Karangan kiriman Siti Qaisara binti Mohammad Feisal
3 abu Bakar.
Tahniah Qaisara! Teruskan kecemerlangan anda!
Setiap individu yang ingin berjaya dalam
bidang akademik perlu melakukan persiapan. Jelaskan persiapan-persiapan yang
perlu dilakukan untuk mencapai pencapaian anda dalam bidang akademik.
Mutakhir ini, pencapaian akademik
dianggap sangat penting dalam menentukan kejayaan seseorang individu pada masa
hadapan. Namun, kejayaan akademik itu hanya akan dimiliki jika seseorang itu
berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Malangnya, terdapat segelintir masyarakat
pada masa ini yang tidak peka akan kepentingan kejayaan dalam bidang akademik.
Sewajarnya persediaan perlu dilakukan lebih awal untuk mendapat hasil yang
cemerlang. Persoalannya, mengapakah sikap yang kurang cakna akan kepentingan
akademik ada dalam diri para pelajar? Dalam hal ini, kita perlu berusaha
bersungguh-sungguh kerana sesungguhnya kejayaan tidak datang dengan mudah bak
kata peribahasa, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Oleh sebab itu, kita mestilah
melakukan persiapan awal agar kejayaan dapat dicapai.
Salah satu persiapan yang perlu kita
lakukan ialah kita hendaklah sentiasa menumpukan perhatian semasa guru sedang
mengajar di dalam kelas. Hal ini amat penting kerana jika kita memberikan sepenuh tumpuan
terhadap guru yang sedang mengajar sudah tentulah proses pembelajaran dapat diserap
masuk ke dalam minda kita dengan optimum. Kajian pakar psikologi menunjukkan
bahawa penerimaan manusia adalah 30% daripada pendengaran dan 70% daripada penglihatan.
Jika seorang pelajar tidur di dalam kelas, kedua-dua sumber ilmu, yakni
penglihatan dan pendengaran, akan tertutup. Maka ilmu apakah yang diserap masuk
ke dalam dadanya? Kita juga perlu terlibat secara aktif ketika
proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan agar dapat mewujudkan
suasana bilik darjah yang ceria dan tidak membosankan. Natijahnya, kita dapat menguasai sesuatu subjek atau mata pelajaran
dan seterusnya mengaplikasikannya dalam peperiksaan. Kita juga seharusnya kerap
bertanya kepada guru-guru sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang
kurang difahami kerana berdasarkan satu kajian yang telah dijalankan oleh pakar
psikologi mendapati kebanyakan kecemerlangan pelajar-pelajar dalam peperiksaan
adalah disebabkan oleh pelajar-pelajar yang sentiasa mengemukakan soalan-soalan
sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang kurang difahami oleh mereka.
Benarlah kata pepatah Melayu, malu bertanya sesat jalan, jika kita malu
mengemukakan soalan kepada guru tentang subjek yang kita kurang faham terus
menjadi tidak faham selama-lamanya. Tegasnya, memberikan tumpuan ketika guru
sedang mengajar merupakah persiapan yang
perlu dilakukan oleh pelajar yang ingin berjaya.
Seterusnya, pengurusan masa yang
cekap perlu ada dalam diri kita untuk mempersiapkan diri dalam mencapai
kejayaan akademik yang cemerlang. Persoalannya adalah bagaimana cara kita
hendak menguruskan masa? Kita hendaklah menyediakan jadual harian mahupun
jadual belajar agar dapat melakukan tugas tepat pada masanya. Jadual belajar
dapat mendisiplinkan kita dan membantu kita mengurus masa dengan lebih efisien.
Selain itu, dengan adanya jadual ini, kita dapat mengelakkan diri daripada
membuang masa daripada melakukan aktiviti yang tidak berfaedah seperti melepak,
bermain permainan video dan duduk goyang kaki. Kerja-kerja rumah juga tidak
akan tertangguh. Jika kita menangguhkan sesuatu pekerjaan, kerja tersebut
menjadi semakin banyak sehingga kita kekurangan masa untuk menyiapkannya kerana
sesungguhnya bertangguh itu pencuri masa. Tokoh negarawan ulung negara Tun Dr
Mahathir pernah berkata ramai orang boleh membeli jam mahal tetapi tak ramai
orang boleh menghargai masa. Kata-kata tokoh ini seharusnya kita jadikan
pedoman dalam aspek pengurusan masa agar kita mejadi orang yang cemerlang dan
tahu memanfaatkan masa dua puluh empat jam yang dikurniakan oleh Allah dengan
sebaik-baiknya. Impak murni hasil daripada pengurusan masa akan melahirkan
pelajar yang berdisplin dan disenangi guru-guru dan rakan-rakan serta dapat
meningkatkan lagi kejayaan dengan lebih cemerlang. Jelaslah bahawa, pengurusan
masa amat penting bagi persiapan dalam mencapai sesebuah kejayaan dam biang
akademik.
Selain itu, kita perlulah menjaga
amalan pemakanan yang sihat dalam kehidupan seharian kita. Tanpa pemakanan yang
sihat, kita mungkin sahaja kekurangan nutrien dan memungkinkan kita mudah
berasa lemah badan, tidak bersemangat dan jatuh sakit. Antara contoh makanan
yang baik untuk kesihatan tubuh badan dan minda ialah ikan, kismis, kurma, madu,
kekacang dan susu segar. Sebagai contoh, ikan mengandungi Omega-3 yang baik
untuk pertumbuhan dan kecerdasan otak, kurma mampu menyihatkan sel darah merah
kerana mengandungi vitamin E manakala kandungan gula dalam kismis dikenal pasti
dapat meningkatkan daya pemikiran otak. Hal ini demikian kerana otak memerlukan
gula ringkas dalam kuantiti yang banyak. Rasulullah SAW bersabda bahawa
biasakanlah makan kismis kerana kismis dapat menghilangkan kepahitan,
menyihatkan badan, menguatkan saraf, menghilangkan lendir dan menghilangkan
letih. Jelaslah bahawa, tubuh badan kita memerlukan semua zat untuk menjalani
aktiviti seharian tanpa menjadi lesu.
Tambahan pula, penyertaan yang aktif
dalam aktiviti kokurikulum memungkinkan kita mencapai kejayaan yang cemerlang
dalam akademik. Kita sebagai seorang pelajar perlu membabitkan diri dalam
akiviti kelab dan persatuan sama ada di peringkat sekolah mahupun di luar
sekolah. Unit beruniform seperti Persatuan Kadet Remaja sekolah, kelab sukan
dan permainan seperti catur dan memanah akan menjadikan diri kita serba boleh
dalam pelbagai aspek di sekolah. Jika kita melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum,
secara tidak langsung aktiviti ini berupaya
merehatkan minda kita daripada terkongkong oleh amalan membaca buku
sahaja lalu memberikan satu ketenangan minda. Sesungguhnya, ramai pelajar yang bergiat
aktif dalam aktiviti kokurikulum telah membuktikan kemenjadian yang setara
dalam bidang akademik.
Akhirulkalam, persiapan awal yang
dilakukan dengan amalan yang terbaik dapat membuahkan hasil kejayaan akademik
yang cemerlang kepada kita kelak. Oleh itu kita harus sedar bahawa kita perlu
berusaha bersungguh-sungguh jika ingin kejayaan menjadi milik kita. Pastinya
kehidupan kita dalam masa akan datang lebih terjamin dan cerah pula. Benarlah
kata pepatah usaha tangga kejayaan membuktikan bahawa usaha untuk berjaya
terletak pada tangan kita sendiri. Kejayaan dalam peperiksaan boleh
dianalogikan sebagai pelita yang menjadi penyuluh kepada kita pada malam-malam
yang gelap-gelita. Jika tidak kita akan hidup teraba-raba dalam kegelapan. Oleh
sebab itu, persiapan awal amatlah penting bagi melahirkan lebih ramai lagi
pelajar yang berjaya, berdisiplin, patuh, dan juga berkualiti untuk menjamin
masa depan mereka dan juga Malaysia kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan