Cari Blog Ini

Sabtu, 13 Mac 2010

KHAS UNTUK PELAJAR TINGKATAN 4 IS, 5IR, 5IS : TITIPAN CUTI SEKOLAH PENGGAL PERTAMA ( 12 MAC - 21 MAC 2010 )

Assalammualaikum anak-anak didik cikgu... jumpa lagi dalam ruangan titipan cuti sekolah ini. Cikgu harap anak-anak tak lupa untuk mengulangkaji pelajaran sambil menikmati saat-saat percutian bersama keluarga.

Seperti yang cikgu janjikan, ada beberapa buah tangan daripada cikgu untuk mengisi masa senggang anak-anak semua. Tugasan ini wajib disiapkan, sekurang-kurangnya 1. Bagi yang telah menyiapkan tugasan pertama, bolehlah memperkaya kemahiran berbahasa anda dengan tugasan kedua dan ketiga.

Selamat menjawab!!

TUGASAN PERTAMA :
Rumusan
( 30 markah ]

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian tulis satu rumusan tentang langkah-langkah kerajaan meringankan beban rakyat dalam menghadapi kegawatan ekonomi dan kesan-kesan pemulihan ekonomi kepada rakyat. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Usaha membasmi kemiskinan tegar menjadi agenda utama kerajaan menjelang 2010. Bagi meringankan beban rakyat, usaha diambil dengan memperuntukkan RM214 juta bagi pelaksanaan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat untuk tujuan pembasmian kemiskinan. Langkah ini juga akan memastikan agenda masyarakat penyayang terus diamalkan walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Kerajaan dalam usaha meringankan beban rakyat telah memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi pertama khusus untuk meningkatkan pemilikan rumah oleh rakyat. Oleh itu, bagi merangsang sektor perumahan kerajaan mencadangkan supaya pembeli diberi pelepasan cukai atas faedah pinjaman. Kerajaan juga telah membantu rakyat dengan menambah baik infrastruktur awam. Dalam hal ini, kerajaan telah menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta untuk menambah baik infrastruktur yang rosak serta menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian, menyelenggara dan membaik pulih pelbagai kemudahan dan prasarana awam. Bon Simpanan Kerajaan telah diterbitkan untuk menjanakan pendapatan rakyat. Bon ini bertujuan memberi peluang kepada rakyat untuk memperoleh pendapatan tambahan. Bon ini dibuka kepada setiap rakyat berusia 21 tahun ke atas dengan nilai minimum pelaburan sebanyak RM1,000.

Selain itu, kerajaan menaik taraf pelbagai kemudahan asas di luar bandar seperti bekalan elektrik dan air terutama di Sabah dan Sarawak. Usaha ini akan meningkatkan ekonomi rakyat melalui pengambilan kontraktor kecil dan pekerja tempatan di kawasan luar bandar. Di samping itu, pelbagai program dan projek dirancang oleh kerajaan untuk meningkatkan ekonomi rakyat di Sabah dan Sarawak seperti pembesaran Lapangan Terbang Sibu, Sarawak dan Projek Sistem Penghantaran Elektrik Kota Kinabalu, Sabah.

Kini, terdapat beberapa program mikrokredit tanpa cagaran disediakan oleh pelbagai pihak seperti Amanah Ikhtiar Malaysia, AgroBank dan TEKUN. Program ini bertujuan untuk membantu peniaga kecil di bandar dan luar bandar. Kaedah lain yang dilaksanakan adalah dengan memberi bantuan kepada golongan kurang bernasib baik seperti warga emas, golongan kurang upaya dan ibu tunggal. Bantuan yang diberikan adalah seperti program jaringan keselamatan sosial, bantuan kewangan dan bilangan tenaga kerja, meningkatkan kemudahan pusat penjagaan warga tua, memantapkan pengurusan rumah perlindungan wanita dan menambahkan kemudahan pusat asuhan kanak-kanak.

Bagi mengurangkan tanggungan orang ramai, kerajaan mengambil langkah pengecualian cukai yang diberikan atas bayaran pampasan kehilangan pekerjaan. Langkah ini diambil bertujuan untuk menjaga kebajikan pekerja yang diberhentikan. Di samping itu, kerajaan menggalakkan pihak bank untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman perumahan.

Kesimpulannya, kerajaan yakin usaha yang dirangka dan dilaksanakan adalah komprehensif dan menyeluruh untuk menghindarkan ekonomi negara daripada terjerumus dalam kancah kemelesetan yang mendalam sehingga memberi kesan kepada rakyatnya. Dengan landasan kukuh yang telah kita bina, kita yakin dapat mencipta kejayaan lebih besar.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana ‚‛Pakej RM60b
Perkukuh Ekonomi Negara Hadapi Kegawatan Global’,
Berita Harian, 11 Mac 2009)

Soalan 2 : Pemahaman – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i) Apakah maksud rangkai kata membasmi kemiskinan tegar? [2 markah]

(ii) Bagaimanakah peruntukan tambahan yang disediakan oleh kerajaan dibelanjakan? [3 markah]

(iii) Nyatakan empat cara rakyat dapat menangani krisis ekonomi negara. [4 markah]


TUGASAN KEDUA :

KARANGAN RESPON TERBUKA

Masalah kegemukan atau obesiti dalam kalangan rakyat negara ini semakin
serius. Menurut kajian yang telah dilakukan, sebanyak 20% daripada 26 juta
rakyat negara ini menghadapi masalah kegemukan.

Huraikan usaha-usaha yang perlu anda lakukan untuk menjadi remaja yang
sihat dan cergas.

( anak-anak pelajar digalakkan untuk merujuk sumber ilmiah dan internet untuk mengemukakan fakta sokngan )

TUGASAN KETIGA

Baca petikan yang diberi di bawah, kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor yang menyebabkan Malaysia menjadi tumpuan pekerja asing dan kesan-kesannya. Panjang rumusan tidak boleh lebih 120 patah perkataan.
___________________________________________________________________
Kebanyakan media menganggarkan jumlah pekerja asing di negara kita telah melebihi dua juta orang. Daripada jumlah tersebut, sebahagian besarnya pula adalah bertumpu di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Kebanyakan daripada mereka adalah pendatang asing yang datang dari negara jiran seperti Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan Nepal. Tumpuan mereka adalah dalam sektor pembinaan, perindustrian, perladangan dan pembantu rumah. Kedatangan golongan ini sedikit sebanyak telah memberi kesan negatif khususnya dalam segi pekerjaan penduduk tempatan dan pembangunan negara. Sebab utama mereka bertumpu ke negara kita adalah untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik berbanding dengan di negara asal mereka.

Selain itu, matlamat utama mereka bertumpu ke Malaysia adalah disebabkan banyak pekerjaan yang terdapat di sini memberi pendapatan yang tinggi. Rata-rata golongan ini mampu memperoleh pendapatan sehingga ribuan ringgit sebulan. Daripada jumlah tersebut, sebahagian besarnya akan dikirimkan kepada keluarga mereka yang menetap di negara asal. Ini ditambah pula dengan keadaan negara kita yang aman dan makmur, telah menggalakkan mereka bertumpu ke Malaysia. Hal ini amat berbeza sekali dengan keadaan di negara asal mereka seperti Indonesia, Bangladesh dan Nepal yang kerap berlaku pergolakan politik dan peperangan. Justeru, walaupun banyak usaha yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia untuk mengekang kebanjiran pendatang asing ini, namun jumlah mereka semakin bertambah.

Selain faktor di atas, kebanjiran penatang asing di negara kita turut disebabkan oleh permintaan yang tinggi terhadap buruh asing dari luar negeri oleh majikan di Malaysia. Hal ini kerana pendatang asing sanggup menerima upah yang lebih rendah berbanding dengan buruh tempatan. Keadaan ini ditembah pula oleh sikap pekerja tempatan yang lebih gemar memilih pekerjaan dengan gaji yang tinggi. Lebih menyulitkan keadaan, ada pihak di negara kita yang memberi perlindungan kepada pekerja asing sehingga menggalakkan mereka bertumpu di Malaysia. Ini menyebabkan pendatang asing berasa selamat bekerja di sini walaupun sebahagiannya tidak memiliki permit. Sikap negatif penduduk tempatan ini telah banyak menyebabkan operasi membanteras pekerja asing tanpa permit menemui kegagalan.

Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang dikelilingi oleh lautan, keadaan pantainya yang terlalu luas menyebabkan kawalan daripada pihak berkuasa menjadi terhad. Sebagai contohnya, sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia menjadi kawasan pendaratan pekerja asing tanpa permit untuk bekerja di Malaysia. Tambah merumitkan keadaan, jabatan yang ditugaskan untuk mengawal kebanjiran pekerja asing itu masih mengalami kekurangan penguatkuasa bagi menjalankan rondaan dan serbuan. Situasi ini telah menyebabkan ramai pekerja asing yang memasuki negara kita secara tidak sah, bebas tanpa berjaya dikesan. Kebanyakan rondaan yang dilakukan gagal menemui pekerja asing tersebut yang sebahagian besarnya menjadikan Selat Melaka sebagai laluan yang selamat untuk ke negara kita.
Oleh sebab jumlah mereka yang terlalu ramai telah memberi kesan yang amat parah, penguatkuasaan perlulah lebih kerap dilakukan. Untuk tujuan tersebut, kerajaan turut menggunakan tenaga RELA bagi menjalankan rondaan dan tangkapan terhadap pekerja asing tanpa permit. Mereka yang ditangkap akan ditempatkan di pusat-pusat tahanan sebelum didakwa dan dihantar pulang ke negara asal mereka. Usaha ini bukan sahaja memerlukan kos yang tinggi malah merugikan negara.




----------------------------------------------------------------------------------

3 ulasan:

  1. cikgu...ni sumer kena buat ke? banyak tu..

    BalasPadam
  2. tulislah nama yang berkata-kata ni... tugasan pertama wajib. kedua dan ketiga sunat mu'akad... tak banyak lagi tu.... berakit-rakit ke hulu, berenag-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.

    BalasPadam
  3. Cikgu, apakah yg dimaksudkan dgn KEMISKINAN TEGAR .. ?

    BalasPadam