Cari Blog Ini

Sabtu, 30 Januari 2010

titipan akhir tahun 2009 - catatan perjalanan terpilih

Assalammualaikum wbh... terima kasih atas titipan catatan perjalanan cuti sekolah anak-anak didik cikgu... seronok membacanya, pasti percutian anak-anak didik cikgu begitu bermakna. walaupun ada antara kalian yang hanya menghabiskan saat cuti di rumah sahaja, namun pastinya ada pengalaman berharga yang dikecapi saat bersama keluarga tersayang...

Di sini, cikgu sertakan 3 karangan yang terbaik :
1. Surat daripada Hariz Haron , 4IR

7 Jalan Bertam 12,
Taman Daya,81100 Johor Bahru,

Johor.
26 Disember 2009


Kehadapan Cikgu Latifah yang kini berada di S.M.K Agama Johor Bahru , semoga cikgu sihat disamping keluarga tersayang. Saya di sini sihat-sihat belaka bersama keluarga yang di cintai.

Cikgu,

Saya telah menerima surat cikgu pada 28 Disember yang lalu. Saya sungguh terkejut kerana cikgu masih lagi teringatkan anak-anak murid walaupun cuti semester akhir tahun sudah bermula. Saya juga berbangga kerana mempunyai guru seperti cikgu kerana sanggup meluangkan masa untuk menulis surat kepada anak-anak murid yang tersayang untuk memberi nasihat-nasihat yang berguna semasa cuti dan membekalkan buah tangan yang menarik untuk anak-anak yang tersayang.

Untuk pengetahuan cikgu, pada 13 Disember yang lalu, saya dan keluarga saya telah pergi bercuti ke sebuah tempat peranginan yang tidak asing lagi iaitu Tanah Tinggi Cameron. Sebelum saya ke sana , saya dan keluarga menginap satu malam di rumah saudara saya di Cheras, Kuala Lumpur . Kami bertolak pada jam dua petang dari rumah pada 12 Disember. Perjalanan yang mengambil masa selama tiga jam telah memaksa kami untuk berhenti rehat dan rawat di restoran jejantas Ayer Keroh. Kami berhenti selama satu jam untuk merehatkan diri. Kemudian, kami meneruskan perjalanan ke destinasi yang ditujui. Setibanya kami tiba di plaza tol Sungai Besi, kami terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas selama satu jam. Tepat jam enam petang, kami sekeluarga selamat tiba di rumah saudara saya. Kami menurunkan barang dan bermalam di situ dan bersedia untuk meneruskan perjalanan jauh pada hari esok.

Pada keesokkan harinya, seawal jam lima pagi rumah saudara saya telah digemparkan dengan bunyi jam loceng. Semua orang bangun dan bersiap-siap untuk menunaikan solat subuh secara berjemaah dan bersedia untuk bertolak ke Tanah Tinggi Cameron. Saya sungguh teruja kerana ini kali pertama saya akan menjejakkan kaki di sana . Perjalanan untuk ke sana mengambil masa yang lama kerana kami terpaksa mendaki bukit. Semasa perjalanan kami ke sana , kami sempat berhenti di kawasan rehat dan rawat Tapah. Ayah saya mengambil peluang ini untuk merehatkan badan bagi memberi penumpuan semasa memandu nanti kerana perjalanan masih jauh. Kami membeli makanan dan minuman sebagai alas perut. setelah itu, kami meneruskan perjalanan ke destinasi yang ditujui. Saya melihat sekeliling untuk melihat alam semula jadi. Saya sungguh teruja dengan ciptaan tuhan yang sungguh indah dan tiada tandingan. Saya juga dapat melihat air terjun semula jadi ketika dalam perjalanan. Setelah beberapa jam kami mendaki bukit dan menempuh jalan berliku, akhirnya kami tiba di Tanah Tinggi Cameron. Saya sungguh teruja dengan udara yang segar dan nyaman serta rasa sejuk walaupun ketika itu jam menunjukkan dua belas tengah hari. Kami terus ke hotel untuk check-in dan meletakkan barang-barang di situ. Selepas itu, kami berehat sebentar di dalam bilik. Sungguhpun tiada penghawa dingin yang di pasang, saya tetap berasa sejuk kerana cuaca di luar memasuki bilik tersebut. Saya merasakan diri saya seperti berada di luar negara. Setelah selesai merehatkan diri dan melakukan persiapan diri, kami sekeluarga keluar dari hotel untuk berjalan-jalan. Destinasi pertama yang kami tujui ialah ‘Kea Farm”. Ia merupakan puncak gunung dan paling tertinggi. Kami singgah di kedai yang berada di tepi-tepi jalan. Pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran segar yang dijual di situ. Saya sungguh teruja kerana sayur-sayuran dan buah-buahan yang dijual ternyata segar-segar belaka. Ibu saya membeli sedikit sayur-sayuran untuk dimakan di hotel kerana kami telah membawa ‘multi cooker’ untuk merebus sayur-sayur tersebut. Setelah kami puas berjalan di sekitar, kami pergi pula ke tempat lain. Kami pergi ke Brinchang. Di situ kami berjalan-jalan di sekitar gerai-gerai yang ada. Kami turut membeli makanan untuk makan di hotel nanti. Saya membeli nasi ayam panggang kerana kellihatan sungguh menarik perhatian saya. Kemudian, kami pulang ke hotel setelah membeli apa-apa yang patut.

Setibanya di hotel, kami berehat di bilik untuk merehatkan seluruh anggota badan setelah penat berjalan selama satu hari. Kami menjamu selera pada waktu malam. Ibu saya memasak sup sayur yang di beli tadi. Kami makan dengan penuh nikmat kerana dapat menikmati sayur segar dengan udara yang nyaman. Setelah itu, saya keluar secara bersendirian ke kedai yang berhampiran untuk melihat apa yang dijual. Dalam pemerhatian saya, ramai juga pelancong-pelancong dari luar negara yang datang ke ‘ Cameron Highland ’ ini. Setelah penat berjalan sekeliling, saya pergi minum di sebuah kedai yang berhampiran. Di situ, saya sempat berbual dengan dua orang pelancong yang datang ke sini. Mereka berasal dari Belanda. Apabila di tanya mengapa mereka datang ke sini, mereka menjawab mereka hendak menghirup udara segar. Selain itu, mereka juga ingin menikmati kejadian alam semulajadi yang ada di Malaysia . Mereka juga berbangga dapat melihat pokok-pokok yang pelbagai bentuk selain keramahan rakyat Malaysia seperti saya. Saya terleka berbual tentang negara masing-masing dengan mereka sehingga tidak sedar semakin lewat malam. Setelah saya sedar semakin lewat malam, saya meminta diri dan mengucapkan selamat tinggal kepada mereka. Saya sungguh berbangga dengan Malaysia kerana pelancong-pelancong daripada luar datang ke sini hanya semata-mata hendak melihat keindahan alam semulajadi yang ada di sini. Setibanya saya di hotel, saya terus bersiap-siap untuk tidur dan bersedia untuk hari esok.

Keesokkan harinya, pagi-pagi lagi saya sudah terjaga kerana kesejukkan yang melanda diri. Selepas solat subuh, saya keluar untuk berjalan-jalan. Alangkah terkejutnya saya apabila saya hendak bercakap tetiba mulut saya keluar asap. Saya sungguh teruja kerana ini kali pertama saya dapat mengeluarkan asap dari mulut. Setelah itu, saya pulang ke bilik dan berehat-rehat. Setelah itu, kami sekeluarga pergi bersarapan di lobi hotel. Kami di jamukan dengan pelbagai makanan yang enak-enak. Inilah peluang saya untuk melantak makanan yang ada sepuas-puasnya. Setelah semuanya selesai, kami pulang ke bilik dan mengemas barang-barang yang ada untuk pulang. Setelah siap di kemas, saya menyusun barang-barang kedalam kereta. Tepat jam 10.00 pagi, kami ‘check-out’ hotel. Kami pulang mengikut jalan Tapah. Jalan ini lebih berliku-liku sehingga menyebabkan saya sedikit pening kepala. Tetapi, saya berpeluang untuk melihat ladang teh dan air terjun latar Iskandar. Kami tidak sempat singgah kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan. Kami hanya dapat melihat dari dalam kereta sahaja. Tetapi saya tetap teruja kerana dapat melihat sesuatu yang saya tidak dapat lihat sebelum ini. Kami juga sempat berhenti untuk makan durian. Walaupun di Johor banyak, tetapi durian ini berbeza sedikit kerana ia jenis hutan. Rasanya sungguh sedap sekali bak kata pepatah ‘sekali cuba pasti nak lagi’. Kemudian, setelah semua selesai, kami terus pulang kerumah saudara di Kuala Lumpur .

Inilah kisah saya semasa cuti apabila pertama kali berada di Cameron Highland . Apa yang saya dapat ialah menikmati udara segar dan nyaman yang tiada di bandar-bandar dan melihat kejadian alam semulajadi ciptaan yang maha esa. Saya akan menyimpan dalam nostalgia dan saya berharap agar satu hari nanti saya berpeluang untuk pergi ke tempat-tempat yang menarik lagi. Saya yakin cikgu juga mempunyai pengalaman-pengalaman yang menarik semasa cuti ini untuk dikongsi bersama saya. Sekian sahaja daripada saya.

Yang benar,
Hariz

2. Surat daripada Nurul Shuhada Hamidon
No.54,Jalan Durian 1,
Taman Kota Masai,
81700 Pasir Gudang,
Johor.

Kehadapan guruku,Cikgu Latifah bt Tarkep yang kini sedang menghabiskan masa cuti persekolahan bersama suami dan anak-anak.Apa khabar cikgu dan keluarga?Diharapkan semuanya berada dalam keadaan sihat dan sejahtera.Alhamdulillah,saya di sini masih diberi nikmat kesihatan oleh Allah taala.

Sepanjang cuti persekolahan ini,memang banyak aktiviti yang telah saya lakukan. Bukan sahaja aktiviti di dalam rumah,malahan juga di luar rumah.Bukan sahaja aktiviti secara berseorangan,malahan juga aktiviti bersama keluarga dan kawan-kawan.Namun,
walau banyak mana pun aktiviti yang saya jalani sepanjang cuti ini,saya masih menyimpan tiap bait kata terakhir cikgu sebelum saya meninggalkan kelas. “Jaga keselamatan diri!”InsyaAllah saya akan sentiasa berwaspada.

Daripada kebanyakan aktiviti yang saya jalani,terdapat dua aktiviti menarik yang saya ingin ceritakan kepada cikgu.Yang pertama adalah pengalaman saya menghadiri kem yang bertema “Aku Hadir Sebagai Pemimpin”.Kem ini adalah di bawah pengelolaan majalah Haluan dan kem ini telah diadakan di Tiram Indah Village pada 1-3 Disember.
Pada mulanya, saya memang berhasrat untuk menghadiri kem ini.Malang tidak berbau,saya menghadapi masalah pengangkutan pada saat akhir.Namun,nasib saya tidak terus dirundung malang kerana ada jiran yang ingin menumpangkan saya.Alhamdulillah.

Sewaktu tiba di Tiram Indah Village,saya digesa agar masuk ke dewan pendaftaran kerana saya adalah antara peserta yang terakhir sampai di situ.Saya berasa agak janggal kerana kebanyakan mereka yang hadir sudah saling mengenali antara satu sama lain.Namun,kehadiran saya tidaklah terasa terlalu asing kerana peserta-peserta yang hadir begitu ramah dan ringan mulut.Di sini,saya bukan sahaja memperoleh kawan baru,malahan saya berjaya membina keyakinan dalam diri untuk hidup di tempat orang.Bak kata pepatah, “lain ladang,lain belalang,lain lubuk,lain ikannya.”

Sepanjang program ini,saya didedahkan dengan pelbagai kepentingan dan tugas seorang pemimpin.Ceramah Ustaz Izra’I dalam slot “Aku adalah Pemimpin” membuka mata saya tentang betapa pentingnya sumbangan daripada anak-anak muda masa kini untuk membangunkan semula Islam yang kini begitu mudah dipermainkan oleh kaum kafirin.Betapa pentingnya kesedaran dalam diri pemuda-pemudi Islam untuk membantu menyelamatkan saudara-saudara seIslam yang telah sekian lama menderita. Sesungguhnya mereka semua menantikan ketibaan waktu kebangkitan Islam dan kebangkitan itu tidak akan pernah terjadi andai semua pemimpin Islam tidak berganding bahu.

Pada hari kedua program,telah diadakan pertandingan debat antara setiap kumpulan dalam slot “Bijak berhujah-Siapakah yang Layak?”.Pusingan pertama membawa tajuk “Nasi Lemak lebih baik daripada Roti Canai”.Saya dan dua orang lagi peserta dari kumpulan saya telah dipilih untuk mewakili kumpulan.Pada mulanya,saya bagaikan kambing dihela ke air kerana saya bukanlah seorang yang berpengalaman dalam perdebatan.Namun,apabila difikirkan tiada ahli lain yang mahu bertanding,akhirnya saya menyahut cabaran ini.Saya memanfaatkan setiap kemahiran yang pernah saya gunakan semasa ULBS Bahasa Melayu untuk pertandingan ini dan akhirnya kumpulan saya berjaya mara ke pusingan seterusnya.Pusingan kedua membawa tajuk “Penggunaan Pensil Lebih Baik daripada Penggunaan Pen dalam Peperiksaan.”Namun,kumpulan saya tidak berjaya melepasi pusingan ini kerana terdapat seorang peserta daripada kumpulan lawan yang memang merupakan wakil debat sekolah.Walaupun gagal, saya berasa cukup puas kerana berpeluang mencuba dan menunjukkan bakat saya.

Kem ini benar-benar meninggalkan kesan yang baik dalam diri saya di samping membantu saya mengisi masa lapang dengan perkara yang berfaedah.

Aktiviti menarik kedua yang telah saya lalui sepanjang cuti ini ialah semasa saya dan keluarga pulang ke kampung ibu di Negeri Sembilan.Kepulangan ini cukup bermakna kerana kepulangan ini mempertemukan semula dua keluarga yang telah lama terpisah.Saya telah bertemu saudara-mara saya yang tinggal di Perak.Pertemuan seperti ini bukan selalu terjadi kerana masing-masing sibuk dengan kehidupan masing-masing dan saudara-mara saya itu pula merupakan keluarga yang hidup serba kekurangan.Jadi, bukanlah sesuatu yang mudah untuk mereka mengumpul wang bagi memenuhi kos untuk pulang ke kampung.

Kami telah memenuhi masa lapang yang ada dengan berkunjung ke jeram di Lenggeng,Negeri Sembilan untuk bermandi-manda.Suasana menghijau di jeram ini menghadirkan perasaan tenang dan nyaman kepada setiap pengunjung.Airnya yang sejuk dan dingin pula menghilangkan rasa penat yang menjalar akibat perjalanan jauh.Saya dan keluarga tidak melepaskan peluang untuk mandi dan bergambar bersama saudara-mara yang lain.

Apa yang lebih menarik bagi saya adalah ketika saya cuba menghilangkan rasa segan untuk berbual bersama anak-anak Pakngah saya,memandangkan mereka yang datang semuanya lelaki.Namun,perasaan segan itu cuba saya tepis kerana kami adalah saudara.Sekiranya hari ini kami segan untuk bercakap antara satu sama lain,dibimbangi apabila dewasa kelak,kami juga segan untuk bertandang ke rumah masing-masing.Itulah pesanan yang sering diucapkan oleh ibu dan ayah saya.

Baiklah,sampai di sini sahaja coretan daripada saya.Diharap cikgu berasa senang hati dengan setiap aktiviti yang saya jalani sepanjang cuti ini.Semoga bertemu di lembaran yang lain.Sekian,wassalam.

Yang Benar,
Shuhada
(4IR)

3. Surat Norlin FarhanaNORLIN FARHANA BINTI RAFIE
4 IBNU RUSYD

91 Jalan Kempas Indah 1/5, Taman Kempas Indah,
81300 Johor Bahru,
Johor
27 Disember 2009

Menemui Cikgu Latifah binti Tarkep, semoga berada dalam kondisi sihat sejahtera di sisi ahli keluarga yang tercinta. Ketika saya menulis surat ini,saya dalam keadaan sihat sejahtera, diharapkan cikgu sekeluarga lebih-lebih lagi.

Cikgu yang disayangi
Sudah menjadi lumrah cuti sekolah,para ibu bapa pasti mengambil kesempatan itu untuk membawa anak-anak mereka melawati tempat-tempat menarik sama ada di dalam mahupun luar negara. Begitu juga dengan kami sekeluarga juga mengambil kesempatan untuk pergi bercuti.

Air terjun kota tinggi merupakan destinasi percutian kami sekeluarga yang pertama.Awal pagi lagi kami sudah memulakan perjalanan dengan menaiki kereta bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.Segala keperluan di sana telah kami bawa bak kata pepatah ‘dayung sudah di tangan,perahu sudah di air.Sepanjang perjalanan, hanya sekali sahaja kami berhenti di R&R untuk memberi ruang kepada ayah berehat.

Lebih kurang dua jam setengah kami menanti,destinasi yang dituju telah pun tiba.Kami sungguh gembira.Setelah memakir kereta,kami sekeluarga menuju ke pejabat pengurusan bagi mendapatkan keterangan tentang tempat penginapan..Pihak pengurusan di sini menawarkan dua kemudahan sama ada penginapan hotel atau chalet. Kami sekeluarga memilih penginapan chalet kerana kedudukannya yang berdekatan dengan air terjun. Bilangan pengunjung yang ramai menyebabkan kami lambat mendapatkan kunci chalet. Bagai ‘langkah kanan’,kedudukan chalet yang kami diami sangat strategik kerana betul-betul berada di hadapan air terjun sekaligus mengindahkan suasana pemandangan.

Perut masing-masing yang belum diisi sejak pagi tadi mula bergendang rancak bagaikan paluan kompang. Nasi lemak berlaukkan ayam goreng dan sambal tumis udang yang dimasak oleh emak subuh tadi menjadi hidangan kami sekeluarga pada tengah hari itu.

Menjelangnya waktu petang, ayah mengajak kami bermandi-manda di air terjun. Kami hanya berjalan kaki ke sana kerana jarak antara chalet kami dengan air terjun tidak jauh. Kami bertembung dengan sepasang suami isteri yang memakai baju pengantin sedang bergambar berdekatan dengan air terjun. Pasti foto yang ditangkap menjadi kenangan yang amat manis bagi mereka. Ayah memilih untuk mandi di paras air yang tidak terlalu tinggi kerana bimbang akan keselamatan adik.

Keesokan tengah hari, kami mula mengemas barang untuk dibawa pulang. Kami memulangkan kunci chalet kepada pekerja chalet tersebut. Walaupun sekejap namun percutian selama dua hari satu malam di sana terasa begitu indah.

Kami meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya. Destinasi kami yang kedua ialah Melaka. Perjalanan ke sana mengambil masa lebih kurang dua jam. Banyak tempat yang kami lawati di sana. Menara Taming Sari merupakan salah satu tempat yang menarik. Kami dapat melihat pemandangan negeri melaka dari atas menara tersebut.Kami hanya dibawa ke atas selama 20 minit sahaja.Walaupun sekejap tetapi amat menyeronokkan.Selepas itu,kami bergerak ke ‘Eyes on Malacca’. Tiada bezanya dengan Menara Taming Sari, kita juga dapat melihat negeri Melaka dari pandangan atas. Pemandangannya sungguh indah terutama pada waktu malam. Kami dibawa sebanyak 7 kali pusingan sambil diberi penerangan tentang negeri Melaka.

Kota A’Famosa merupakan bangunan bersejarah yang menjadi daya tarikan bagi negeri tersebut. Kami terpaksa mendaki beratus-ratus anak tangga untuk sampai ke kubu pertahanan yang terletak di atas bukit. Di atas, kelihatan seorang pelukis yang menawarkan khidmat melukis potret dengan bayaran yang berpatutan. Terdapat juga seorang lelaki tua bersama gitarnya menyanyi untuk menghiburkan para pengunjung di situ. Selepas itu kami bergerak ke muzium istana dan sempat membeli sedikit cenderamata untuk saudara-mara,guru-guru seta rakan-rakan. Bagi para pelancong yang suka membeli belah, mereka boleh ke ‘Mahkota Parade’ yang merupakan pusat beli belah yang terkenal di Melaka.

Hari kian menjelang malam. Kami sekeluarga bertolak ke rumah emak saudara di Bertam. Kedatangan kami disambut baik oleh mereka. Pada malam itu,kami bermalam di sana untuk merehatkan diri. Secara tidak langsung kami dapat menziarahi emak saudara sekeluarga dan merapatkan lagi hubungan kami sesama saudara.

Pada keesokan pagi, setelah usai bersarapan kami meneruskan perjalanan ke A’Famosa Waterworld. Perjalanan ke sana mengambil masa selama 1 jam setengah. Apabila sampai di sana, emak menyuruh kami membawa semua barang keperluan turun dari kereta.Kami mencari tempat yang sesuai untuk meletakkan barang-barang tersebut. Ramai pengunjung yang datang di sini tidak terkecuali para pelancong dari luar negara. Selain mandi dan bermain air,kita juga boleh menaiki gelongsor melebihi 15 kaki untuk turun ke bawah. Pelbagai jenis gelongsor yang terdapat di situ dengan berbeza ketinggian . Sebelum menaiki gelongsor tersebut, kami perlu mendaki berpuluh-puluh anak tangga untuk sampai ke puncak atas. Kami diberikan jaket keselamatan dan pelampung bagi mejamin keselamatan. Selama 4 jam kami di sini,terasa gembira serta lapar. Kami mempersiapkan diri dan bergerak ke restoran berdekatan untuk mengisi perut.

Selepas makan dan menunaikan solat, kami bertolak ke destinasi seterusnya iaitu muzium Johor Bahru. Ayah terus memandu kereta ke destinasi yang dituju.Tidak sampai dua jam kami sudah sampai di perkarangan muzium tersebut.

Di sana, kami dapat melihat pelbagai khazanah sejarah silam seperti fosil,artifak dan sebagainya. Mengikut fakta sejarah, negeri Johor pernah diperintah oleh Sultan Abu Bakar yang diberi gelaran Datuk Temenggung Abu Bakar Seri Maharaja Johor oleh Ratu Great Britain pada tahun 1868. Baginda juga merupakan Bapa Pemodenan Johor.Selain itu,kami dapat melihat fosil harimau yang berjaya ditembak oleh Sultan Ibrahim. Mengikut pembantu muzium itu, harimau tersebut telah diawet dan beratnya melebihi 1000 kilogram.

Zoo negeri Johor merupakan destinasi kami yang terakhir.Apa yang menarik minat kami tentang zoo ini ialah sangat mengutamakan aspek keselamatan pengunjung.Sebagai contoh,sangkar haiwan-haiwan buas dibina tinggi dan dipagari dengan arus elektrik.Justeru,membolehkan pengunjung melihat haiwan-haiwan seperti harimau, beruang, dan gajah dengan selamat. Selain daripada menyaksikan gelagat haiwan-haiwan,kami juga dapat menunggang kuda yang ditawarkan oleh pekerja zoo. Selepas penat menunggang kuda,kami berehat di bawah sebuah pondok sambil makan snek yang dibeli di kedai berhampiran. Sementara itu,adik pula mengambil peluang untuk bermain di taman permainan.Kami juga sempat merakamkan beberapa foto keluarga untuk dijadikan kenangan.

Hari kian menjelang lewat petang, kami sekeluarga berangkat pulang ke rumah. Itulah tempat-tempat yang kami lawati semasa musim cuti persekolahan pada tahun ini. Setiap kenangan yang diperolehi daripada percutian ini akan saya simpan dalam lipatan memori hidupku. Sekian dahulu warkah daripada saya.

Sekian,terima kasih.

Anak didikmu,
Lynn_Ana
(Norlin Farhana Rafie)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan