TAJUK-TAJUK
KARANGAN JAWAKHIR 2 [ BAHASA MELAYU - KERTAS 1 ] SPM 2012
1.
Cara-cara Menangani Kenaikan Harga Barang.
2. Cara-cara Menghargai Warga Tua.
3. Faedah-faedah
Melawat Ke Luar Negara.
4. Keluarga Impian Saya.
5. Kepentingan Semangat Kejiranan.
6. Langkah-Langkah Membantu Orang Kelainan
Upaya (OKU).
7. Peranan Ibu Bapa Membentuk Masyarakat
Penyayang.
8. Peranan Ibu bapa Membentuk Budaya Ilmu
Dalam Diri Anak-anak.
9. Peranan Ibu Bapa dalam Mengatasi
Masalah Perlumbaan Haram Dalam Kalangan Remaja.
10. Usaha-usaha Mempopularkan Puisi
Tradisional.
11. Usaha-usaha Mempopularkan Permainan
Tradisional.
12. Bincangkan: Kecuaian Pengguna Menyebabkan
Berlakunya Kemalangan Jalan raya.
13. Cara-cara Menghargai Jasa Guru.
14. Kepentingan Pemakanan Seimbang.
15. Langkah-langkah Meningkatkan Mutu Sukan
Negara.
16. Peranan Ibu Bapa Memupuk Semangat Cinta
Akan Negara Dalam Kalangan Anak-anak
17. Usaha-usaha ( Anda ) Memupuk Amalan
Membaca.
18. Disiplin Teras Kejayaan.
19. Kepentingan Industri Kecil dan Sederhana
( IKS).
20. Faktor-faktor Malaysia Menjadi Destinasi
Pelancongan Terkenal.
21. Remaja Berwawasan.
22. Kepentingan Menyambut Hari Kemerdekaan.
23. Cara-Cara Mengatasi Tekanan ( Anda /
Individu )
24. Kepentingan Memulihara Bangunan
Bersejarah
DISIPLIN TERAS KEJAYAAN
Mendepani realiti baru era milenium yang pantas berubah dan berkembang ini, masyarakat dinamik, madani serta inovatif amat diperlukan untuk mencapai kejayaan agar dapat anak watan di negara ini mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara gergasi seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Perancis. Hal ini demikian, disiplin merupakan cerucuk fundamental bagi kejayaan sesebuah bangsa. Secara holistik, disiplin merupakan pemangkin bagi melahirkan sebuah komuniti yang progresif, berketerampilan dan berupaya mendepani setiap kekangan untuk mengharungi arus perubahan dunia yang semakin mencabar. .
Disiplin dapat melahirkan pelajar yang mempunyai keinsanan yang syumul. Hal ini demikian, disiplin merupakan asas bagi sesebuah kejayaan. Contohnya, seseorang pelajar yang ingin berjaya mestilah rajin untuk mengulang kaji pelajaran, bangun awal ke sekolah, membuat semua kerja sekolah yang diberikan dan mematuhi peraturan sekolah. Tanpa disiplin, tidak mungkin seseorang pelajar dapat melakukan perkara-perkara tersebut. Malahan, budaya pesimistik dalam kalangan pelajar mestilah dikikis demi menyambut gamitan menara impian. Tamsilnya, Nik Nur Madihah yang merupakan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2008 mendapat 20 A dalam peperiksaan awam. Beliau tidak menjadikan kemiskinan yang membelenggu hidupnya sebagai batu penarung. Sebaliknya, disebabkan kerajinan, kegigihan, ketekunan dan yang paling perdana iaitu disiplin beliau yang tinggi dan minda yang positif telah menyuntik semangat dirinya untuk menggapai kejayaan persis kata tokoh terkemuka, Cecil B. DeMille iaitu orang yang berjaya dalam hidup ialah orang yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepada tujuan itu tanpa menyimpang. Jelaslah bahawa disiplin merupakan formula yang paling manjur untuk anak watan ini meraih kegemilangan dalam kehidupan.
Selain itu, ibu bapa juga memerlukan disiplin yang tinggi untuk melahirkan sebuah keluarga sakinah. Ibu bapa menggalas tanggungjawab yang berat dalam sesebuah institusi keluarga. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak agar menjadi warganegara yang berguna kerana anak yang baru lahir ibarat kain putih dan ibu bapalah yang mencorak, mewarnai dan membentuk keperibadian cahaya mata mereka. Tidak lain tidak bukan, disiplinlah yang diterapkan dalam diri ibu bapa untuk membentuk diri anak mereka yang gemilang. Bukan itu sahaja, ibu bapa juga mestilah berupaya menjadi suri teladan yang baik kerana segala perwatakan ibu bapa akan dicontohi anak-anak bak kata peribahasa, bagaimana acuannya, begitulah kuihnya. Malahan, ibu bapa bukan sahaja perlu mendidik anak-anak, mereka juga perlu menyediakan segala keperluan serta membesarkan anak-anak. Izharnya, ibu bapa juga hendaklah mempunyai disiplin diri untuk mewujudkan sebuah keluarga bahagia dan melahirkan anak yang membudayakan sifat-sifat mahmudah dan menghindari segala unsur mazmumah..
Sementelahan itu, pekerja-pekerja sektor kerajaan mahupun swasta juga tidak terlepas daripada mempunyai disiplin dan komitmen yang tinggi terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. Golongan pekerja berkolar putih dan biru ini mestilah menepati masa, bertanggungjawab dan amanah. Contohnya, seorang pegawai bank mestilah menepati masa untuk datang ke tempat kerja. Beliau juga hendaklah bertanggungjawab melakukan segala tugas yang diberikan dan berintergriti terhadap bidang tugas yang melibatkan kewangan. Usahlah kita diibaratkan seperti dalam peribahasa harapkan pagar, pagar makan padi. Dalam abad ini, ketuanan dan keterbilangan sesebuah negara bersandarkan kehebatan ekonominya. kita mahukan generasi yang diibaratkan duduk meraut ranjau, tegak meninjau jarak bukannya pemimpin yang hanya tahu menakik darah di batu. Kita perlu lakukan transformasi ekonomi melalui generasi yang bijak meneroka dan mencuba sesuatu yang baru dan hasilnya mengagumkan seluruh planet ini Ternyata bahawa, dalam melakukan sesuatu pekerjaan disiplin diri amat penting kerana kejayaan tidak datang bergolek.
Seterusnya, sebagai pengguna jalan raya, kita mestilah berdisiplin dan memandu secara berhemah. Disiplin yang diamalkan dalam pemanduan dapat mengurangkan kadar kemalangan yang semakin hari semakin meningkat. Seorang pemandu mestilah mematuhi peraturan jalan raya dengan memasang tali pinggang keledar, mematuhi had laju dan peka terhadap papan tanda di tepi jalan. Secara tidak langsung, kadar kamalangan yang sudah mencapai tahap mencemaskan ini lebih-lebih lagi semasa musim perayaan dapat dikurangkan. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan tiada mahu langsung kemalangan jalan raya pada musim perayaan walaupun ramai menganggapnya mustahil. Menurutnya,keadaan "nahas sifar" ini boleh dicapai kerana kajian menunjukkan kebanyakan kemalangan jalan raya disebabkan oleh faktor manusia dan bukannya faktor kenderaan atau jalan tidak elok. Memang Ops Sikap itu membantu kerana tanpa Ops Sikap, kita tidak dapat membayangkan betapa banyak lagi yang akan mati di atas jalan raya. Persoalannya takkan sehingga kita terpaksa mengharapkan Ops Sikap sepanjang tahun, tetapi pemandu itu sendiri tidak mahu mengubah sikap mereka sendiri. Slogan "Anda Mampu Mengubahnya" memang tepat sebagai peringatan kepada semua pengguna jalan raya.
Jelaslah bahawa, pemandu yang berdisiplin dan berhemah dapat membantu mengurangkan kehilangan nyawa yang lebih banyak dan ini bertepatan dengan slogan, pandu cermat, jiwa selamat.
Jelaslah bahawa, pemandu yang berdisiplin dan berhemah dapat membantu mengurangkan kehilangan nyawa yang lebih banyak dan ini bertepatan dengan slogan, pandu cermat, jiwa selamat.
Di samping itu, sebagai pengguna mestilah bijak mengutamakan disiplin ketika berbelanja. Dalam dunia yang serba canggih dan wujudnya Internet, masyarakat dapat membeli dan berbelanja dengan hanya mengakses maklumat hanya di hujung jari sahaja. Masyarakat yang naïf dengan mata kebendaan yang melalaikan akan memboros dan berbelanja berpaksikan hawa nafsu dan bukannya keperluan. Oleh sebab itu, golongan ini mestilah mempunyai disiplin diri agar dapat berjimat-cermat dan bijak merancang keperluan mereka. Secara tidak langsung, golongan ini dapat mengelakkan diri daripada berhutang dengan bank atau lintah darat yang sentiasa mengintai peluang untuk mengaut keuntungan . Mukhtasarnya, individu yang dapat mengawal diri daripada terlalu mengikut hawa nafsu dan berlatih untuk mendisiplinkan diri agar berbelanja secara berhemat pasti dapat mengecapi kehidupan yang sempurna dan mempunyai sumber kewangan yang stabil bak kata peribahasa beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis.
Akhirulkalam, disiplin merupakan cerucuk utama pembangunan negara kerana dengan disiplin kita mampu untuk mengadun satu kombinasi usaha yang cukup padu agar nama Malaysia gah di seluruh pojok dunia. Siapa menyangka bahawa tangan yang menghayun buaian itu boleh menggoncang dunia. Perkara-perkara ini menunjukkan bahawa orang yang berdidiplin dan memiliki minda yang positif ialah orang yang tidak gentar akan perubahan dan menyesuaikan dirinya dengan perubahan tersebut. Dengan itu, sifat itu dengan sendirinya mampu membina sebuah masyarakat yang kreatif dasawarsa ini. Oleh itu, marilah kita bergabung sinergi dan merencanakan langkah sederap untuk mengotakan iltizam serta aspirasi negara iaitu Wawasan 2020 yang bakal tiba.
Penskoran:
Peringkat: Cemerlang
|
Markah dicadangkan: 80 -88
|
Komen:
|
1. Tugasan: Menjawab tugasan
|
2. Idea : Menepati tugasan dan huraian jelas dan matang
|
3. Bahasa : gramatis dan kosa kata luas dan tepat/ terdapat ungkapan menarik
|
4.Pengolahan: menarik dan berkesan
|
USAHA-USAHA
INDIVIDU (ANDA) MEMUPUK AMALAN MEMBACA
Dasar langit terbuka dan dunia tanpa sempadan
hari ini telah menyebabkan
remaja hilang keyakinan diri dan ketahanan jiwa sehingga terdorong melakukan
pelbagai aktiviti negatif seperti berpeleseran, membuli dan vandalisme.
Mengapakah remaja lebih gemar melakukan aktiviti yang tidak mendatangkan
sebarang faedah kepada mereka? Tidak pernahkah terdetik dalam sanubari mereka
bahawa terdapat pelbagai aktiviti berfaedah yang boleh mereka lakukan khususnya
membaca? Hal ini demikian kerana, membaca akan menghubungkan antara manusia
dengan segala ilmu pengetahuan. Namun begitu, berdasarkan
kajian, rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun berbanding bilangan
buku yang dibaca oleh rakyat Jepun. Justeru, kita perlulah mencari formula
terbaik persis mutiara kata yang buruk dibuang dengan runding, yang baik ditarik dengan maufakat untuk
menjadikan rakyat Malaysia gemar membaca. Oleh sebab itu, sebagai seorang pelajar dan remaja, kita
perlulah mencari inisiatif dan cara yang efektif untuk menjadikan amalan
membaca itu amalan hidup.
Prakarsa pertama untuk menjadikan membaca sebagai amalan
hidup ialah, saya perlulah rajin pergi ke perpustakaan. Marcapada, Malaysia
tidak pernah ketandusan perpustakaan malah di negara ini terdapat pelbagai
jenis perpustakaan, tamsilnya perpustakaan sekolah, perpustakaan awam dan
perpustakaan bergerak. Di perpustakaan yang dikunjungi, saya dapat membaca dan
meminjam pelbagai jenis buku untuk meningkatkan ilmu pengetahuan. Saya akan
sentiasa berusaha dan rajin ke perpustakaan untuk membaca walaupun memaklumi
bahawa perpustakaan yang dipenuhi dengan buku itu ibarat
lautan yang terbentang luas yang tidak mungkin dapat diteroka.
Walaupun sekadar membaca sebuah buku seminggu, dapat saya rasakan ilmu yang
diperoleh amat besar nilainya. Sementara itu, saya juga akan melakukan lawatan
sambil belajar ke Perpustakaan Negara atau perpustakaan di
universiti-universiti terkemuka di Malaysia. Selain dapat menyemai minat
membaca dalam diri, saya juga dapat melihat kecanggihan teknologi yang terdapat
di situ bertepatan dengan kata peribahasa sambil menyelam minum air. Ternyata
pasti, dengan bersikap rajin mengunjungi perpustakaan saya akan sentiasa
terdorong untuk menjadikan membaca sebagai amalan hidup.
Peribahasa Melayu yang menyatakan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, amat bersesuaian untuk saya jadikan pegangan dalam usaha
memupuk amalan membaca. Kata-kata hikmat di atas akan diperjelaskan serta dibahaskan dari
perspektif menyediakan sudut bacaan di
rumah atau bilik sendiri. Suka saya tegaskan bahawa perubahan diri sendiri
merupakan cara yang paling proaktif dan mujarab untuk menjadikan membaca
sebagai amalan dalam kehidupan. Demi memupuk budaya membaca dalam jiwa saya, saya perlu menyediakan sudut bacaan atau
perpustakaan mini di rumah untuk kegunaan semua ahli keluarga. Situasi ini
akan menggalakkan serta mendorong kami sekeluarga supaya berjinak-jinak dengan
bidang ilmu supaya amalan membaca diterapkan dalam minda setiap anggota
keluarga. Sementalahan itu, saya perlu membeli pelbagai judul buku yang menarik
dan sesuai untuk dibaca di samping mengamalkan budaya membaca
buku sebelum tidur. Neville Black, seorang ahli falsafah Barat,
berpendapat bahawa ilmu pengetahuan adalah aset yang paling dominan sekiranya
kita ingin bersaing dengan pihak lain pada zaman globalisasi ini. Atas kedahagaan menuntut ilmu pengetahuan, saya akan
membaca dan terus membaca sehingga menjadi seorang modal insan yang berminda
kelas pertama. Berdasarkan perbincangan di atas, pada hemat saya, saya perlu
memupuk amalan membaca dalam diri sekali gus menjadi suri teladan kepada
adik-adik saya.
Selain
itu, saya juga boleh ikut serta secara
aktif dalam program NILAM atau Nadi Ilmu Amalan Membaca. Hal ini kerana,
NILAM berfungsi untuk menarik minat para pelajar membaca dalam kuantiti yang
banyak. Melalui program ini, saya perlu membaca dua versi buku iaitu Bahasa
Melayu dan Bahasa Inggeris dan kemudiannya direkodkan dalam buku NILAM. Pelajar
yang membaca dalam kuantiti yang banyak akan diberi penghargaan bermula
daripada gangsa, perak, emas dan seterusnya nilam. Malah, pelajar yang aktif
juga boleh mewakili sekolah ke peringkat yang lebih tinggi iaitu peringkat
daerah, negeri dan kebangsaan. Dalam program ini juga terdapat tahap Rakan
Pembaca. Rakan Pembaca berfungsi untuk menarik minat pelajar lain dan
seterusnya berkongsi ilmu dengan mereka. Kesannya pelajar lain juga akan turut
sama menjadikan amalan membaca sebagai satu keperluan dalam hidup mereka. Apa
yang pasti, segala keinginan untuk meningkatkan jumlah bahan bacaan yang dibaca
perlu lahir daripada diri saya tanpa wujud paksaan daripada pihak lain. Dalam
hal ini, saya amat berpegang kepada ayat al-Quran yang menyatakan bahawa Allah
tidak akan mengubah nasib seseorang, sekiranya seseorang itu sendiri tidak mahu
mengubahnya.
Sementara
itu, saya juga boleh pergi ke pameran
buku, ekspo dan kedai buku. Hal ini kerana, saya akan mengetahui pelbagai
klasifikasi buku di sini. Misalnya, pameran buku yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa
dan Pustaka (DBP) dan Pameran Buku Kebangsaan. Dalam pameran-pameran seperti
inilah saya dapat membeli buku dengan harga yang murah dan berpatutan dan
membaca buku secara percuma di tempat-tempat yang disediakan di pameran
tersebut. Terdapat juga ruang-ruang khas yang disediakan di sudut maklumat di
pameran atau ekspo tersebut mengenai sinopsis buku-buku yang dijual. Dengan cara
ini, saya dapat membaca secara ringkas tentang buku-buku tersebut sebelum
membuat pilihan untuk membelinya. Saya bukan sahaja dapat membaca secara
percuma, malah dapat menjimatkan masa, kos dan tenaga. Dengan mengunjungi
pameran-pameran, ekspo atau kedai buku, saya akan mengenali lebih ramai rakan
yang berkongsi minat yang sama iaitu membaca. Peribahasa jauh perjalanan luas
pemandangan amat bersesuaian dengan perkara dan situasi yang saya
bincangkan di atas.
Seterusnya,
saya juga boleh membuat langganan buku
pada setiap bulan. Buku-buku atau majalah yang dilanggan bukanlah sekadar
berunsurkan tarbiah sahaja, tetapi juga bercorak santai seperti Dewan Siswa,
majalah i-sihat dan Solusi. Di manakah saya boleh mendapatkan buku atau majalah
tersebut? Saya boleh melanggannya melalui Internet atau meminta bantuan guru di sekolah untuk melanggannya. Impaknya,
saya akan sentiasa membaca pada setiap masa, menjimatkan masa dan dapat
mengetahui perkembangan terkini apabila melanggan buku pada setiap bulan. Dalam
hal ini, saya akan menjadikan individu yang gemar membaca dan sentiasa dekat
dengan buku sebagai idola. Sebagai contoh, A.Samad Said yang terkenal dengan
karya puisinya, Profesor Ungku Aziz, Mary Renault dengan buku-buku sejarahnya
dan penulis novel tersohor, Sharifah Abu Salem. Apabila saya menjadikan mereka
sebagai idola, saya akan sentiasa terdorong untuk melanggan pelagai buku di
pasaran sekali gus menjadikan membaca sebagai rutin hidup saya.
Memang tidak dapat disangkalkan bahawa negara kita sedang
mengecapi perkembangan dan kemajuan dengan menongkah arus globalisasi,
liberalisasi dan duniawi yang melanda seantero dunia. Oleh hal yang demikian,
untuk meneruskan perjuangan kita merealisasikan hasrat membentuk negara pembaca
teras negara maju. Saya juga berperanan
penting dalam menyahut cabaran negara supaya menjadi seorang rakyat yang minat
membaca. Pada dasarnya, media massa sebagai arus perdana yang berpengaruh
sama ada media cetak atau media elektronik sentiasa mengadakan pertandingan
atau aktiviti malahan kempen kesedaran di seluruh pelosok negara untuk memupuk
minat membaca dalam masyarakat. Oleh hal yang demikian, saya perlu menyertai
aktiviti seperti sayembara, menulis esei, syarahan dan sebagainya untuk menanam
tabiat membaca. Tidak ketinggalan juga, saya dapat mengajak rakan-rakan sebaya
ataupun ahli keluarga untuk menyertai kempen ”Amalan Membaca Nadi Ilmu Pengetahuan”
bersama-sama. Hal ini diibaratkan sambil menyelam minum air dan serampang dua mata kerana dapat menjalinkan hubungan
silaturahim serta mendapat info terkini tentang amalan membaca.
Konklusinya, remaja perlulah berusaha memajukan diri
untuk jaminan masa hadapan. Hal ini kerana, remaja adalah pewaris tampuk
kepimpinan negara. Remaja merupakan aset negara kerana bertepatan dengan
kata-kata pemuda harapan
bangsa, pemudi tiang negara. Janganlah dibiarkan usia remaja dipenuhi dengan perkara yang
sia-sia. Kontradiksinya, penuhilah masa remaja kita dengan aktiviti yang
berfaedah seperti amalan membaca. Remaja perlu berpegang teguh dan jitu dengan
slogan ’Membaca Jambatan Ilmu’ dan ’Rakyat Membaca, Bangsa Berjaya’
seperti yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri kita, Dato’ Seri Najib bin Abdul
Razak. Generasi berpengetahuan merupakan tunjang untuk mencapai wawasan 2020
bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju dalam tempoh lapan tahun mendatang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan