Cari Blog Ini

Selasa, 6 April 2010

JAWAPAN LATIHAN NOVEL PGT

1) Huraikan pengajaran yang terdapat dalam novel yang anda kaji. (8m)

Novel yang saya kaji ialah Putera Gunung Tahan. Terdapat banyak pengajaran yang dikemukakan oleh pengarang dalam novel ini.

Antaranya ialah kita hendaklah cinta akan tanah air atau negara kita sendiri. Hal ini dapat dibuktikan melalui watak utamanya iaitu Ratu Bongsu yang bertegas tidak membenarkan orang Inggeris membina tempat peranginan di puncak Gunung Tahan. Ratu Bongsu walaupun ditawarkan dengan harta yang banyak, namun beliau tidak terpengaruh dengan pemberian wang ringgit, pangkat, dan kemewahan yang dijanjikan oleh pihak Inggeris.

Selain itu, kita hendaklah berani mempertahankan pegangan agama yang kita anuti. Hal ini dapat dibuktikan melalui watak perempuan Tua yang sanggup berhujah dengan Tuan Robert tentang kemuliaan agama Islam berbanding dengan agama Kristian.

Selain itu juga, kita hendaklah sentiasa menolong orang yang hidup dalam kesusahan. Hal ini dapat dibuktikan melalui watak Perempuan Tua yang sudi menyelamatkan Tuan Robert yang hampir dibunuh oleh orang Sakai. Contoh lain ialah, Ratu Bongsu sanggup membantu Mem William yang cedera parah apabila kapal terbangnya terhempas dalam serangan di puncak Gunung Tahan.

2 ) Huraikan keistimewaan watak utama yang terdapat dalam novel yang anda kaji. (8m)

Novel yang saya kaji ialah novel Putera Gunung Tahan. Watak utama dalam novel ini ialah Ratu Bongsu. Terdapat banyak keistimewaan dalam novel yang saya kaji ini.

Antara keistimewaan watak utama ialah Ratu Bongsu seorang pemimpin yang bertanggungjawab terhadap rakyat jelata. Hal ini dapat dibuktikan apabila puncak Gunung Tahan akan diserang oleh pihak Inggeris, beliau telah meminta semua orang bunyian melarikan dan menyelamatkan diri ke dalam hutan.

Keistimewaan kedua ialah, Ratu Bongsu telah bertindak tegas terhadap orang Inggeris yang diwakili oleh Tuan William dengan tidak membenarkan orang Inggeris membina tempat peranginan di puncak Gunung Tahan. Beliau sanggup menolak tawaran pangkat dan wang ringgit yang dijanjikan oleh Inggeris demi mempertahankan bangsa dan tanah air daripada penjajahan Inggeris.

Selain itu, Ratu Bongsu juga seorang yang penyayang. Beliau sangat menyayangi ibunya dan selalu meminta pendapat ibunya sebelum mengambil apa-apa tindakan. Beliau juga amat menyayangi Mem William. Walaupun Mem William merupakan isteri musuhnya, tetapi sebagai manusia dia sanggup membantu Mem William yang menghadapi musibah dan bersedia mengambil Mem William sebagai isterinya.

Watak utama juga digambarkan sebagai seorang yang istimewa apabila mudah membantu orang yang dalam kesusahan. Hal ini terbukti apabila beliau sentiasa membantu Tuan William mendapatkan peralatan untuk menghubungi isterinya yang berada di London. Beliau sanggup meminjamkan teropong terus kepada Tuan William untuk melihat isterinya yang jauh di mata.

3) Gaya bahasa memainkan peranan penting dalam memastikan keistimewaan sesebuah karya. Berdasarkan novel yang anda kaji, bincangkan kepelbagaian gaya bahasa dalam novel tersebut. (8m)

Berdasarkan novel Putera Gunung Tahan, terdapat pelbagai gaya bahasa yang telah digunakan untuk menarik minat pembaca dan telah memberikan kesan yang mendalam kepada pembaca.

Antara gaya bahasa yang digunakan ialah gaya bahasa dialog. Hal ini dapat dibuktikan melalui perbualan antara watak seperti Tuan William dan tuan Robert ketika bermalam di dalam gua dan perbualan tentang agama Islam dan agama Kristian antara Tuan Robert dengan Perempuan Tua. Selain itu, penggunaan bahasa asing seperti bahasa Inggeris. Hal ini dapat dilihat daripada penggunaan “Good morning old lady” iaitu ucapan Tuan Robert kepada Perempuan Tua. Selian itu juga, penggunaan bahasa istana telah diselitkan dalam novel ini. Hal ini dapat dibuktikan melalui ungkapan “Ampun tuanku beribu-ribu aampun, kedatangan patik mencemarkan istana tuanku ini harap mendapat ampun”. Penggunaan bahasa simile. Hal ini dapat dibuktikan melalui penggunaan kata seperti, umpama, bagai, dan bak. Contoh yang terdapat dalam novel yang saya kaji ialah padang-padang yang luas seperi permaidani permaidani terbentang.


4) Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, huraikan tema yang terdapat dalam kedua-dua buah novel tersebut.

Kedua-dua buah novel yang saya kaji ialah Di Hadapan Pulau dan Putera Gunung Tahan. Dalam novel DHP, tema yang diketengahkan oleh pengarang ialah penderitaan hidup semasa pemerintahan tentera Jepun di Tanah Melayu. Hal ini dapat dilihat apabila rakyat menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan dan menghadapi tekanan perasaan. Buktinya dapat dilihat apabila Kapten Hebat terpaksa memakan Mokmeng (monyet) untuk meneruskan hidup. Begitu juga Taksiah yang terpaksa menggadaikan maruah diri kepada tentera Jepun untuk meneruskan kelangsungan hidup akibat penjajahan tentera Jepun. Walau bagaimanapun, ketabahan dan kecekalan Aziz dan Afidah dalam mengharungi penderitaan hidup perlu dipuji. Mereka berdua berusaha gigih untuk mendapatkan bekalan makanan dengan membantu Syed Fikri menanam sayur di kawasan rumahnya. Aziz dan Afidah juga sanggup mencari makanan di kawasan kubur lama untuk terus hidup dalam zaman peperangan ini.

Dalam novel PGT, temanya ialah semangat cinta akan tanah air dan sanggup mempertahankannya daripada dijajah oleh penjajah British. Hal ini dapat dilihat melalui watak ratu Bongsu yang berpendirian tegas tidak menyerahkan puncak Gunung Tahan kepada pihak British walaupun ditawarkan dengan wang ringgit dan ganjaran yang lumayan. Sebagai pemimpin puncak Gunung Tahan, beliau telah mengatur strategi untuk mengelakkan pencak Gunung Tahan jatuh ke tangan British. Ratu Bongsu juga sentiasa meminta pendapat orang yang lebih tua untuk menguruskan kepimpinannya dengan meminta pendapat Perempuan Tua. Di samping itu, beliau merupakan pemimpin yang baik dan berjiwa rakyat. Beliau telah meminta semua pengikutnya lari meninggalkan puncak Gunung Tahan untuk menyelamatkan diri apabila kawasan itu akan diserang oleh tentera British. Kesediaannya untuk tinggal bersama-sama Kusina ketika puncak Gunung Tahan dibom membuktikan bahawa beliau seorang yang mempunyai semangat patriotik yang tinggi untuk mempertahankan tanah air.