Cari Blog Ini

Ahad, 11 Januari 2015

Assalammualaikum ... menyingkap tirai perjuangan 2015 ... novel baharu untuk KOMSAS tingkatan 1 dan 4 !!!

Assalammualaikum anak-anak didik maya yang dikasihi... alhamdulillah sesi persekolahan tahun 2015 telah pun bermula pada hari ini ... Cikgu doakan agar anak-anak didik cikgu semua dapat meneruskan legasi kecemerlangan yang telah diraih pada tahun 2014.

Tahniah untuk anak-anak yang telah meraih kecemerlangan dalam PT3 ... bagi yang kurang menyerlah janganlah patah harapan. PT3 bukanlah pengakhiran sebuah perjalanan ... PT3 hanyalah langkah pertama untuk bertapak dalam arena ini dan perlu terus melangkah dengan semangat juang ... buktikan kecemerlangan anda dalam SPM 2016 ... in shaa Allah.

Baiklah cikgu akan sertakan sedikit info tentang novel baharu untuk negeri Johor, Sabah dan Sarawak ... Di Sebalik Dinara.



SINOPSIS NOVEL DI SEBALIK DINARA
Bab 1
Farisha berjalan susup-sasap untuk melepasi selautan manusia yang memenuhi balai berlepas Lapangan Terbang Senai. Farisha memerhatikan seorang wanita yang sedang berbicara dengan seseorang melalui telefon bimbitnya. Suaranya kedengaran agak tinggi beberapa kali. Suara wanita itu sedikit sebanyak menimbulkan kejengkelannya.
Di dalam pesawat, Farisha dikejutkan dengan sapaan seorang pemuda yang meminta untuk duduk di sebelahnya. Farisha teringin untuk berbual lanjut tetapi kelopak matanya terlalu berat. Lelaki itu kelihatan segak dan mengenakan seutas jam tangan yang kelihatan begitu aneh. Lelaki itu perasan  Farisha sedang memerhatikannya lalu menjelaskan yang jam tangan itu sebenarnya pusat kawalan elektroniknya.
Farisha sampai ke apartmennya lalu cuba membuka pintu dengan mengimbas kad pintarnya namun gagal. Farisha merenung kaca segi empat di sebelah jeriji pintu, rupanya sudah agak berlainan. Dia berasa hairan. Dia menekan interkom untuk menghubungi teman serumahnya, Shida. Rupa-rupanya, sistem keselamatan rumahnya baru sahaja ditukar oleh abang Farisha , Azraai. Azraai telah memasang ‘retinal scanner’ dan menyambungkan interkom rumahnya dengan rumah Azraai. Farisha mengeluh kecil.
Bab 2
Farisha mulai gelisah menanti Rosman. Rosman berjanji untuk mengambilnya untuk ke Hotel Renaissance menghadiri Simposium Persatuan Penggodan Antarabangsa. Rupa-rupanya kereta Rosman rosak dan dia meminta Farisha menaiki monorel. Sampai ke tempat simposium itu, Farisha disambut oleh sebuah robot penyambut tetamu. Robot penyambut tetamu membawa Farisha ke tempat duduk. Ratusan peserta simposium sudah bersedia mendengar ucaptama.
Farisha bertemu semula dengan pemuda yang duduk di sebelahnya dalam pesawat. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Aqram. Aqram bekerja di Sot Lab, Cyberjaya. Farisha agak terkejut apabila Aqram menawarkan satu projek mini di Soft Lab untuk Farisha dan Rosman. Farisha berjanji akan memikirkannya dan akan menyatakan keputusannya melalui e-mel. Dia perlu bertanya abangnya, Azraai dahulu.
Sebenarnya Aqram mempunyai tujuan lain. Pen yang dihulurkan kepada Farisha untuk menulis alamat e-mel tadi merupakan ‘penetrator’ alat yang boleh menerobos ruang minda Farisha. Selepas Farisha memegang pen tersebut, Farisha berasa kepalanya berdenyut-denyut.



