Cari Blog Ini

Jumaat, 16 September 2016

Titipan Bahasa Melayu Dekat di Hati sempena Cuti Aidiladha

PERSIAPAN YANG PERLU DILAKUKAN UNTUK MENINGKATKAN PENCAPAIAN DALAM BIDANG AKADEMIK
Oleh Zureen Halqish Mohd Hanafi, 3 Abu Bakar



Tahniah Zureen Halqish!
            
Mutakhir ini, kejayaan akedemik sangat vital dalam menentukan kejayaan masa hadapan seseorang individu. Namun, kejayaan akedemik ini hanya akan dimiliki jika seseorang itu berusaha untuk mencapainya. Malangnya, masyarakat pascamodenisasi ini tidak peka akan kepentingan kejayaan dalam bidang akademik. Sewajarnya, persediaan perlu dilakukan lebih awal untuk mendapat hasil yang cemerlang dalam peperiksaan yang bersifat akademik. Persoalannya, mengapakah sikap yang kurang cakna akan kepentingan akedemik wujud dalam diri para pelajar? Dalam hal ini, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh kerana sesungguhnya kejayaan tidak datang dengan mudah bak kata peribahasa yang bulat takkan datang bergolek, yang pipih takkan datang melayang. Oleh itu, kita mestilah melakukan persiapan awal agar kejayaan dapat dikecapi.
Langkah primer yang perlu dilakukan oleh seorang pelajar adalah sentiasa fokus serta memberikan sepenuh perhatian ketika guru sedang mengajar. Pakar psikologi ada mengatakan bahawa lima puluh peratus kejayaan pelajar adalah disebabkan fokusnya ketika dalam sesi pembelajaran di dalam kelas. Hal ini penting supaya murid tidak terlepas fakta penting ketika guru sedang mengajar. Tamsilnya, ketika mengikuti sesi pembelajaran di dalam kelas pelajar boleh membuat catatan ringkas atau bertanya apabila tidak memahami topik yang dipelajari pada waktu itu. Tahukah anda bahawa, bertanya merupakan aspek utama dalam pembelajaran persis kata peribahasa melayu malu bertanya sesat jalan? Impaknya, murid akan lebih mudah memahami konsep pembelajaran serta dapat menguasai topik tersebut juga dapat mengaplikasikan dalam peperiksaan yang dihadapi. Dalam pada itu, untuk mendapatkan impak pembelajaran yang maksimum di dalam kelas, pelajar seharusnya mempunyai tidur yang cukup untuk bangun awal pada keesokan harinya dan membuat persediaan awal sebelum guru mengajar topik yang ingin diajarkan. Hal yang demikian akan menyebabkan mereka lebih mudah memahami topik ketika proses pembelajaran dilakukan.  Tegasnya, tumpuan dan fokus di dalam kelas akan  mendorong seseorang kecemerlangan dalam akedemik.
Pada waktu yang sama, seorang pelajar yang cemerlang perlulah menjaga amalan pemakanan dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang dan bernutrisi. Piramid makanan sudah tersusun sempurna untuk dijadikan panduan dan diikuti oleh setiap pelajar bagi memastikan keseimbangan zat makanan yang diambil. Sebaik-baik makanan ialah makanan sunah. Rasulullah menyuruh kita mengamalkan makanan sunah yang diamalkan oleh baginda. Kita ambil contoh yang terdekat iaitu kismis. Kismis merupakan salah satu makanan yang boleh mengurangkan tekanan, melancarkan peredaran darah, merawat anemia, menguatkan jantung dan menerangkan hati selain dari terkenal dengan kelebihannya kepada otak. Sabda Rasulullah mengenai kismis, biasakanlah memakan kismis kerana kismis dapat menghilangkan kepahitan, menghilangkan lendir, menyihatkan badan, membaguskan rupa, menguatkan saraf dan menghilangkan letih. Selain daripada pemakanan sunah, kita juga boleh mengambil makanan  yang baik untuk otak seperti kekacang dan bijirin penuh. Bijirin penuh amat penting kerana bijirin penuh dapat memberi tenaga yang konsisten kerana proses pembebasan tenaganya yang perlahan mampu memberi tenaga dalam tempoh yang lama. Hal ini dikatakan perlu bagi seseorang pelajar kerana kehidupan di sekolah yang sangat padat dengan aktiviti mental dan fizikal sememangnya memerlukan tenaga yang banyak untuk para pelajar melunaskan setiap tugasan. Dengan pemakanan yang sihat, kita akan lebih bertenaga dan dapat memberi lebih tumpuan dan fokus ketika bekerja dalam jangka masa yang panjang. Selain itu, kita perlu juga mengelakkan diri daripada memakan makanan yang mengandungi pewarna makanan dan bahan pengawet yang mampu merosakkan otak kita. Makanan seperti ini tidak sepatutnya diamalkan oleh seorang pelajar yang bergelar pelajar cemerlang. Jelaslah, amalan pemakanan yang sihat mampu melahirkan otak yang sihat bagi memudahkan otak pelajar berfungsi dengan lancar bak kata peribahasa Arab ,akal yang sihat datangnya dari tubuh badan yang sihat.
Indikator seterusnya, aspek pengurusan masa yang bijak adalah langkah efisien yang seyogia dilakukan oleh seorang pelajar cemerlang. Hal ini dapat dilakukan dengan  membuat jadual belajar yang fleksibel dengan mengambil kira agihan masa yang seimbang antara aktiviti kurikulum dan kokurikulum. Pengurusan masa yang baik juga  dapat mengelakkan seseorang daripada terjebak dalam kebejatan sosial yang menghambat para pelajar seperti melepak dan membuang masa begitu sahaja . Selain itu, penyediaan jadual ini amat penting bagi mengelakkan pelajar kebosanan dengan hanya menghadap buku setiap masa. Pelajar yang cemerlang juga memerlukan riadah dalam kehidupan seharian mereka. Menyingkap daripada perspektif lain, aktiviti riadah yang dilakukan mampu menjadi pemangkin untuk mengurangkan tekanan seseorang. Bayangkan, jika seorang pelajar perlu menghadap buku sahaja, tidakkah mereka akan mula mengalami tekanan? Kepenatan dan keletihan menunjukkan simptom-simptom tekanan seperti letih, lesu dan tidak bersemangat. Hal yang demikian menyebabkan prestasi mereka mengalami kemerosotan serta mengundang pelbagai impak negatif. Adanya jadual belajar juga akan membantu pelajar untuk menyiapkan tugasan yang diberi oleh guru tepat pada waktunya tanpa bertangguh kerana sesungguhnya bertangguh itu pencuri masa. Mantan Perdana Menteri kita iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad ada mengatakan, ramai yang boleh memiliki jam tangan yang tinggi harganya tetapi tidak ramai yang boleh menetapi masa yang berharga. Kata-kata beliau ini terbukti dengan sikap segelintir masyarakat zaman kini hanya sibuk mahu memiliki jam tangan yang tinggi harganya tetapi tidak mampu menghargai setiap saat yang mereka ada. Seorang pelajar cemerlang mesti mempunyai waktu untuk meng ulang kaji harian mereka.Waktu yang paling bagus untuk mengulang kaji pelajaran adalah pada waktu pagi. Pakar psikologi mengatakan, otak berfungsi seratus peratus pada waktu pagi, lima puluh peratus pada waktu petang dan hanya dua puluh peratus pada waktu malam. Izharlah bahawa pengurusan masa yang bijak mampu menjadikan seorang pelajar yang berdisiplin dan menguruskan masa dengan baik.
Selain itu, pelajar cemerlang sewajarnya memiliki sahsiah dan peribadi yang unggul. Tidak berguna bagi seseorang jika hanya memiliki keputusan yang cemerlang tetapi tidak mempunyai sahsiah yang terpuji. Maka, seorang pelajar cemerlang haruslah menjaga hubungan baik antara ibu bapa, guru dan rakan seperjuangan. Keberkatan ilmu daripada seorang guru itu amat berharga kerana tanpa keberkatan ilmu tidaklah ilmu itu berkekalan dalam diri seorang pelajar. Mereka haruslah menggunakan bahasa dan juga kata yang sopan bagaikan butir- butir mutiara yang berharga. Meninjau dari aspek rakan pula, seorang pelajar yang bergelar pelajar cemerlang perlulah berlapang dada untuk mengajar rakan lain jika mereka tidak memahami sesuatu topik yang diketengahkan. Hal ini dikatakan demikian kerana bantuan yang diberikan dapat mengukuhkan lagi pemahaman atas penerangan yang diberikan. Rasulullah bersabda dalam hadisnya, apabila mati anak Adam maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu doa anak yang soleh, sedekah jariah dan ilmu yang bermanfaat. Tidaklah rugi seseorang jika menyampaikan sesuatu info kepada orang lain malah akan ditambahkan lagi ilmu seseorang yang menyampaikan ilmu. Sifat sombong dan bakhil dalam pembelajaran tidak pernah wujud dalam kamus seorang pelajar cemerlang. Impaknya, mereka akan disenangi bukan sahaja oleh guru dan juga rakan malah masyarakat sekeliling turut menyenangi sikap mereka kerana tidak besikap seperti kera sumbang ataupun bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.  Jelaslah bahawa, akhlak peribadi yang mantap mampu mengapai kecemerlangan dalam diri seorang pelajar.
Tuntasnya, kecemerlangan dalam bidang akademik seseorang pelajar mampu mencorakkan masa depan yang cerah. Pelajar cemerlang seharusnya memiliki kualiti diri yang tinggi bukan sahaja dari segi akedemik malahan dari segi kokurikulum dan sahsiah juga perlu dititiberatkan. Mereka ini menepati ciri-ciri modal insan kelas pertama yang mampu melonjakkan anjakan paradigma kepada negara. Namun  begitu, kita tidak boleh hanya menunggu kejayaan datang bergolek kepada kita. Kejayaan itu perlu dicari dan digali. Persediaan yang mantap dan konsisten perlu dilakukan. Walaupun mungkin agak lambat bak sehari selembar benang, namun pepatah ada mengatakan kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Hasil persediaan yang dilakaukan dan sinergi semua pihak pasti membuahkan kecemerlangan dalam diri seorang pelajar. Prakarsa yang diambil memerlukan komitmen yang padu daripada semua pihak bukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam mahupun melepaskan batuk di tangga sahaja. Marilah kita menjangkau daya dan usaha sehabis mungkin untuk mencorakkan masa depan negara dengan warna seindah pelangi bagi melahirkan modal insan yang syumul untuk bersaing di peringkat antarabangsa mahupun seantero dunia.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan