PERSIAPAN
YANG PERLU DILAKUKAN UNTUK MENINGKATKAN PENCAPAIAN DALAM BIDANG AKADEMIK
Oleh Zureen Halqish Mohd Hanafi, 3 Abu Bakar
Tahniah Zureen Halqish!
Mutakhir
ini, kejayaan akedemik sangat vital dalam menentukan kejayaan masa hadapan
seseorang individu. Namun, kejayaan akedemik ini hanya akan dimiliki jika
seseorang itu berusaha untuk mencapainya. Malangnya, masyarakat pascamodenisasi
ini tidak peka akan kepentingan kejayaan dalam bidang akademik. Sewajarnya,
persediaan perlu dilakukan lebih awal untuk mendapat hasil yang cemerlang dalam
peperiksaan yang bersifat akademik. Persoalannya, mengapakah sikap yang kurang
cakna akan kepentingan akedemik wujud dalam diri para pelajar? Dalam hal ini,
kita perlu berusaha bersungguh-sungguh kerana sesungguhnya kejayaan tidak datang
dengan mudah bak kata peribahasa yang bulat takkan datang bergolek, yang pipih
takkan datang melayang. Oleh itu, kita mestilah melakukan persiapan awal agar
kejayaan dapat dikecapi.
Langkah
primer yang perlu dilakukan oleh seorang pelajar adalah sentiasa fokus serta
memberikan sepenuh perhatian ketika guru sedang mengajar. Pakar psikologi ada mengatakan
bahawa lima puluh peratus kejayaan pelajar adalah disebabkan fokusnya ketika
dalam sesi pembelajaran di dalam kelas. Hal ini penting supaya murid tidak
terlepas fakta penting ketika guru sedang mengajar. Tamsilnya, ketika mengikuti
sesi pembelajaran di dalam kelas pelajar boleh membuat catatan ringkas atau
bertanya apabila tidak memahami topik yang dipelajari pada waktu itu. Tahukah anda
bahawa, bertanya merupakan aspek utama dalam pembelajaran persis kata
peribahasa melayu malu bertanya sesat jalan? Impaknya, murid akan lebih mudah
memahami konsep pembelajaran serta dapat menguasai topik tersebut juga dapat
mengaplikasikan dalam peperiksaan yang dihadapi. Dalam pada itu, untuk mendapatkan
impak pembelajaran yang maksimum di dalam kelas, pelajar seharusnya mempunyai
tidur yang cukup untuk bangun awal pada keesokan harinya dan membuat persediaan
awal sebelum guru mengajar topik yang ingin diajarkan. Hal yang demikian akan
menyebabkan mereka lebih mudah memahami topik ketika proses pembelajaran
dilakukan. Tegasnya, tumpuan dan fokus di
dalam kelas akan mendorong seseorang
kecemerlangan dalam akedemik.
Pada waktu yang sama, seorang pelajar yang cemerlang perlulah menjaga
amalan pemakanan dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang dan bernutrisi.
Piramid makanan sudah tersusun sempurna untuk dijadikan panduan dan diikuti
oleh setiap pelajar bagi memastikan keseimbangan zat makanan yang diambil. Sebaik-baik
makanan ialah makanan sunah. Rasulullah menyuruh kita mengamalkan makanan sunah
yang diamalkan oleh baginda. Kita ambil contoh yang terdekat iaitu kismis. Kismis
merupakan salah satu makanan yang boleh mengurangkan tekanan, melancarkan
peredaran darah, merawat anemia, menguatkan jantung dan menerangkan hati selain
dari terkenal dengan kelebihannya kepada otak. Sabda Rasulullah mengenai
kismis, biasakanlah memakan kismis kerana kismis dapat menghilangkan kepahitan,
menghilangkan lendir, menyihatkan badan, membaguskan rupa, menguatkan saraf dan
menghilangkan letih. Selain daripada pemakanan sunah, kita juga boleh mengambil
makanan yang baik untuk otak seperti
kekacang dan bijirin penuh. Bijirin penuh amat penting kerana bijirin penuh
dapat memberi tenaga yang konsisten kerana proses pembebasan tenaganya yang
perlahan mampu memberi tenaga dalam tempoh yang lama. Hal ini dikatakan perlu
bagi seseorang pelajar kerana kehidupan di sekolah yang sangat padat dengan
aktiviti mental dan fizikal sememangnya memerlukan tenaga yang banyak untuk para
pelajar melunaskan setiap tugasan. Dengan pemakanan yang sihat, kita akan lebih
bertenaga dan dapat memberi lebih tumpuan dan fokus ketika bekerja dalam jangka
masa yang panjang. Selain itu, kita perlu juga mengelakkan diri daripada memakan
makanan yang mengandungi pewarna makanan dan bahan pengawet yang mampu
merosakkan otak kita. Makanan seperti ini tidak sepatutnya diamalkan oleh
seorang pelajar yang bergelar pelajar cemerlang. Jelaslah, amalan pemakanan
yang sihat mampu melahirkan otak yang sihat bagi memudahkan otak pelajar
berfungsi dengan lancar bak kata peribahasa Arab ,akal yang sihat datangnya
dari tubuh badan yang sihat.
Indikator seterusnya, aspek pengurusan masa yang
bijak adalah langkah efisien yang seyogia dilakukan oleh seorang pelajar
cemerlang. Hal ini dapat dilakukan dengan membuat jadual belajar yang fleksibel dengan
mengambil kira agihan masa yang seimbang antara aktiviti kurikulum dan
kokurikulum. Pengurusan masa yang baik juga dapat mengelakkan seseorang daripada terjebak
dalam kebejatan sosial yang menghambat para pelajar seperti melepak dan
membuang masa begitu sahaja . Selain itu, penyediaan jadual ini amat penting
bagi mengelakkan pelajar kebosanan dengan hanya menghadap buku setiap masa.
Pelajar yang cemerlang juga memerlukan riadah dalam kehidupan seharian mereka.
Menyingkap daripada perspektif lain, aktiviti riadah yang dilakukan mampu
menjadi pemangkin untuk mengurangkan tekanan seseorang. Bayangkan, jika seorang
pelajar perlu menghadap buku sahaja, tidakkah mereka akan mula mengalami
tekanan? Kepenatan dan keletihan menunjukkan simptom-simptom tekanan seperti
letih, lesu dan tidak bersemangat. Hal yang demikian menyebabkan prestasi
mereka mengalami kemerosotan serta mengundang pelbagai impak negatif. Adanya
jadual belajar juga akan membantu pelajar untuk menyiapkan tugasan yang diberi
oleh guru tepat pada waktunya tanpa bertangguh kerana sesungguhnya bertangguh
itu pencuri masa. Mantan Perdana Menteri kita
iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad ada mengatakan, ramai yang boleh memiliki jam
tangan yang tinggi harganya tetapi tidak ramai yang boleh menetapi masa yang
berharga. Kata-kata beliau ini terbukti dengan sikap segelintir masyarakat
zaman kini hanya sibuk mahu memiliki jam tangan yang tinggi harganya tetapi
tidak mampu menghargai setiap saat yang mereka ada. Seorang pelajar cemerlang
mesti mempunyai waktu untuk meng ulang kaji harian mereka.Waktu yang paling
bagus untuk mengulang kaji pelajaran adalah pada waktu pagi. Pakar psikologi
mengatakan, otak berfungsi seratus peratus pada waktu pagi, lima puluh peratus
pada waktu petang dan hanya dua puluh peratus pada waktu malam. Izharlah bahawa
pengurusan masa yang bijak mampu menjadikan seorang pelajar yang berdisiplin
dan menguruskan masa dengan baik.
Selain itu, pelajar
cemerlang sewajarnya memiliki sahsiah dan peribadi yang unggul. Tidak berguna
bagi seseorang jika hanya memiliki keputusan yang cemerlang tetapi tidak
mempunyai sahsiah yang terpuji. Maka, seorang pelajar cemerlang haruslah menjaga
hubungan baik antara ibu bapa, guru dan rakan seperjuangan. Keberkatan ilmu daripada
seorang guru itu amat berharga kerana tanpa keberkatan ilmu tidaklah ilmu itu
berkekalan dalam diri seorang pelajar. Mereka haruslah menggunakan bahasa dan
juga kata yang sopan bagaikan butir- butir mutiara yang berharga. Meninjau dari
aspek rakan pula, seorang pelajar yang bergelar pelajar cemerlang perlulah
berlapang dada untuk mengajar rakan lain jika mereka tidak memahami sesuatu
topik yang diketengahkan. Hal ini dikatakan demikian kerana bantuan yang
diberikan dapat mengukuhkan lagi pemahaman atas penerangan yang diberikan.
Rasulullah bersabda dalam hadisnya, apabila mati anak Adam maka terputuslah
segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu doa anak yang soleh, sedekah jariah
dan ilmu yang bermanfaat. Tidaklah rugi seseorang jika menyampaikan sesuatu
info kepada orang lain malah akan ditambahkan lagi ilmu seseorang yang
menyampaikan ilmu. Sifat sombong dan bakhil dalam pembelajaran tidak pernah
wujud dalam kamus seorang pelajar cemerlang. Impaknya, mereka akan disenangi
bukan sahaja oleh guru dan juga rakan malah masyarakat sekeliling turut
menyenangi sikap mereka kerana tidak besikap seperti kera sumbang ataupun bagai
enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Jelaslah bahawa, akhlak peribadi yang mantap
mampu mengapai kecemerlangan dalam diri seorang pelajar.
Tuntasnya, kecemerlangan dalam
bidang akademik seseorang pelajar mampu mencorakkan masa depan yang cerah.
Pelajar cemerlang seharusnya memiliki kualiti diri yang tinggi bukan sahaja
dari segi akedemik malahan dari segi kokurikulum dan sahsiah juga perlu
dititiberatkan. Mereka ini menepati ciri-ciri modal insan kelas pertama yang mampu
melonjakkan anjakan paradigma kepada negara. Namun begitu, kita tidak boleh hanya menunggu
kejayaan datang bergolek kepada kita. Kejayaan itu perlu dicari dan digali. Persediaan
yang mantap dan konsisten perlu dilakukan. Walaupun mungkin agak lambat bak
sehari selembar benang, namun pepatah ada mengatakan kalau tidak dipecahkan
ruyung, manakan dapat sagunya. Hasil persediaan yang dilakaukan dan sinergi semua
pihak pasti membuahkan kecemerlangan dalam diri seorang pelajar. Prakarsa yang
diambil memerlukan komitmen yang padu daripada semua pihak bukannya sekadar
hangat-hangat tahi ayam mahupun melepaskan batuk di tangga sahaja. Marilah kita
menjangkau daya dan usaha sehabis mungkin untuk mencorakkan masa depan negara
dengan warna seindah pelangi bagi melahirkan modal insan yang syumul untuk
bersaing di peringkat antarabangsa mahupun seantero dunia.