Cari Blog Ini

Ahad, 23 Januari 2011

TUGASAN KECEMERLANGAN UNTUK ANAK-ANAK DIDIK 2 OTHMAN - SEMPENA CUTI TAHUN BARU CINA

Assalammualaikum anak-anak didik cikgu...:) Selamat bercuti!!!
Seperti biasa, cikgu akan titipkan tugasan untuk menemani anak-anak didik cikgu semua sepanjang cuti ini.... jangan lupa buat tugasan cikgu ini ye.... Selamat bercuti!!!

Latihan 1
Bahagian A (i)
[Masa yang dicadangkan : 40 minit]
[20 markah]


Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang usaha-usaha memulihara bangunan bersejarah. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.


Bangunan bersejarah merupakan bangunan masa silam yang sangat berharga dan unik. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu mengekalkan bangunan dan monumen tersebut. Antara contoh bangunan bersejarah di Malaysia termasuklah Kota A’Famosa di Melaka dan Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur. Bangunan bersejarah ini perlu dipulihara supaya tidak mengalami kemusnahan. Oleh itu, pelbagai usaha perlu diambil untuk memulihara bangunan bersejarah ini.

Kawasan bangunan bersejarah perlu dijadikan sebagai destinasi pelancongan sebagai usaha memulihara bangunan bersejarah. Melalui usaha ini, bangunan bersejarah akan terus dipelihara bagi menarik pelancong asing berkunjung ke Malaysia. Kerajaan juga boleh menjadikan bangunan bersejarah sebagai pejabat atau pusat pentadbiran sesebuah organisasi. Melalui langkah ini, bangunan bersejarah dapat berfungsi dan tidak terbiar usang begitu sahaja. Secara tidak langsung, usaha ini dapat mengekalkan struktur bangunan bersejarah agar tidak dirobohkan. Bangunan bersejarah juga wajar dijadikan lokasi bagi upacara-upacara tertentu.

Kerajaan juga perlu melancarkan kempen bagi menggalakkan masyarakat menghargai bangunan bersejarah di negara ini. Selain itu, media massa perlu menyiarkan latar belakang dan peranan bangunan bersejarah supaya masyarakat menghargai warisan tersebut.


Seterusnya, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang terhadap pihak yang menyebabkan kerosakan bangunan bersejarah bagi memastikan warisan ini sentiasa terpelihara. Pihak kerajaan wajar menjalin kerjasama dengan pihak swasta bagi menjalankan kerja pemuliharaan bangunan bersejarah. Dengan menjalankan kerja pemuliharaan ini, bangunan bersejarah yang mengalami kerosakan boleh dibaik pulih. Antara kerja baik pulih yang boleh dilakukan termasuklah mengecat semula bangunan dan menggantikan struktur kayu yang telah reput.


Tegasnya, semua pihak perlu berganding bahu dan bekerjasama bagi memulihara serta mengekalkan bangunan bersejarah. Pemuliharaan bangunan bersejarah penting untuk tatapan generasi akan datang selain menjadi warisan negara.


Bahagian A (ii)
[10 markah]
Berdasarkan petikan Bahagian A (i), jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
1 Berikan maksud rangkai kata masa silam ? [2 markah]
2 Berdasarkan petikan, nyatakan kepentingan pemuliharaan bangunan bersejarah.
[4 markah]
3 Pada pendapat anda, apakah usaha yang wajar dilakukan oleh pihak sekolah untuk mendidik murid menghargai bangunan bersejarah? [4 markah]



Latihan 2
Bahagian A (i)
[Masa yang dicadangkan : 40 minit]
[20 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang langkah-langkah mengurangkan kemalangan jalan raya . Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Saban hari, kita digemparkan dengan berita nahas jalan raya yang terpapar di televisyen dan di akhbar. Bagi mengurangkan peningkatan kadar kemalangan jalan raya, langkah yang efektif wajar disegerakan.

Kealpaan pemandu sering menjadi faktor perdana yang mengakibatkan kemalangan jalan raya. Lantaran itu, pemandu hendaklah senantiasa “membuka mata dan telinga agar peka terhadap keadaan sekelilingnya sebelum dan semasa memandu. Pemandu perlu memastikan keadaan kenderaan sempurna sebelum memulakan perjalanan. Perhatian sepenuhnya perlu ditumpukan tatkala memandu. Oleh itu, elakkan pengambilan minuman keras dan kelesuan ketika memandu kerana ingat sebelum kena, jimat sebelum habis.

Didikan dan asuhan yang diberikan kepada anak kecil yang diibaratkan kain putih bakal membentuk personaliti mereka apabila dewasa kelak. Usaha mewujudkan Kelab atau Persatuan Keselamatan Trafik Jalan Raya dapat menyemai dan memupuk kesedaran tentang peraturan lalu lintas jalan raya dalam sanubari murid sekolah.

Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan harus mengenakan denda dan hukuman yang berat kepada pesalah undang-undang jalan raya. Pada waktu yang sama , bilangan penguat kuasa undang-undang patut ditambah bilangannya agar pengawasan dari masa ke masa dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Selain itu, media massa perlu proaktif dengan menyiarkan iklan-iklan yang boleh menyedarkan pengguna supaya mengamalkan sikap berhemah semasa berada di jalan raya.

Sesungguhnya, masalah ini tidak boleh dipandang enteng memandangkan ciri-ciri insan yang mulia termasuklah sentiasa beristiqamah dan proaktif penting dalam usaha menurunkan kadar kemalangan jalan raya. Selain itu, setiap individu perlu beriltizam dan mempunyai komitmen yang tinggi untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Sekiranya kita bekerjasama, sudah pasti kita akan berjaya dalam usaha merealisasikan misi dan visi “sifar kemalangan” di negara kita.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada “Langkah Mengurangkan Kadar Kemalangan Jalan Raya” Dewan Siswa, September 2009)


Bahagian A (ii)
[10 markah]
Berdasarkan petikan Bahagian A (i), jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
1 Apakah maksud rangkai kata agar peka ?
[2 markah]
2 Berdasarkan petikan, apakah ciri-ciri yang perlu ada untuk menjayakan usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya?
[4 markah]
3 Pada pendapat anda, apakah tindakan yang wajar dilakukan apabila berhadapan dengan kemalangan jalan raya? [4 markah]

1 ulasan: