Ahad, 6 November 2011

PENTING !!KARANGAN TUDINGAN SPM 2011 - JAWAKHIR JOHOR

Kepentingan ilmu pengetahuan

Tuntutlah ilmu sampai ke negeri China merupakan ungkapan yang amat sinonim dengan kepentingan ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan merupakan sesuatu maklumat yang diperoleh melalui pelbagai sumber. Antara sumber untuk memperoleh pelbagai jenis ilmu pengetahuan adalah daripada media cetak dan media elektronik. Ilmu pengetahuan mempunyai pelbagai kepentingan kepada semua anggota masyarakat.
Antara kepentingan memiliki ilmu pengetahuan ialah seseorang boleh meluaskan kosa kata. Hal ini demikian kerana kosa kata seseorang boleh bertambah jika mereka banyak membaca. Bahan bacaan yang boleh membantu untuk meluaskan kosa kata ialah seperti majalah, akhbar,novel,dan cerpen. Jelaslah bahawa penguasaan kosa kata yang luas merupakan kepentingan ilmu yang harus dimanfaatkan oleh seseorang.
Selain itu, kepentingan ilmu pengetahuan juga boleh menjamin masa hadapan yang cemerlang. Jika seseorang berusaha bersungguh-sungguh, mereka akan memperoleh ilmu yang dipelajari kerana usaha tangga kejayaan . Sebagai contoh, mereka boleh menimba ilmu pengetahuan daripada guru yang mengajar mata pelajaran sejarah di sekolah. Menerusi mata pelajaran ini mereka dapat mengetahui sejarah kejayaan seseorang tokoh. Secara tidak langsung mereka akan menjadikan tokoh tersebut sebagai idola dalam usaha mencapai cita-cita.
Kepentingan ilmu pengetahuan lain yang boleh dimanfaatkan ialah seseorang dapat mengetahui ilmu dalam pelbagai bidang yang dipelajari. Hal ini demikian kerana mereka boleh mendapat ilmu dalam pelbagai bidang melalui mata pelajaran yang dipelajari di sekolah seperti sains, matematik, perdagangan, ekonomi dan sastera. Ilmu yang diperoleh boleh diamalkan dalam kehidupan seharian mereka. Sudah terang lagi bersuluh seseorang akan berjaya jika mereka boleh menguasai ilmu pelbagai bidang yang dipelajari.

Seterusnya, seseorang juga mampu menyelesaikan masalah jika mereka memiliki ilmu pengetahuan yang berguna. Dalam menjalani kehidupan seharian kita akan mengalami pelbagai masalah. Cara yang paling baik untuk mengatasi masalah dengan berkesan,mereka harus memiliki ilmu pengetahuan kerana ilmu pelita hidup. Contohnya, jika seseorang pelajar mempunyai ilmu agama yang tinggi, mereka akan dapat menyelesaikan masalah tanpa tindakan yang terburu-buru. Oleh itu kemahiran menyelesaikan masalah dengan berkesan boleh dikuasai jika kita mempunyai ilmu pengetahuan.

Dengan memiliki ilmu pengetahuan, kita juga boleh menjadi insan yang memiliki sahsiah terpuji. Hal ini demikian kerana kita akan mendapat panduan yang baik melalui ilmu pengetahuan yang dimiliki. Sebagai contoh, seseorang yang berilmu akan dapat memanfaatkan nilai-nilai murni yang dipelajari dalam kehidupan seharian. Antara nilai murni yang boleh diamalkan ialah saling menghormati, bertanggungjawab, bertimbang rasa dan menghargai. Sesungguhnya, kita akan menjadi insan yang berakhlak mulia jika kita berilmu pengetahuan.
Kesimpulannya, setiap anggota masyarakat perlu menuntut ilmu pengetahuan bagi memastikan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat dilahirkan. Hasrat ini perlu direalisasikan agar rakyat dapat menyumbang ke arah kemajuan negara menjelang tahun 2020.


Kaedah-Kaedah Mengatasi Kejadian Tanah Runtuh


Kejadian tanah runtuh saban tahun berlaku di Malaysia. Peristiwa tanah runtuh di Highland Towers dan bukit kawasan perumahan Bukit Antarabangsa di Kuala Lumpur merupakan kejadian yang paling tragis dan menyayat hati. Kejadian tersebut telah meragut berpuluh-puluh nyawa yang tidak berdosa.. Kejadian tanah runtuh sering dimomokkan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu dan aktiviti pembangunan yang tidak terancang. Persoalannya, apakah cara-cara yang boleh dilakukan untuk mengatasi kejadian tanah runtuh ini?

Antaranya syarikat-syarikat pemaju perlulah meneliti kawasan yang ingin dijadikan lokasi pembinaan sebelum membina sebarang bangunan di kawasan tersebut. Mereka hendaklah melakukan pemeriksaan terhadap keadaan tanah serta kedudukan kawasan itu. Hal ini demikian untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Pemaju juga disarankan agar mendirikan bangunan atau kawasan perumahan di tanah lapang dan rata. Mereka perlu mengelakkan kawasan-kawasan seperti bukit dan sungai. Hal ini demikian kerana, kawasan tersebut merupakan kawasan yang berpotensi tinggi mengalami kejadian tanah runtuh.

Selain itu, badan kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu sentiasa menyelenggara jalan-jalan raya di lereng-lereng bukit. Kebanyakan jalan terutamanya lebuh aya di bahagian utara Malaysia melalui kawasan gunung. Hal ini sangat membahayakan keselamatan pengguna jalan raya. Oleh hal yang demikian, JKR serta pihak pengurusan Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) mestilah sentiasa memantau keadaan di situ kerana bak kata pepatah, malang tidak berbau.

PLUS pula disarankan agar mencari jalan untuk memperbesarkan lebuh raya. Hal ini demikian supaya para pengguna lebuh raya berasa selamat dengan ruang laluan yang lebih luas lebih-lebih lagi ketika melalui kawasan bukit dan gunung. Selain itu, PLUS mestilah mengutamakan keselamatan pengguna lebuh raya. PLUS hendaklah memasang penghadang di kawasan-kawasan bukit dan gunung bagi mengelakkan tanah daripada runtuh. Perkara ini bersesuaian dengan peribahasa melayu, mencegah lebih baik daripada mengubati.

Rentetan daripada huraian di atas, terdapat satu lagi cara yang boleh dilakukan bagi mengatasi kejadian tanah runtuh. Tindakan undang-undang yang lebih tegas mesti dikenakan terhadap pembalak-pembalak haram. Hanya kerana wang, mereka sanggup mengambil risiko dengan menggondolkan kawasan-kawasan hutan yang merupakan tempat tadahan air. Akibat daripada perbuatan mereka, tanah runtuh berlaku. Hal ini demikian kerana ketiadaan pokok-pokok untuk menyerap air hujan yang turun dan menahan tanah daripada runtuh. Kegiatan membalak boleh dilakukan tetapi hendaklah secara sistematik. Pembalakan perlu dilakukan sehingga pokok-pokok itu tumbuh semula dan membesar. . Oleh yang demikian, kejadian tanah runtuh dapat dielakkan.

Kesimpulannya, pihak-pihak berkenaan hendaklah membuka mata dan meneliti masalah-masalah berhubung dengan kejadian tanah runtuh ini. Mereka perlu bekerjasama bagi mengatasi kejadian tanah runtuh kerana tiada penyakit yang tiada penawarnya. Usaha-usaha ini juga perlu dilakukan berterusan dan tidak secara sambalewa ibarat hangat-hangat tahi ayam atau hanya seperti melepaskan batuk di tangga .Justeru kejadian tanah runtuh akan dapat di atasi.


KEPENTINGAN SEMANGAT KEJIRANAN



Nusa tercinta kita Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak watan berbilang kaum dan hidup secara bersama sehati sejiwa ibarat seikat bak sirih serumpun bak serai. Sehubungan dengan itu, kebanyakan anggota masyarakat hidup berjiran di kawasan bandar ataupun di kawasan luar bandar dan mereka saling berhubung, bertemu dan berurusan antara satu sama lain. Namun ada lakaran suram yang menyelubungi kita bahawa ada pandangan yang menyatakan bahawa semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia pada masa ini dikatakan semakin terhakis ibarat hidup segan mati tak mahu. Banyak kempen dan usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak untuk merapatkan kembali hubungan dalam kalangan jiran kerana semangat kejiranan begitu penting dalam kehidupan bermasyarakat.

Sebenarnya semangat kejiranan dapat memupuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat di sesuatu tempat . Kerjasama ini boleh dipupuk melalui penglibatan anggota masyarakat dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di kawasan tempat mereka tinggal. Aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis sambutan perayaan atau perjumpaan bulanan komuniti dapat mempertemukan semua jiran, saling berkenalan dan merapatkan hubungan . Mereka akan lebih mesra, saling membantu bagai aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit, bangsa atau kepercayaan. Hal ini menunjukkan bahawa semangat kejiranan yang dipupuk dapat membentuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat seterusnya membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh.

Selain itu semangat kejiranan juga penting kerana dapat membentuk semangat kekitaan dan melahirkan masyarakat yang bersatu padu. Mengimbas kembali Peristiwa 13 Mei 1969 menunjukkan bahawa jika masyarakat tidak bersatu padu dan berpecah-belah, negara akan musnah dan kehidupan anggota masyarakat tidak akan selesa dan aman. Tuntasnya, semangat kejiranan membolehkan semua anggota masyarakat memahami antara satu sama lain. Masyarakat yang berbilang kaum ini boleh mempelajari perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi, bekerjasama dan saling menghormati. Tegasnya semangat kejiranan penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke arah kegemilangan.

Di samping itu, semangat kejiranan juga penting kepada negara kerana memudahkan kerajaan melaksanakan pelbagai program pembangunan dan membawa kemajuan kepada rakyat. Slogan Negara Maju Rakyat Sihat menunjukkan apabila rakyat hidup dalam keadaan sihat sejahtera maka pelbagai rancangan pembangunan dapat diatur, dirancang dan dilaksanakan secara lancar tanpa sebarang kekangan. Jika masyarakat dapat hidup bersama dalam suasana yang aman dan harmoni maka segala kemajuan yang disediakan oleh kerajaan di seluruh pelosok tanah air akan dapat dinikmati bersama-sama secara adil dan saksama. Sebagai contohnya, kerajaan telah berupaya membina pelbagai kemudahan dan infrastrukutr di kawasan taman-taman perumahan seperti dewan orang ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak mahupun pusat komuniti atas inisiatif, semangat kejiranan dan perpaduan yang ditunjukkan oleh anggota masyarakat di sesetengah kawasan tempat tinggal. Jelaslah semangat kejiranan penting bagi membantu anggota masyarakat dalam suatu kawasan kejiranan menikmati pelbagai kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan.

Negara yang cemerlang lahir daripada rakyatnya yang berhemah tinggi dan hidup bersatu padu seia sekata . Jika masyarakat dapat berganding bahu dan saling mengekalkan kehidupan yang harmoni maka negara akan melakar kejayaan gemilang. Semangat kejiranan merupakan salah satu elemen penting dan vital yang membantu melahirkan anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri dan semangat cinta akan negara . Melalui hubungan kejiranan, pelbagai aktiviti berbentuk pemupukan nilai-nilai patriotisme dapat diimplimentasikan. Sebagai contoh, mengibarkan jalur gemilang, mengadakan pameran sempena ulang tahun kemerdekaan negara ataupun menyertai perarakan dalam sesebuah pesta. Datuk Azhar Bin Mansor merupakan contoh paling jelas, dan atas sokongan rakyat Malaysia membolehkan beliau melakukan pelayaran solo mengelilingi dunia sambil mengibarkan jalur gemilang dengan penuh kejayaan. Hal Ini jelas menunjukkan keharmonian kehidupan rakyat Malaysia membolehkan mereka melakukan sesuatu hal dan perkara yang amat hebat bagi melaonjakkan Malaysia di persada antarabangsa.

Semangat kejiranan yang wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum juga penting sebagai produk pelancongan. Sesungguhnya, kedatangan pelancong asing ke negara ini banyak disebabkan kehidupan masyarakat Malaysia yang unik, mempunyai pelbagai seni budaya yang menarik dan hidup secara harmoni dalam komuniti kejiranan. Sesungguhnya, perpaduan masyarakat banyak membantu menarik kehadiran pelancong terutamanya ketika musim perayaan besar. Sebagai contohnya pada sambutan Hari Kemerdekaan, Majlis Rumah Terbuka dan sambutan pesta-pesta tertentu menampilkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara kita yang amat disukai oleh para pelancong asing tersebut . Selain di kawasan bandar, produk pelancongan seperti Program Homestay atau Inap Desa di kawasan luar bandar juga dapat menunjukkan semangat hidup berjiran dalam kalangan masyarakatnya . Maka sememangnya semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia sangat berfaedah dan membawa pulangan ekonomi yang begitu memberangsangkan kepada negara.

Intihanya, semangat kejiranan merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara kita unik pada pandangan masyarakat di luar sana malah dikenali di seluruh dunia. Tuntasnya, Semangat kejiranan bukan sahaja penting dalam mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat di negara kita malah sumbangannya cukup besar terutamanya bagi memastikan Malaysia terus cemerlang dan mampu berdaya saing pada masa akan datang kerana rakyatnya yang bersahsiah terpuji bagi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang dapat memacu negara tercinta ke arah kegemilangan di puncak jagat.


CIRI-CIRI PELAJAR CEMERLANG



Berderap seiring berjalan pulang,
Mawar disisip hiasan si dara,
Remaja kini berperibadi cemerlang,
Menjadi tunjang aspirasi negara.

Pantun di atas menerangkan bagaimana seorang pelajar yang cemerlang dapat memberikan kebaikan kepada negara. Hal ini demikian kerana pelajar cemerlang mampu merealisasikan aspirasi negara dan seterusnya bakal menerajui tampuk pemerintahan negara. Sehubungan dengan itu, setiap pelajar perlu mengambil inisiatif untuk menjadi pelajar yang cemerlang, bak kata peribahasa, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Bagi menjadi pelajar yang cemerlang, pelbagai kriteria yang positif perlu dipraktikkan dalam kehidupan seharian mereka.
Ciri utama yang perlu ada dalam diri seorang pelajar cemerlang ialah mempunyai sahsiah dan peribadi yang unggul. Seorang pelajar yang mempunyai peribadi yang unggul akan sentiasa menjaga hubungan baik sesama manusia tidak kiralah ketika bersama keluarga, guru mahupun rakan-rakan.Sebagai contoh, pelajar yang cemerlang sentiasa menghormati dan menyayangi guru mereka. Mereka juga sentiasa berlapang dada untuk membantu rakan-rakan dalam pelajaran. Sifat sombong dan angkuh tidak pernah wujud dalam kamus hidup seorang pelajar yang cemerlang. Mereka sentiasa mengamalkan sikap bermurah hati dan tidak pilih kasih dalam pergaulan dengan membeza-bezakan bangsa, agama dan prestasi akademik kerana menyedari bahawa setiap manusia adalah sama di sisi Allah. Sahsiah dan peribadi pelajar yang cemerlang yang unggul disenangi oleh orang di sekelilingnya kerana mereka tetap bergaul mesra kerana tidak bersikap seperti kera sumbang. Oleh itu, jelaslah bahawa pelajar cemerlang mempunyai sahsiah dan peribadi yang unggul.
Seterusnya, pelajar yang cemerlang sentiasa mengikut ajaran agama. Setiap agama di dunia ini menganjurkan manusia melakukan kebaikan tidak kiralah agama Islam, Kristian, Hindu mahupun Buddha. Pelajar yang cemerlang sentiasa menjadikan agama sebagai panduan hidup. Agama menjadi landasan yang paling ampuh dalam membentuk diri pelajar yang cemerlang seperti kata seorang cendekiawan, permulaan hidup seseorang manusia adalah mengenal Tuhan dan agamanya. Pelajar yang cemerlang akan sentiasa mempunyai nawaitu yang suci dalam setiap tindakan yang dilakukan oleh mereka. Sebagai contoh, seorang pelajar Islam yang cemerlang sentiasa menunaikan tanggungjawabnya terhadap Allah iaitu dengan menunaikan solat serta sentiasa berdoa untuk mencapai kejayaan. Oleh itu, jelaslah bahawa agama menjadi pegangan pelajar yang cemerlang agar mereka tidak terpesong daripada matlamat sebenar hidup di dunia ini serta seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS).
Selain itu, pelajar yang cemerlang sentiasa menyedari hakikat bahawa masa itu emas dan tidak mensia-siakan setiap saat yang dimilikinya. Mereka sentiasa mengisi masa terluang dengan melakukan pelbagai aktiviti yang berfaedah seperti membaca buku, mengulang kaji pelajaran, dan beriadah. Mereka juga menyediakan jadual aktiviti harian yang fleksibel agar aktiviti yang mereka lakukan seimbang daripada aspek jasmani dan rohani. Penyediaan jadual aktiviti harian amat penting bagi memastikan pelajar tidak hanya menghabiskan masa selama 24 jam di meja belajar sahaja. Pelajar yang cemerlang juga sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan mereka dengan membaca buku sekiranya mempunyai masa yang terluang. Hal ini demikian kerana, mereka menyedari melalui pembacaan, mereka akan dapat meluaskan horizon pemikiran mereka dan seterusnya menjadikan diri mereka seorang pelajar yang cemerlang. Mereka juga sentiasa menyiapkan setiap tugasan yang diberi dan tidak menangguhkannya. Mereka juga tidak mengamalkan sikap seperti pahat dengan penukul dalam proses menuntut ilmu. Oleh hal yang demikian, jelaslah kepada kita semua bahawa pelajar yang cemerlang sentiasa bijak dalam mengisi setiap saat dan minit dalam kehidupan mereka agar tidak berakhir dengan penyesalan.
Di samping itu, ciri pelajar yang cemerlang termasuklah sentiasa memberikan tumpuan ketika guru sedang mengajar. Hal ini demikian kerana, perhatian dan tumpuan yang diberikan menjadi salah satu medium pembentukan pelajar yang cemerlang di samping meningkatkan pemahaman mengenai subjek yang dipelajari. Sebagai contoh, seseorang pelajar haruslah memberi sepenuh perhatian dan fokus ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan. Mereka harus menghargai setiap detik waktu dalam proses tersebut kerana masa itu ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya,maka ia akan memotong kita. Tumpuan dan perhatian pelajar di dalam kelas sahaja menjadi salah satu ciri pelajar cemerlang malahan dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mereka dalam sesuatu subjek yang dipelajari. Tambahan lagi, sekiranya mereka menerapkan ciri yang berikut dalam diri mereka, mereka akan disenangi oleh para guru. Para guru akan berasa senang hati ketika mengajar seterusnya memberi keberkatan kepada pelajar tersebut untuk memperoleh kejayaan dalam pelajaran, peperiksaan bahkan dalam kerjaya mereka pada masa akan datang. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa pelajar yang cemerlang sentiasa memberikan tumpuan semasa guru sedang megajar di dalam kelas.
Bukan itu sahaja, pelajar yang cemerlang juga mempunyai wawasan hidup. Hal ini demikian kerana wawasan hidup diperlukan supaya mereka sentiasa dapat mencapai segala cita-cita dalam hidup mereka. Sebagai contoh, mereka yang cemerlang sentiasa mempunyai sasaran dalam peperiksaan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Selain itu, wawasan hidup mampu mengajar mereka erti berdisiplin dan bertanggungjawab dalam hidup berikutan mereka akan lebih teliti dan kreatif dalam menyusun masa belajar dan melakukan aktiviti seharian. Wawasan hidup merupakan ciri dominan pada diri pelajar cemerlang kerana apabila mereka berwawasan, mereka sentiasa berusaha gigih kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Pelajar yang mempunyai wawasan juga lebih mengetahui hala tuju kehidupan serta tidak mudah berputus asa dalam kehidupan mereka. Walaupun mereka mungkin menemui kegagalan dalam sesuatu perkara, mereka tidak akan mudah bersedih malahan menjadikan kegagalan tersebut sebagai batu loncatan untuk berusaha dengan lebih gigih pada masa hadapan. Wawasan hidup juga mampu menjauhkan diri daripada sifat menangguhkan kerja dalam kalangan pelajar cemerlang. Setiap pekerjaan haruslah dilakukan hingga selesai, bak kata peribahasa, alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan. Sifat negatif tersebut tidak akan lagi menjadi penghalang kepada diri mereka dalam menempa kejayaan hidup. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa pelajar yang berwawasan merupakan pelajar yang cemerlang.
Sementara itu, untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang, setiap pelajar hendaklah sentiasa aktif melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum. Hal ini demikian kerana, melalui aktiviti kokurikulum di sekolah, bakat dan kebolehan para pelajar akan terserlah dan dapat terus digilap untuk mencapai kejayaan. Tamsilannya, para pelajar akan sentiasa melibatkan diri dalam sebarang aktiviti yang diadakan oleh unit beruniform, serta kelab dan persatuan seperti berkawad dan berkhemah. Dalam konteks ini, para pelajar bukan sahaja dapat menyihatkan tubuh badan mereka malah turut dapat mencerdaskan otak mereka kerana otak yang cerdas lahir daripada badan yang cergas. Para pelajar juga haruslah menyertai sebarang pertandingan bagi mengenal pasti potensi diri sama ada melalui unit beruniform mahupun akademik. Contohnya, pelajar yang cemerlang akan menyertai pertandingan yang dapat menguji minda serta pemikiran mereka seperti pertandingan perbahasan, forum dan catur. Oleh hal yang demikian, setiap pelajar perlu bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang dan seimbang.
Intihnya, kriteria-kriteria yang positif perlu ada dalam diri setiap pelajar bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dalam semua skop kehidupan. Pelajar yang cemerlang mampu berfikir luar daripada kotak pemikiran dan seterusnya mampu merealisasikan aspirasi negara. Hal ini demikan kerana, pelajar yang cemerlang merupakan pemacu jentera negara dan akan menerajui tampuk pemerintahan negara pada masa hadapan. Oleh itu, generasi pelajar yang cemerlang perlu dipupuk sejak kecil lagi bak kata peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya.




USAHA-USAHA INDIVIDU (ANDA) MEMUPUK AMALAN MEMBACA



Masa bergerak pantas kerana pejam celik sahaja kita sudah berada pada alaf milenium di samping menelusuri, meniti abad yang mendatang. Abad ke-21 telah menyaksikan pelbagai cetusan idea dan percubaan yang membanggakan yang dilaksanakan supaya negara Malaysia dapat mendabik dada kerana berjaya duduk setaraf, sebaris dan setanding dengan negara atas angin yang moden bak kata pepatah, duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Sayang dan malang sekali, di sebalik kemajuan tanah tumpah darah ini, terdapat lakaran suram yang membayangi tamadun dan peradapan masyarakat kita. Pada realitinya, tabiat atau budaya membaca dalam kalangan masyarakat masih berada pada takuk lama bagai hidup segan mati tidak mahu malahan bilangan yang dibaca oleh mereka boleh dikira dengan menggunakan jari. Angka-angka dan data-data yang sahih lagi tepat yang didedahkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia amat memeranjatkan kerana rakyat Malaysia hanya membaca purata satu halaman daripada sebuah buku dalam masa setahun. Siapakah yang harus dipersalahkan? Pada hemat saya, sikap menunding jari tidak akan menguntungkan mana-mana pihak malahan menambahburukkan situasi yang semakin parah ini. Oleh hal yang demikian, saya berpendapat bahawa seluruh strata masyarakat harus memerah otak dan keringat untuk merungkai kemelut ini. Memang tidak disangkalkan bahawa saya juga berperanan vital dan penting untuk menjadikan membaca sebagai amalan hidup diri saya. Cepu kepala dan otak terus bersipongan dengan tanda tanya, apakah peranan yang pragmatik dapat saya lakukan untuk memupuk amalan membaca dalam sanubari?

Norman Vince Pale pernah mengatakan bahawa masalah itu tanda kehidupan, semakin banyak masalah anda, semakin hidup jiwa anda. Kata-kata hikmat tersebut sengaja dipetik untuk menunjukkan bahawa setiap kemelut dan masalah yang kita hadapi tentu mempunyai jalan penyelesaiannya yang ampuh dan efektif. Sebagai mukadimah dan melabuh tirai perbincangan, saya ingin memfokuskan huraian saya secara dalam dan menyeluruh lagi objektif dengan mengenal pasti dan mengupas perisai yang efektif dalam usaha menjadikan membaca sebagai amalan hidup. Isu dan fakta yang dihuraikan di atas akan ditinjau dan dilihat dari kaca mata penyertaan dalam Program NILAM. Pihak Kerajaan menerusi Kementerian Pelajaran Malaysia telah berusaha untuk menanam minat membaca dalam kalangan pelajar melalui Program nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) dengan hasrat merealisasikan hasrat Dasar buku Negara seperti yang diperkatakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Abdul Razak untuk menjadikan negara kita ”negara pembaca”. Oleh hal yang demikian, sebagai anak watan Malaysia yang kamil dan soleh, saya perlu rajin bersengkang mata untuk membaca dan menuntut ilmu seterusnya aktif dan mengambil bahagian dalam pertandingan NILAM untuk mengamalkan tabiat membaca dalam diri saya, memandangkan ’Membaca Jambatan Ilmu’ yang sering diuar-uarkan olen masyarakat kini mempunyai kebenarannya. Seperti yang kita sedia maklum, program NILAM yang berteraskan amalan membaca dapat merangsang minat membaca dan meningkatkan kemahiran 3M iaitu menulis, mengira dan membaca dalam kalangan pelajar. Sejajar dengan itu, untuk mencapai kecemerlangan dalam program NILAM, saya perlu bertungkus lumus membaca untuk mendalamkan ilmu dan meluaskan horizon pemikiran supaya dapat menghadapi cabaran dalam program tersebut. Kata-kata pujangga Barat yang terkenal, Mendelir Salamander pernah mengatakan bahawa ”buku merupakan wahana yang paling baik untuk menjadikan seseorang itu memiliki pengetahuan”. Menyedari hakikat itu, ikhtisasnya saya akan tekun menyelami lautan ilmu dengan rajin membaca kerana amalan membaca adalah amalan luhur.

Sebelum retak menanti belah, sebelum bisul menjadi nanah dan sebelum nasi menjadi bubur, jika kita bersedia memerah otak dan keringat serta berikhtiar berhempas pulas, tentu ada formula penyelesaian dan tentu bukanlah satu sahaja kerana, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Huraian di atas akan didalami dan dibugarkan dari perspektif pendirian sudut bacaan di rumah atau bilik sendiri. Saya ingin menegaskan bahawa perubahan diri sendiri merupakan cara yang paling proaktif dan mujarab untuk menjadikan membaca sebagai amalan dalam kehidupan. Demi memupuk budaya membaca dalam jiwa saya, saya perlu menyediakan sudut bacaan atau perpustakaan mini di rumah bersama-sama keluarga dan menggalakkan serta mendorong kami sekeluarga supaya berjinak-jinak dengan bidang ilmu supaya amalan membaca diterapkan dalam minda setiap anggota keluarga. Sementalahan itu, saya perlu membeli pelbagai judul buku yang menarik dan sesuai untuk dibaca di samping mengamalkan budaya ”bed story” sebelum tidur dengan adik-adik saya. Neville Black, seorang ahli falsafah Barat berpendapat bahawa ilmu pengetahuan adalah alat serta aset yang paling dominan sekiranya kita ingin bersaing dengan pihak lain pada zaman moden yang menuntut kemajuan. Selaras dengan itu, saya perlu memberi dorongan kepada ahli keluarga dan diri sendiri untuk mencari, menuntut dan menimba ilmu yang sebanyak mungkin, memandangkan ilmu itu pelita hidup. Atas kedahagaan menuntut ilmu pengetahuan, saya akan membaca dan terus membaca sehingga menjadi seorang modal insan yang berminda kelas pertama. Menurut Datuk Arbaiah Sulung, pakar psikologi tempatan,” ibu bapa atau kakak dan abang merupakan teladan yang berkesan dan berpengaruh kepada anak-anak kecil”. Memandangkan penyataan di atas, pada hemat saya, saya perlu memupuk amalan membaca dalam diri sekali gus menjadi ’role model’ kepada adik-adik saya.

”Jika satu pintu tertutup, pintu lain akan terbuka. Namun kita terkadang melihat dan menyesali pintu yang tertutup tersebut sehingga tidak dapat melihat pintu lain yang terbuka”. Memetik kata-kata mutiara Andelucia Longbotton, seorang ahli sains dan matematik Barat, sudah terang lagi bersuluh bahawa terdapat pelbagai cara yang berkesan dan ampuh dalam mengatasi kemelut kekurangan minat membaca dalam kalangan masyarakat. Sebagai kesinambungan dan kelangsungan perbincangan saya, saya ingin memberi pendapat yang bernas bahawa amalan membaca surat khabar saban hari merupakan usaha yang amat mustahak dalam memupuk tabiat membaca dalam minda saya. Sebagaimana yang kita sedia maklum, surat khabar merupakan santapan rohani dalam jiwa seseorang dan seharusnya diterapkan dalam rutin kehidupan. Dengan membaca surat khabar setiap hari, artikel-artikel yang menarik minat dan menggamit hati pembaca untuk membaca dan terus membaca sehingga ke muka surat yang terakhir. Sementelahan itu, saya juga dapat memperluas ilmu pengetahuan dan mengetahui isu semasa dan pelbagai perkara yang berlaku di seluruh dunia melalui berita dan isu semasa yang dipaparkan dalam surat khabar. Tidak ketinggalan juga, saya sepatutnya sentiasa menyertai pameran buku yang dianjurkan oleh Pustaka Buku secara intensif, istiqamah dan berkesan. Pelbagai buku yang merangkumi pelbagai bidang dan sesuai untuk semua peringkat umur akan dipamerkan. Secara tidak langsung, saya dapat memupuk budaya membaca atas rangsangan minat membaca kerana sentiasa berjinak-jinak dengan buku-buku ilmiah. Deduksinya, kekerapan mengunjungi pameran buku,perpustakaan dan mengamalkan pembacaan surat khabar setiap hari merupakan cara yang terbaik kerana falsafah Islam ada mengatakan bahawa perubahan diri sendiri dan kekerapan menerima pengaruh yang baik dapat membentuk keperibadian yang unggul dalam diri sendiri.

Memang tidak dapat disangkalkan bahawa negara kita sedang mengecapi perkembangan dan kemajuan dengan menongkah arus globalisasi, liberalisasi dan duniawi yang melanda seantero dunia. Oleh hal yang demikian, untuk meneruskan perjuangan kita merealisasikan hasrat membentuk ”negara pembaca teras negara maju’. Saya juga berperanan penting dalam menyahut cabaran negara supaya menjadi seorang rakyat yang minat membaca. Pada dasarnya, media massa sebagai arus perdana yang berpengaruh sama ada media cetak atau media elektronik sentiasa mengadakan pertandingan atau aktiviti malahan kempen kesedaran di seluruh pelosok negara untuk memupuk minat membaca dalam masyarakat. Oleh hal yang demikian, saya perlu menyertai aktiviti seperti sayembara, menulis esei, syarahan dan sebagainya untuk menanam tabiat membaca. Tidak ketinggalan juga, saya dapat mengajak rakan-rakan sebaya ataupun ahli keluarga untuk menyertai kempen ”Amalan Membaca Nadi Ilmu Pengetahuan” bersama-sama. Hal ini diibaratkan sambil menyelam minum air dan serampang dua mata kerana dapat menjalinkan hubungan silaturahim serta mendapat info terkini tentang amalan membaca.

Perbincangan saya tentang mauduk di atas sudah meniti ke puncaknya maka sebagai akhir kalam, saya ingin membuat konklusi bahawa amalan membaca mendatangkan pelbagai faedah dan kemaslahatan kepada seseorang. Sekiranya usaha-usaha yang menyeluruh dan pragmatik dilakukan oleh seseorang untuk menjadikan sebagai amalan hidup. Di samping itu, saya juga berpendapat bahawa seluruh strata masyarakat Malaysia bertanggungjawab dan bertungkus lumus untuk memupuk tabiat membaca yang luhur dan murni ini dalam kehidupan rakyat yang bermain dengan fantasi dan enggan meluaskan horizon pemikiran menyebabkan mereka terus terpinggir dan tercicir dalam arus pemodenan sedangkan orang lain sudah melangkah jauh ke hadapan untuk menjulang nama negara malaysia ke puncak jagat, anak watan Malaysia mestilah membina azam dan iltizam tinggi untuk menanam amalan membaca dalam jiwa mereka supaya menjalinkan jaringan kecemerlangan dalam pelbagai bidang. Biarlah pepohon terus menghijau, biarlah sang matahari terus bersinar dan biarlah Malaysia terus cemerlang, gemilang dan terbilang di persada dunia. Deduksinya, segenap lapisan masyarakat perlu menjayakan dan merealisasikan wawasan 2020 yang diimpikan dengan mengamalkan budaya membaca kerana golongan inteligensia dan intelektual merupakan tulang belakang sesebuah negara untuk menggapai lonjakan masa depan. Malaysia Boleh!

3 ulasan:

  1. Cikgu memang terbaik!!!

    BalasPadam
  2. siti aisyah basir31 Januari 2012 5:03 PG

    tanx cikgu bagi nota

    BalasPadam
  3. karangan menarik . yapi kalau boleh buatlah karangan guru pelita ilmu

    BalasPadam