Bab 3

Farisha menghantar satu e-mel kepada Aqranm pada malam itu juga, selepas    selesai sesi bengkel yang ketiga. Aqram membalas e-mel tersebut 10 minit kemudian dan menetapkan masa dan tarikh untuk pertemuan seterusnya. Farisha membaca e-mel tersebut berulang kali kerana tidak percaya akan bekerjasama dengan syarikat gergasi IT di Malaysia.

Esoknya Farisha dan Rosman ke Soft Lab untuk membincangkan projek mini yang ditawarkan. Farisha berkenalan dengan Dr Maxi, salah seorang yang penting di situ. Farisha diberikan projek bernilai RM1.5 juta dan perlu disiapkan dalam masa empat minggu. Farisha dikehendaki untuk menggodam tiga kelompok komputer Soft Lab.  Farisha berasa agak musykil dengan tawaran tersebut dan meminta masa untuk mempertimbangkan tawaran tersebut.

Farisha turut diperkenalkan dengan saintis yang menjadi pelopor Soft Lab iaitu Karl. Karl terbaring di katil dan dirawat oleh jururawat dalam sebuah bilik khas yang dilengkapkan dengan peralatan seperti sebuah wad hospital. Dr Maxi memberitahu Karl telah 3 tahun menderita kerana sakit kanser usus. Walaupun sakit, Karl masih aktif dengan projek penyelidikan. Projek terbaharunya ialah Dinara iaitu sistem yang akan digodam oleh Farisha.

Bab 4

Farisha berjumpa abangnya untuk meminta pendapat tentang projek mini di Soft Lab. Abangnya memberi galakan supaya dia menyahut cabaran tawaran tersebut. Esoknya Farisha ke Soft lab bersama teman serumahnya Shida yang kebetulan ada temu janji di tempat yang sama.

Farisha disambut oleh Aqram yang kemudiannya menunjukkan pejabat Farisha di Soft Lab. Farisha berasa terharu kerana kelengkapan yang disediakan sungguh di luar jangkaannya. Aqram meneruskan perbualan dengan sesi penerangan tentang projek yang akan dijalankan oleh Farisha. Farisha mulai jelas dengan tanggungjawabnya untuk menggodam dan mengukuhkan sistem Dinara.  Sewaktu minum tengah hari, Shida berjumpa Farisha dan memberitahu dia mendapat tugas untuk menulis rencana dan biografi Dinara dengan bayaran RM40 ribu.

Pada masa itu juga, Aqram, Dr Maxi dan Khairul Anwar bertemu daan berbincang di bilik perbincangan Soft Lab. Khairul memberi laporan tentang Shida dan Aqram memberi laporan tentang Farisha. Dr Maxi terenyum dan berpuas hati. Dr Maxi menyatakan Shida perlu berada bersama-sama Farisha dan mungkin akan menjadi ‘back up’ jika sesuatu terjadi kepada Farisha.




Bab 5

Hari pertama Farisha bertugas di Soft Lab disambut oleh Alia. Alia membawa Farisha ke pejabat dan menerangkan penggunaan alatan di pejabat tersebut. Farisha terlopong mendengar pembentangan Alia yang sangat lancar, tenang dan fasih tentang IT. Farisha berasa kagum dan hairan kerana dia tidak nampak Alia mengerdipkan mata sejak tadi.

Sewaktu makan tengah hari bersama Shida, mereka bertukar-tukar cerita tentang pengalaman hari pertama di Soft Lab. Shida ada menimbulkan cerita tentang Alia yang dirasakannya agak pelik terutamanya kulit muka dan bulu keningnya. Mungkin Alia ada membuat pembedahan plastik. Farisha menegur mulut celupar Shida.

Selepas makan tengah hari, Farisha menyambung sesi perbincangan dengan Aqram. Sepatutnya Aqram menerangkan 25 slaid kepada Farisha, tetapi hanya satu sahaja yang sempat diterangkan. Farisha menimbulkan terlalu banyak persoalan dan berjaya mengesan kelemahan Dinara.  

Bab 6

Farisha terlewat sampai ke pejabat kerana mengalami mimpi ngeri malam tadi. Alia menyambut di muka pintu pejabatnya. Farisha teringat mimpinya tentang gagak, burung hering dan harimau bintang. Bulu romanya merinding tiba-tiba. Dia berasa pening. Alia menawarkan diri untuk mengurut kepalanya. Farisha bersandar di kerusi dan Alia mengurut kepala dan tengkuknya. Rasa mengantuk menguasai Farisha dan akhirnya dia terlelap.

Ketika itu dua jarum mudah lentur keluar dari kepala kerusi dan mula mencucuk kiri dan kanan tengkuknya. Tiba-tiba Farisha terdengar namanya dipanggil. Di bilik yang lain Dr Maxi, Aqram dan Khairul Anwar sedangmemerhatikan sebuah layar besar yang memancarkan imej Farisha  dan Alia. Farisha sedang berkomunikasi secara bawah sedar dengan Karl yang koma. Ketika itu Alia mendengus dan terjerit pekik tidak puas hati. Dr Maxi cuba mententeramkan Alia tetapi tidak berjaya.  Akhirnya Aqram mematikan suis di belakang tengkuk Alia. Serta merta Alia berdiri tegak dan kaku.



Bab 7

Rosman, Shida dan Farisha berbincang di pejabat lama mereka, Secured Shell. Mereka bertiga membincangkan kontrak yang telah disediakan oleh bahagian perundangan   Soft Lab. Shida sangat diperlukan kerana dia mempunyai asas undang-undang. Perbincangan terpaksa ditamatkan kerana Farisha sakit kepala.

Esok malamnya, Farisha ke rumah abang Azraai kerana dijemput untuk makan malam. Farisha menegur abangnya yang kelihatan sedikit kurus. Selepas makan malam, Azraai memberitahu ada dua berita penting yang ingin disampaikan kepasa adiknya. Farisha marah dan akhirnya menangis apabila mengetahui abangnya merahsiakan sakit yang dialaminya iaitu sakit jantung.

 Berita kedua yang lebih menyakitkan Farisha apabila dia mendapat tahu yang dia hanyalah anak angkat. Abang Azraai memberikan satu fail plastik mengandungi dokumen penting tentang latar belakang Farisha. Sepanjang malam Farisha menangis daan tidak dapat melelapkan mata.

Bab 8

Farisha pengsan di pejabat. Alia terpinga-pinga dan cemas. Dia takut jika dia dituduh menyebabkan Farisha pengsan. 10 minit kemudian ambulans tiba dan membawa Farisha ke hospital. Aqram dan Khairul Anwar mendapatkan Shida untuk bertanya jika Farisha sakit. Shida terkejut dan menyatakan Farisha tiada sebarang sakit.

Pesanan ringkas dari Dr Maxi. Doktor yang merawat Farisha meminta  dia rehat di hospital beberapa hari. Aqram menyimpan telefon bimbil di dalam saku. Aqram dan Khairul Anwar duduk diam dan berpandangan sesama sendiri sambil menanti kepulangan Dr Maxi.

Pukul 4.30 petang Shida dipanggil ke pejabat Dr Maxi. Dia ditanya jika tahu apa-apa tentang  penyakit Farisha. Dr Maxi juga bertanya jika Farisha mengandung. Shida tergelak kerana Farisha belum berkahwin dan tiada teman lelaki. Tiba-tiba Shida teringat  projek mini Farisha yang mungkin terlepas ke tangan orang lain.

Bab 9

Dr Maxi berbincang dengan Aqram dan Khairul Anwar. Dr Maxi berpendapat mungkin Farisha keletihan selepas melalui 3 sesi berkomunikasi dengan Karl. Mereka mula memikirkan Plan B. Shida akan menggantikan tempat Farisha. Tidaka mudah untuk Dr Maxi membuat keputusan kerana Shida  tidak sebagus Farisha.

Ada banyak prosedur perlu dilakukan untuk menggantikan tempat Farisha. Masalah utama ialah cara mereka hendak meyakinkan Karl untuk berkomunikasi dengan Shida. Karl telah menulis amanah, jika berlaku apa-apa kepadanya, hanya Farisha sahaja yang boleh menyiapkan tugasannya. Mikrocip yang tertanam di tubuh Farisha telah direka khas oleh Karl untuk menyalurkan pemikirannya kepada wanita itu. Karl menggunakan kaedah itu sebagai satu kaedah telepati supaya dia boleh berhubung dengan Farisha.

Di rumah, Shida mula menyelongkar peti ais. Dia mencari jika ada sebarang ubat-ubatan yang dimakan oleh Farisha. Hanya dua botol ubat gastrik. Shida tergerak untuk masuk ke bilik Farisha dan mencari jika Farisha ada menyembunyikan ubat di dalam bilik. Tiba-tiba Shida terpandang almari baju. Gerak hatinya kuat untuk membukanya. Perasaan bersalah menerpa. Dia tidak sepatutnya menceroboh bilik Farisha tetapi Shida terpaksa. Dia ternampak fail plastik yang diikat dengan tali berwarna coklat. Isi fail itu sangat mengejutkan Shida.

Bab 10

Pagi itu di arkib Soft Lab, Shida semakin teruja untuk mengetahui kisah Medina. Dia semakin leka membaca buku laporan nipis bertajuk ‘Medina’. Shida tertarik untuk mengkaji tentang nama ini kerana dia mendapati nama Medina telah dipadamkan daripada kebanyakan laporan kerja penyelidikan. Acap kali Medina menjadi pembantu penyelidik kepada Karl. Ternyata seluruh Soft Lab dibayangi oleh Karl. Shida mengeluh.

Shida tidak perasan Alia datang ke belakangnya kerana asyik membaca. Alia memberitahu Shida yang Dr Maxi memanggilnya ke bilik Makmal B. Shida terkejut tetapi tidak bertanya soalan lagi. Apabila sampai di makmal, Aqram dan Dr Maxi sudah menunggu. Belum sempat Shida bertanya apa-apa, Alia menekupkan kedua-dua belah tangannya ke muka Shida. Selepas itu Shida tidak ingat apa-apa lagi.

Shida tersedar apabila Aqram mengejutkannya daripada tidur dan menyatakan sudah jam 2 petang. Aqram menyuruh Shida makan tengah hari dan akan berjumpa semula pukul 2.30 petang di pejabat Farisha. Shida tidak pasti adakah benar Alia ada memanggilnya tadi ataupun dia bermimpi.  

Petang itu, di bilik Farisha. Shida mendapati Aqram, Dr Maxi dan Khairul Anwar sudah menunggunya. Dr Maxi memulakan penerangan dan meminta Shida menggantikan tempat Farisha. Shida terkejut kerana dia bukanlah seorang yang pakar dalam bidang teknikal. Dr Maxi menenangkan Shida dan memintanya hanya mengikut arahan. Shida akan dibawa ke alam bawah sedar untuk berkomunikasi dengan Karl. Situasi yang mereka saksikan adalah agak aneh. Pergerakan tubuh Shida menunjukkan seolah-olah dia mengalami mimpi ngeri. Suis dimatikan dan sesi ditamatkan apabila Shida mula membantingkan tubuhnya ke kiri dan ke kanan.

Bab 11

Azraai melawat Farisha di hospital. Farisha ingin tahu nama ibu kandungnya. Ibu kandungnya bernama Marilyn, wanita Portugal. Tiada rekod tentang nama bapa kandungnya. Farisha bersyukur kerana dia diserahkan dan membesar dalam keluarga Islam.

Perbualan dua beradik terganggu apabila Farisha mengatakan dia bertemu ibunya dalam tidurnya. Azraai terkejut lantas menyatakan Farisha dalam bahaya dan perlu dibawa keluar segera. Farisha ingin bertanya lanjut tetapi dia tahu abangnya tidak suka dibangkang atau dipersoalkan. Azraai membawa adiknya jauh dari Kuala Lumpur. Mungkin ke Kulai.

Dalam perjalanan, Azraai menerangkan sebab-sebab dia tidak membenarkan Farisha bertemu dengan ibunya. Ibu bapa Farisha merupakan orang yang sangat taksub dengan sains dan sanggup mengorbankan anak sendiri demi sains.

Pada masa yang sama di pejabat Farisha, Shida sedang meronta-ronta dan berguling-guling di lantai. Nafasnya kencang dan matanya terbelalak beberapa ketika. Karl telah menguasai jasad Shida. Perdebatan berlaku antara Karl dengan Dr Maxi, Aqram dan Khairul Anwar. Karl tidak mahu Shida menggantikan tempat Farisha. Farisha perlu dibawa segera ke Soft Lab.

Sementara itu, dalam perjalanan Farisha mengaduh kesakitan. Dia minta abangnya mencara ubat di dalam begnya. Ketika itu juga cermin kereta mereka diketuk oleh dua lelaki berkaca mata hitam.  Azraai terpaksa membuka cermin tingkap apabila mereka mengacukan muncung pistol ke muka Azraai. Dua lelaki itu membawa lari Farisha.

Bab 12

Azraai mulai cemas apabila Farisha dilarikan. Dia menghubungi Rosman untuk membantunya. Azraai tidak sempat untuk menjelaskan situasi sebenar kepada Rosman yang kebingungan. Mereka terus memecut kereta menuju ke Seremban.

Dua lelaki yang menculik Farisha ialah Farid dan Amin. Mereka berdua merupakan orang suruhan Marilyn, ibu kandung Farisha. Dalam kereta, Farisha masih pengsan. Marilyn cuba berhubung dengan anaknya secara bawah sedar. Perbualan itu dirakamkan. Dalam perbualan itu, Farisha meronta-ronta dan tidak mahu berjumpa dengan ibunya.

Sementara itu, di pejabat Farisha keadaan Shida agak terkawal. Namun ingatannya terganggu dan bercampur aduk dengan ingatan Karl. Karl telah memindahkan ingatannya selama 2o tahun ke dalam otak Shida. Alia berbual-bual dengan Shida. Alia dahulunya ialah isteri Karl bernama Rusmina. Dia menjadi isteri derhaka kerana tidak mahu mengikut Karl meninggalkan agama. Karl menyeksanya sehingga cacat. Walau bagaimanapun, Rusmina tidak dibiarkan mati. Sebaliknya Rusmina diberikan nyawa baharu, wajah baharu dan personaliti baharu yang dikenali sebagai Alia.  



Bab 13

Dr Haris, doktor yang merawat Karl memaklumkan keadaan Karl kurang stabil. Aqram meminta beberapa minit lagi untuk menamatkan sesi komunikasi bawah sedar antara Shida dan Karl. Alia menyedari Karl telah menguasai tubuh Shida. Karl ( dalam tubuh Shida ) minta agar ikatan tangannya dibuka kerana dia telah mendapat ilham untuk menghapuskan virus yang menyerang Dinara. Jari jemari Shida pantai menari-nari menaipkan beberapa baris program di terminal kawalan Dinara. Belum selesai tugasnya, tiba-tiba datang seorang wanita dan dua lelaki berdiri di muka pintu. Medina?! Dr Maxi dan Alia terkejut.

Shida menghentikan tugasnya menyahaktif virus dan terpaksa berdepan dengan Medina. Farisha yang tidak tahu apa telah berlaku, terkejut dengan suara Shida yang berubah. Farisha turut tertanya-tanya kenapa orang di pejabat itu memanggil ibunya ‘ Medina’. Medina @ Marilyn membuka rahsia 26 tahun lalu. Karl ialah bapa kandung Farisha. Sejak Farisha kecil, bapanya telah menanam implan beberapa kali di dalam tubuh Farisha tanpa ubat bius. Farisha juga telah diberikan berjenis-jenis ubat untuk menjadikannya kanak-kanak genius. Kaki Farisha longlai apabila mengetahui kebenaran asal usul dirinya.

Dalam keadaan tegang itu, Dr Maxi menerima panggilan daripada Dr Haris yang mengatakan Karl sedang nazak. Aqram dan Khairul Anwar menamatkan sesi Shida dan Karl. Medina membentak agar diberikan peluang bercakap dengan Karl. Dia tidak tahu Karl sedang nazak.

Semua orang bergegas ke rumah agam Karl, di Puchong. Keadaan semakin genting, Farisha minta penjelasan daripada Aqram.


Bab 14

Farisha berdepan dengan saat-saat yang paling hiba. Dia akan bertemu dengan ayah kandungnya dalam keadaan yang tidak dijangka. Karl terbaring dan aktiviti otaknya semakin menurun.  Setiap orang diberikan peluang untuk bertemu secara berseorangan dengan Karl. Tepat jam 7 malam, Karl menghembuskan nafasnya. Alia meraung, Medina hanya teresak-esak. Farisha hanya terkedu.

Wasiat terakhir Karl, agar mayatnya dibakar dan abunya ditabur di Selat Melaka. Selepas Subuh hari Ahad, upacara itu disempurnakan oleh berpuluh-puluh orang pekerja Soft Lab. Farisha berasakan cinta Medina dan Karl sungguh aneh, walaupun bersaing dan salin mencabar tetapi Medina masih sayang akan Karl.

Dalam perjalanan pulang dari upacara itu, Aqram beriringan dengan Shida dan Farisha. Tetapi Aqram dan Farisha berasa pelik dengan sikap Shida. Dia mula berfalsafah  seperti Karl. Aqram berasa sesuatu yang tidak kena kerana tiba-tiba Shida ketawa panjang dan garau. Aqram merenung tepat ke mata Shida dan mendapati Karl berada di dalam tubuh Shida. Farisha berlari ketakutan dan mendapatkan Medina.


Tema

Persaingan dalam dunia sains.

Novel ini mengisahkan sebuah persaingan dalam penciptaan sains dan teknologi. Pada awalnya Karl dapat menerima Medina@Marilyn sebagai pembantu penyelidiknya. Tetapi apabila dia berasakan Marilyn lebih hebat daripadanya, dia mula merancang sesuatu untuk melenyapkan pesaingnya itu. Marilyn dijadikan bahan uji kaji sehingga akhirnya dia menjadi gila. Walaupun dikatakan gila oleh kebanyakan orang, Marilyn tetap meneruskan dendamnya untuk menjatuhkan Karl. Dia meneruskan ciptaan sainsnya dan akhirnya dapat menyebarkan virus ke dalam sistem komunikasi terbaharu yang dihasilkan oleh Karl iaitu Dinara






16 ulasan:

  1. Terima kasih ye cg! Nasib ada sinopsis kat sini, kat kedai belum jual lagi buku rujukan. Terima kasih banyak cg latifah!

    BalasPadam
  2. Terima kasih banyak cg latifah sbb buat sinopsis novel ni.

    BalasPadam
  3. terima kasih ^^ . sangat membantu

    BalasPadam
  4. Mohon izin copy ya...

    BalasPadam
  5. Mohon izin copy ya

    BalasPadam
  6. mohon d share dgn murid sy ya..terima kasih:-)

    BalasPadam
  7. Mudah-mudahan perkongsian yang sedikit ini dapat membantu anak-anak pelajar tingkatan 4 2015 ... salam satu misi dari cikgu L

    BalasPadam
    Balasan
    1. cg.boleh ajar saya tak ataupun memberi sedikit tips untk mencari isi2 penting mengikut bab dan senaraikan dalam bentuk peta minda?saya kurang pandai lah..

      Padam
  8. Assalamualaikum cikgu..mohon share sinopsis ini yer..tq

    BalasPadam
  9. cg.saya harap cg.boleh membantu saya.ini berkaitan dengan novel di sebalik dinara..saya kurang cekap dalam mengeluarkan isi penting dalam bab7 boleh cg.membantu saya sedikit?

    BalasPadam
  10. Assalamualaikum Cikgu..mohon izin copy.. Terimakasih...

    BalasPadam
  11. Assalamualaikum cikgu, izinkan saya copy ye.. Terima kasih.

    BalasPadam
  12. terima kasih
    sinopsis yang membantu menyelesai kerja rumah

    BalasPadam
  13. assalamualaikum,cikgu mohon share ye sinopsis nye untuk persediaan awal bagi SPM 2016. Mohon halal ye ilmu nye cikgu. Terima kasih.

    BalasPadam