Rabu, 20 Januari 2010

JENIS-JENIS PENDAHULUAN KARANGAN

1. Contoh Pendahuluan Jenis Pantun
Soalan:
Anda telah dipilih mewakili kelas dalam pertandingan menulis esei sempena Minggu Keusahawanan yang dianjurkan oleh Persatuan Ekonomi sekolah anda. Tajuk esei yang ditetapkan ialah “Faedah Berjimat Cermat”.Tulis esei anda itu selengkapnya.

Tikar pucuk tikar mengkuang,
Alas nikah raja Melayu;
Ikan busuk jangan dibuang,
Buat perencah si daun kayu.

Pantun warisan di atas mengingatkan kita supaya tidak membuang ikan yang sudah busuk. Sebaliknya, suri rumah yang kreatif seharusnya memanfaatkan ikan busuk itu untuk dijadikan hidangan yang istimewa. Dengan sentuhan yang bijak, ditambah pula dengan pelbagai ramuan termasuk ulam-ulaman, ikan busuk itu akan menjadi makanan yang enak untuk dinikmati. Demikian, maksud secara literal pantun empat kerat di atas. Secara tersiratnya, pantun tersebut mengingatkan kita agar sentiasa berjimat-cermat dalam kehidupan amnya, dan perbelanjaan seharian khususnya. Tambahan pula, agama Islam sendiri melarang umatnya bersikap boros lantaran pemboros ialah sahabat syaitan.

2. Contoh pendahuluan jenis seni kata lagu
Soalan:
Pelbagai langkah telah diambil oleh pihak kerajaan untuk memajukan sektor pertanian di samping meningkatkan taraf hidup golongan petani. Tulis sebuah rencana tentang sumbangan sektor pertanian terhadap ekonomi negara untuk dimuatkan dalam akhbar tempatan.

Burung yang berkicau
Air mengalir tenang
Sejuk mata memandang
Damai mempesonakan
Padi melambai-lambai
Gadis di tepi bendang
Walau panas membahang
Tetap manis tersenyum riang

Lagu ’Desa Tercinta’ dendangan Nora yang dikategorikan dalam genre muzik irama Malaysia ini sangat popular sekitar tahun 2000 yang lalu. Ilustrasi di dalam lagu tersebut menunjukkan betapa harmoni hubungan antara alam dengan insan. Lebih jauh lagi, lagu itu berusaha memberikan gambaran tentang keindahan sebuah kampung tradisional di negara kita. Kampung tersebut masih mengekalkan sektor pertanian, khususnya penanaman padi sebagai sumber utama pendapatan penduduknya. Walau bagaimanapun, gambaran seumpama itu hanya indah dan terdapat di beberapa perkampungan di negara kita, sedangkan desa yang lainnya sudah dicalar oleh projek pembangunan yang menggila. Di sisi yang lain, sektor pertanian sesungguhnya masih amat diperlukan untuk terus membangunkan negara. Lantaran itu, apakah langkah-langkah proaktif yang wajar dilaksanakan bagi memajukan sektor pertanian di negara ini?


3. Contoh Pendahuluan Jenis Cerita
Soalan:
Bencana alam seperti gempa bumi, banjir lumpur dan tsunami telah melanda beberapa buah negara sejak belakangan ini. Mala petaka ini memerlukan kerjasama sejagat bagi membantu mangsa-mangsa yang terlibat. Tulis sebuah rencana mengenai peranan Malaysia dalam meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa bencana tersebut.

Mbah Maridjan. Lelaki yang berusia 79 tahun ini amat dikenali namanya di Kanahreja Dusun Palemsari Kabupatin Sleman, Jawa Tengah. Beliau mengaku sebagai pemegang kunci Gunung Merapi yang akan memuntahkan lahar merahnya bila-bila masa sahaja. Beliau yang tinggal tiga kilometer dari kawah lahar yang sedang mendidih itu mengaku mendapat perintah daripada Almarhum Sultan Hamengku Buwono IX yang melantiknya sebagai juru kunci gunung itu beberapa waktu yang silam. Pengaruh Mbah Maridjan sangat kuat dalam kalangan penduduk di desanya sehingga beliau dan pengikut-pengikutnya tidak akan berganjak dari kawasan itu walaupun dipaksa. Persoalannya, apakah yang akan terjadi kepada seluruh penduduk di kawasan itu apabila Gunung Merapi itu memuntahkan lahar merahnya? Apakah pula peranan negara ini dalam meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa bencana alam seperti itu, di samping bencana yang lain seumpama tsunami, banjir lumpur dan taufan?

4. Contoh pendahuluan jenis kata-kata pembesar
Soalan:
Amalan membaca harus dipupuk dalam kalangan rakyat negara ini sejak mereka kecil lagi, seperti kata peribahasa ’melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Hal ini bertepatan dengan hasrat kerajaan yang bertujuan untuk melahirkan masyarakat berilmu yang maju dan berdaya saing. Bincangkan usaha-usaha untuk memupuk minat membaca dalam kalangan rakyat negara ini.

”Setiap seorang daripada kita mesti memberikan nilai tambah kepada diri masing-masing.”
Demikian Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah menukil dalam salah satu ucapan beliau sekitar pertengahan tahun 2005 yang lalu. Ungkapan keramat itu sesungguhnya membawa maksud bahawa harga seseorang dalam pasaran pekerjaan akan bertambah andai individu itu berusaha mendapatkan keterampilan yang lain untuk dirinya. Selain melalui proses pembelajaran secara formal, nilai diri akan dapat ditambah dengan banyaknya menerusi amalan membaca. Cerdik pandai sering menganggap membaca sebagai jambatan ilmu. Persepsi ini terjelma lantaran amalan membacalah yang dapat menghubungkan antara manusia dengan segala ilmu dan pengetahuan. Oleh hal yang demikian, pelbagai usaha perlu dilaksanakan bagi memupuk amalan membaca dalam kalangan rakyat negara ini.


5. Contoh Pendahuluan Jenis Statistik
Soalan:
Kadar kemalangan jalan raya di negara dianggap antara yang tertinggi di dunia. Setiap hari, ada sahaja berita tentang kemalangan jalan raya yang disiarkan menerusi media massa.
Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini.

Pada hari pertama Ops Sikap XII 2007 dilaporkan bahawa 921 kemalangana telah berlaku di negara ini. Jumlah tersebut meliputi 24 kemalangan maut yang membawa kepada 25 kematian. Ketua Polis Negara yang melaporkan data ini menyatakan rasa tidak puas hati beliau akan situasi tersebut. Hal ini kerana kebanyakan kemalangan berlaku disebabkan kecuaian pengguna jalan raya yang kurang mementingkan keselamatan. Para pengguna dianggap tidak menghargai diri sehingga sanggup menggadai nyawa semata-mata kerana berhasrat untuk tiba di destinasi masing-masing dengan cepat. Oleh hal yang demikian, usaha-usaha yang lebih mapan wajar dilaksanakan bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini.


6. Contoh Pendahuluan Jenis Berita Akhbar
Soalan:
Sistem pengangkutan di negara ini telah mengalami perubahan yang amat ketara. Berbanding dengan dua puluh tahun yang lalu, kini pelbagai jenis sistem pengangkutan moden telah disediakan bagi kemudahan para pengguna. Berikan pendapat anda tentang sistem pengangkutan moden di negara ini.

‘Kerajaan galak mohon permit teksi eksekutif’. Demikian tajuk berita yang terpapar di muka 11 akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 17 Jun 2007 yang lalu. Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi selepas beliau merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Berjasa Negeri Sembilan Berhad kali ke-9 di Seremban. Teksi eksekutif merupakan sistem pengangkutan awam yang menggunakan teksi yang lebih besar dan selesa, tetapi tambangnya lebih tinggi berbanding dengan teksi bajet. Penggunaan teksi eksekutif dicadangkan apabila usia kenderaan sedia ada mencapai tempoh tujuh tahun. Selain teksi eksekutif, terdapat beberapa jenis sistem pengangkutan moden di negara ini, termasuklah monorel, keretapi LRT dan lain-lain lagi.

15 ulasan:

  1. cikgu blh tulis karangan pendahuluan pengalaman beraya tahun baru cina

    BalasPadam
  2. maaf, cikgu tak terperasankan mesej anda... cikgu pun bercuti balik kampung. boleh... awak tulislah karangan itu, akan cikgu tanda nanti.

    BalasPadam
  3. cikgu blh tulis pendahuluan karangan kemalangan jalan raya -jenis definisi,blh x sebab saya x tahu nk buat mcm mana.

    BalasPadam
  4. saya minta izin menyalin untuk dibuat sebagai rujukan.

    -terima kasih-

    BalasPadam
  5. cikgu boleh tulis contoh-contoh pendahuluan karangan jenis peribahasa, cereka dan sejarah tokoh...??

    BalasPadam
  6. terima kasih kerana telah memberi contoh yang baik

    BalasPadam
  7. terima kasih.., ckg boleh tak beri pendahuluan karangan jenis fakta,pendapat n sejarah..?

    BalasPadam
  8. cikgu saye tidak tahu bagaimana hendak membuat karangan tentang kanak-kanak maut ketika melintas jalan raya,boleh cikgu tolong saya membuat karangan tersebut??

    BalasPadam
  9. thanks a lots cikgu:]

    BalasPadam
  10. cikgu....
    adakah beberapa pendahuluan karangan boleh dijadikan pembuka bicara bagi perdebatan sesuatu usul?

    BalasPadam
  11. very nice blog

    BalasPadam
  12. Saya minta izin nak salin sebagai panduan

    BalasPadam
  13. minta izin guna untuk pelajar.tq.

    BalasPadam
  14. hye cikgu cantik la. kekalkan prestasi cikgu

    BalasPadam
  15. Cikgu bleh buat pendahuluan tentang bahaya merokok..tingkatan 4

    BalasPadam