Cari Blog Ini

Ahad, 23 Januari 2011

TUGASAN KECEMERLANGAN UNTUK ANAK DIDIK 5 IBNU SINA, 4 IBNU SINA DAN 4 AL KINDI - SEMPENA CUTI TAHUN BARU CINA 2011

Assalammualaikum anak- anak didik cikgu....
pelajar 5 Ibnu Sina yang komited,
pelajar 4 Ibnu Sina yang tekun
dan pelajar 4 al Kindi yang hebat!!Selamat bercuti :-)
Seperti biasa, cikgu pasti akan menitipkan tugasan untuk menemani anak-anak sepanjang cuti ini.... jangan lupa buat tugasan cikgu ni tau!!!
Selamat menjawab!!

Soalan 1: Rumusan
[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah menyertai kegiatan kokurikulum dan cara-cara menggalakkan pelajar menyertainya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Bidang kurikulum dan kokurikulum saling berkait rapat sekali gus menjadi teras bagi meningkatkan keupayaan dan kebolehan pelajar mencapai kecemerlangan. Bidang kokurikulum kini menjadi pelengkap kepada proses pembelajaran di sekolah. Kokurikulum boleh ditakrifkan sebagai satu saluran pembelajaran yang berasaskan gerak kerja yang tersusun dan terancang.

Terdapat tiga komponen utama aktiviti kokurikulum di sekolah, iaitu badan beruniform, persatuan atau kelab, dan sukan serta permainan. Aktiviti badan beruniform menekankan aspek pembentukan disiplin diri pelajar. Pelajar dilatih dengan soal ketepatan masa, mematuhi pemimpin, sentiasa bersedia dan cergas, serta sentiasa bersemangat juang yang tinggi. Selain itu, pelajar juga diuji dengan daya ketahanan fizikal dan mental melalui aktiviti seperti berkawad dan merentas halangan. Semangat bekerjasama dan berdikari turut disemai dalam aktiviti badan beruniform. Latihan-latihan ini akan menguatkan lagi daya ketahanan mental pelajar walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran.

Penglibatan dalam persatuan atau kelab pula membawa penekanan implikasi yang berlainan. Dalam aktiviti berpersatuan, pelajar akan mendapat pelbagai pengetahuan, khususnya dalam hal-hal pengurusan dan pentadbiran. Sebagai contoh, pelajar diasuh dengan kemahiran pengurusan mesyuarat, membuat surat rasmi, kertas kerja dan laporan, mencatat minit, berkomunikasi dengan baik, memberikan idea yang bernas dan latihan berhujah. Apabila berpersatuan, pelbagai pandangan dan idea boleh dikongsi antara sesama ahli. Pengalaman dalam menguruskan mesyuarat juga merupakan satu proses kematangan diri. Latihan-latihan ini dapat memberikan satu pengalaman baharu yang berbeza daripada bidang akademik.

Aktiviti sukan dan permainan sudah pasti memberikan penekanan kepada implikasi, pemikiran strategik dan kekuatan fizikal. Selain memperoleh badan yang cergas, minda juga turut menjadi cergas. Sukan bukan sahaja berkait tentang persoalan siapa yang menang atau siapa yang kalah, sebaliknya sukan memupuk keyakinan diri, menghormati peraturan dan semangat juang yang tinggi. Pelajar juga dididik dengan semangat kerjasama dan toleransi sesama ahli pasukan. Maka tidak hairanlah apabila sukan boleh merentasi sempadan bangsa, politik dan benua. Apabila menyertai ketiga-tiga komponen utama kokurikulum yang dinyatakan sebelum ini sebenarnya pelajar telah menambah nilai terhadap diri sendiri. Mungkin dalam kalangan pelajar ada yang tidak menyedari bahawa nilai tambah ini merupakan sesuatu yang sangat bernilai. Malah, akhir-akhir ini kokurikulum menjadi satu nilai tambahan dalam proses pengambilan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Dengan kata lain, kita akan dapat menghasilkan generasi berilmu yang mempunyai kebolehan dan kesungguhan yang menyeluruh.

Aktiviti kokurikulum juga mampu membentuk modal insan yang berkualiti pada masa hadapan. Sejarah telah membuktikan pemimpin tersohor negara lahir daripada kalangan mereka yang aktif yang berpersatuan semasa zaman remajanya.

(Dipetik dan diubahsuai daripada
Pembentukan Sahsiah Diri Melalui Aktiviti Kokurikulum oleh Abd Ghani bin Abu,
Dewan Siswa, Julai 2007)

Jawab semua soalan


Soalan 2(a) Petikan Umum


Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)Berikan maksud rangkai kata idea yang bernas.
[2 markah]

(ii)Bagaimanakah aktiviti badan beruniform dapat membentuk disiplin diri pelajar?
[3 markah]

(iii)Pada pendapat anda, mengapakah para pelajar tidak berminat untuk menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah?
[4 markah]


Soalan 2 : Rumusan
[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang objektif kerajaan melaksanakan projek pembangunan hartanah dan implikasi pelaksanaannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 perkataan,

Usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia destinasi hartanah antarabangsa sememangnya kena pada masanya, Ketika negara-negara sedang membangun lain rancak menggunakan pendekatan untuk menarik pelaburan asing, Malaysia juga tidak mahu ketinggalan. Asas ekonomi yang semakin kukuh menyakinkan kerajaan untuk melaksanakan antara lain projek-projek hartanah yang dijangka membawa masuk pelaburan asing sebanyak RM20 bilion.

Semestinya pelaksanaan projek-projek seumpama itu ibarat serampang dua mata. Pelaksanaan projek-projek ini bukan sahaja bertujuan merangsang aliran masuk pelaburan asing malah menyediakan pelbagai peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini sekali gus menurunkan graf pengangguran. Selain itu, pelaksanaannya juga pasti menghidupkan industri hiliran lain yang mempunyai hubung kait dengan pasaran seperti perbankan dan guaman. Walaupun hasilnya hanya boleh dilihat dalam tempoh 10 tahun akan datang, namun perlu diakui hal ini mampu menjana pertumbuhan lebih pesat serta memberi kesan berganda kepada ekonomi negara secara umum.

Ketika kerajaan menjangkakan pelaksanaan projek pembangunan hartanah itu mampu menarik pelaburan asing, rakyat negara ini mesti menyiapkan diri dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran. Hal ini penting untuk memastikan setiap peluang yang terbit daripada projek-projek tersebut dapat dimanfaatkan oleh penduduk tempatan tanpa perlu bergantung kepada kepakaran asing. Semestinya kita tidak mahu pelaksanaan projek-projek yang menelan belanja besar itu kelak menguntungkan orang luar semata-mata hanya kerana rakyat negara ini tidak berdaya saing.

Budaya sektor pembinaan negara yang kini amat bergantung kepada buruh asing perlu diubah dan perubahan ini hanya boleh dilaksanakan menerusi kesedaran dalam kalangan penduduk tempatan untuk menyertai industri tersebut. Penduduk tempatan perlu bersedia untuk berubah dan merebut peluang yang terbentang di hadapan mata.

Tidak ada gunanya jika kerajaan bersungguh-sungguh merangka projek untuk menarik kemasukan pelabur asing, sedangkan minda rakyat masih di takuk lama iaitu enggan mengotorkan tangan untuk kerja-kerja kasar di sektor hartanah. Pelaksanaan pelan koridor ekonomi wilayah timur dan utara mesti menjadi penjana kekayaan rakyat di negara ini sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup masing-masing. Projek-projek mega seperti Wilayah Pembangunan Iskandar seharusnya turut dilihat sebagai peluang untuk membaiki kedudukan ekonomi rakyat selain meraih keyakinan pelabur asing untuk melabur di negara ini.


(Dipetik dan diubahsuaikan daripada "Tenaga Kerja Tempatan Jayakan Projek Hartanah," Utusan Malaysia 3 Jun 2007)

Soalan 2 Pemahaman
Soalan 2 (a) Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

(i)Berikan maksud rangkai kata enggan mengotorkan tangan. [2 markah]

(ii)Mengapakah rakyat perlu menyiapkan diri dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran untuk merebut peluang pembangunan di negara kita? [3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, bagaimanakah kerajaan boleh mengurangkan kemasukan tenaga kerja asing ke negara kita? [4 markah]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan