Tema : Cara-cara menghargai jasa guru
Sasterawan Negara, Datuk
Usman Awang pernah menyatakan bahawa lahirnya seorang Perdana Menteri, doktor,
peguam dan pensyarah adalah bermula daripada seorang guru biasa yang
mengajarnya membaca dan menulis. Nah, inilah ungkapan yang mengangkat martabat
seorang guru dalam mendidik anak bangsa tanpa mengira masa, tenaga serta wang
ringgit. Mereka ibarat matahari yang menyinari kehidupan insaniah dengan cahaya
ilmunya. Kegigihan guru dalam mendidik anak watan dengan ikhlas tanpa rasa jemu
tidak perlu dipertikaikan. Tanpa usaha
dan pengorbanan guru, tidak mungkin pelajar mencapai kejayaan yang
cemerlang. Oleh itu, cara-cara
menghargai jasa guru yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dan
diperincikan untuk kepentingan bersama.
Memetik kata-kata
daripada Mantan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang
menyatakan bahawa pemupukan adab menghormati guru bermula dari rumah dan
mengharapkan ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka menghargai jasa guru. Berdasarkan pernyataan tersebut, jelaslah adab menghormati guru merupakan elemen
penting dalam memupuk budi bahasa dan adab sopan dalam kalangan pelajar.
Pelajar yang menjaga tutur kata dan adab ketika berhadapan dengan guru
merupakan antara cara kita menghargai jasa guru. Para pelajar perlulah sentiasa
bermanis muka sambil mengucapkan selamat sejahtera atau memberikan salam ketika
berhadapan atau berselisih dengan guru tanpa mengira keadaan. Semasa di dalam kelas, pelajar yang
menghormati guru tidak sesekali membuat bising sehingga mengganggu guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran
berlangsung. Sikap seperti masuk telinga kiri keluar telinga kanan
perlu dielakkan. Dalam konteks ini, mereka sewajarnya memberikan tumpuan dan
perhatian sepenuhnya semasa pengajaran guru dan sentiasa mengambil peluang
bertanya dan berbincang tentang pelajaran. Ketika mengadakan sesi perbincangan
di kelas, pelajar perlu menjaga tata
susila, tidak meninggikan suara dan memandang guru serta rakan dengan mesra.
Bukankah guru merupakan lubuk akal
lautan ilmu? Tegasnya, berbudi bahasa serta beradab sopan merupakan amalan
terpuji bagi menghargai guru yang mengajar serta mendidik kita.
Berdisiplin
dan mematuhi peraturan sekolah juga merupakan salah satu cara yang tidak boleh dikesampingkan oleh
pelajar yang terpancar akhlak mulianya. Antara
ciri pelajar yang berdisiplin ialah mereka sentiasa datang awal ke sekolah,
sentiasa menepati masa, tidak terlibat dalam gangsterisme, vandalisme mahupun
ponteng sekolah. Selain itu, pelajar berpakaian seragam dengan kemas dengan rambut bersisir rapi. Amalan seumpama
ini, memupuk disiplin pelajar untuk bersedia belajar seterusnya mematuhi
peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Jika disiplin terkawal sudah tentu memudahkan
tugas guru untuk mengajar seterusnya mendidik pelajar agar berjaya dengan
cemerlang. Peribahasa bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana
muafakat, membuktikan kerjasama erat antara guru dan pelajar dalam mematuhi peraturan yang ditetapkan pasti menjadi
pemangkin kecemerlangan akademik serta sahsiah pelajar. Jelaslah, mematuhi
disiplin mencerminkan penghormatan pelajar kepada guru.
Di samping itu, pelajar perlu prihatin dan menunjukkan kasih sayang terhadap guru. Amalan
mengingati dan menghargai jasa guru merupakan amalan yang mulia. Para guru akan
berasa bahawa jasa mereka dihargai
walaupun mereka tidak berkhidmat sebagai pendidik lagi. Kita boleh menghargai
jasa guru dengan meraikan sambutan Hari Guru pada setiap tanggal 16 Mei. Pada hari tersebut, sewajarnya pelajar memberikan
hadiah kepada guru yang mengajar mereka sebagai tanda penghargaan atas segala usaha dan titik peluh yang dicurahkan. Hadiah yang diberikan tidak semestinya
berpaksi kepada wang ringgit semata-mata tetapi mestilah disertakan dengan hati
yang tulus lagi ikhlas. Nilai bukan ukuran tetapi pemberian yang ikhlas itu
lebih bermakna. Sekiranya pelajar tidak mampu memberikan hadiah, cukuplah
sekadar ucapan selamat hari guru.
Amalan ziarah-menziarahi guru perlulah dijadikan budaya dalam
kalangan pelajar. Menziarahi guru
ketika mereka mengalami kesusahan dan sakit juga cara kita menghargai jasa para
guru. Sebagai manusia tentunya para guru menghadapi pelbagai masalah dalam
kehidupan. Sebagai contohnya, kemungkinan
guru ditimpa kemalangan, bencana, menghidapi penyakit dan sebagainya kerana malang tidak berbau. Sebagai pelajar, kita perlu menziarahi mereka
jika mereka menghadapi situasi tersebut sebagai tanda melahirkan rasa simpati
ibarat cubit paha kanan paha kiri terasa
sakitnya. Ketika menziarahi mereka sakit, kita perlulah membawa buah tangan untuk menggembirakan guru
sekali gus mengurangkan beban kesakitan yang ditanggung. Jika mereka mengalami
kemalangan atau bencana alam, kita perlu mengutip derma bagi meringankan beban
yang mereka tanggung. Hal ini amat bertepatan dengan peribahasa, berat mata memandang, berat lagi bahu
memikul. Jelaslah bahawa frasa, jasamu
dikenang, budimu disanjung bukanlah sekadar omongan kosong kerana
pengorbanan guru sentiasa dikenang oleh para pelajar.
Selain itu, kita juga boleh
menghargai jasa guru dengan mendoakan kesejahteraan guru yang telah mengajar
dan mendidik kita selama ini. Mendoakan kesejahteraan guru sama ada semasa
hayatnya atau sesudah mereka kembali ke rahmatullah membuktikan kita sentiasa
mengenang jasa mereka. Kita perlulah mendoakan mereka agar sentiasa sihat
sejahtera dan dielakkan daripada segala bahaya. Hal ini kerana jika guru sihat
sudah tentu mereka akan dapat menjalankan tugas mendidik anak watan dengan
sempurna. Bagi mereka yang telah meninggal dunia, kita perlulah mendoakan agar
dosa-dosa mereka diampunkan agar mereka sejahtera di alam barzakh. Sesungguhnya,
harimau mati meninggalkan belang,
manusia mati meninggalkan nama dan sudah tentu jasa serta pengorbanan guru
akan terus dikenang sepanjang masa.
Sudah terang lagi bersuluh, jasa dan pengorbanan seorang guru itu sukar untuk
dibalas walaupun dengan segunung intan.
Tanpa guru siapalah kita kerana gurulah yang mengajar kita mengenali erti
kehidupan. Akhirnya, marilah kita bersama-sama menghargai jasa guru agar ilmu
yang kita peroleh daripadanya mendapat keberkatan daripada Tuhan.
Renungilah bait-bait puisi di bawah.
Renungilah bait-bait puisi di bawah.
Guru,
kau ibarat dian yang membakar diri
melahirkan insan yang lestari
tanpa mengira waktu dan hari
segala ilmu dicurah dan diberi
kerana kau sedar tanggungjawab yang
diberi
tanpamu negara tak mungkin teguh berdiri.
Penskoran :
Peringkat :
Cemerlang
|
|
Markah dicadangkan :
91 /100
|
|
Komen :
|
|
1.
Takrif
|
Menjawab tugasan.
|
2.
Idea
|
Sangat relevan dan
dihuraikan dengan baik dan matang.
|
3.
Bahasa
|
Sangat gramatis dan
bervariasi.
|
4.
Pengolahan
|
Sangat menarik dan
berkesan serta pemerengganan sesuai.
|
Tema : Keluarga Impian Saya
“Rumahku, syurgaku” merupakan ungkapan
keramat yang memanifestasikan peri pentingnya setiap ahli dalam sesebuah
keluarga memainkan peranan masing-masing dengan sebaik mungkin sehingga
menjelmakan kebahagiaan yang menjadikan rumah seumpama syurga. Semua insan
mengidamkan sebuah keluarga yang bahagia, tidak terkecuali saya. Dalam sebuah
keluarga yang bahagia, nilai toleransi, bertimbang rasa, kasih sayang, hormat
menghormati dan kejujuran sewajarnya menunjangi kehidupan seharian
ahli-ahlinya. Tidak lengkap jika setiap ahli keluarga hanya melakukan kerja
sendiri tanpa mempedulikan ahli keluarga yang lain kerana sikap saling membantu
bagai aur dengan tebing harus
diamalkan dalam sesebuah keluarga. Sukar untuk dipercayai jika seseorang itu
mengatakan bahawa dia tidak mengimpikan keluarga yang bahagia lagi harmoni. Oleh sebab itu, kita harus membebaskan mereka daripada belenggu kejahilan dan kegelapan
itu kerana tanpa keluarga tidak mungkin kita akan menjadi insan yang berjaya
dalam kehidupan.
Sesungguhnya
setiap individu harus memikul dan melaksanakan kewajipan masing-masing demi mewujudkan sebuah keluarga yang
bahagia. Ibu bapa haruslah memainkan peranan penting untuk membina keluarga
yang harmoni dan mewujudkan kebahagiaan dalam keluarga. Ibu bapalah yang akan
membentuk sahsiah anak-anak. Ibu bapa jugalah yang akan memberikan bekalan yang
terbaik kepada anak-anak seperti ilmu pengetahuan dan penerapan nilai-nilai
murni. Anak-anak pada era globalisasi
ini semakin cepat menerima apa-apa yang
dipelajari, maka anak-anak ini perlu dibajai dengan perkara yang baik dan berfaedah
serta membuahkan hasil. Anak-anak umpama sehelai kain putih yang harus
dicorakkan oleh ibu bapa supaya menjadi sehelai kain batik yang cantik lagi
menarik. Sewaktu anak-anak masih kecil, ibu bapalah yang
menjadi guru mereka kerana merekalah guru yang pertama dan terdekat yang
boleh membimbing anak-anak supaya menjadi insan yang berwawasan apabila dewasa
kelak. Anak-anak akan meniru jejak langkah ibu dan bapa kerana mereka merupakan
idola anak-anak mereka semasa kecil dan hal ini dapat diibaratkan bagaimana acuan, begitulah kuihnya.
Haruslah diingatkan bahawa setiap tingkah laku yang dipamerkan oleh ibu bapa
pasti ada yang akan menjejaki langkah mereka. Tuntasnya, benarlah bahawa ibu bapa haruslah membentuk sahsiah
anak-anak mereka untuk menjadi insan yang cemerlang dari segi fizikal mahupun
rohani mereka dan ciri keluarga beginilah yang menjadi impian saya.
Selain
itu, ibu bapa hendaklah mengajar
anak-anak mereka yang mana intan,
yang mana kaca, iaitu mereka bijak
membezakan antara perbuatan yang baik dan sebaliknya. Hal ini disebabkan oleh sifat
anak-anak yang naif lantas tidak berupaya membezakan antara perbuatan yang baik dan perbuatan yang buruk. Dalam
konteks ini ibu bapa haruslah mengajar
anak-anak mereka tentang realiti
menempuh kehidupan yang diredai Tuhan. Ibu bapa harus mengawasi pergaulan
anak-anak di luar rumah kerana dikhuatiri mereka terlampau bebas sehingga
terjerumus ke lembah dunia yang penuh dengan masalah sosial dan susila yang
meruncing sedangkan mereka masih berumur setahun
jagung dan darah setampuk pinang.
Ibu bapa haruslah memastikan anak-anak mereka tidak bergaul dengan rakan yang
buruk akhlaknya kerana hal tersebut akan menggelapkan masa depan mereka. Tidak
cukup jika kasih sayang yang diberikan seperti bena tak bena. Sebaliknya, ibu
bapa haruslah memberikan kasih sayang mereka dengan secukupnya selain melayan
anak-anak bagai menatang minyak yang
penuh. Ibu bapa juga perlu memastikan
anak-anak memperoleh didikan agama yang mantap sejak anak-anak masih
kecil lagi kerana tanpa pegangan agama yang kukuh mereka akan tersesat seperti layang-layang terputus talinya.
Ironinya, ibu bapa haruslah mendidik
anak-anak sejak mereka kecil lagi supaya mereka tidak tersesat ketika menempuh
belantara kehidupan. Dalam benak
saya, inilah antara ciri yang perlu ada dalam keluarga yang menjadi
idaman saya.
Anak-anak
akan kehilangan semangat untuk melakukan sebarang kerja seharian jika ibu bapa tidak meluangkan
masa dengan mereka walaupun hanya
untuk bertanyakan khabar. Lantaran itu, ibu bapa haruslah berusaha sedaya
mungkin untuk meluangkan masa bersama dengan anak-anak. Meluangkan masa
bersama-sama ahli keluarga tidak bererti
mereka hanya melakukan aktiviti di luar rumah, bahkan usaha
tersebut boleh juga dilakukan di dalam
rumah seperti membincangkan masalah yang membelenggu pemikiran anak-anak di
samping menyelesaikannya. Ibu bapa haruslah mengambil berat terhadap anak-anak dengan bertanyakan masalah yang dihadapi,
perkembangan pelajaran di sekolah dan kehidupan sosial mereka. Ibu bapa tidak
seharusnya memperlihatkan sikap rakus dalam mengejar fatamorgana dalam aspek kebendaan sehingga mengabaikan
tanggungjawab terhadap anak-anak. Wang
ringgit bukanlah penyelesaian bagi setiap masalah yang dihadapi tetapi kasih
sayang yang ikhlas dari lubuk hati yang suci itu adalah penting bagi menjana
keluarga bahagia. Tidak salah jika ibu bapa mencari rezeki pada siang hari, tetapi jika sering pulang lewat
petang sehingga mengabaikan makan minum anak-anak, tentu mereka akan makan
hati. Peribahasa Arab pernah mengatakan bahawa anak-anak yang kurang
memperoleh kasih sayang daripada ibu bapa yang sibuk adalah yatim. Walau
bagaimanapun, ibu bapa haruslah
meluangkan masa mereka bersama dengan anak-anak
agar mereka tidak kesunyian di samping dapat membina keluarga
bahagia.
Menjadi
anak yang derhaka ialah perkara yang dilarang sama sekali dalam mana-mana
ajaran agama. Untuk mewujudkan keluarga bahagia, anak-anak haruslah menuruti perintah ibu bapa mereka. Anak-anak
hendaklah belajar dengan penuh kesungguhan dan mendapat keputusan yang cemerlang kerana pencapaian tersebut
dapat membanggakan ibu bapa untuk membalas jasa mereka. Anak-anak seharusnya
memuliakan maruah diri dan maruah keluarga dengan tidak melibatkan diri dengan
aktiviti yang tidak sihat seperti vandalisme, lumba haram, dan menagih dadah.
Anak-anak sewajarnya mendengar nasihat ibu bapa, bukannya menjadikan diri
mereka tidak ubah seperti mencurahkan air ke daun keladi. Tidak sepatutnya jasa
ibu bapa yang tidak terbalas itu dilupakan
begitu sahaja. Sebagai insan yang bergelar anak kita haruslah mengenang jasa mereka kerana
kita ditegah untuk menjadi seperti kacang
lupakan kulit. Anak-anak haruslah mengambil alih tugas ibu bapa yang dahulu
menjaga kita sewaktu kecil dan kini tugas itu diambil oleh generasi muda untuk
menjaga ibu bapa mereka yang sudah uzur yang sudah tidak boleh menguruskan diri
mereka lagi. Jika ibu bapa boleh menatang kita umpama anak emas, mengapa kita sebagai anak tidak boleh melakukan hal yang
sama? Hal ini disebabkan oleh mereka masih tidak bijak untuk menghargai
seseorang yang telah berjasa kepada diri mereka sedangkan ibu bapalah yang telah membimbing, mendidik
dan menjaga mereka sejak mereka kecil lagi. Seandainya tiada ibu bapa,siapakah
kita pada hari ini? Akhir sekali,anak-anak
harus mentaati perintah ibu bapa agar keluarga bahagia dapat dibina.
Sejujurnya, inilah antara ciri yang perlu ada dalam sebuah keluarga yang
menjadi impian saya.
Haruslah
menjadi kewajipan dalam institusi
kekeluargaan untuk saling hormat
menghormati antara satu sama lain.
Ahli keluarga sewajarnya mengelakkan daripada mencetuskan pertelingkahan,
terutamanya antara ibu bapa dengan anak-anak kerana keluarga bahagia tidak
seharusnya ada sikap seperti ini dan hal ini boleh mencemarkan nama baik
keluarga secara tidak langsung. Ramai orang mengatakan bahawa keluarga yang
bahagia ialah keluarga yang harmoni, aman dan damai. Sebagai ahli keluarga yang
prihatin dan mengambil berat terhadap keluarga, mereka haruslah mewujudkan
situasi ini dalam keluarga agar keluarga kita dihormati oleh masyarakat luar
dan tidak dipandang serong serta dipandang hina. Ahli keluarga haruslah bahu-membahu antara satu sama lain.
Seandainya dalam keluarga itu ada seorang yang lemah dalam subjek matematik,
haruslah dibantu oleh adik beradik yang lain kerana sikap bantu membantu ialah
sikap yang baik dan mulia. Orang yang kedekut ilmu selalunya merupakan orang
yang rugi kerana mereka tidak ingin membantu memajukan generasi akan datang,
malah mereka lebih rela melihat generasi akan datang dipijak oleh penjajah.
Kita haruslah mengamalkan sikap berat
sama dipikul, ringan sama dijinjing
dan ke gunung sama didaki, ke lurah sama
dituruni. Tegasnya, saya mengimpikan
ahli keluarga yang mengamalkan
nilai-nilai murni dalam kehidupan untuk
membina keluarga bahagia di samping membangunkan generasi akan datang agar
sesebuah institusi keluarga itu menjadi keluarga yang dihormati.
Tuntasnya,
itulah antara ciri keluarga yang menjadi
impian saya, terutamanya setelah saya dewasa dan membina keluarga sendiri.
Semuanya akan menjadi kenyataan sekiranya saya berjaya dalam bidang pelajaran
yang sudah pasti akan menjadikan masa hadapan saya cerah kerana kedudukan
ekonomi saya yang stabil. Selain itu, saya dan pasangan yang menjadi suri
kehidupan saya akan memikul tanggungjawab dengan sebaik yang mungkin agar
anak-anak akan menjadikan kami sebagai rol model mereka. Dengan keizinan
daripada Yang Maha Esa, mudah-mudahan impian saya akan tercapai. Lebih jauh
lagi, saya mesti berusaha dengan penuh kesungguhan agar impian tidak tinggal
sebagai mimpi pada siang hari kerana tanpa usaha tiadalah kejayaan. Semoga
fajar yang menyingsing pada
sekurang-kurangnya sepuluh tahun akan datang
memberikan sinaran paling gemilang dalam kehidupan saya.
Penskoran
:
Peringkat
|
Cemerlang
|
Markah dicadangkan
|
82 - 85
|
Komen :
|
|
Tugasan
|
Menjawab tugasan.
|
Idea
|
Relevan. Huraian jelas.
|
Bahasa
|
Ayat gramatis. Kosa kata luas dan menarik.
|
Pengolahan
|
Menarik dan berkesan. Pemerengganan
seimbang.
|
Remaja
pada masa ini merupakan angkatan
muda yang akan menjadi tonggak pemerintahan pada masa hadapan. Bijak pandai ada
berkata, sekiranya kita hendak melihat kepimpinan masa hadapan, lihatlah remaja
yang ada pada masa ini. Lantaran itu, dalam menempuh milenium yang sarat dengan
cabaran reformasi ini, ciri-ciri remaja
yang kamil dan mempunyai nilai keinsanan yang syumul
penting untuk membangunkan negara. Dalam hal ini, semua pihak berperanan bagi
melahirkan remaja yang mempunyai
ciri-ciri remaja yang berwawasan.
Berakhlak mulia merupakan salah satu ciri remaja berwawasan. Hal ini demikian kerana akhlak yang luhur, datang dari hati yang bersih. Remaja yang berakhlak mulia akan suka didampingi malah akan meraih rasa hormat daripada orang sekeliling. Remaja yang berakhlak mulia pasti tidak akan terjebak dengan kemelut sosial yang mementingkan dunia hedonistik semata-mata serta berusaha untuk menghindarkan diri daripada bergaul dengan remaja-remaja yang bermasalah. Taat pada agama sudah pasti dapat melahirkan individu yang berakhlak mulia kerana semua agama di dunia menyeru kepada kebaikan dan melarang kepada kemungkaran. Secara tidak langsung, remaja yang mempunyai sikap mahmudah dapat dilahirkan seterusnya dapat menjadi seorang insan yang kamil. Remaja yang berakhlak mulia juga sudah pasti dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk, yang mana kaca, yang mana permata bak kata peribahasa yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Jelaslah bahawa berakhlak mulia merupakan salah satu ciri remaja berwawasan.
Selain itu, remaja berwawasan sudah
pasti mempunyai ilmu pengetahuan yang
luas dan tinggi. Remaja yang
berwawasan pasti akan berusaha untuk mencari ilmu dan sentiasa dahagakan ilmu.
Pepatah ada juga mengatakan carilah ilmu sehingga ke negeri China kerana ilmu yang ada hanya setitik daripada selautan.
Malahan, Albert Einstein juga pernah berkata semakin banyak yang dipelajari,
semakin banyak yang tidak diketahui. Dengan melahirkan remaja yang berilmu
pengetahuan, anak muda ini tidak akan mudah ditipu oleh pihak yang tidak
bertanggungjawab serta akan sentiasa dihormati dan disanjung oleh masyarakat
sekeliling. Jelaslah bahawa, remaja yang berilmu pengetahuan juga merupakan
ciri yang vital dalam melahirkan remaja yang berwawasan.
Di samping itu, remaja yang berwawasan juga akan sentiasa gigih untuk
menggapai gamitan menara impian. Sudah tentulah budaya pesimistik dan culas dikikis serta dibuang jauh
untuk mencapai kejayaan walau seruwet manapun yang diamalkan oleh remaja
berwawasan ini. Secara langsung, remaja berwawasan akan gigih berusaha
menggunakan setiap detik dan waktu agar diisi dengan perkara yang
bermanfaat dan berfaedah kerana masa itu
emas. Selain itu, masa yang pergi tidak mungkin akan kembali. Oleh itu, remaja
yang berwawasan akan memastikan setiap masa yang terluang diisi dengan perkara
yang mendatangkan maslahat seperti menelaah buku, beriadah atau melakukan
ibadah kerana cendekiawan ada mengatakan masa ibarat pedang,sekiranya
kita leka mata pedang itu akan memenggal kita. Jelaslah
bahawa, gigih berusaha merupakan ciri yang signifikan dalam melahirkan remaja
yang berwawasan.
Sementelahan itu, bersemangat patriotik juga merupakan
ciri remaja berwawasan. Remaja yang berwawasan akan berusaha
menjaga nama baik negara serta memerah keringat untuk menaikkan nama negara.
Remaja yang berwawasan juga akan mengekalkan perpaduan negara yang sudah sedia
terjalin ukhuwah sesama manusia mahupun berlainan bangsa dan agama demi
menyahut seruan ‘Satu Malaysia’ yang diuar-uarkan oleh Dato’ Seri Najib bin Tun
Abdul Razak. Terbuktilah bahawa, remaja yang berwawasan akan mempunyai semangat
patriotik yang tinggi.
Tuntasnya, semua pihak haruslah
bergabung tenaga melahirkan remaja yang berwawasan agar Malaysia akan terus
maju dan terkenal di seluruh pojok dunia pada masa hadapan.
(496 patah perkataan)
Penskoran :
Peringkat : Cemerlang
|
|
Markah
dicadangkan : 26 -27
|
|
Komen
:
|
|
1.
Takrif
|
Menepati tugasan.
|
2.
Idea
|
Relevan dan dihuraikan dengan baik berserta
contoh yang sesuai.
|
3.
Bahasa
|
Gramatis, berkesan dan bervariasi.
|
karangan ni betul-betul masuk dalam kertas Bahasa Melayu 1 ke ? tak yakin nak baca .
BalasPadamsaya suka cara karangan ini diolah.. menarik..
BalasPadamterima kasih mohon kongsi
BalasPadamterima ksih...:)
BalasPadam