Cari Blog Ini

Isnin, 25 Oktober 2010

LAGI LATIHAN MENJELANG SPM

Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


JALAN-JALAN RAYA KOTAKU

Saban waktu sepanjang perjalanan
jalan-jalan raya kotaku
lewat senja begini
tika gerimis menabur benih
menerima kehadiran warga kota
lemas dalam kesabaran
lelah meresahkan
dengan luka parah di hati.

Ketidaksabaran membengkak
kesombongan merajai setiap ruang
semakin padat dengan emosi
kebosanan menggigit pangkal rasa.

Demikian etika di perjalanan
budi luhur warga kotaku
tidak lagi berlaku
yang hadir adalah keserakahan
memacu menghimpun kekuatan
menghakis sopan santun
seperti banjir kilat
melanda pinggir perjalanan
fitrah sang manusia
peradaban kota masa kini.

Jalan-jalan raya kotaku
adalah gelanggang kebuasan
perlumbaan kebiadaban
para pesakit
kemanusiaan semakin mandul
pada penghujung musim.

Zam Ismail
Kasut Hitler, 1996.
Antologi Anak Laut
Dewan Bahasa dan Pustaka.

(i)Berikan maksud rangkai kata kemanusiaan semakin mandul.
[2 markah]
(ii)Jika anda salah seorang pengguna jalan raya yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, apakah tindakan yang akan anda lakukan untuk menghadapi keadaan tersebut?
[3 markah]
(iii)Berikan tiga persoalan yang terdapat dalam sajak tersebut. [3 markah]
Jawapan

i. sifat murni / budi bahasa kian menghilang

ii. Tindakan;
- bersikap sabar / tenang
- mematuhi peraturan jalan raya
- bertolak ansur dengan pemandu-pemandu yang lain
- memberi laluan kepada pemandu yang ingin membelokkan kenderaan
- tidak memotong kenderaan di hadapan terutama di sebelah kiri jalan
(pilih mana-mana 3 isi)

iii. Persoalan;
- Persoalan sikap pengguna jalan raya yang sombong / angkuh
- Persoalan pengguna jalan raya yang mementingkan diri sendiri
- Persoalan kebosanan / kemarahan pengguna jalan raya menghadapi kesesakan jalan raya
- Persoalan masalah kesesakan lalu lintas di kota
- Persoalan pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan
(pilih mana-mana 3 isi)



CERPEN: LAMBAIAN MALAR HIJAU

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan berikutnya dengan menggunakan perkataan anda sendiri.

“Daneng, Tuan Pengetua sekolah menjemputmu pulang. Walaupun sudah lebih 6 bulan kau tinggalkan bangku sekolah, pengetua masih sanggup menerimamu. Biasiswamu juga akan disambung semula.” Suara Jo mematikan kesenyapan yang menguasai mereka.
Jo meninggalkan rumah Daneng setelah makan malam. Daneng menemaninya menuju ke rumah penghulu. Daneng tidak memberitahu keputusan yang membahagiakannya. Kehampaan mengisi benak Jo. Adakah negara akan kehilangan khidmat bakti seorang anak muda yang berkaliber pada masa hadapan?
Suria pagi bersinar megah membuka lembaran baru. Kemesraan suria perlahan-lahan mendakap kehalusan kabus pagi yang mula menghilang bagai malu akan kehadiran sang suria. Jo terasa begitu berat untuk meninggalkan kawasan lembah di sisi pergunungan yang mengasyikkan itu. Apatah lagi, misinya untuk meyakinkan Daneng gagal. Terasa mahu sahaja dia mengikat tubuh badan Daneng dan mengheretnya ke daerah satelit. Mengurungnya di asrama sekolah dan memaksanya belajar.
“Cikgu, cikgu!” terdengar suara nyaring Daneng antara bunyi enjin kereta yang baru dihidupkannya itu.
Kelihatan Daneng sedang menjinjing sebuah beg lusuh yang berwarna kelabu. Pandangan dua pasang mata dari dua dunia bertemu. Kehampaan yang menggari jiwa Jo lenyap.

(Dipetik daripada cerpen Lambaian Malar Hijau,
antologi Anak Laut, Dewan Bahasa dan
Pustaka)

(i) Berikan maksud rangkai kata mematikan kesenyapan berdasarkan petikan.
[2 markah]
(ii) Sekiranya anda penjaga Daneng, apakah tindakan anda terhadap anak muda itu?
[4 markah]
(iii) Huraikan satu persoalan yang terdapat dalam petikan dan dua persoalan lagi daripada keseluruhan cerpen. [3 markah]


Cadangan jawapan:
i) Maksud rangkai kata mematikan kesenyapan...
- menamatkan/menghentikan/melenyapkan ketenangan/keheningan/kesunyian

ii) Sekiranya saya penjaga Daneng, tindakan yang akan saya lakukan...
- Memujuk Daneng agar kembali ke sekolah.
- Berjanji akan menampung/menanggung perbelanjaan Daneng.
- Berjanji akan menyediakan keperluan-keperluan lain.
- Menghantar Daneng ke asrama setiap minggu
- Menjemput Daneng pulang ke rumah semasa cuti sekolah
- Berjanji akan sentiasa melawat Daneng di asrama

iii) Satu persoalan berdasarkan petikan...
- persoalan kepentingan ilmu – Daneng sanggup kembali ke sekolah setelah dipujuk oleh Cikgu Jo
Dua persoalan berdasarkan keseluruhan cerpen...
- Persoalan cinta akan alam sekitar – Daneng tidak sanggup meninggalkan kampung halaman tempat kelahirannya kerana sayang akan alam semula jadi.
- Persoalan kemusnahan hutan – pembalak-pembalak haram memusnahkan hutan sesuka hati demi mengaut keuntungan hasil pembalakan haram.


Baca puisi di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

DI RUANG GEMANYA

Telah kurangkumkan rebah setiaku
pada setia pilu dan rindu
melayang dan mengembang
ke hayat gemilang. Sejak itu
tidak kukesal lagi
goda dan duga
di gerimis senja.
Telah kupahatkan lelah umurku,
pada setiap kerikil dan debu
datang dan menghilang
ke hujung kenang. Sesudah itu
tidak kukenal lagi
hampa dan derita
di guruh pagi.
Gerimis senja guruh pagi
adalah titipan maya
bakal kukongsi hati
mengukir tadbir di ruang gemanya.

Dharmawijaya
Gurindam Alam, 1994.


(i) Apakah maksud kurangkumkan rebah setiaku dalam sajak di atas?
[2 markah]

(ii) Pada pendapat anda, bagaimanakah semangat cinta kepada negara dapat dipupuk dalam kalangan pelajar? [3 markah]

(iii) Huraikan dua persoalan yang terdapat dalam sajak di atas. [4 markah]


SKEMA JAWAPAN

(i) Maksud kurangkumkan rebah setiaku:
• penyajak menumpahkan ketaatan dan kepatuhan kepada negara [2m]

(ii) Cara-cara memupuk semangat cinta akan negara dalam kalangan pelajar
• Ibu bapa membawa anak menyaksikan hari kebangsaan [1m]
• Sekolah melalui bulan kemerdekaan [1m]
• Guru melalui mata pelajaran Sejarah [1m]
• Media massa memaparkan kepentingan semangat cinta akan negara [1m]
• Kerajaan melalui kempen Cintai Negara Kita [1m]
[mana-mana 3]


(iii) Dua persoalan yang terdapat dalam sajak :
• Semangat perjuangan mempertahankan negara yang tinggi [1m]
• Ketabahan menghadapi pahit getir dalam perjuangan [1m]
• Kegigihan berusaha dalam mencapai matlamat perjuangan hidup[1m]
• Kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada tanah air tercinta [1m]
• Harapan yang tinggi dalam mencapai cita-cita membangunkan [1m]
[mana-mana 2]



Baca puisi tradisional di bawah ini dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri .

PANTUN ENAM KERAT

Ular tedung jangan dipermudah,
Bisanya dapat membawa maut,
Jika tak maut merana juga;
Berhujan berpanas aku tak endah,
Keris lembing aku tak takut,
Kehendak hati ku turut juga.

Kuda liar berkeliling kota,
Kota terbuat dari kayu,
Tempat berkawal lasykar Feringgi;
Kami mendengar khabar berita,
Bunga kembang sudahlah layu,
Gugur ke bumi tak harum lagi.

Penakik pisau raut,
Ambil galah sebatang lintabung,
Seludang dijadikan nyiru;
Setitik dijadikan laut,
Sekepal dijadikan gunung,
Alam terbentang dijadikan guru.

Sultan Muda dari Lampung,
Memikul cangkul dengan bajak
Singgah minum di lepau nasi ;
Sudah sekah tempat bergantung,
Tempat patah tempat berpijak,
Ke mana hendak digapai lagi.

( Permatang Budi , 1991
Antologi Kerusi ,
Fajar Bakti Sdn . Bhd )


SET 1

(i)Berikan maksud baris sudah sekah tempat bergantung.
[2 markah]
(ii)Pada pendapat anda, mengapakah kita perlu menjaga maruah diri?
[4 markah]
(iii)Jelaskan tiga persoalan yang terdapat dalam pantun di atas.
[3 markah]

Soalan set 2

i. Berikan maksud baris keris lembing aku tak takut.
[2 markah]

ii. Pada pandangan anda, apakah cara-cara yang boleh dilakukan untuk membaiki
kehidupan kita.
[4 markah]

iii. Nyatakan dua pengajaran yang terdapat dalam pantun di atas.
[3 markah]


SKEMA JAWAPAN

SET 1

i)-kehilangan tempat mengadu
-orang yang diharapkan. (2 markah)


ii)-dihormati oleh orang lain
-menjaga nama baik keluarga.
-menjaga nama baik diri sendiri
-mengelakkan kita disisihkan oleh masyarakat
-menjadi contoh kepada generasi akan datang
-melahirkan pemimpin pelapis yang berkaliber
(pilih mana-mana 4)
(4 markah)

(iii) Jelaskan tiga persoalan yang terdapat dalam pantun di atas.

-persoalan keberanian untuk menempuh dugaan dan cabaran
-persoalan kepentingan menjaga maruah supaya dihormati
-persoalan kemiskinan atau kesusahan hidup manusia akibat
kehilangan tempat bergantung.
-persoalan berusaha dengan gigih untuk mencapai
kejayaan dan kesenangan.
(pilih mana-mana 3)
(3 markah)


Contoh jawapan set 2
i. - berani menghadapi sebarang cabaran dan rintangan
( 2 markah )

ii. - belajar bersungguh-sungguh / rajin menuntut ilmu
- meminta nasihat / pandangan orang lain
- bersikap terbuka / sedia menerima kritikan
- bekerja dengan tekun / gigih berusaha
- tidak mudah berputus asa
(pilih mana-mana 3)
(3 markah)
iii. kita mestilah berani menghadapi cabaran dalam kehidupan agar dapat mencapai cita-cita.
-kita mestilah menjaga maruah / kehormatan diri agar dihormati orang lain
-kita perlulah hidup berdikari agar tidak bergantung kepada orang lain.
-kita haruslah gigih berusaha agar memperoleh kejayaan dalam kehidupan
(pilih mana-mana 2)



Baca puisi di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

DI RUANG GEMANYA

Telah kurangkumkan rebah setiaku
pada setia pilu dan rindu
melayang dan mengembang
ke hayat gemilang. Sejak itu
tidak kukesal lagi
goda dan duga
di gerimis senja.

Telah kupahatkan lelah umurku,
pada setiap kerikil dan debu
datang dan menghilang
ke hujung kenang. Sesudah itu
tidak kukenal lagi
hampa dan derita
di guruh pagi.

Gerimis senja guruh pagi
adalah titipan maya
bakal kukongsi hati
mengukir tadbir di ruang gemanya.


Dharmawijaya
Gurindam Alam, 1994.
MASA ENTERPRISE.



(i Apakah maksud telah kupahatkan lelah umurku dalam puisi di atas? [ 2 markah ]

(iii)Berdasarkan sajak di atas, apakah yang patut anda lakukan dalam mengisi
kemerdekaan negara? [ 3 markah ]

(iii) Huraikan dua persoalan yang terdapat dalam sajak di atas.

SKEMA

i.Maksudnya ialah saya/penyajak/ pengarang sudah mengambil masa yang lama dan menyumbangkan usaha dengan bersungguh-sungguh ( 2 markah )
ii. Perkara yang patut dilakukan:
- belajar bersungguh-sungguh agar menjadi warganegara yang berilmu
- bekerja bersungguh-sungguh untuk memajukan diri sendiri dan negara
- mengamalkan sikap saling menghormati untuk mengekalkan perpaduan kaum.
- mengamalkan prinsip Rukun Negara/menghayati lagu Negaraku/menghormati
bendera kebangsaan
- mengelakkan/tidak melakukan perbuatan jenayah
- sanggup berkorban demi mempertahankan negara

( mana-mana 3 )
iii. Dua persoalan:
- Persoalan pengorbanan generasi terdahulu dalam menuntut kemerdekaan
- Persoalan kepentingan kemerdekaan bagi sesebuah negara
- Persoalan kesungguhan/semangat juang yang tinggi dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.


Soalan 2(c) Petikan Prosa Klasik

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Maka dilihat oleh Laksamana Hang Jebat berkata-kata itu ada alpanya. Maka Laksamana pun matanya tiada lepas mengerling hulu keris Hang Jebat juga; sungguhpun Laksamana berkata-kata itu, kaki tangannya sudah hadir menantikan Si Jebat cedera sedikit juga. Maka dengan takdir Allah Taala, maka Hang Jebat pun meleng matanya memandang kepada pintu istana itu melihat orang banyak mengintai dari kisi-kisi itu.

Maka Laksamana pun segera melompat maka disentakkannya keris pada pinggang Hang Jebat itu, dapat ke tangan Laksamana. Maka Hang Jebat pun terkejut, dilihatnya laksamana menyentak kerisnya itu. Maka Hang Jebat pun berbangkit, serta diusirnya akan Laksamana, katanya. “Hai Si Tuah, demi Allah, bunuhlah aku, kerana tiada berkeris!” Maka Laksamana pun undur sedikit, seraya katanya sambil tertawa, “Hai saudaraku, kerana keris ini kerisku, dianugerahkan oleh Betara Majapahit; sebab itulah maka aku ambil pula daripadamu!” Maka sahut Hang Jebat, “Hai Laksamana, manatah katamu hulubalang besar lagi berani ternama? Sekarang membunuh aku tiada bersenjata. Jika tiada mahu engkau membunuh aku tiada berkeris, pintalah aku keris yang lain supaya kita bertikam, supaya aku bangat mati dengan senjata, supaya masyhurlah namaku.”

Maka oleh Laksamana dihunus penduanya dilontarkannya pada Hang Jebat. Melihat Laksamana melontarkan keris penduanya itu, maka segera disambutnya lalu dihunusnya. Maka keris parung sari bertatah sampai ke hujung, loknya tujuh belas, terlalu baik rupanya dan kukuhnya dan tajamnya seperti getah. Maka kata Hang Jebat, “Hai Laksamana, baik-baiklah engkau menantikan tikam Si Jebat derhaka ini!” seraya diusirnya akan Laksamana lalu ditikamnya di dada Laksamana. Maka Laksamana pun tiada sempat menghunus kerisnya. Maka oleh Hang Jebat dipertubi-tubinya tikam akan Laksamana.

Dipetik daripada Antologi Anak Laut, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.


(i)Berikan maksud meleng matanya memandang kepada pintu istana. [ 2 markah ]

(ii) Nyatakan kelebihan-kelebihan yang terdapat pada keris pendua Laksamana.
[ 3 markah ]
(iii) Pada pendapat anda, mengapa Hang Tuah membunuh Hang Jebat?
[ 4 markah ]


Skema:
i. Maksud: menoleh ke arah jalan masuk/pintu besar ( 2 markah)
ii. Kelebihan keris:
- keris parung sari bertatah sampai ke hujung
- loknya tujuh belas
- terlalu baik rupanya
- kukuhnya
- tajamnya seperti getah.
( mana-mana 3)

iii. Sebab:
- Jebat menderhaka kepada raja
- Jebat penyebab huru-hara di Melaka
- Jebat membunuh ramai orang yang tidak berdosa
- Jebat melanggar adat istiadat Melayu
- supaya tidak diikuti oleh rakyat yang lain
- Tuah menjalankan titah Sultan/taat pemerintah
( mana-mana 4)


Fokus SPM 2010: Cerpen `Tragedi'

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan berikutnya dengan menggunakan perkataan anda sendiri.

Irnawati tunduk. Beberapa ketika dia mendongak lalu memandang wajah Pak Ismawan dan berkata, “Sebelum terlupa, elok saya nyatakan tujuan saya ke mari, Pak. Sebenarnya saya memohon izin bapak. Saya ingin menyimpan raket badminton Iswan sebagai kenangan dan tanda saya mengingati dia. Bapak tentunya tidak keberatan memenuhi permintaan ini. Bapak tentu simpati dengan keinginan saya ini.”

Pak Ismawan tunduk. Dia diam buat beberapa ketika. Lepas itu dia memandang wajah Irna. “Bapak izinkan. Nak Irna boleh menyimpannya. Raket itu sudah tidak berfungsi lagi dalam keluarga kami. Pemiliknya sudah tidak ada. Mudah-mudahan engkau dapat menyambung cita-cita dan keinginan Iswan, nak.” Pak Ismawan bergegas masuk ke dalam.
Irnawati tunduk sendirian. Khayalannya mengimbau jauh. “Sifat pengasihmu akan memudarkan bakat dan kecemerlanganmu. Jangan tangguh-tangguh. Tumpaskan musuh secepat mungkin. Ini dasar perlawanan dan akan mengangkat bakatmu dan kecemerlanganmu melonjak.”

(i) Mengapakah Pak Ismawan bersetuju untuk memberikan raket badminton itu kepada Irnawati? [3 markah]

Pak Ismawan bersetuju untuk memberikan raket itu kepada Irnawati kerana raket tersebut tidak bermakna lagi kepada keluarganya memandang Iswan telah meninggal dunia. Pak Ismawan juga berharap raket itu akan menjadi pendorong kepada Irnawati untuk memajukan diri dalam bidang sukan badminton.

(ii) Pada pendapat anda, mengapakah raket badminton tersebut sangat bermakna bagi Irnawati? [3 markah]
Pada pandangan saya, raket tersebut bermakna kepada Irnawati kerana Iswan sangat akrab dengannya. Selain itu, raket tersebut membuatkan ingatannya terhadap Iswan terus segar. Seterusnya, raket tersebut akan meningkatkan semangatnya untuk mencapai kecemerlangan.

(iii) Huraikan satu perwatakan Pak Ismawan dalam petikan dan dua perwatakan Pak Ismawan dalam cerpen tersebut. [3 markah]
Perwatakan Pak Ismawan dalam petikan di atas menunjukkan beliau seorang yang murah hati kerana sudi memberikan raket anaknya kepada Irnawati. Dalam cerpen tersebut pula, Pak Ismawan seorang yang pemaaf kerana memaafkan George Bulang yang melanggar Iswan. Selain itu, Pak Ismawan merupakan seorang yang penyabar. Beliau menerima takdir kematian anaknya dengan hati yang sabar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan