Cari Blog Ini

Rabu, 14 April 2010

LATIHAN KARANGAN JENIS SURAT KIRIMAN

Hari Guru bakal tiba tidak lama lagi. Pastinya, wajah-wajah guru yang tidak jemu-jemu mendidik anak-anak bangsa tergambar di lensa minda semua insan bergelar pelajar. Justeru, bagi menzahirkan penghargaan dan tanda terima kasih anda, tulislah sepucuk surat khas buat guru Bahasa Malaysia anda sempena sambutan Hari Guru 2010. Surat anda hendaklah berkisarkan jasa dan sumbangan guru anda sebagai pembina negara bangsa dan menepati tema 1 Malaysia. Panjang karangan anda hendaklah tidak kurang daripada 350 patah perkataan.

RESPON SURAT KIRIMAN PELAJAR :

Terima kasih Natasha, kiriman surat natasha amat bermakna dan menyentuh sukma cikgu. cikgu kongsikan titipan bermakna awak untu tatapan semua pengunjung blog cikgu... inilah surat natasha.

02-01, blok 6,Jalan Bertam 16,
Taman Daya,
81100 Johor Bahru,
Johor Darul Takzim.

15 Mei 2010

Ke hadapan guruku yang dikasihi, Cikgu Latifah Tarkep. Saya harap keadaan cikgu pada hari ini disusuli dengan senyuman. Diharap juga cikgu bahagia di samping keluarga tersayang.

Cikgu,
Saya rasa mungkin cikgu sudah tahu apa tujuan saya mengirimkan warkah keramat ini kepada cikgu. Saya hanyalah insan biasa yang hanya mampu mengirimkan warkah, tidak dapat memberikan sebuah hadiah kepada cikgu. Walau /..bagaimanapun, ingin saya sertakan sebuah cerita tentang seorang pelajar yang tidak sedar bahawa dirinya telah melukakan hati gurunya yang sangat dia cintai. Cerita yang ingin saya sertakan ini telah membuka mata saya bahawa dalam kerjaya seorang guru, pelbagai perkara yang tidak dijangka boleh terjadi, terlalu banyak cabarannya. Saya harap, cikgu dapat mengikuti kisah ini dengan penuh penghayatan.

********************************************************************************************
HARGA KEEGOAN
"Boleh berikan saya tiga faktor yang mempengaruhi kadar tindak balas?" Lantang suara Cikgu Anura melawan bunyi bising suara pelajar. Suasana di makmal kimia pada tengah hari itu begitu panas dan merimaskan.
"Biar saya jawab soalan itu!" Azlan mengangkat tangan sambil tersengih-sengih bagaikan kerang busuk. Sorakan daripada rakan-rakannya menaikkan lagi semangatnya hendak menjawab.
Cikgu Anura memandang Azlan dengan perasaan curiga.
"Ini mesti hendak mempersendakan aku lagi," getus hati kecilnya. Ini bukan kali pertama dia dipermainkan oleh Azlan yang digelar 'Romeo Jawa' itu. Minggu lepas, Azlan memanggilnya darling di hadapan para pelajarnya. Merah mukanya menahan malu diperlakukan sebegitu oleh pelajarnya sendiri. Mana mungkin dia berkenan dengan budak hingusan seperti Azlan walaupun mukanya tampan seperti Fahrin Ahmad, pelakon terkenal masa kini.
Cikgu Anura menghampiri Azlan sambil menjegilkan matanya. Dia merenung pelajar tampan berambut ikal itu.
"Ya, Romeo Jawa," kata Cikgu Anura.
"Apa jawapan saudara kali ini?" tanya Cikgu Anura.
Matanya sengaja dibularkan dengan harapan supaya pelajar itu takut. Geramnya mula menggelegak di hati.
Azlan tersenyum meleret. Dia mengenyitkan matanya kepada Cikgu Anura.
"Bagi mendapatkan kadar tindak balas yang berkesan, tiga faktor yang terlibat adalah sayang, cinta dan kas...."
Belum sempat Azlan menghabiskan jawapannya, satu cubitan keras hinggap di bahunya. Azlan terjerit kesakitan. Seluruh kelas menjadi gamat dengan gelak ketawa pelajar-pelajar lain.
"Diam!" jerit Cikgu Anura sambil bercekak pinggang. Merah padam mukanya menahan malu.
Kelas yang tadinya agak gegak-gempita dengan deraian ketawa pelajar serta-merta menjadi sepi bagaikan disambar garuda. Belum pernah Cikgu Anura berasa begitu marah dan malu seperti ini.Darahnya mendidih hingga ke tahap maksimum.
"Jangan cuba hendak kurang ajar dengan saya, saudara keluar sekarang. Saya tidak mahu lihat muka saudara di sini selama-lamanya," herdik Cikgu Anura. Cikgu Anura sebak dan akhirnya dia menangis tersedu-sedu di tempat duduknya. Kelas terus sepi.
Semenjak hari itu, Azlan tidak kelihatan lagi di sekolah. Cikgu Anura kini lebih tenang mengajar di kelas Lima Permata.
Azlan pula benar-benar menyesali perbuatannya, namun dia malu untuk bertemu dengan Cikgu Anura. Dia hanya sekadar mengutuskan salam melalui teman-temannya dan memohon keampunan. Cikgu Anura pula tidak peduli langsung bahkan membalas salam Azlan dengan pesanan yang ringkas, 'tiada maaf bagimu selamanya'.
Satu pagi yang bening,telefon bimbit Cikgu Anura berdering.
"Hello, boleh saya bercakap dengan Cikgu Anura?" Satu suara tua menyentuh gegendang telinga Cikgu Anura. Dia terkesima seketika kerana dia tidak mengenali orang yang empunya suara.
"Hello, saya Anura, Boleh saya tahu siapa yang bercakap di sana?" balas Cikgu Anura. Dadanya terasa berdebar.
Saya datuk Azlan," perkenal suara tua di hujung sana.
"Boleh kita berjumpa sebentar di hospital?" Suara lirih itu kelihatan begitu hiba meraih simpati.
"Di hospital? Mengapa? Ada sesuatu terjadi pada Azlankah?" soal Cikgu Anura bertalu-talu. Dadanya berdebar. Belum pun sempat perbualan diteruskan, talian terputus. Cikgu Anura resah memikirkan apa yang telah berlaku. Dia bergegas mengenakan pakaian seadanya dan memandu ke hospital. Wajah nakal Azlan dan usikannya terngiang-ngiang di fikiran Cikgu Anura.
Setibanya di hospital, Cikgu Anura tercangak-cangak kerana tidak tahu ke mana harus dituju. Seorang tua berwaah durja menghampirinya perlahan-lahan.
"Cikgu Anura?" tanya orang tua itu. Cikgu Anura mengangguk.
"Mana Azlan? Mengapa dengan dia?" tanya Cikgu Anura cemas.
"Azlan sedang dibedah. Dia kemalangan dalam perjalanan hendak ke rumah puan." Sendu di hati orang tua itu tidak dapat ditahan lagi. Dia kalah dan akhirnya, air matanya berguguran.
Terkebil-kebil mata Cikgu Anura mendengar cerita orang tua itu. Satu kisah di luar dugaannya. Hatinya turut tersentuh. Kesal mula menyelubungi jiwanya kerana tidak memaafkan Azlan. Keegoannya menyebabkan Azlan kembali ke pangkuan Illahi dalam hiba. Seluruh badannya terasa lemah.
"Ini gambar arwah ibu Azlan. Dia genggam kemas gambar ini semasa dia meninggal," suara datuk Azlan kedengaran. Gambar yang kusam itu bertukar tangan.
Sekali lagi Cikgu Anura tersentak. Wajah di dalam gambar lama itu begitu seiras dengan wajahnya. Akhirnya, titisan mutiara jatuh berderai membasahi pipi Cikgu Anura. Ditatapnya gambar kusam itu dalam esak tangis yang tidak dikawal.
Inikah harga sebuah keegoan?
*******************************************************************************************
Cikgu,
Cerita ini saya sertakan untuk cikgu kerana pada pertama kali saya membacanya, hati saya sangat tersentuh. Namun begitu, cerita ini tiada kaitan dengan insan yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia. Ianya hanyalah rekaan semata-mata. Sekarang, barulah saya tahu betapa sukarnya manjadi seorang guru. Terbeban dengan palbagai disiplin pelajar, memantau kelemahan pelajar, memberikan yang terbaik untuk pelajar, dan yang paling penting, yang ada di dalam diri Cikgu Latifah yang saya kenali adalah beliau cukup mengambil berat tentang masalah pelajar. Cara cikgu menjadi seorang guru telah menarik lagi minat saya untuk teruskan menulis warkah ini. Cara cikgu mengajar dengan menyelami hati pelajar menyebabkan cikgu dipandang tinggi oleh palajar-pelajar lain. Namun begitu, bukanlah niat saya untuk memuji atau memuja cikgu, tetapi tiada cara lain lagi yang setimpal untuk saya mengucapkan terima kasih kepada cikgu.

Cikgu,
Saya tahu, mungkin selama ini terselit seguris kesedihan di dalam hati cikgu kerana kesilapan yang telah saya lakukan. Tetapi, saya juga tahu, seorang guru tidak akan menunjukkan kesedihan di hadapan anak-anak muridnya. Oleh itu, pada hari yang cukup bermakna buat cikgu ini, berikanlah saya satu kesempatan untuk meminta maaf kepada cikgu atas segala tingkah laku yang pernah saya tonjolkan. Kadangkala, tiada niat untuk saya sengaja melakukan sebarang kesilapan terhadap cikgu, mungkin hanya ingin mencari sedikit hiburan tetapi terlupa akan kemuliaan seorang guru yang patut dihormati oleh insan yang bergelar murid, seperti Azlan yang terdapat dalam cerita di atas. Ibu saya selalu berpesan agar tidak sekali-kali mengguriskan hati seorang guru. Katanya, guru juga merupakan ibu bapa kita. Setiap pukulan dan kemarahan yang diberikan olehnya merupakan satu anugerah yang tidak dapat kita rasai apabila sudah berjaya melangkah masuk ke alam universiti kelak.'Hormatilah guru sebelum kamu memahaminya, sayangilah guru sejurus kamu memahaminya.' Dengan seribu kekesalan di dalam jiwa, saya amat mengharapkan pengampunan dari cikgu. Diharap cikgu sudi memaafkan.

Cikgu Latifah tesayang,
Dengan penuh rasa malu yang terselit di dalam lubuk hati ini, ingin saya pinta satu permintaan. Cikgu doakanlah saya dalam menghadapi peperiksaan demi peperiksaan yang akan saya tempuhi, sehingga terhulurnya sijil keputusan SPM ke tangan saya yang hina ini. Jasa cikgu akan saya kenang sampai bila-bila. Jika ditakdirkan Illahi, saya berjaya mendaki ke menara gading kelak, cikgu doakanlah agar saya masih setia membawa bersama nama cikgu ke puncaknya. Guru umpama lilin yang membakar diri. Lilin itulah yang banyak berjasa kepada sekalian manusia, ia dengan rela mengorbankan dirinya sedikit demi sedikit untuk menerangi kegelapan insan. Tanpa lilin itu, sudah tentu banyak manusia yang mati tersungkur dek halangan yang menanti di hadapan mereka. Itulah sebabnya mengapa doa seorang guru itu amat penting dalam kehidupan. Hanya dengan satu kalimah ' Ya Allah, permudahkanlah kejayaan anak-anak muridku menghadapi arus-arus kehidupannya yang mencabar, Ya Allah' yang terpacul dari bibir seorang guru, mampu melahirkan seribu orang kabinet menteri, doktor, peguam syariah, pensyarah terkemuka, arkitek dan sebagainya.

Andai kata diberikan peluang untuk saya terus menyenaraikan satu persatu nilai yang cikgu tampilkan kepada kami semua, sehingga ke hari tua sekalipun, masih belum tentu sampai ke titik noktahnya. Sebagai seorang insan lemah yang mengharapkan suluhan cahaya ilmu daripada cikgu, inlah sahaja yang dapat saya coretkan. Andai tersalah bicara, harap cikgu sudi memaafkan. Tiada apa yang dapat saya sertakan melainkan seutus doa untuk cikgu dan keluarga semoga kekal bahagia hingga akhi hayat.

Cikgu sayang,
Maafkanlah kami,
Tolonglah kami,
Bimbinglah kami,
Sinarilah hidup kami dengan cahaya suriamu,
Kamilah anak-anakmu yang bakal mengharungi onak duri,
Di sepanjang perjalanan hidup kami,
Doakanlah kejayaan hidup kami, Cikgu.


Daripada insan lemah,
Natasha

3 ulasan:

  1. sangat-sangat-sangat menyentuh perasaan!!!
    harap dapat memberi kesedaran kepada semua. -nani5ir-

    BalasPadam
  2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

    BalasPadam
  3. Assalammualaikum,terima kasih Natasha!!Sbnrnya dgn coretan yang sedikit ini mampu mengalirkan air mata kesyukuran dikurniakan seorang guru yang
    sanggup mendidik,dan mengorbankan masa.....

    BalasPadam