dalam perjalanan hendak ke Melaka pula , kawan ayah singgah di kedai durian tepi jalan.Akhirnya hasrat semalam hendak makan durian tercapai juga buat penggemar durian tegar seperti ku ini.Setiba sahaja di tempat pembayaran Tol kawasan Nilai 3 kami mengucapkan jutaan terima kasih dan selamat tinggal kepada kawan ayah kerana menyediakan tempat tidur semalaman buat kami.
Kami bertolak ke Melaka pada pukul 10 pagi dan dijangka tiba pada pukul 11.00 pagi. Kehadiran kami ke Melaka untuk menyambut Hari Lahir ibu saudara ayah yang menetap di Ayer Keroh. Pelbagai gelagat makcik-makcik yang berada di situ membuatkan kami tidak henti ketawa .Kira-kira 3 jam berada di sana kami teruskaan perjalanan ke Air Panas Air Keroh untuk merehatkan badan dan berendam air panas di situ. Cuaca pada ketika itu agak mendung tetapi tidak menghalang kami untuk merendam kaki .Kami pulang ke Johor Bahru pada pukul 8 malam selepas makan malam di Kawasan Pak Bakar Villa , Muar.
Dua hari merupakan hari yang singkat buat kami tetapi dua hari itulah membuat kami sekeluarga lebih rapat dalam ukhuwah.Memandangkan tahun hadapan adalah tahun terpentingku iaitu Sijil Pelajaran Malaysia mungkin ini kali terakhirku bercuti bersama keluarga kerana sibuk dengan belajar.Pelbagai suka dan duka , manis dan pahit kami sekeluarga di sana.Semoga keluarga ku terus bersama sehingga keakhirnya dan tidak berpecah bak kata pepatah ‘Carik-carik bulu ayam , lama-lama akan tercantum jua’.

Syafiqah Nabilah binti Razali 
Kelas 5 AKD

























Tiada ulasan:

Catat Ulasan